Showing posts with label ArTikeL IlmiAh. Show all posts
Showing posts with label ArTikeL IlmiAh. Show all posts

Thursday, December 20, 2012

Awasi Revolusi Bertudung!

Dewasa ini dunia secara umumnya bukan sahaja digegarkan dengan revolusi kebangkitan umat Islam dan Arab Spring yang berlaku di negara-negara Timur Tengah.  Bahkan di Malaysia juga sedang menghadapi sebuah perubahan yang melibatkan sebilangan besar golongan wanita di negara ini.

Isu Hijabster ataupun Hijabista ini nampaknya sudah mula menarik perhatian masyarakat umum di Malaysia  terutama sekali bagi yang beragama Islam.  Setelah beberapa orang individu yang berani untuk menegur dan melontarkan pandangannya mengenai isu ini, ternyata ia merupakan satu tindakan yang sangat wajar untuk dikagumi.

 Majalah Hijabista : Khas untuk fashionista bertudung


Hijabista merupakan satu fenomena di mana semakin ramai wanita yang bertudung dengan fesyen yang tersendiri. Saya yakin, saban hari kita boleh melihat revolusi bertudung ini semakin berkembang bilamana kita melihatnya terpampang di dada-dada majalah, rancangan televisyen, rekaan terbaru para fashion designer mahupun melalui video-video yang dimuat turun di YouTube.

Jika kita amati, sebelum ini fesyen bertudung hanya berlegar dia antara dua atau tiga gaya sahaja.  Sejak dahulu sehingga hari ini, wanita yang memakai tudung labuh (bulat) ternyata masih selesa dan kekal dengan pemakaian tudungnya yang sangat terjaga. Lantaran itu, saya lebih suka memberi gelaran muslimah kepada golongan ini.  Namun, bagi sesetengah wanita yang belum bersedia untuk bertudung labuh, tambahan pula diberi jolokan dengan 'payung bergerak' dan sebagainya, mereka selesa memilih gaya yang lebih terkini tetapi tetap tampil dengan sopan. Kalaupun tidak disilangkan tudung yang mempunyai kelebaran 60 inci itu, mereka yang melilitkannya juga ternyata masih kelihatan manis dan mencapai gred piawaian bertudung yang ditentukan oleh syariat.

Berbeza pula halnya dengan fenomena Hijabista ini.  Tudung mula digayakan dengan fesyen-fesyen yang pelik dan semakin jauh dari fungsi sebenar jilbab yang telah digariskan oleh agama Islam. Dengan memakai blouse, seluar ataupun jubah yang agak sendat, ditambah pula dengan aksesori-aksesori yang mana sifat asalnya tersembunyi  seperti anting-anting dan rantai leher sudah mula semakin galak digayakan.

Suatu ketika, bilamana saya pernah berdiskusi mengenai isu ini dengan seorang Ustaz, dia memberi pandangan yang agak berbeza dari saya.

'Tidak mengapalah mereka berfesyen sedemikian, sekurang-kurangnya mereka sudah mula bertudung. Isu ini bukannya isu besar pun, tetapi bagi seorang pemegang ijazah sarjana Syariah seperti kamu, tentu ianya merunsingkan kamu, bukan? Bagi saya, dari sudut dakwah ia sudah cukup. Mereka telah pun menutup aurat dengan bertudung.'



Fesyen wanita bertudung hari ini


Ya, saya tidak menyangkal ada kebenaran pada kata-katanya. Tetapi saya secara peribadinya berasa sangat khuatir jika revolusi bertudung yang mula berleluasa ini, semakin merosakkan kefahaman golongan wanita Islam mengenai konsep bertudung yang sebenar.

Saya bukanlah seorang yang anti-fesyen.  Malah saya juga sejujurnya meminati fesyen dan aksesori wanita. Walau bagaimanapun, ketika kita sibuk mengejar trend terbaru ini agar tidak dikatakan ketinggalan zaman, namun berawaslah. Jangan sampai kita menjadi 'hamba' kepada fesyen yang terang-terang semakin jauh dari syarat bertudung yang sebenar.


Wallahu Subhaanahu wa Taala A'lam..



*  Individu yang saya sebutkan tadi merujuk kepada Ustaz Hasrizal @Saiful Islam.
Entri ini hanyalah pandangan penulis sendiri dan dalam masa yang sama, saya menyokong penuh pendapat dan teguran yang diajukan oleh beliau sendiri. Para pembaca boleh mengikuti ulasannya berikutan isu ini
DI SINI

Sunday, January 29, 2012

Manifestasikan Nikmat Berpersatuan!

ISLAM amat mementingkan kesatuan dan kerjasama  yang padu  bagi mewujudkan segolongan umat yang mampu berdiri dengan gah dan dinamik bagi membawa syariat agama Islam di seluruh pelusuk dunia. Betapa cantiknya analogi yang Allah swt telah ajarkan kepada kita melalui kitabNya di dalam surah As Saff ayat empat bahawa, segolongan umat yang bersatu itu, akan menjadi seperti bangunan-bangunan yang tersusun kukuh lagi kuat!

‘Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada pula kepimpinan melainkan dengan taat’.

Kalam  ini membawa kita kembali melihat dan menyedari bahawa konsep berjemaah itu merupakan satu faktor yang amat penting bagi mewujudkan kembali zaman kegemilangan Islam yang runtuh pada tahun 1924 yang lalu. Sedar atau tidak, persatuan yang menaungi kita pada hari ini, merupakan satu nikmat yang sangat bernilai.  Jika kita fahami dan amati dengan teliti ianya persis  mencakupi konsep berjemaah seperti yang telah disebutkan tadi.

Jemaah. 
Kepimpinan. 
Ketaatan.

Jadi, bilamana kita mengakui bahawa berjemaah itu sangat penting untuk Islam, begitulah juga halnya dengan berpersatuan. Ini kerana dengan berpersatuan, ianya akan melahirkan individu-individu muslim yang multi-purpose yang sudah semesinya amat penting dalam melaksana gerak kerja Islam kelak.

INDIVIDU BERKEPIMPINAN


Berpersatuan samalah seperti sebuah jemaah Islam. Kelak akan wujudlah golongan yang memimpin dan yang akan dipimpin. Mereka yang memimpin bukanlah bermaksud segolongan manusia yang terbaik dan ‘suci’  dari melakukan kesilapan. Bukan juga merupakan peluang terbuka bagi golongan ini mengarah orang bawahan sesuka hati sedang dia bergoyang kaki. Golongan yang dipimpin pula seharusnya membersihkan fikiran daripada mitos ‘aku kuli’ yang telah lama bersarang di dalam diri. Sebenarnya kedua-dua golongan ini perlu wujud! Bilamana semua ingin bercita-cita untuk menjadi ketua dan big boss dalam sesebuah persatuan, maka akan terjadilah huru-hara dan kerosakan disebabkan masing-masing mempunyai pandangan dan kemahuan yang tersendiri. Maka, disitulah perlunya ada sekelompok individu yang mana kerja mereka lebih kepada mengatur,merancang dan mengorganisasi tanpa terkecuali bilamana memasuki zon gerak kerja! Jelas,golongan ini sebenarnya mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding yang lain.

Tatkala menyedari bahawa golongan pertama tadi punya tugas yang berat, maka akan timbul pula masalah bilamana semua ingin lepas tangan. Kalau boleh,semua tidak ingin termasuk di dalam kelompok tersebut dan lebih rela menjadi orang yang dipimpin sampai bila-bila. Nah! Cuba bayangkan apa yang akan terjadi? Tentulah semuanya akan bersifat sambil lewa dan lalai kerana alasan yang timbul dibenak masing-masing adalah sama.

‘Ahh..adalah nanti tu siapa-siapa yang akan uruskan…!’.

Bilamana ini terjadi, akan tergendalalah semua aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan bagi kemaslahatan umum. Lebih menyedihkan  lagi apabila mengenangkan berpunca daripada sikap sebeginilah, kelak gerak kerja Islam dan dakwah akan terhenti begitu sahaja apabila golongan mahasiswa/wi tadi mula terjun ke medan perjuangan sebenar.

Kita perlu sedar, samada menjadi pemimpin ataupun yang dipimpin di dalam dunia berpersatuan, yakinlah ada sesuatu yang kita pelajari! Tidak lain, kita sebenarnya akan belajar memimpin dan bijak berurusan  dengan orang ramai. Kita  juga boleh belajar untuk menjadi orang bawahan yang baik dengan  mendengar arahan ketua dan melaksanakan gerak kerja dengan cemerlang sekali.  Jadi, tidak timbul soal ‘siapa lebih baik’ kerana hakikatnya, kedua-dua golongan ini amat memerlukan di antara satu sama lain,serta mempunyai tugas dan peranan yang tersendiri. Apabila aspek dan kefahaman ini dapat digarapkan sebaiknya, tentulah akan ianya akan berjaya mewujudkan satu team-work yang mantap apabila diterjemahkan di dalam  medan dakwah yang sebenar.

[ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung]  Al Imran:104

KERJASAMA DAN ITHAR 
Persatuan dan Jemaah tidak mungkin akan wujud dengan adanya seorang individu sahaja. Malah, kedua-duanya mempunyai konsep yang sama. Ia memerlukan sekelompok manusia yang beriltizam untuk sama-sama membangun dan mencapai misi dan visi yang tersendiri. Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap individu mula belajar untuk memberi komitmen, kerjasama, memberi bantuan, memupuk semangat pengorbanan dan kekitaan bagi melancarkan setiap gerak kerja. 


Firman Allah swt di dalam kitabnya yang bermaksud :[ Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya] Al Maidah:2

Sifat-sifat ini amat penting, agar tidak wujud rasa pentingkan diri dan nafsi-nafsi. Dan, persatuanlah medan percubaannya!  Di dalam fatrah ini, mahasiswa/wi akan teruji samada ingin memberi sepenuh perhatian terhadap pelajarannya semata-mata ataupun turut memberi bantuan dan komitmen dalam urusan-urusan berpersatuan. Cuba kita rungkai kembali persoalan yang disebut di dalam Fiqh Aulawiyat ini… ‘Kemaslahatan khusus atau kemaslahatan umum???’  Yang mana lebih penting,dan mana yang satu perlu didahulukan? Tepuk dada tanyalah iman!

‘TOP-UP’  NILAI TAMBAH 

Untuk melahirkan para daie yang bergiat aktif di dalam medan dakwah kelak, seharusnya para mahasiswa/wi hari ini mempersiapkan diri dengan mempunyai pelbagai kemahiran dan nilai tambah yang sememangnya sangat diperlukan. Kalau kita perhatikan, ada satu perbezaan yang besar diantara mahasiswa/wi yang berpersatuan dan yang anti-persatuan. Percayalah, di dalam semua gerak kerja dan program persatuan, setiap tugas yang diamanah itu merupakan satu peluang berharga untuk kita mempelajari perkara-perkara baru.

Sekecil mana taklifan yang dipertanggungjawabkan, tentunya ada manfaat buat mereka yang menyedari dan ingin belajar! Kemahiran untuk mengurus sebuah organisasi, bergaul dengan orang ramai, kepetahan berkata-kata dan  berkomunikasi adalah sesuatu yang tidak mungkin kita dapati melalui pembelajaran di kuliah dan kitab semata-mata. Segala pengalaman yang ditimba melalui berpersatuan adalah sesuatu yang amat bernilai! Kata-kata yang ingin diungkapkan tidak mungkin dapat mengambarkannya, hanyasanya memerlukan setiap individu itu sendiri yang menjinakkan diri dengan persatuan dan mengalami pengalaman berharga ini.


Sesungguhnya tidak ramai diantara kita yang melihat ‘berpersatuan’ itu sebagai satu nikmat dari Allah swt. Bahkan, sesetengah daripada  kita beranggapan bahawa berpersatuan hanyalah menganggu kosentrasi dan prestasi akademik seseorang mahasiswa/wi dan hanya menyusahkan. Segala perkerjaan dan penat lelah yang kita korbankan untuk berpersatuan, niatkanlah semata-mata kerana Allah swt. Kerana dalam berpersatuan, kita sebenarnya menyusun gerak kerja dan program yang tidak lain hanya untuk mengajak kepada yang maaruf dan menjauhi segala  yang dilarang oleh syariat Allah swt. Jadi, sedar atau tidak sebenarnya berpersatuan adalah satu ibadah kalau kena pada cara dan pelaksanaanya. Maka, yakinlah berpersatuan bukanlah  satu faktor yang menyebabkan prestasi akademik terganggu malah mungkin dengan kerja-kerja yang dianggap kecil itulah yang menjadi punca dari mana pertolongan Allah swt itu tiba untuk hambaNya.  Allah swt berfirman yang maksudnya :

 [Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu] Muhammad : 7

Amat rugilah sekiranya nikmat yang Allah swt telah beri di depan mata kita, dipersiakan begitu sahaja. Apabila disebut bahawa berpersatuan ini merupakan salah satu wasilah kepada gerak kerja dakwah yang mantap dan bersistem, yakinlah kesatuan umat Islam yang kita impi-impikan untuk menegakkan kembali zaman kegemilangan Islam itu bermula dari kelompok yang kecil ini.

PERSATUAN KITA!


Saturday, January 7, 2012

Apabila Muslimah Berfesyen ...

Seorang wanita muslimah diciptakan oleh Allah swt dengan keistimewaanya yang tersendiri berbanding dengan wanita non-muslim hari ini mahupun yang hidup di zaman jahilliyah satu ketika dahulu. Wanita- wanita yang hidup sebelum kedatangan Islam dahulunya terkenal dengan sifat mereka yang suka berhias secara berlebihan(tabarruj) dan menggoda kaum lelaki.

Istilah tabarruj didefinisikan oleh Imam Az Zamakhsyari sebagai perlakuan wanita yang menzahirkan perhiasannya kepada kaum lelaki yang mana sepatutnya wajib bagi mereka untuk menutupinya. Ini termasuklah barang-barang perhiasan yang tersembunyi pada anggota badan seorang wanita seperti rantai, gelang kaki dan subang. Begitulah juga halnya dengan pakaian dan pergerakan anggota badan wanita seperti cara berjalan, berkata-kata dan sebagainya.

Hari ini kita dapat lihat, ramainya wanita dan sedikitnya golongan muslimah. Seorang muslimah yang besar cinta dan taqwanya kepada Allah swt akan sentiasa menuruti adab-adab berpakaian dan berhias sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang wanita. Seorang muslimah tidak akan resah dan terkejar-kejar untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa yang jelasnya semakin jauh daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Malah, dengan busana hasil 'rekaan syariatnya', seorang muslimah akan tampil sopan, selesa dan yakin dengan pakaiannya ditengah-tengah masyarakat moden hari ini.

Ironinya dewasa ini, kita melihat ramai dikalangan wanita itu ingin menutup aurat. Dan mereka mendakwa memang benar mereka telah menutup aurat! Tetapi lihatlah natijahnya apabila kita telah terpedaya dengan ungkapan ‘fesyen’ yang mana perlu diikuti dari masa ke masa. Adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan bahawa, bidang fesyen hari ini merupakan salah satu senjata orang kafir untuk memperdaya kaum muslimin dan muslimat agar semakin jauh daripada tuntutan agama Islam yang sebenar.

Tidak lain, fesyen sebegini adalah hasil daripada pengaruh Barat.. Bezanya, yang beragama Islam perlu memakai tudung... Tetapi persoalannya adakah ini yang diajar oleh agama..?

Berfesyen itu tidak salah! Malah agama Islam amat menyarankan agar umatnya sentiasa berpenampilan kemas, cantik dan sopan.

Berhiaslah cara seorang Muslimah!

1) Menjaga pandangan. Sesungguhnya, perhiasan termahal dan yang paling bernilai bagi seorang wanita ialah sifat malunya.Tanpa sifat malu, hilanglah keistimewaan dan kecantikannya sebagai seorang wanita. Allah swt telah berfirman yang mahfumnya : [Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya] An Nuur :31

2) Menjaga pergaulan dengan lelaki daripada percampuran yang keterlaluan yang tidak menjaga batas-batas yang ditetapkan. Perlakuan ikhtilat yang tidak dibenarkan pada hari ini bolehlah kita lihat sepertimana yang banyak berlaku di panggung-panggung wayang, shopping mall, universiti/kolej, majlis-majlis keraian dan sebagainya. Pergaulan bebas yang tidak dikawal hari ini akan bermula dengan adegan berpacaran, berpegangan tangan, bersekedudukan dan akhirnya semakin bertambahlah jenayah dan maksiat yang dimurkai Allah swt seperti zina, pengguguran janin dan pembuangan bayi. Remaja hari ini melihat perbuatan yang sedemikian adalah satu kebiasaan yang tiada silapnya. Sedangkan, Rasulullah saw telah berpesan dan memberi peringatan supaya mencegahnya sejak awal lagi. Hadith Nabi saw yang bermaksud [Besi yang menikam atau ditimpakan ke atas kepala kamu itu adalah lebih baik daripada kamu menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu] HR Tabrani wal Baihaqi

3) Pakaian yang bertepatan dengan adab-adab Islami, iaitu mencakupi ciri-ciri berikut:

*Pakaian yang menutupi seluruh tubuh seorang wanita melainkan apa yang telah dikecualikan oleh Allah swt di dalam sabdanya yang bermaksud : [..kecuali yang kebiasaannya nampak daripadanya..] An Nuur : 31 ...... Pendapat yang paling sahih bagi ayat ini ialah kecuali muka dan tapak tangan sahaja.

*Bertudung dengan syarat yang ditetapkan.

Dewasa ini, bertudung lebih kepada mengikut fesyen semasa dan bukannya kerana kewajipan yang berpandukan Al Quran dan Sunnah. Kain tudung yang tebal menjadi nipis, yang sepatutnya labuh menutupi menjadi singkat sekadar menutup kepala dan rambut si wanita. Allah swt telah menjelaskan secara terperinci perihal tudung ataupun jilbab yang akan menjaga seorang muslimah itu. [Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya] An Nuur:31

*Pakaian hendaklah tidak nipis dan ketat. Rasulullah saw pernah mengkhabarkan bahawa di antara ahli neraka kelak ialah [Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi seakan-akan bertelanjang,mereka berjalan dengan meliuk lentok ke kiri dan ke kanan.Sesungguhnya mereka tidak akan dimasukkan ke syurga, tidak pula dapat mencium baunya]

Please..Don't try this in public~

*Tidak memakai pakaian yang menyerupai lelaki.

Sesungguhnya Nabi saw melaknat perempuan-perempuan yang berpakaian menyerupai lelaki dan begitu juga sebaliknya. Pakaian tersebut yang dimaksudkan pada hari ini ialah seperti seluar, topi dan sebagainya. Larangan memakai seluar di sini bermaksud apabila ianya dipakai dengan kemeja ataupun t-shirt, adapun sekiranya dipakai bersama gaun yang labuh maka tiada larangan padanya.

*Tidak memakai pakaian yang biasanya khusus ataupun menyerupai orang Kafir.

Larangan di sini adalah umum bagi lelaki dan perempuan Islam daripada menyerupai pakaian mereka yang beragama Yahudi, Nasrani ataupun agama lain. Ini kerana agama Islam menginginkan agar umatnya berbeza, istimewa dan bebas daripada sebarang pengaruh agama lain selain Islam secara luaran, apatah lagi dalaman. Rasulullah saw memberi peringatan yang maksudnya : [Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka]

Berhati-hatilah dalam berfesyen..!

4)Menjaga gerak-geri dan percakapan.

Seorang muslimah akan berhadapan dan bergaul dengan penuh keyakinan dan ketegasan ketikamana duduk bersama-sama masyarakat awam. Sentiasa menjaga kelakuan dan tutur katanya daripada menyinggung hati orang lain, akan menyebabkan dia disenangi dan mudah didekati. Allah swt berfirman mafhumnya :[ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik] Al Ahzab : 32

5)Hendaklah tiada keinginan untuk menarik perhatian kaum lelaki dengan barang perhiasannya, wangian yang digunakan, mahupun melalui suaranya. Larangan Allah swt agar tidak menzahirkan perhiasan yang tersembunyi bagi wanita adalah untuk membezakan wanita muslimah dengan wanita di zaman jahiliyyah yang suka menghentak-hentakkan kakinya untuk mendengarkan bunyi nyaring loceng kaki yang biasanya mengkhayalkan kaum lelaki. Allah berfirman mafhumnya :[ Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung] An Nuur :31

Inilah fesyen hasil rekaan 'syariatNya'.. Cantik, manis dan sopan, kan?

Dari sini dapatlah kita perhati dan fahami bahawa Islam tidak pernah menzalimi dan mendiskriminasi kaum wanita sepertimana yang selalunya kita dengar. Islam tidak meletakkan kaum wanita di rumah semata-mata dengan hidup terkurung, sebaliknya syariat membenarkan wanita untuk keluar dan memenuhi keperluan hidup mereka seharian seperti berkerja, menuntut ilmu dan sebagainya. Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya : [Sesungguhnya Allah swt telah memberi keizinan kepada kamu (kaum perempuan) untuk keluar bagi memenuhi keperluan kamu] HR Bukhari

Betapa istimewanya kedudukan wanita di sisi agama Islam. Setiap suruhan, larangan dan tegahan sudah pasti ada kebaikan dan manfaatnya bagi menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Sekiranya kita tidak mengendahkan suruhan Allah swt ini, maka apalah bezanya kita dengan wanita-wanita jahiliyah satu masa dahulu? Mengingkari perintah Allah swt ini hanya mengundang kesan buruk yang menanti di kemudian hari. Oleh itu berbanggalah!

Kerana kita bukan sekadar wanita biasa, tetapi kita muslimah yang solehah!


Kitab rujukan : Al Halal wal Haram fil Islam, karangan Imam Yusuf Al Qardhawi.