Sunday, December 9, 2012

BERCINTA : Apa kata Syeikh Yusuf Qardawi?

Pesanan Pengerusi Majlis Ulama' Sedunia

Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, mufti global berkata :

1- Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak memuji apatah lagi mengiktiraf apa-apa yang dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah kerana cara seperti ini dikhuatiri berbahaya dan syubhah.

2- Ramai orang yang memulai bercinta dengan cara yang tidak benar dan tidak adil, seperti berpacaran melalui telefon dengan perbualan yang tidak jelas dan dilakukan ketika waktu kosong atau bosan.

3- Sebahagian remaja wanita mahupun lelaki berpacaran melalui telefon atau Internet tanpa diketahui oleh ahli keluarga. Mereka juga tidak memikirkan akibat di sebalik tindakan mereka itu.

4- Disebabkan perasaan ingin tahu dan mencuba yang mendalam, remaja biasanya sekadar ingin mencuba, namun kemudian menjadi ketagih pula. Pada awalnya bergurau tetapi akhirnya menjadi serius.

5- Amat jarang ditemui mereka yang 'bercinta' sebelum bernikah tidak terlibat dengan tegahan agama sama ada perbuatan, percakapan atau nawaitu. Apatah lagi apabila dilakukan dengan cara bersunyian, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah pula dengan godaan syaitan.

6- Dalam keadaan seperti ini, remaja boleh terjerumus dalam lembah maksiat, sebab kedua-duanya bukanlah malaikat yang suci dan bukan juga para Nabi yang maksum.

7- Kadang-kadang bercinta antara dua orang yang tidak serasi dari segi status sosial ataupun pendidikan memberi kesan apabila kedua-duanya dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan yang menghalang mereka mengakhiri hubungan mereka dengan pernikahan. Keadaan ini boleh menyebabkan jiwa tertekan.

8- Cara terbaik untuk menikah ialah cara yang dilakukan oleh masyarakat Islam Arab sebelum Barat memerangi kita, iaitu memilih calon pasangan hidupnya dengan tenang setelah merisik peribadi calon masing-masing.



9- Perkara yang sesuai dirisik ialah :
*  Menilai keserasian antara kedua-duanya.
*  Menilai kemampuan pasangan dari segi psikologi, kematangan akal, ekonomi dan status sosial.
*  Tidak ada penghalang yang akan menghambat pernikahan sama ada pihak keluarga, adat tradisi masyarakat undang-undang negara atau pelbagai halangan lain.

10- Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentleman) pergi ke rumah calonnya untuk menemui keluarga si perempuan. Si pemuda berhak melihat calonnya walaupun dalam keadaan gadis itu tidak mengetahui bahawa pemuda itu menaruh minat kepadanya. Ini supaya si gadis tidak terluka jika pemuda tersebut tidak tertarik kepadanya.

11- Apabila 'kapak sudah menancap di kepala' (cinta berputik), keluarga hendaklah menilai calon pilihan si anak dengan bijaksana dan penuh hikmah. Janganlah pula menolak lamaran tanpa sebab yang munasabah. Keluarga hendaklah mengamatinya dengan saksama, sebagaimana yang dianjurkan oleh Hadith Nabi saw yang bermaksud , 'Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling mencintai kecuali pernikahan.'  (HR Ibnu Majah dan al-Hakim). Dengan kata lain, nikah adalah cara yang paling tepat untuk meraikan fitrah cinta yang indah ini.


12- Yang menjadi kayu ukur dalam menilai calon suami atau isteri ialah agama dan akhlaknya. Hanya inilah sumber dan faktor kebahagiaan yang boleh diraih dalam kehidupan berumah tangga.


Ya Allah, bantulah kami dalam menjaga hati-hati kami demi mendapatkan redha dan rahmat-MU.. 



Sumber :  Kitab Fatwa Mu'asirah, jilid 2,halaman 348-349

2 comments:

  1. Assalamualaikum kak
    Serius...nice post~
    Boleh share?

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam Awang..
    Alhamdulillah..boleh aja..
    Sama2 belajar dan amal, InsyaAllah =)

    ReplyDelete