Showing posts with label AkhLak MusLIM. Show all posts
Showing posts with label AkhLak MusLIM. Show all posts

Saturday, August 3, 2013

Mad'u Istimewa (8) : Mujahadah Seorang Remaja Islam

بسم الله الرحمن الرحيم


Pada sebelah pagi di sekolah agama, saya sangat suka bercerita kepada pelajar-pelajar saya mengenai kisah Firdaus. Tingkatan satu dan dua mungkin tidak, tetapi kepada pelajar tingkatan tiga,iya! Kerana bagi saya usia mereka yang semakin meningkat dewasa, sangat perlu didedahkan dengan realiti sebenar dunia di luar sana.


Saya mengkhabarkan kepada mereka kisah pertemuan saya dengan Firdaus sejak hari pertama dan  rentetan apa yang berlaku kepadanya hari ini. Tujuan saya, bukan untuk membuka aibnya. Tidak sama sekali! 
Tetapi harapan saya semoga perkongsian cerita itu akan membawa suatu kesedaran kepada mereka betapa pentingnya untuk mereka menghargai nikmat yang telah wujud disekeliling mereka hari ini.


Setiap kali saya bercerita, saya perasan ada beberapa orang pelajar puteri saya yang turut mengalirkan air mata. Saya kira, pasti mereka juga turut merasai dan mendalami perasaan saya saat itu. Keterujaan mereka sangat dizahirkan, sehingga sampai ke satu tahap, bila saya masuk saja ke kelas mereka untuk mengajar matapelajaran Tauhid, saya menerima pertanyaan pertama mereka..


"Ustazah,ustazah.... Apa khabar Firdaus?", jerit kecil pelajar puteri yang duduk di bahagian belakang kelas.

Secara spontan saya tersenyum. 

"Sampainya hati kamu. Khabar ustazah kamu tidak tanya pula ya. Tiba-tiba Firdaus...", jawab saya seakan merajuk.

"Ehh... Tidak,tidak,tidak.... Ustazah apa khabar,ustazah? Ustazah sihat?", tanya mereka.

"Hermmm..Ikhlas,kah tu?", saja saya mengusik mereka. 


Saya pernah bertanya dan meminta izin kepada Firdaus kalau-kalau boleh saya kongsikan ceritanya ini lewat tulisan-tulisan saya. Katanya, dia juga tidak kisah dan memberi keizinan itu kepada saya. Katanya, dia harap sesiapa yang membaca kisahnya nanti, mungkin boleh mengambil sedikit sebanyak pengajaran melalui kisah perjalanan hidupnya sebagai seorang remaja Islam.


Hari ini, saya dapat lihat betapa Firdaus benar-benar sedang bermujahadah dalam perjalanan hijrahnya. Tatkala dia sudah punyai azam,niat dan tekad untuk berubah pastinya ia bukannya sesuatu yang mudah untuk dia berubah sekelip mata. Firdaus turut memberitahu saya bahawa, rakan-rakan merupakan ujian yang sangat besar bagi dirinya. Melihatkan sikap dan penampilannya yang serba sedikit berubah, katanya sudah ada segelintir rakannya yang mula menjauhkan diri. Tetapi, dia cuba untuk gagahi dan menghadapinya dengan penuh kesabaran. 


Ramadhan tahun ini merupakan tahun pertama Firdaus menjalani ibadah puasa. Saya berharap benar agar dia dapat berpuasa penuh bersempena dengan tahun pertamanya ini.  Alhamdulillah, hari demi hari Firdaus dapat berpuasa dan mengharungi hari-harinya dengan penuh kesabaran dan menjalani tarbiyah buat dirinya sendiri. Kemudian, seingat saya masuk hari ke 12 atau 13 saya ada menerima mesejnya di dalam akaun facebook saya.


"Ustazah...kalau puasa kan..kita merungut-rungut lapar.kurang pahala,kah..? 
Huhuhu...Saya belum biasa lagi puasa ni, ustazah. Sebab tulah selalu betul saya stress. Kalau jam 4, jam 5 lapar sudah saya tu. Mula la merungut-rungut..huhu..." 


Kasihan pula saya mendengar kesulitan yang dihadapinya. Tetapi semua itu tidak boleh dilayan! 
Nanti, makin menjadi-jadi pula manjanya!  Lantas saya memujuknya untuk terus bersabar dan hayati apa hikmah sebenar kita diperintahkan untuk berpuasa. Saya harap dan saya tahu dia faham. 


"Jadi puasa Firdaus sudah bocor lah ni..??"  Tanya saya ingin tahu kalau-kalau dia sudah terponteng puasanya.



"Bocor belum lagi la...Tapi hampir-hampir  tu pernaah.... Sikiiiiit lagi saya minum jus. Time tu haus betul ni...Hahaha.. Apa saya buat..?  Saya tidur.."

Kali ni saya bertul-betul tertawa mendengar ceritanya.
Tingkahnya tidak ubah seperti anak kecil. Sehingga hari ini, malam ke 26 Ramadhan setahu saya baru sehari Firdaus terponteng puasanya. Itu pun kerana pada malamnya, dia tidak terbangun untuk bersahur. Katanya dia sudah cuba untuk meneruskan ibadah puasa pada siang hari itu, tetapi mungkin keadaan tidak mengizinkan.

"Ustazah, nanti saya qada' ya ustazah?" 

'Rasa bersalah la tu...', bisik hati saya sambil tersenyum padanya.


Saya benar-benar kagum pada kesungguhan Firdaus untuk berpuasa di bulan Ramadhan ini.
Apa tidaknya, menjelang peperiksaan akhir yang akan menjelang tidak lama lagi, selain kelas-kelas subjek lain, Firdaus juga terpaksa menjalani latihan vokalnya saban hari. Setiap hari perlu menyanyi, setiap hari dia perlu melontarkan vokal dengan betul. Tidak hairanlah dia selalu merasa haus dan keletihan.


Selain itu, Firdaus juga menghadapi ujian dan dugaan untuk menjalani ibadah puasanya tatkala bersama rakan-rakannya. Menurutnya, selesai sahaja kelas mahupun practise di kolej, mereka ramai-ramai akan ke cafe dan kebanyakan rakan seislamnya, dengan selamba akan makan dan minum di khalayak ramai pada siang hari.
Fidaus pula yang menjadi kekok!

Adakalanya, perubahan Firdaus membuatkan mereka sudah tidak berasa selesa dengan keberadaannya. Firdaus terpaksa berbohong bahawa dia juga tidak berpuasa seperti mereka. Tetapi kononya, dia tiada selera untuk makan di bawah. Oleh itu, Firdaus terpaksa membeli makanan dan membungkusnya untuk meyakinkan rakan-rakannya bahawa dia tetap rakan mereka yang dahulu.


"Saya bawa makanan tu pergi atas ustazah dan saya akan bagi pada kawan-kawan lain (bukan muslim) yang belum lunch". 


Subhaanallah.... Mulia sungguh hati pelajar saya ini.
Dan saya terpaksa akui besar sungguh ujian Allah swt pada Firdaus,kan?
Saya cukup berbangga dengan usaha dan semangatnya untuk terus istiqamah. Semoga dia terus dikuatkan hati dan azam untuk meneruskan perjalanan hijrahnya untuk menjadi seorang muslim yang baik.

Allahumma Aamin!


Sunday, May 5, 2013

Pasca PRU13 : Kalam Murabbi Pengubat Hati

Menghirup udara segar, hari yang baru.

Sedih, kecewa dan hampa.

Ya!
Tapi berhenti belum lagi.
InsyaAllah kami akan terus thabat pada jalan dan perjuangan yang sama.
Kerana perjalanan ini didasari dan dipandu oleh Kitabullah dan Sunnah para kekasihNya.
Aku yakin pada itu.

Kepada semua sahabat-sahabiah, tahniah!
Usaha dan kesungguhan kalian, bukanlah percuma.
Ada 'harga' yang mahal telah Allah sediakan, andai kita benar-benar ikhlas.
Senyumlah!
Esok masih ada.
Sama-sama kita meneruskan langkah dengan penuh keyakinan dan semangat demi menegakkan agama Allah di bumi Malaysia!

TAKBIR!!

Pesan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang :

"Kalau kita kalah , kita kena bertenang itu tanda orang yang beriman yang redha dengan segala ketentuan. Memang ada perjuangan ada kalah ada menang.Jika berlaku penipuan ingatlah kita ada akhirat sebagai medan kebenaran. Jangan lupa ada kerajaan yang lebih berkuasa iaitu kerajaan Allah s.w.t. Kita tidak kalah..cuma belum menang."



 

YA! KALIMAH INI KAMI AGUNGKAN!
KAMI AKAN TERUS LAUNG-LAUNGKAN!
KERANA DARINYA, KAMI MENDAPATKAN SEMULA SEMANGAT DAN KEKUATAN!

TAKBIR!!

ALLAHU AKBAR!
ALLAHU AKBAR!
 ALLAHU AKBAR!   




 
'" Kalam taujihat dari TGHA:

Dalam satu kezaliman yang dahsyat,sehingga rakyat menjadi bodoh,inilah zaman yang disebut oleh Rasulullah S.A.W :

ستأتي على الناس سنوات خداعة يصدق فيها الكاذب ويكذب فيها الصادق. ويخان فيها الأمين ويؤتمن فيها الخائن ويتكلم الرويبضة.....

maksudnya: "Akan datang kpd manusia,tahun2 yang menggoda (tahun2 yg menipu) tahun2 yang keliru, orang yang benar dikatakan bohong,orang yang bohong dikatakan benar,orang yang amanah dikhianat dan golongan pengkhianat diberi amanah.. dan golongan ruwaibidoh bercakap besar. dan para sahabat bertanya,apa ruwaibidoh itu ya rasulullah? jwb rasulullah: al ammatu tatakallamu bi amril khossoh.. iaitu orang awam yang tidak tahu apa,tapi bercakap berkenaan perkara-perkara khusus yang besar dalam bidang agama.

Inilah zaman yang kita hadapi hari ini,walaupun demikian,Allah S.W.T memelihara agama islam,cahaya agama islam tak boleh di padamakan walaupun di seluruh dunia hari ini, musuh-musuh islam berusaha untuk memadamkan cahaya agama islam. Di Mesir, banyak penangkapan, pemimpin2 islam bukan sahaja di tangkap, tapi di bicarakan di mahkamah tentera,bukan mahakamah biasa,di Pakistan, kumpulan islam di tekan dan di tindas, seluruh dunia,termasuk di negara kita juga sedang di tekan dan di tindas,kita merasakan seolah-olah tidak boleh menang.

Bila lagi nak menang? Persoalan ini di sebut oleh Allah Taala dalam quran yang bermaksud.. Adakah kamu mengira kamu boleh masuk syurga tuhan dgn mudah padahal belum lagi datang kepada kamu ujian yang di hadapi oleh mereka yang berjuang islam di zaman dulu.. Mereka menghadapi ujian kesusahan dan kesengsaraan ada di antara mereka yang di bakar api,yang di bunuh,yang dikambus hidup-hidup ,yang di belah dengan gergaji,ada di antara mereka yang di penjara, dan lain-lain lagi.. Mereka di goncang sehebat-hebatnya,sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman bersama dengannya,bilakah datangnya pertolongan Allah.,? Bila lagi nk menang? Maka Allah Taala menjawab,ingatlah pertolongan Allah itu hampir..

Pertolongan Allah dekat,bila banyaknya ujian,itu menandakan kemenangan dekat, itu tanda kemenangan dekat,akan banyaknya ujian dan cubaan.. Seperti perempuan yang nak melahirkan anak. Sebelum melahirkan anak, perempuan itu sakit,mengeluarkan darah, sakit, dan mengeluarkan darah , selepas itu melahirkan anak.. Anak-anak yg nk tumbuh gigi,dia demam, demam dulu,sakit,pastu tumbuh gigi.. Allah Taala nak jadikn pohon getah,proses dia akan keluar susu selepas itu., Akan brlakunya musim luruh,dilanda oleh ribut,oleh cuaca, sehingga luruh daunnya,selepas itu, ia akan tumbuh keras dan akan mengeluarkan getah yg banyak.

Ini peraturan yang Allah Taala jadikn. Begitulah perjuangan islam. Apa yg kita alami, kesusahan, kepayahan, berbagai-bagai perkara pada hari ini, bukan bermakna islam akan di hapuskan, tapi maknanya islam akan menang.

HANYA MEREKA YANG SABAR DENGAN ISLAM,DIA BOLEH MENANG..!! TAKBIR...!!!

Petikan kalam Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.."
 
Subhaanallah.. Kalam para ulamak memang menenangkan hati. Semoga pada PRU yang akan datang, kita masih berpeluang untuk bersama mereka. Semoga Allah swt memberikan mereka kesihatan dan umur yang panjang dengan keberkatan. Kerana.. ternyata umat ini masih memerlukan mereka.
 Amin.. 




Sunday, December 9, 2012

BERCINTA : Apa kata Syeikh Yusuf Qardawi?

Pesanan Pengerusi Majlis Ulama' Sedunia

Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, mufti global berkata :

1- Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak memuji apatah lagi mengiktiraf apa-apa yang dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah kerana cara seperti ini dikhuatiri berbahaya dan syubhah.

2- Ramai orang yang memulai bercinta dengan cara yang tidak benar dan tidak adil, seperti berpacaran melalui telefon dengan perbualan yang tidak jelas dan dilakukan ketika waktu kosong atau bosan.

3- Sebahagian remaja wanita mahupun lelaki berpacaran melalui telefon atau Internet tanpa diketahui oleh ahli keluarga. Mereka juga tidak memikirkan akibat di sebalik tindakan mereka itu.

4- Disebabkan perasaan ingin tahu dan mencuba yang mendalam, remaja biasanya sekadar ingin mencuba, namun kemudian menjadi ketagih pula. Pada awalnya bergurau tetapi akhirnya menjadi serius.

5- Amat jarang ditemui mereka yang 'bercinta' sebelum bernikah tidak terlibat dengan tegahan agama sama ada perbuatan, percakapan atau nawaitu. Apatah lagi apabila dilakukan dengan cara bersunyian, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah pula dengan godaan syaitan.

6- Dalam keadaan seperti ini, remaja boleh terjerumus dalam lembah maksiat, sebab kedua-duanya bukanlah malaikat yang suci dan bukan juga para Nabi yang maksum.

7- Kadang-kadang bercinta antara dua orang yang tidak serasi dari segi status sosial ataupun pendidikan memberi kesan apabila kedua-duanya dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan yang menghalang mereka mengakhiri hubungan mereka dengan pernikahan. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa tertekan.

8- Cara terbaik untuk menikah ialah cara yang dilakukan oleh masyarakat Islam Arab sebelum Barat memerangi kita, iaitu memilih calon pasangan hidupnya dengan tenang setelah merisik peribadi calon masing-masing.



9- Perkara yang sesuai dirisik ialah :
*  Menilai keserasian antara kedua-duanya.
*  Menilai kemampuan pasangan dari segi psikologi, kematangan akal, ekonomi dan status sosial.
*  Tidak ada penghalang yang akan menghambat pernikahan sama ada pihak keluarga, adat tradisi masyarakat undang-undang negara atau pelbagai halangan lain.

10- Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentleman) pergi ke rumah calonnya untuk menemui keluarga si perempuan. Si pemuda berhak melihat calonnya walaupun dalam keadaan gadis itu tidak mengetahui bahawa pemuda itu menaruh minat kepadanya. Ini supaya si gadis tidak terluka jika pemuda tersebut tidak tertarik kepadanya.

11- Apabila 'kapak sudah menancap di kepala' (cinta berputik), keluarga hendaklah menilai calon pilihan si anak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Janganlah pula menolak lamaran tanpa sebab yang munasabah. Keluarga hendaklah mengamatinya dengan saksama, sebagaimana yang dianjurkan oleh Hadith Nabi saw yang bermaksud , 'Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling mencintai kecuali pernikahan.'  (HR Ibnu Majah dan al-Hakim). Dengan kata lain, nikah adalah cara yang paling tepat untuk meraikan fitrah cinta yang indah ini.


12- Yang menjadi kayu ukur dalam menilai calon suami atau isteri ialah agama dan akhlaknya. Hanya inilah sumber dan faktor kebahagiaan yang boleh diraih dalam kehidupan berumah tangga.


Ya Allah, bantulah kami dalam menjaga hati-hati kami demi mendapatkan redha dan rahmat-MU.. 



Sumber :  Kitab Fatwa Mu'asirah, jilid 2,halaman 348-349

Friday, October 12, 2012

Engkau Memang Cantik!

SAYA seorang perempuan.
Sejujurnya, saya mengakui dan sering menyedari betapa indahnya ciptaan seorang wanita itu.
Cantiknya terlalu unik dan istimewa. Sukar untuk saya huraikan. Yang pasti, semua perempuan itu diciptakan 'cantik'.

Apa itu 'cantik'?
Tentu sekali jawapan yang berbeza akan kita temui bila diajukan soalan tadi kepada puluhan malah ratusan manusia. Kerana, cantik itu bersifat subjektif. Saya secara peribadinya melihat ramai perempuan cantik saban hari. Tubuhnya yang tinggi lampai, senyumannya yang memikat, wajahnya yang ayu... Sungguh! Saya sendiri sebagai seorang perempuan 'terjatuh hati' dek keindahannya.

Namun hari ini, tidak semua yang cantik itu menyenangkan. Sering juga saya bertemu dengan sekelompok wanita yang cantik tetapi tingkahnya kurang menyedapakan mata dan hati yang memandang.
Cantik, ya cantik! 
Tetapi sekali dia berkata-kata bahasanya keras dan tidak sopan.
Sekali dia ketawa, suaranya saja boleh membuatkan orang di sekelilingnya menjeling.
Sekali dia melepaskan marah, terpacul pula kata cacian dan makian dari mulutnya.



AKHLAK.
Itulah sebenarnya ukuran untuk kita di dalam agama. Adalah amat tidak adil jika kita menilai seseorang itu sebagai muslimah solehah hanya kerana tudungnya yang labuh, aurat kakinya yang tertutup sempurna mahupun kerana sikapnya yang rajin bersolat. Ini kerana, walaupun ramai yang bersolat tetapi auratnya tidak juga terjaga sebaiknya. Walaupun labuh tudungnya, tetapi sering pula ia ingkar pada ayah dan ibunya.

Justeru, agama itu diidentifikasikan melalui akhlaknya. Ya, iman itu tidak mungkin kita lihat dengan mata kasar kerana tempatnya terletak di dalam hati. Namun, sekiranya iman itu benar-benar bernyala di dalam hati, cahayanya pasti akan memancar keluar dan kita kenali sebagai akhlak.

Inilah yang patut kita kejar! Kita patut berusaha dan berazam saban hari untuk menjadi seorang muslimah yang cantik dan solehah.
Ini kerana cantik secara fizikal, belum tentu berakhlak.
Tetapi wanita yang berakhlak sudah semestinya akan kelihatan cantik!

Baginda Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya :
( Sesungguhnya seorang hamba yang berakhlak baik akan mencapai darjat dan kedudukan yang tinggi di akhirat, walaupun ibadahnya sedikit )

Sejujurnya saya bukanlah individu yang paling ideal untuk memperkatakan mengenai hal ini, Tetapi saya yakin, kami (muslimat sekalian) ada kalanya, akan merasa rendah diri bila berhadapan dengan situasi yang tertentu. Tetapi ambillah masa dan cuba amati apa yang telah diperkatakan tadi. Bersyukurlah!

Kerana sebenarnya.. Engkau memang cantik!




Friday, June 8, 2012

Belajar Al Quran

Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kerajinannya semakin hari bacaan Al Qurannya semakin baik.
Anisah. Dia adik perempuan saya, anak yang bongsu  daripada lima orang adik-beradik. Setiap malam selepas solat Maghrib, andai saya dan dia berkelapangan saya akan mengajarnya mengaji. Sekurangnya-kurangnya dua kali dalam seminggu, saya tetapkan.

Semalam saya mengajar pula adik yang lelaki, abang kepada Anisah. Saya menjadi agak risau.
Ya, saya tidak nafikan dia boleh membaca Al Quran tetapi sejujurnya bacaan adiknya yang kecil jauh lebih baik darinya.

Saya bertanya,'Di sana (asrama Politeknik) ada mengaji juga ka..?'
'Ada la juga..kadang-kadang',dia menjawab sambil tersengeh-sengeh.
'Sibuk bha..kelas mula pagi, kadang sampai petang..jadi malam penat sudah',tambahnya lagi.
'Mana boleh tiada masa. Sebenarnya masa tu cukup ja, tapi kita sendiri yang malas..',jawabku agak kesal.

Didikan sejak kecil adalah sangat penting..

Saya berani katakan. Kita semua mampu dan boleh membaca Al Quran dengan baik dan lancar.
Namun, sepertimana kerja-kerja harian lain, belajar Al Quran juga memerlukan pengorbanan masa serta kesungguhan. Tidak ada bezanya dengan ilmu lain yang hendak kita pelajari.

Sibuk..? Luangkanlah setidak-tidaknya jarak masa diantara solat Maghrib dan Isyak untuk mengulang-ulang bacaan Al Quran kita. Kalau terlalu sibuk, cubalah luangkan masa itu sahaja. Percayalah, proses mengulang-gulang sangat penting dalam proses kita hendak mempelajari Al Quran.

'In fact..Practise makes perfect, isn't?'

Hari ini kita menyedari, ada dikalangan ibu bapa yang amat menekankan kecemerlangan di dalam bidang akademik kepada anak-anak. Tuisyen kalau tidak dihadiri, siaplah si anak mendengar leteran si ibu dan ayah! Tetapi kelas Al Quran..? Seolah ianya tidak lagi penting untuk kehidupan di zaman ini. Ketahuilah, Al Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw yang telah diwahyukan oleh Allah swt. Alangkah ruginya kita jika tidak tergolong di dalam golongan yang telah disebutkan oleh Nabi saw ini..


'Sebaik-baik manusia dikalangan kamu adalah mereka yang belajar AlQuran dan 
mengajarkannya'  HR Bukhari

Malu mahu belajar..?
Wahai saudara saudariku,  ketahuilah sesungguhnya Allah swt sangat pemurah  kepada hambanya. Apa tidaknya, Nabi-Nya Muhammad saw ada menyatakan bahawa..
Pahala bagi mereka yang baru mahu belajar Al Quran (tergagap-gagap) adalah lebih berbanding mereka yang lancar membaca ayat-ayatNya. Ini kerana mereka akan mendapat dua pahala iaitu kerana kesungguhan mereka untuk belajar dan pahala kerana mereka membaca Al Quran.

Sejujurnya, saya bukanlah seorang Hafizah.
Tetapi Alhamdulillah, berkat didikan guru Al Quran saya dahulu, hari ini saya boleh membaca ayat-ayatNya yang termaktub di dalam Al Quran. Dan ya! Sehingga hari ini saya ingin terus belajar Al Quran untuk memperbaiki mutu bacaan saya.

Namun, apabila saya melihat dan menyedari bahawa ramai saudari muslimat di luar sana yang mempunyai keinginan yang kuat untuk belajar Al Quran, saya merasa terpanggil untuk membantu. Ada satu rasa tanggungjawab yang besar tergalas di bahu ini. Cuma mungkin, saya belum menemui caranya untuk membantu mereka. Harapan saya, seandainya niat itu baik dan ikhlas, semoga Allah menunjukkan jalanNya untuk saya dan mereka.


'Allahummarhamna Bil Quran..Allahummarhamna Bil Quran'..


Sunday, January 29, 2012

Manifestasikan Nikmat Berpersatuan!

ISLAM amat mementingkan kesatuan dan kerjasama  yang padu  bagi mewujudkan segolongan umat yang mampu berdiri dengan gah dan dinamik bagi membawa syariat agama Islam di seluruh pelusuk dunia. Betapa cantiknya analogi yang Allah swt telah ajarkan kepada kita melalui kitabNya di dalam surah As Saff ayat empat bahawa, segolongan umat yang bersatu itu, akan menjadi seperti bangunan-bangunan yang tersusun kukuh lagi kuat!

‘Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada pula kepimpinan melainkan dengan taat’.

Kalam  ini membawa kita kembali melihat dan menyedari bahawa konsep berjemaah itu merupakan satu faktor yang amat penting bagi mewujudkan kembali zaman kegemilangan Islam yang runtuh pada tahun 1924 yang lalu. Sedar atau tidak, persatuan yang menaungi kita pada hari ini, merupakan satu nikmat yang sangat bernilai.  Jika kita fahami dan amati dengan teliti ianya persis  mencakupi konsep berjemaah seperti yang telah disebutkan tadi.

Jemaah. 
Kepimpinan. 
Ketaatan.

Jadi, bilamana kita mengakui bahawa berjemaah itu sangat penting untuk Islam, begitulah juga halnya dengan berpersatuan. Ini kerana dengan berpersatuan, ianya akan melahirkan individu-individu muslim yang multi-purpose yang sudah semesinya amat penting dalam melaksana gerak kerja Islam kelak.

INDIVIDU BERKEPIMPINAN


Berpersatuan samalah seperti sebuah jemaah Islam. Kelak akan wujudlah golongan yang memimpin dan yang akan dipimpin. Mereka yang memimpin bukanlah bermaksud segolongan manusia yang terbaik dan ‘suci’  dari melakukan kesilapan. Bukan juga merupakan peluang terbuka bagi golongan ini mengarah orang bawahan sesuka hati sedang dia bergoyang kaki. Golongan yang dipimpin pula seharusnya membersihkan fikiran daripada mitos ‘aku kuli’ yang telah lama bersarang di dalam diri. Sebenarnya kedua-dua golongan ini perlu wujud! Bilamana semua ingin bercita-cita untuk menjadi ketua dan big boss dalam sesebuah persatuan, maka akan terjadilah huru-hara dan kerosakan disebabkan masing-masing mempunyai pandangan dan kemahuan yang tersendiri. Maka, disitulah perlunya ada sekelompok individu yang mana kerja mereka lebih kepada mengatur,merancang dan mengorganisasi tanpa terkecuali bilamana memasuki zon gerak kerja! Jelas,golongan ini sebenarnya mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding yang lain.

Tatkala menyedari bahawa golongan pertama tadi punya tugas yang berat, maka akan timbul pula masalah bilamana semua ingin lepas tangan. Kalau boleh,semua tidak ingin termasuk di dalam kelompok tersebut dan lebih rela menjadi orang yang dipimpin sampai bila-bila. Nah! Cuba bayangkan apa yang akan terjadi? Tentulah semuanya akan bersifat sambil lewa dan lalai kerana alasan yang timbul dibenak masing-masing adalah sama.

‘Ahh..adalah nanti tu siapa-siapa yang akan uruskan…!’.

Bilamana ini terjadi, akan tergendalalah semua aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan bagi kemaslahatan umum. Lebih menyedihkan  lagi apabila mengenangkan berpunca daripada sikap sebeginilah, kelak gerak kerja Islam dan dakwah akan terhenti begitu sahaja apabila golongan mahasiswa/wi tadi mula terjun ke medan perjuangan sebenar.

Kita perlu sedar, samada menjadi pemimpin ataupun yang dipimpin di dalam dunia berpersatuan, yakinlah ada sesuatu yang kita pelajari! Tidak lain, kita sebenarnya akan belajar memimpin dan bijak berurusan  dengan orang ramai. Kita  juga boleh belajar untuk menjadi orang bawahan yang baik dengan  mendengar arahan ketua dan melaksanakan gerak kerja dengan cemerlang sekali.  Jadi, tidak timbul soal ‘siapa lebih baik’ kerana hakikatnya, kedua-dua golongan ini amat memerlukan di antara satu sama lain,serta mempunyai tugas dan peranan yang tersendiri. Apabila aspek dan kefahaman ini dapat digarapkan sebaiknya, tentulah akan ianya akan berjaya mewujudkan satu team-work yang mantap apabila diterjemahkan di dalam  medan dakwah yang sebenar.

[ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung]  Al Imran:104

KERJASAMA DAN ITHAR 
Persatuan dan Jemaah tidak mungkin akan wujud dengan adanya seorang individu sahaja. Malah, kedua-duanya mempunyai konsep yang sama. Ia memerlukan sekelompok manusia yang beriltizam untuk sama-sama membangun dan mencapai misi dan visi yang tersendiri. Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap individu mula belajar untuk memberi komitmen, kerjasama, memberi bantuan, memupuk semangat pengorbanan dan kekitaan bagi melancarkan setiap gerak kerja. 


Firman Allah swt di dalam kitabnya yang bermaksud :[ Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya] Al Maidah:2

Sifat-sifat ini amat penting, agar tidak wujud rasa pentingkan diri dan nafsi-nafsi. Dan, persatuanlah medan percubaannya!  Di dalam fatrah ini, mahasiswa/wi akan teruji samada ingin memberi sepenuh perhatian terhadap pelajarannya semata-mata ataupun turut memberi bantuan dan komitmen dalam urusan-urusan berpersatuan. Cuba kita rungkai kembali persoalan yang disebut di dalam Fiqh Aulawiyat ini… ‘Kemaslahatan khusus atau kemaslahatan umum???’  Yang mana lebih penting,dan mana yang satu perlu didahulukan? Tepuk dada tanyalah iman!

‘TOP-UP’  NILAI TAMBAH 

Untuk melahirkan para daie yang bergiat aktif di dalam medan dakwah kelak, seharusnya para mahasiswa/wi hari ini mempersiapkan diri dengan mempunyai pelbagai kemahiran dan nilai tambah yang sememangnya sangat diperlukan. Kalau kita perhatikan, ada satu perbezaan yang besar diantara mahasiswa/wi yang berpersatuan dan yang anti-persatuan. Percayalah, di dalam semua gerak kerja dan program persatuan, setiap tugas yang diamanah itu merupakan satu peluang berharga untuk kita mempelajari perkara-perkara baru.

Sekecil mana taklifan yang dipertanggungjawabkan, tentunya ada manfaat buat mereka yang menyedari dan ingin belajar! Kemahiran untuk mengurus sebuah organisasi, bergaul dengan orang ramai, kepetahan berkata-kata dan  berkomunikasi adalah sesuatu yang tidak mungkin kita dapati melalui pembelajaran di kuliah dan kitab semata-mata. Segala pengalaman yang ditimba melalui berpersatuan adalah sesuatu yang amat bernilai! Kata-kata yang ingin diungkapkan tidak mungkin dapat mengambarkannya, hanyasanya memerlukan setiap individu itu sendiri yang menjinakkan diri dengan persatuan dan mengalami pengalaman berharga ini.


Sesungguhnya tidak ramai diantara kita yang melihat ‘berpersatuan’ itu sebagai satu nikmat dari Allah swt. Bahkan, sesetengah daripada  kita beranggapan bahawa berpersatuan hanyalah menganggu kosentrasi dan prestasi akademik seseorang mahasiswa/wi dan hanya menyusahkan. Segala perkerjaan dan penat lelah yang kita korbankan untuk berpersatuan, niatkanlah semata-mata kerana Allah swt. Kerana dalam berpersatuan, kita sebenarnya menyusun gerak kerja dan program yang tidak lain hanya untuk mengajak kepada yang maaruf dan menjauhi segala  yang dilarang oleh syariat Allah swt. Jadi, sedar atau tidak sebenarnya berpersatuan adalah satu ibadah kalau kena pada cara dan pelaksanaanya. Maka, yakinlah berpersatuan bukanlah  satu faktor yang menyebabkan prestasi akademik terganggu malah mungkin dengan kerja-kerja yang dianggap kecil itulah yang menjadi punca dari mana pertolongan Allah swt itu tiba untuk hambaNya.  Allah swt berfirman yang maksudnya :

 [Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu] Muhammad : 7

Amat rugilah sekiranya nikmat yang Allah swt telah beri di depan mata kita, dipersiakan begitu sahaja. Apabila disebut bahawa berpersatuan ini merupakan salah satu wasilah kepada gerak kerja dakwah yang mantap dan bersistem, yakinlah kesatuan umat Islam yang kita impi-impikan untuk menegakkan kembali zaman kegemilangan Islam itu bermula dari kelompok yang kecil ini.

PERSATUAN KITA!


Saturday, January 7, 2012

Apabila Muslimah Berfesyen ...

Seorang wanita muslimah diciptakan oleh Allah swt dengan keistimewaanya yang tersendiri berbanding dengan wanita non-muslim hari ini mahupun yang hidup di zaman jahilliyah satu ketika dahulu. Wanita- wanita yang hidup sebelum kedatangan Islam dahulunya terkenal dengan sifat mereka yang suka berhias secara berlebihan(tabarruj) dan menggoda kaum lelaki.

Istilah tabarruj didefinisikan oleh Imam Az Zamakhsyari sebagai perlakuan wanita yang menzahirkan perhiasannya kepada kaum lelaki yang mana sepatutnya wajib bagi mereka untuk menutupinya. Ini termasuklah barang-barang perhiasan yang tersembunyi pada anggota badan seorang wanita seperti rantai, gelang kaki dan subang. Begitulah juga halnya dengan pakaian dan pergerakan anggota badan wanita seperti cara berjalan, berkata-kata dan sebagainya.

Hari ini kita dapat lihat, ramainya wanita dan sedikitnya golongan muslimah. Seorang muslimah yang besar cinta dan taqwanya kepada Allah swt akan sentiasa menuruti adab-adab berpakaian dan berhias sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang wanita. Seorang muslimah tidak akan resah dan terkejar-kejar untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa yang jelasnya semakin jauh daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Malah, dengan busana hasil 'rekaan syariatnya', seorang muslimah akan tampil sopan, selesa dan yakin dengan pakaiannya ditengah-tengah masyarakat moden hari ini.

Ironinya dewasa ini, kita melihat ramai dikalangan wanita itu ingin menutup aurat. Dan mereka mendakwa memang benar mereka telah menutup aurat! Tetapi lihatlah natijahnya apabila kita telah terpedaya dengan ungkapan ‘fesyen’ yang mana perlu diikuti dari masa ke masa. Adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan bahawa, bidang fesyen hari ini merupakan salah satu senjata orang kafir untuk memperdaya kaum muslimin dan muslimat agar semakin jauh daripada tuntutan agama Islam yang sebenar.

Tidak lain, fesyen sebegini adalah hasil daripada pengaruh Barat.. Bezanya, yang beragama Islam perlu memakai tudung... Tetapi persoalannya adakah ini yang diajar oleh agama..?

Berfesyen itu tidak salah! Malah agama Islam amat menyarankan agar umatnya sentiasa berpenampilan kemas, cantik dan sopan.

Berhiaslah cara seorang Muslimah!

1) Menjaga pandangan. Sesungguhnya, perhiasan termahal dan yang paling bernilai bagi seorang wanita ialah sifat malunya.Tanpa sifat malu, hilanglah keistimewaan dan kecantikannya sebagai seorang wanita. Allah swt telah berfirman yang mahfumnya : [Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya] An Nuur :31

2) Menjaga pergaulan dengan lelaki daripada percampuran yang keterlaluan yang tidak menjaga batas-batas yang ditetapkan. Perlakuan ikhtilat yang tidak dibenarkan pada hari ini bolehlah kita lihat sepertimana yang banyak berlaku di panggung-panggung wayang, shopping mall, universiti/kolej, majlis-majlis keraian dan sebagainya. Pergaulan bebas yang tidak dikawal hari ini akan bermula dengan adegan berpacaran, berpegangan tangan, bersekedudukan dan akhirnya semakin bertambahlah jenayah dan maksiat yang dimurkai Allah swt seperti zina, pengguguran janin dan pembuangan bayi. Remaja hari ini melihat perbuatan yang sedemikian adalah satu kebiasaan yang tiada silapnya. Sedangkan, Rasulullah saw telah berpesan dan memberi peringatan supaya mencegahnya sejak awal lagi. Hadith Nabi saw yang bermaksud [Besi yang menikam atau ditimpakan ke atas kepala kamu itu adalah lebih baik daripada kamu menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu] HR Tabrani wal Baihaqi

3) Pakaian yang bertepatan dengan adab-adab Islami, iaitu mencakupi ciri-ciri berikut:

*Pakaian yang menutupi seluruh tubuh seorang wanita melainkan apa yang telah dikecualikan oleh Allah swt di dalam sabdanya yang bermaksud : [..kecuali yang kebiasaannya nampak daripadanya..] An Nuur : 31 ...... Pendapat yang paling sahih bagi ayat ini ialah kecuali muka dan tapak tangan sahaja.

*Bertudung dengan syarat yang ditetapkan.

Dewasa ini, bertudung lebih kepada mengikut fesyen semasa dan bukannya kerana kewajipan yang berpandukan Al Quran dan Sunnah. Kain tudung yang tebal menjadi nipis, yang sepatutnya labuh menutupi menjadi singkat sekadar menutup kepala dan rambut si wanita. Allah swt telah menjelaskan secara terperinci perihal tudung ataupun jilbab yang akan menjaga seorang muslimah itu. [Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya] An Nuur:31

*Pakaian hendaklah tidak nipis dan ketat. Rasulullah saw pernah mengkhabarkan bahawa di antara ahli neraka kelak ialah [Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi seakan-akan bertelanjang,mereka berjalan dengan meliuk lentok ke kiri dan ke kanan.Sesungguhnya mereka tidak akan dimasukkan ke syurga, tidak pula dapat mencium baunya]

Please..Don't try this in public~

*Tidak memakai pakaian yang menyerupai lelaki.

Sesungguhnya Nabi saw melaknat perempuan-perempuan yang berpakaian menyerupai lelaki dan begitu juga sebaliknya. Pakaian tersebut yang dimaksudkan pada hari ini ialah seperti seluar, topi dan sebagainya. Larangan memakai seluar di sini bermaksud apabila ianya dipakai dengan kemeja ataupun t-shirt, adapun sekiranya dipakai bersama gaun yang labuh maka tiada larangan padanya.

*Tidak memakai pakaian yang biasanya khusus ataupun menyerupai orang Kafir.

Larangan di sini adalah umum bagi lelaki dan perempuan Islam daripada menyerupai pakaian mereka yang beragama Yahudi, Nasrani ataupun agama lain. Ini kerana agama Islam menginginkan agar umatnya berbeza, istimewa dan bebas daripada sebarang pengaruh agama lain selain Islam secara luaran, apatah lagi dalaman. Rasulullah saw memberi peringatan yang maksudnya : [Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka]

Berhati-hatilah dalam berfesyen..!

4)Menjaga gerak-geri dan percakapan.

Seorang muslimah akan berhadapan dan bergaul dengan penuh keyakinan dan ketegasan ketikamana duduk bersama-sama masyarakat awam. Sentiasa menjaga kelakuan dan tutur katanya daripada menyinggung hati orang lain, akan menyebabkan dia disenangi dan mudah didekati. Allah swt berfirman mafhumnya :[ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik] Al Ahzab : 32

5)Hendaklah tiada keinginan untuk menarik perhatian kaum lelaki dengan barang perhiasannya, wangian yang digunakan, mahupun melalui suaranya. Larangan Allah swt agar tidak menzahirkan perhiasan yang tersembunyi bagi wanita adalah untuk membezakan wanita muslimah dengan wanita di zaman jahiliyyah yang suka menghentak-hentakkan kakinya untuk mendengarkan bunyi nyaring loceng kaki yang biasanya mengkhayalkan kaum lelaki. Allah berfirman mafhumnya :[ Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung] An Nuur :31

Inilah fesyen hasil rekaan 'syariatNya'.. Cantik, manis dan sopan, kan?

Dari sini dapatlah kita perhati dan fahami bahawa Islam tidak pernah menzalimi dan mendiskriminasi kaum wanita sepertimana yang selalunya kita dengar. Islam tidak meletakkan kaum wanita di rumah semata-mata dengan hidup terkurung, sebaliknya syariat membenarkan wanita untuk keluar dan memenuhi keperluan hidup mereka seharian seperti berkerja, menuntut ilmu dan sebagainya. Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya : [Sesungguhnya Allah swt telah memberi keizinan kepada kamu (kaum perempuan) untuk keluar bagi memenuhi keperluan kamu] HR Bukhari

Betapa istimewanya kedudukan wanita di sisi agama Islam. Setiap suruhan, larangan dan tegahan sudah pasti ada kebaikan dan manfaatnya bagi menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Sekiranya kita tidak mengendahkan suruhan Allah swt ini, maka apalah bezanya kita dengan wanita-wanita jahiliyah satu masa dahulu? Mengingkari perintah Allah swt ini hanya mengundang kesan buruk yang menanti di kemudian hari. Oleh itu berbanggalah!

Kerana kita bukan sekadar wanita biasa, tetapi kita muslimah yang solehah!


Kitab rujukan : Al Halal wal Haram fil Islam, karangan Imam Yusuf Al Qardhawi.