Friday, August 17, 2012

Menyemai Kasih di Kg. Kionsom Kecil, Inanam

Manusia merancang, DIA jua merancang..
Dan sebaik-baik perancang itu tentulah Allah swt.. Subhaanallah!

Kalau diikutkan, program kami ke Kg.Kulambai, Kota Belud hari Ahad yang lalu merupakan program terakhir sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Namun, sebaliknya pula yang terjadi. Belum pun selesai program di K.B pada hari itu, kami ditawarkan pula oleh seorang sahabat kalau-kalau kami berkeinginan untuk melawat saudara seaqidah yang tinggal di sebuah kampung yang majoritinya beragama Kristian.

Secara tidak rasmi, kami menerima pelawaannya!  Biarpun penat masih bersisa, duit dalam tangan yang ingin disumbangkan pula berada di tahap 'kritikal' dan  tambahan pula orang lain sudah sibuk dengan persiapan raya, sedangkan kami masih sibuk berprogram.. namun tekad kami bulatkan jua! Dan benarlah, andai niat kita itu baik, InsyaAllah pasti akan dibukakan jalan bagi mempermudahkannya.
Tamat sahaja program di K.B, secara officially nya kami telah menyatakan kesediaan untuk melawat ke kampung berkenaan.

Teruja! Kerana ini merupakan pengalaman pertama buat saya dan teman-teman lain! Semoga ada manfaat besar menanti buat kami..

15 Ogos 2012, Rabu - Perancangan program kami kali ini, agak berbeza. Kami merancang untuk bergerak dari rumah sebelum solat Asar, berbuka puasa bersama mereka di sana nanti, solat Isyak berjemaah dan selesai solat Tarawih nanti barulah kami akan bergerak pulang.

Selepas mengharungi kesesakan jalan raya di Bandaraya Kota Kinabalu, akhirnya kami sampai jua ke destinasi yang dituju. Kg. Kionsom Kecil, Inanam. Menurut maklumat yang kami terima, majoriti penduduk di sini adalah beragama Kristian dan hanya ada lebih kurang 12 keluarga merupakan penganut agama Islam. Menurut hemat kami, keluarga Islam di sini mempunyai taraf hidup yang sederhana dan ada juga yang tergolong di dalam golongan miskin.

Untuk sampai di kawasan perkampungan mereka ini sahaja, kami perlu melalui jalan tanah merah yang berbukit. Agak tinggi dan curam juga! Kecut perut kami dibuatnya! Kami tertanya-tanya dan membayangkan pasti amat sukar untuk mereka turun ke pekan bagi membeli barang keperluan, mahupun untuk anak-anak kecil di sini ke sekolah.

Salah sebuah rumah yang paling hampir dengan surau kecil Kampung Kionsom Kecil, Inanam


Tenang dan damai..


Kawasan perumahan orang Islam di sini terletak hampir-hampir di puncak bukit. Kadang-kadang  terasa macam di Ranau pun ada.. ^_^ Foto bersama anak-anak kecil dan Ketua Kampung di sana



Kami sampai di kampung ini hanya beberapa minit sebelum azan solat Maghrib berkumandang. Setelah beramah-mesra seketika bersama penduduk dan menurunkan barang-barang sumbangan dari dalam kereta ke surau, kami pun berbuka puasa bersama-sama. Suatu kelainan yang tidak kami lakukan sepanjang program-program yang terdahulu. Seronok rasanya menjamah juadah bersama mereka.

Kami mendapat tahu bahawa, setiap hujung minggu penduduk Islam di kampung ini akan bergilir-gilir untuk menyediakan juadah berbuka, dan mereka akan makan berjemaah di dalam surau yang kecil ini. Subhaanallah! Walaupun mereka tidak ramai pada jumlahnya, tetapi kami dapat merasai kekuatan ukhuwah dan semangat kekitaan di dalam komuniti masyarakat Islam di sini.

Maha Suci Allah!
Walaupun mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan, Allah telah pun mengikat hati-hati mereka! 


Berbuka puasa bersama mereka sememangnya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Dihidangkan pula dengan lauk-pauk dengan masakan asli kampung, memang sampai menjilat jari laaaa...~


Kebetulan pada hari yang sama, serombongan ustaz dari Masjid Bandaraya Likas juga turut mengunjungi mereka di sana dan mengimami solat kami. Khabarnya kampung ini merupakan kampung angkat bagi bagi mereka... Alhamdulillah ^_^


' Kalau tiada Ustaz-ustaz ni datang, mana kami sembahyang Tarawih. Nda kami tau tu',
 luah seorang nenek kepada saya.

' Selalu juga ka orang datang sini, Nek? Kaa bulan puasa ja ramai?', soal saya meminta jawapan.

'Ada jugala.. Kadang orang masjid, kadang budak-budak Universiti macam kamu..Tapi Dato'- Dato' tu mana pernah datang!', keluhnya berbunyi hampa.

' Ustazah-ustazah pun tiada datang sini ni.. Rajin-rajin la bah kamu datang tengok kami sini ya?'.

Saya mengukir senyum.  Tawar.

 'InsyaAllah, Nek. InsyaAllah..'

Sejujurnya, kami amat berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas pandang golongan minoriti Islam di kawasan terpencil sebegini. Kami dikhabarkan bahawa, kerap-kali juga paderi-paderi Kristian dan mubalighnya datang menyapa mereka di sini. Tujuannya jelas. Ingin membawa mereka menganut agama lain sekaligus berpaling daripada agama Islam. Kalau dilihat dari sudut kehidupan mereka yang serba kekurangan, adalah amat mudah untuk paderi tadi 'memancing' mereka dengan membawa barang-barang keperluan, duit mahupun setakat sering menziarahi mereka. Sekurang-kurangnya mereka tahu, masih ada yang prihatin dengan kehidupan mereka.

'Nda palah..Kami Islam sudah. Walaupun mungkin kami nda tau apa-apa, tapi kami Islam sudah'. 

Hati ini menangis mendengar jawapan mereka. Semoga Allah swt sentiasa memelihara nikmat iman dan Islam yang telah dianugerahkan kepada mereka.

Saya tertanya, 'Di mana kita?'
'Di mana kita selaku saudara seaqidah mereka tatkala mereka memerlukan kita?'
Kalaulah mereka menerima pelawaan paderi-paderi itu, adakah patut kita menyalahkan mereka..?
Wanauzubillahi min zaalik... 

Muhasabah.

Wajah-wajah mereka yang ceria dan sikap yang sangat peramah menunjukkan bahawa mereka sememangnya mengalu-alukan dan gembira dengan kedatangan tetamu dari luar.
Tidak terbayang rasanya bagaimana perasaan mereka..


Usai solat Tarawih berjemaah, sesi agihan sumbangan Ramadhan dan Hari Raya diberikan kepada penduduk Kg.Kionsom Kecil, Inanam


Sangat kagum dengan kanak-kanak kecil ini. Dari petang tadi, tidak pernah sekali pun kami melihat mereka membuka tudung mahupun merasa rimas untuk menutup aurat mereka. 
Wahai saudari ku di luar sana, tidak segankah kita kepada anak-anak kecil ini..?


Kali ini kami bergerak pulang ke Kota Kinabalu agak lewat. Sedih dan sayu juga hati kami sebelum meninggalkan mereka. Semoga dengan sedikit sumbangan yang mampu dihulurkan boleh meringankan sedikit sebanyak bebanan hidup mereka. Ucapan ribuan terima kasih kami ucapkan kepada mereka-mereka yang bermurah hati menghulurkan sedikit sumbangan dan bantuan untuk disampaikan kepada mereka. Semoga usaha kita yang kecil ini, ada ganjarannya yang tersedia di sisi Allah swt.

Kami menyimpan niat. Kalaulah ada kesempatan, tentulah kami akan mengunjungi mereka lagi. InsyaAllah.
Pelawaan mereka masih terngiang-ngiang di telinga kami sehingga hari ini.

'Hari raya nanti datanglah sini ya. Hari raya pertama! Kita raya sama-sama...~'

Gulp...~ ( # ____ # )



No comments:

Post a Comment