ISLAM amat mementingkan kesatuan dan kerjasama yang padu
bagi mewujudkan segolongan umat yang mampu berdiri dengan gah dan
dinamik bagi membawa syariat agama Islam di seluruh pelusuk dunia. Betapa
cantiknya analogi yang Allah swt telah ajarkan kepada kita melalui kitabNya di
dalam surah As Saff ayat empat bahawa, segolongan umat yang bersatu itu, akan
menjadi seperti bangunan-bangunan yang tersusun kukuh lagi kuat!
‘Tiada
Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada pula kepimpinan
melainkan dengan taat’.
Kalam ini membawa
kita kembali melihat dan menyedari bahawa konsep berjemaah itu merupakan satu
faktor yang amat penting bagi mewujudkan kembali zaman kegemilangan Islam yang
runtuh pada tahun 1924 yang lalu. Sedar atau tidak, persatuan yang menaungi kita pada hari
ini, merupakan satu nikmat yang sangat bernilai. Jika kita fahami dan amati dengan teliti ianya
persis mencakupi konsep berjemaah seperti
yang telah disebutkan tadi.
Jemaah.
Kepimpinan.
Ketaatan.
Jadi, bilamana kita mengakui bahawa berjemaah itu sangat
penting untuk Islam, begitulah juga halnya dengan berpersatuan. Ini kerana
dengan berpersatuan, ianya akan melahirkan individu-individu muslim yang multi-purpose
yang sudah semesinya amat penting dalam melaksana gerak kerja Islam kelak.
INDIVIDU BERKEPIMPINAN
Berpersatuan samalah seperti sebuah jemaah Islam. Kelak akan
wujudlah golongan yang memimpin dan yang akan dipimpin. Mereka yang memimpin bukanlah
bermaksud segolongan manusia yang terbaik dan ‘suci’ dari melakukan kesilapan. Bukan juga merupakan
peluang terbuka bagi golongan ini mengarah orang bawahan sesuka hati sedang dia
bergoyang kaki. Golongan yang dipimpin pula seharusnya membersihkan fikiran
daripada mitos ‘aku kuli’ yang telah lama bersarang di dalam diri. Sebenarnya
kedua-dua golongan ini perlu wujud! Bilamana semua ingin bercita-cita untuk
menjadi ketua dan big boss dalam sesebuah persatuan, maka akan
terjadilah huru-hara dan kerosakan disebabkan masing-masing mempunyai pandangan
dan kemahuan yang tersendiri. Maka, disitulah perlunya ada sekelompok individu
yang mana kerja mereka lebih kepada mengatur,merancang dan mengorganisasi tanpa
terkecuali bilamana memasuki zon gerak kerja! Jelas,golongan ini sebenarnya
mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding yang
lain.
Tatkala menyedari bahawa golongan pertama tadi punya tugas
yang berat, maka akan timbul pula masalah bilamana semua ingin lepas tangan.
Kalau boleh,semua tidak ingin termasuk di dalam kelompok tersebut dan lebih
rela menjadi orang yang dipimpin sampai bila-bila. Nah! Cuba bayangkan apa yang
akan terjadi? Tentulah semuanya akan bersifat sambil lewa dan lalai kerana
alasan yang timbul dibenak masing-masing adalah sama.
‘Ahh..adalah nanti tu siapa-siapa yang akan uruskan…!’.
Bilamana ini terjadi,
akan tergendalalah semua aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan bagi
kemaslahatan umum. Lebih menyedihkan
lagi apabila mengenangkan berpunca daripada sikap sebeginilah, kelak
gerak kerja Islam dan dakwah akan terhenti begitu sahaja apabila golongan mahasiswa/wi
tadi mula terjun ke medan perjuangan sebenar.
Kita perlu sedar, samada menjadi pemimpin ataupun yang
dipimpin di dalam dunia berpersatuan, yakinlah ada sesuatu yang kita pelajari!
Tidak lain, kita sebenarnya akan belajar memimpin dan bijak berurusan dengan orang ramai. Kita juga boleh belajar untuk menjadi orang
bawahan yang baik dengan mendengar
arahan ketua dan melaksanakan gerak kerja dengan cemerlang sekali. Jadi, tidak timbul soal ‘siapa lebih baik’
kerana hakikatnya, kedua-dua golongan ini amat memerlukan di antara satu sama
lain,serta mempunyai tugas dan peranan yang tersendiri. Apabila aspek dan
kefahaman ini dapat digarapkan sebaiknya, tentulah akan ianya akan berjaya mewujudkan
satu team-work yang mantap apabila diterjemahkan di dalam medan dakwah yang sebenar.
[ Dan hendaklah ada
di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada
yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang
beruntung] Al Imran:104
KERJASAMA DAN ITHAR
Persatuan dan Jemaah tidak mungkin akan wujud dengan adanya
seorang individu sahaja. Malah, kedua-duanya mempunyai konsep yang sama. Ia
memerlukan sekelompok manusia yang beriltizam untuk sama-sama membangun dan
mencapai misi dan visi yang tersendiri. Oleh yang demikian, amat penting bagi
setiap individu mula belajar untuk memberi komitmen, kerjasama, memberi bantuan,
memupuk semangat pengorbanan dan kekitaan bagi melancarkan setiap gerak kerja.
Firman Allah swt di dalam kitabnya yang bermaksud :[
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan)
kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan
pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada
Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya] Al Maidah:2
Sifat-sifat ini amat
penting, agar tidak wujud rasa pentingkan diri dan nafsi-nafsi. Dan,
persatuanlah medan percubaannya! Di
dalam fatrah ini, mahasiswa/wi akan teruji samada ingin memberi sepenuh
perhatian terhadap pelajarannya semata-mata ataupun turut memberi bantuan dan komitmen
dalam urusan-urusan berpersatuan. Cuba kita rungkai kembali persoalan yang
disebut di dalam Fiqh Aulawiyat ini… ‘Kemaslahatan khusus atau
kemaslahatan umum???’ Yang mana lebih
penting,dan mana yang satu perlu didahulukan? Tepuk dada tanyalah iman!
‘TOP-UP’ NILAI TAMBAH
Untuk melahirkan para daie yang bergiat aktif di dalam medan
dakwah kelak, seharusnya para mahasiswa/wi hari ini mempersiapkan diri dengan
mempunyai pelbagai kemahiran dan nilai tambah yang sememangnya sangat
diperlukan. Kalau kita perhatikan, ada satu perbezaan yang besar diantara
mahasiswa/wi yang berpersatuan dan yang anti-persatuan. Percayalah, di
dalam semua gerak kerja dan program persatuan, setiap tugas yang diamanah itu
merupakan satu peluang berharga untuk kita mempelajari perkara-perkara baru.
Sekecil mana taklifan yang dipertanggungjawabkan, tentunya
ada manfaat buat mereka yang menyedari dan ingin belajar! Kemahiran untuk
mengurus sebuah organisasi, bergaul dengan orang ramai, kepetahan berkata-kata
dan berkomunikasi adalah sesuatu yang
tidak mungkin kita dapati melalui pembelajaran di kuliah dan kitab semata-mata.
Segala pengalaman yang ditimba melalui berpersatuan adalah sesuatu yang amat
bernilai! Kata-kata yang ingin diungkapkan tidak mungkin dapat mengambarkannya,
hanyasanya memerlukan setiap individu itu sendiri yang menjinakkan diri dengan
persatuan dan mengalami pengalaman berharga ini.
Sesungguhnya tidak ramai diantara kita yang melihat
‘berpersatuan’ itu sebagai satu nikmat dari Allah swt. Bahkan, sesetengah daripada
kita beranggapan bahawa berpersatuan
hanyalah menganggu kosentrasi dan prestasi akademik seseorang mahasiswa/wi dan
hanya menyusahkan. Segala perkerjaan dan penat lelah yang kita korbankan untuk
berpersatuan, niatkanlah semata-mata kerana Allah swt. Kerana dalam berpersatuan,
kita sebenarnya menyusun gerak kerja dan program yang tidak lain hanya untuk
mengajak kepada yang maaruf dan menjauhi segala yang dilarang oleh syariat Allah swt. Jadi,
sedar atau tidak sebenarnya berpersatuan adalah satu ibadah kalau kena pada
cara dan pelaksanaanya. Maka, yakinlah berpersatuan bukanlah satu faktor yang menyebabkan prestasi
akademik terganggu malah mungkin dengan kerja-kerja yang dianggap kecil itulah
yang menjadi punca dari mana pertolongan Allah swt itu tiba untuk hambaNya. Allah swt berfirman yang maksudnya :
[Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama)
Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu] Muhammad : 7
Amat rugilah sekiranya nikmat yang Allah swt telah
beri di depan mata kita, dipersiakan begitu sahaja. Apabila disebut bahawa
berpersatuan ini merupakan salah satu wasilah kepada gerak kerja dakwah yang
mantap dan bersistem, yakinlah kesatuan umat Islam yang kita impi-impikan untuk
menegakkan kembali zaman kegemilangan Islam itu bermula dari kelompok yang
kecil ini.
PERSATUAN KITA!
No comments:
Post a Comment