Showing posts with label TafSir. Show all posts
Showing posts with label TafSir. Show all posts

Friday, October 19, 2012

Mengapa Mereka Tersenyum..?

Tengahari ini seperti kelazimannya saya sampai ke rumah agak awal. Biasanya, balik sahaja dari sekolah saya akan naik ke bilik, rehat.. Melepaskan lelah. Entah mengapa hari ini, jejak sahaja di rumah komputer riba dicapai. Laju saja jejari ini membuka laman YouTube dan mencari-cari tayangan video atau dokumentari mengenai revolusi di Syria.

Ada RINDU..

30 minit. Saya menangis teresak-esak bagai anak kecil yang ditinggal sendirian di rumah. Melihat kesengsaraan dan kezaliman yang masih berlanjutan di bumi itu benar-benar meruntun hati dan jiwa saya. Seberat-berat mata kita yang memandang, apatah lagi bahu dan jasad mereka yang menanggung. Saya selalu berdoa..

'Ya Allah..Kalau pun kami tidak dapat membantu mereka di sana, di hari perhitungan kelak biarlah titisan air mata ini menjadi saksi betapa sayang dan pedulinya kami dengan nasib saudara seaqidah di sana.'

Saya yakin, sahabat-sahabat yang mengikuti perkembangan revolusi yang sedang berlaku pernah melihat keadaan mangsa dan syuhada yang telah terkorban akibat kezaliman rakus manusia yang telah hilang sifat kemanusiaan dalam diri mereka itu! Sejujurnya, jika ada sahaja gambar mangsa yang terpampang di laman muka buku saya, cepat sahaja mata saya mengalihkan pandangan! Dengan keadaan mereka yang sangat menyayat hati, sungguh saya tidak sanggup untuk menatapnya dalam jangka waktu lebih dari 3 saat.

Sungguh pun demikian, kita juga berpeluang melihat wajah-wajah para syuhada yang sangat menyejukkan setiap hati yang memandang. Masakan tidak, senyuman mereka itu membuatkan kita menyangka seperti mereka itu masih lagi bernyawa dan  hidup bersama-sama kita.

Mengapa mereka tersenyum..?

Bukankah jasad mereka tercedera akibat das tembakan yang menyakitkan?
Bukankah darah merah mereka yang mengalir deras itu tentu sekali lebih memeritkan berbanding jari kita yang terhiris pisau?
Bukankah mereka patut bersedih dan dan gusar memikirkan ayah, ibu, isteri dan anak-anak mereka yang bakal ditinggalkan bersendirian?

Tetapi lihatlah..mereka masih tersenyum.


Tenangnya mereka..

As-Syahid Abdullah Al Aqrabawi adalah salah seorang syuhada Syria.
Isterinya bercerita ketika beliau sedang nazak dia berkata kepadanya, 'Bergembiralah! Allah mengurniakan kepada mu bidadari Syurga.' Lantas beliau tersenyum sehingga saat dia meninggal dunia.


 Senyumannya bagai 'menikmati' kesakitan dan keperitan yang ditanggung oleh jasadnya..


Di dalam Al Quran, Allah swt telah pun menyebutkan kelebihan-kelebihan yang akan diperolehi oleh hambaNya yang mati kerana jihad dan gugur di jalanNya. Di antara surah yang menyebutkan perihal mereka yang syahid ialah surah Muhammad dari ayat 4-6. Melalui ayat ini dan yang lainnya para ulama' tafsir telah menyenaraikan beberapa kelebihan yang dikurniakan kepada mereka.

Disebutkan bahawa, gugur sahaja titisan darah pertama para syuhada ke bumi, maka mereka akan melihat dan mendapat fadhilat berikut :

1) Diampunkan dosa-dosanya yang lalu sebaik sahaja ditikam.
2) Diperlihatkan kedudukan dan tempatnya di dalam Syurga.
3) Dapat menikmati air dari empat batang sungai yang terdapat di syurga iaitu sungai yang enak rasa airnya, sungai susu yang tidak akan berubah rasanya, sungai arak yang tidak memabukkan, dan sungai madu yang lazat.
4) Dipakaikan tengkolok dari permata yang lebih hebat dari seisi dunia.
5) Dikahwinkan dengan bidadari syurga yang tiada bandingan kecantikannya dengan wanita-wanita di dunia.
6) Diselamatkan dari azab kubur.
7) Diselamatkan daripada Goncangan Besar.
8) Disyafaatkan 70 orang dari kaum kerabatnya.


Andai ini merupakan salah satu sungai yang terindah di dunia, apatah lagi sungai di dalam Syurga sana..
Tak kan mampu kita membayangkannya!


Subhaanallah! 
Begitu rupanya ganjaran yang Allah swt sediakan kepada hamba-hambaNya yang sanggup mati demi menegakkan agamaNya! Ternyata keyakinan mereka terhadap janji Allah swt membuatkan mereka tabah dan terus mengimpikan syahid! Setiap hari, di dalam doa kalian titipkanlah juga doa buat mereka di sana. Walau sekejap cuma. Semoga Allah swt melindungi pejuang-pejuang Islam dan menghantar nusrohNya kepada mereka melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

Dan ternyatalah.. Itu jawapan bagi senyuman yang terukir di wajah mereka..


Allahummansuril Islam wal Mu'minin..Amin~

Monday, October 31, 2011

Rahsia Laut Dalam : Mukjizat Al Quran Terbukti!

Islam itu agama yang indah dan istimewa.
Pada hari ini, Islamlah satu-satunya agama samawi yang masih terjaga kebenaran dan kesuciannya. Dengan janji Allah swt yang menjamin bahawa kitab suciNya akan terpelihara daripada sebarang penukaran dan gangguan tangan-tangan musuhnya, sewajarnyalah ia menjadi satu mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi kesayangan kita, Muhammad saw.

Kitab suci AlQuran, seumpama satu ensiklopedia terbaik pada masa ini! Menyoroti setiap ayat dan penceritaan yang ada padanya akan membuatkan kita cukup teruja dan taajub dengan keistimewaan yang ada padanya. Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada segolongan manusia yang ingkar pada kebenaran ini. Bukan sekadar tidak menerima, malah membuat tuduhan bahawa AlQuran tidak lain hanya sebuah kitab biasa yang ditulis oleh seorang manusia yang bernama Muhammad saw.

Namun, dengan kecanggihan ilmu sains dan teknologi yang telah dicapai oleh umat manusia pada hari ini ternyata merupakan satu kurniaan besar dari Allah swt buat hambaNya. Berapa banyak kisah yang telah singgah ditelinga kita, mengkhabarkan kisah bagaimana seorang yang beragama Yahudi, Kristian dan yang lainnya tertunduk patuh pada agama Allah swt ini lantaran mengakui kebenaran kalam Allah swt menerusi firmanNya.

Ayat yang ingin dikongsikan pada kali ini, merupakan satu daripada ratusan bukti lain yang terdapat di dalam AlQuran.

Bismillahirrahmaanirrahim..

Firman Allah swt yang bermaksud : (Atau seperti gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang diatasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan, gelap gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, dan barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah maka tidaklah dia mempunyai cahaya sedikit pun) An Nur:40

Di dalam ayat ini, Allah swt sebenarnya menerangkan mengenai perihal orang-orang Kafir dengan amalan-amalan mereka yang ternyata menjadi sia-sia kelak, dengan mendatangkan sebuah analogi. Tetapi, dalam masa yang sama Allah swt juga telah mengungkapkan satu rahsia yang mana benar-benar akan menggetarkan hati mereka yang beriman dengan kekuasaanNya.

Dengan penemuan-penemuan baru di zaman ini, kalam Allah swt tadi terbukti bilamana kajian membenarkan keadaan atau situasi di awal-awal ayat tadi bahawa keadaan lautan bumi kita sama seperti bumi yang berlapis-lapis hingga sampai ke dasarnya. Kedalaman laut ciptaan Allah swt ini sangat mengagumkan kita, kerana sampai ke satu lapisan tertentu, ianya akan menjadi sangat gelap!

Tetapi Allah meneruskan kalamNya dengan mengkhabarkan kekuasaan Allah swt yang mana, kita tidak akan mampu melihat dalam keadaan tadi melainkan Allah swt telah memberikan cahaya kepada sesiapa atau apa-apa yang dikehendakinya,tepat menerusi ayat yang berikutnya. Maka, secara tidak lansung ayat ini membawa makna, adanya makhluk-makhluk tertentu yang diberikan keistimewaan itu!

Para penyelam antarabangsa hari ini, telah menemui banyak spesis hidupan akuatik di dasar lautan dalam. Subhanallah! Benarlah kata-kata Allah swt.. Apa yang lebih ajaibnya lagi, kebanyakan hidupan ini mampu mengeluarkan cahaya tersendiri yang sangat menakjubkan kita!!

'Bioluminescence' ialah nama saintifik bagi organisma ataupun hidupan yang menghasilkan cahaya di laut dalam

Black Anglerfish @ Sea devil bukan sekadar satu watak rekaan dalam filem animasi 'Finding Nemo', tetapi ia benar-benar wujud dan hanya dijumpai di laut dalam


Kalaulah benar apa yang mereka dakwa bahawa Al Quran itu sebuah kitab yang ditulis oleh manusia biasa yang hidup puluhan tahun yang lampau, adalah mustahil baginya untuk melakukan perkara ini! Ini kerana Al Quran telah diturunkan semenjak 1400 lebih tahun yang lalu, sedangkan penemuan-penemuan ini hanya dijumpai pada abad ke-20. Tidak lain dan tidak bukan, tentulah DIA yang mencipta keajaiban ini yang menaqalkan fakta tersebut di dalam AlQuran.

Dan sungguh, Islam itu bukan agama rekaan manusia!

** Subhanallah..Allahuakbar.. ALLAHU RABBI..~

Sunday, March 7, 2010

Golongan yang 3

SURAH AL BAQARAH,AYAT 1-15.
Allah menjelaskan ciri-ciri 3 golongan.
Tiga golongan yang ada di sekeliling kita.
Tiga golongan yang hidup bersama-sama kita.



GOLONGAN PERTAMA (AYAT 1-5)- GOLONGAN MUKMIN
1)Mereka itulah orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka beriman kepada perkara-perkara ghaib. Adanya syurga,neraka,dosa,pahala,titian Sirat,Al Mizan,Lauh Mahfuz dan sebagainya.
2)Mereka taat dalam mendirikan solat dengan khusyuk dan menjiwainya.
3)Rezeki yang mereka perolehi diinfaqqkan pada jalan Allah.
4)Mereka beriman kepada kitab-kitab Samawi yang diturunkan oleh Allah iaitu Al Quran,dan 3 kitab terdahulu,Taurat,Zabur dan Injil.
5)Mereka yang yakin dengan wujudnya kehidupan hari Akhirat.
Allah menjanjikan bahawa mereka akan mendapat petunjuk dan merekalah orang-orang yang beruntung di dunia dan akhirat.


GOLONGAN KEDUA (AYAT 6-7)-GOLONGAN KAFIR
1)Mereka ialah orang kafir yang telah datang kebenaran kepada mereka dengan nyata,namun mereka tetap ingkar dan tidak beriman kepada Allah swt.
2)Mereka yang telah dikunci mata hati,pendengaran dan pengelihatan mereka.
Jelas bagi mereka azab Allah yang berat.


GOLONGAN KETIGA(AYAT 8-15)-GOLONGAN MUNAFIQ
1)Mereka mengatakan bahawa mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat,tapi sebenarnya mereka hanya berpura-pura.
2)Mereka menyangka bahawa mereka berjaya menipu Allah dan orang-orang yang beriman,sedangkan mereka tidak lain hanyalah menipu diri mereka sendiri.
3)Mereka sewenang-wenangnya membuat dosa dan kerosakan di hadapan Allah,disebabkan di dalam hati mereka itu ada penyakit hati.
Bagi mereka azab yang pedih disebabkan mereka berdusta.

**Beruntungnya manusia yang diberi nikmat akal yang sihat untuk membezakan yang Haqq dan Batil.
Moga-moga jalan yang dipilih itu, jalan yang sentiasa diredhai dan diberkati Allah swt.