Tuesday, June 29, 2010

Generasi Tuhfatul Mar'ah

Setiap seorang dari kita mempunyai niat baik,perancangan atau idea yang bernas untuk kemaslahatan umat dan Islam itu sendiri.Namun,sedar atau tidak sebenarnya di situ jugalah syaitan sentiasa akan mengambil tempatnya untuk menghasut dan membisikkan seribu satu bisikan yang pastinya akan membuatkan perancangan-perancangan hebat tadi tertangguh ataupun terkubur begitu sahaja.Sedangkan sekiranya perancangan tadi dilaksanakan,sudah tentunya akan membawa banyak kebaikan untuk semua.

Di situlah perlunya kita bergerak,kita bekerja untuk Islam ini secara berjemaah.Secara berkumpulan. Tentu sekali bukan secara individu.
Rasa bersyukur sungguh bilamana idea yang ingin disumbangkan mendapat sokongan dan bantuan teman seperjuangan yang lain.Lantas sesuatu kerja yang besar dan mencabar pun akan terasa ringan dan dimudahkan.Satu kesilapan juga bilamana kita menyedari bahawa di situ ada kekurangan,kepincangan atau kecacatan,tetapi kita lebih memilih untuk berdiam diri,mengkritik pemimpin dan melarikan diri.Mengapa tidak,kita menyumbangkan idea bernas tadi kepada pihak atasan atau pimpinan agar ianya boleh dijalankan dan dilaksanakan bersama secara berkumpulan untuk kemaslahatan bersama.


Berkat buah fikiran,semangat dan kerjasama semua, satu program yang tidak dirancang telah dijalankan dengan izin Allah swt hasil kerjasama Mahasiswi Sabah (WiSa) dan Biro Dakwah dan Tarbiyyah (BDAT)BKPSM.Tuhfatul Mar’ah merupakan satu program berbentuk Ilmiah dan Tarbiyyah yang dikhususkan bagi semua mahasiswi Sabah di Mesir dengan memfokuskan pengisian bersumberkan Al Quran dan As Sunnah itu sendiri.Di samping itu,kesedaran untuk mengimarahkan surau,menghidupkan biah yang solehah dan melahirkan muslimah yang sejati dari luar dan dalam merupakan antara matlamat utama program ini diadakan.Tidak ketinggalan juga, menyedari hakikat bahawa mahasiswi juga mempunyai peranan dalam berdakwah di tanah air kelak,justeru itu program ini juga merupakan satu medan dan peluang bagi melatih para mahasiswi untuk berhadapan dengan orang ramai dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi kepada masyarakat umum.

Memegang amanah selaku Yang Di Pertua II BKPSM merangkap Ketua Mahasiswi,melaksanakan program-program ini bukan sekadar untuk melengkapkan taqwim tahunan yang telah dirancang ataupun untuk memastikan kondisi ‘selamat’ di hari Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kelak,sebaliknya semua ini hanya kerana kesedaran bersama mengenai betapa pentingannya tarbiyyah,thaqofah dan ikatan ukhuwah kepada semua siswi Sabah khususnya.Sebelum program ini berjalan,ujiannya memang terasa sangat berat dan payah.Hampir-hampir saja syaitan tadi berjaya mempengaruhi.
Namun,terfikir sejenak.. kalau bukan sekarang,bila lagi..?
Bila lagi masanya yang sesuai untuk kita mengubah persekitaran hari ini kepada biah yang lebih solehah?Berapa lama lagi kita akan mengutarakan kalimah..’Nantilah..’?
’Kita kena mulakan juga!’
Tekad sudah bersarang..selebihnya diserahkan sepenuhnya kepada Allah swt.Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini mendapat redha dan berkah dari Illahi.Semoga hati-hati ini juga tabah dan istiqamah untuk melaksanakannya secara konsisten.Ucapan jutaan terima kasih ini khusus bagi semua yang telah memberikan kerjasama,idea dan komitmen untuk kita sama-sama menjayakan program ini.Yakinlah bahawa kerja-kerja untuk Islam ini tidak akan terhasil hanya kerana usaha seseorang tetapi ianya akan berjaya berkat kerjasama dari semua. Moga-moga generasi Tuhfatul Mar'ah ini akan lahir dan menjadi kesinambungan perjuangan srikandi Islam satu masa kelak.Wallahu Subhanahu Wa Taala A'lam..
~Bekerja untuk Islam,ISLAM untuk semua..!~

Thursday, June 24, 2010

Hasutan Si Penghasut


Satu soalan yang paling sukar untuk saya jawab,adalah apabila diajukan soalan yang berbunyi..
’Apa kelebihan yang ada pada kamu..?’
Mulalah mata terkebil-kebil..dahi pula berkerut memikirkan jawapan.
’Ermm..entah.Tak pasti pula.Tapi kekurangan saya,saya tahu!Banyak..!

Sejujurnya,itulah jawapan yang selalu diberi dengan penuh yakin.’Eee…betul tu Kak Lina,kalau saya pun kena tanya macam tu,saya pun tak tahu apa jawapannya.Tapi kelemahan saya,saya tahulah!’,jawab seorang adik Tibb serumah yang membuatkan aku tersenyum.Rupanya dia juga merasa yang sedemikian.Dia menyambung lagi..
'Tapi kan Kak,oklah tu berbanding orang yang hanya nampak kelebihan dirinya tetapi tidak pernah tahu apa kekurangan dan kelemahan pada dirinya’.
Aku mengangguk tanda setuju.

Bila sifat ini wujud,maka akan wujudlah sifat takabbur,riak,sombong,bangga dan lupa diri,lantaran dia tidak menyedari kekurangan dan kelemahan dirinya sendiri.Dia bijak,dia peramah,dia pandai memimpin,dialah harapan dan pada dirinya segala sifat yang baik.Maka,mungkin dari situlah bermulanya sifat ego yang tinggi dalam diri seorang manusia.Memang benar,sifat ego itu perlu ada dalam diri setiap orang,kerana dengan sifat inilah maruah dan harga dirinya akan terjaga.Sifat ini juga akan membuatkan seseorang itu lebih tegas dan tegar dengan apa-apa keputusan yang dirasakan lebih baik untuk dirinya.Namun,apabila sifat ini mula mengatasai segala sifat baik yang ada dalam dirinya,maka natijahnya akan membawa kesan yang amat buruk dan seterusnya akan menimbulkan sifat-sifat mazmumah yang lain.Sesungguhnya Allah telah menyebut tentang sifat sombong ini berkali-kali di dalam kitab suciNya..

(Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri) 31:18

(Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung) 17:37

Seorang yang memiliki sifat ego yang tinggi akan mencapai satu tahap di mana dia akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan segala impian dan kemahuannya tercapai.Selama ini,sejujurnya saya tidak pernah berjumpa dengan insan sebagaimana yang dimaksudkan,sehinggalah pada satu ketika saya dapat lihat betapa sifat ego itu sangat merbahaya dan bisa sahaja merubah personaliti dan akhlak seseorang muslim.Sifat ego ini biasanya akan menyebabkan si pelaku tidak boleh menerima nasihat dan teguran orang lain,sukar untuk bertolak-ansur,sukar untuk memberikan kerjasama,amat benci apabila di beri arahan dan sebagainya.Biasanya kita selalu dengar bagi seseorang yang ego juga,amat sukar baginya untuk melafazkan ucapan penghargaan seperti terima kasih dan meminta maaf kerana baginya apabila dia melafazkan perkataan-perkataan ini dia akan merasakan harga dirinya telah jatuh.Bukan sahaja sukar untuk meminta maaf,hatta memberi maaf sekalipun menjadi satu perkara yang amat besar sekali.Cuba kita fikirkan,bagaimanakah sifat ini boleh wujud dalam diri seorang muslim..?Lebih-lebih lagi jika mereka-mereka ini ialah orang yang berilmu dan berpengetahuan agama.Jelaslah semua ini kerana bisikan dan hasutan makhluk ciptaan Allah bernama Iblis dan Syaitan.


Mungkin kita terlupa atau terlepas pandang,betapa dengan sifat ego inilah yang membuatkan Sang Iblis enggan tunduk dan patuh pada suruhan Allah untuk sujud kepada Adam yang dicipta daripada tanah,berbanding dirinya yang dicipta daripada api.Sedangkan dia lupa bahawa Allah itu lebih mengetahui dan berkuasa akan setiap sesuatu.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir) 2:34

Lantaran itu,bersumpahlah sang Iblis dihadapan Allah..

(Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus)7:16

(Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)) 7:17

Ayat ini menyebutkan bahawa betapa tekadnya Sang Iblis akan datang dan menghasut umat manusia itu dari arah depan,belakang,kanan dan kiri.Tetapi kenapa tidak pula disebut dari arah bawah?Jelasnya ini merupakan satu lagi bukti bahawa sifat sombong dan egonya Sang Iblis yang enggan tunduk pada sesiapa pun.Hasutan-hasutan inilah yang selalunya menghasut dan membisikkan bisikan-bisikan jahat kepada kita.Dia akan membisik dan menghasut supaya kita tidak mengucapkan terima kasih terhadap segala jasa baik orang lain terhadap kita,dia akan menghasut kita untuk tidak meminta maaf atau memberi kemaafan lantaran kesilapan yang telah kita dilakukan,dia akan menghasut supaya kita tidak melakukan segala kebaikan dengan cara menangguh-nangguh dan ragu-ragu dan dia akan meyakinkan bahawa apa jua cara adalah dibolehkan bagi kita mencapai segala kemahuan dan cita-cita kita walaupun kita jelas mengetahui bahawa ianya adalah larangan keras daripada Allah swt.

Allah telah menjanjikan azab bagi mereka-mereka yang tergolong di dalam golongan ini di dalam kitab sucinya.Dan pastinya kita tidak ingin bertemu sedetik pun dan ditempatkan bersama-sama Firaun dan pembesar-pembesanya,hamba Allah yang bernama Qarun,golongan Bani Israil,dan Iblis laknatullah di hari Akhirat kelak disebabkan sifat mazmumah ini.

Selalunya kita akan kalah pada bisikan-bisikan jahat itu.Lantas kita akan tunduk pada hasutan-hasutan tadi hanya kerana kebimbangan dan kerisauan yang kita cipta sendiri terhadap penerimaan orang sekeliling terhadap diri kita.Sedangkan ketahuilah bahawa,orang di sekeliling itu tidak akan pernah memandang rendah ataupun hina andai kita hanya menjadi diri kita yang sebenar.Sama-samalah kita berdoa dan memohon,semoga Allah melindungi kita daripada sifat keji ini.Walaupun kita sedar kita hanyalah insan lemah,namun janganlah kita menjadikan ia alasan untuk menerima sahaja sifat ini,bahkan sebagai seorang muslim/ah yang imannya hanya kepada Allah dan RasulNya,maka sifat mujahadah itu amat kita perlukan untuk menjaga dan mengislah diri menjadi seorang yang disenangi oleh orang lain dan dikasihi pula oleh Allah swt.

** So,jangan pernah kalah!
Kasih,sayang dan rindu ini untuk kamu!Semoga ia akan kembali berbunga suatu hari nanti~

Sunday, June 20, 2010

Mencari Diri

Bila kita kehilangan sesuatu,kita akan mula mencari.Bila kita mahukan sesuatu,kita akan cuba mendapatkannya pula.Semenjak dua ini,aku terasa kehilangan sesuatu.Something is missing..
Mungkin lantaran kerana terlalu sibuk di dalam fatrah Imtihan kali ini,hanya kitab kuliah yang menjadi tatapan harian.Saban hari,bila terasa lapar mulalah pandai mencari sesuatu untuk dijamah mengalas perut yang berkeroncong.Bila terasa bosan,pandai juga mencari hiburan.Tetapi detik itu..ada sesuatu yang hilang..Sesuatu yang perlu dicari tapi zatnya tidak kelihatan dengan pandangan kasar si manusia.Rupa-rupanya..Rohani itu terlupa untuk diberi ‘makan’.Lantaran itu,semangat itu seolah pudar,lemah.Rohani itu tersangat ‘lapar’,memujuk untuk diberi makan.Rindunya pada Usrah..kerana lazimnya di situlah ia akan mendapatkan ‘makanan’nya dan semangat itu juga diperoleh dari situ.

Kak Lina..aku rasa..kosong!’
Tiba-tiba manik jernih itu membasahi pipinya.Seingat ku,ini kali kedua dia menuturkan ayat yang sama. Wujud rasa hiba dan kasihan pada dirinya.Walaupun dia belum meluahkan masalahnya,aku tahu..ada sesuatu yang dia cari.Kerana seperti aku,dia juga kehilangan sesuatu.’Kenapa ni dik..ada masalah,kah?’ Soalku ingin mencungkil kegusarannya.Lama dia terdiam.Menyusun kata-kata di benak fikirannya sebelum dilafaz kepada ku.Malam itu aku bertekad,walaupun esok aku akan menghadapi satu lagi paper exam,namun hal ini juga sangat penting.Kerana aku tahu..ini bukan sekadar mengenai dia..dan bukan jua mengenai aku semata.Tetapi ini mengenai Islam!Mengenai sebuah perjuangan! Ingin aku menamatkan segala teka-teki dan berkongsi masalahnya.Malam itu,di hari istimewaku yang jatuh pada hari Jumaat..bilik ini dan seisinya akan menjadi saksi akan setiap bait perbualan kami.

Dia mula menutur kalam.Satu demi satu.Sepatah demi sepatah.
Dia rupanya..mencari identiti dirinya sendiri.
Dia seolah hilang dalam terang.Sesat dalam ramai.
Dia bertanya..apakah tujuan sebenar untuk dia hidup di muka bumi ini?
Dia juga turut menyatakan rasa ketakutan yang wujud dalam dirinya.
Aku mula memahami..kerna apa yang dirasainya itu juga pernah aku rasai satu ketika dulu.Malam itu berlalu sunyi..hampir 2 jam lebih kami berbicara tentang dia,tentang aku,tentang Islam.Alhamdulillah..rupa-rupanya baru aku tersedar.Malam itu bukan sahaja telah merungkai kegusaran di hatinya,namun dalam masa yang sama sesuatu yang hilang dalam diriku juga tadi telah terubat.Pertemuan kami pada malam itu..Subhanallah..Tak terucap dengan kata.Terasa sungguh RahmatNya memeluk diri yang hina.


Ternyata dia kelihatannya lebih tenang dan faham selepas lama kami berbual.
Kalam yang acapkali ku ulang kepadanya..

’Jangan risau,kita bukan seorang,dik.Kalau kita seorang sudah tentu kita akan merasakan bahawa perjuangan ini teramat berat.Tetapi ketahuilah..kita tidak sendiri.InsyaAllah Allah itu sentiasa bersama kita..'.
Senyumannya membuat hati ini turut mengukir senyum.Alhamdulillah..
‘Saya perlukan kakak’.. Jiwa ini bergetar tatkala mendengar permintaannya.Mengangguk..sesungguhnya aku juga memerlukan dia.Aku masih amat memerlukan teman-teman seperjuangan yang lain untuk meneruskan langkah yang penuh dengan ujian ini.Dengan izin Allah..aku ingin memimpin tangannya menuju matlamat dan perjuangan yang satu.
InsyaAllah.. Tiba-tiba teringat pula pada seorang lagi adik yang hampir sahaja aku berjaya mengenggam tangannya menuju ke sana..namun,terputus.Mungkin Allah ingin mengkhabarkan..’Bagi si fulanah ini, belum tiba masanya’..Aku menghembus nafas panjang.
Beristighfar andai itu berpunca dari kesilapanku..
Dan bersyukur seandainya itu adalah yang terbaik..kerna Dialah yang Maha Mengetahui.


Bagiku,dia terlalu bertuah.Kerana dalam usia yang masih muda Allah telah tunjukkan jalan dan membuka hatinya di jalan dakwah ini.Betapa dia bertuah dan beruntung kerana memikirkan soalan yang cukup simple..Tapi tidak ramai yang pernah memikirkannya secara serius..
‘Untuk apa aku dilahirkan?’
‘Tujuan sebenar aku hidup untuk apa?’
‘Adakah selama ini aku hanya hidup untuk kepentingan diriku sendiri atau pun untuk TuhanKu?
Kerana sesungguhnya hidup dan mati ini juga berada ditanganNya.Lantas patutkah aku hidup hanya untuk diri sendiri..?Ataupun aku sepatutnya hidup untuk Allah?’
‘Bangun,tidur,duduk,belajar semuanya untuk menegakkan AgamaNya?Bukankah itu yang sepatutnya?’
‘Dimana peranan ku sebagai khalifahNya?Dimana aku perlu bermula?’

Bertuah sungguh bagi mereka yang pernah bertemu dengan soalan-soalan sedemikian.Kerana tidakkah kita dapat lihat betapa Allah menyayangi mereka dengan tidak membiarkan mereka terus hanyut dan leka dalam menghadapi kehidupan ini..?Betapa sayangnya Allah pada mereka yang nantinya akan membuat mereka tercari-cari di mana jawapan itu akan ditemui..Kelak mereka akan mendekatkan diri kepada Allah dan InsyaAllah dengan niat yang ikhlas,Allah akan temukan jua jawapan yang dicari-cari selama ini.Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang sentiasa bermuhasabah dan dekat pada Nya.

‘Perjuangan ini sebenarnya tidak memerlukan aku..bahkan akulah yang memerlukannya.Lantaran itu,aku kena berkerja..kerana sememangnya aku wajib berkerja untuk Islam!

Mungkin kalam ini boleh menjadi salah satu jawapan bagi soalan-soalan yang bermain di benak fikiran seorang hamba bernama manusia~

Friday, June 18, 2010

Nikmat Usia


Semalam berlalu ,kelmarin ditinggalkan dan esok menanti...
Alhamdulillah diberi kesempatan untuk melangkah setapak lagi di atas pentas kehidupan dunia.Sedar tidak sedar,sudah dua puluh dua tahun Allah yang Maha Pemurah itu memberi kesempatan untuk hidup dan merasai begitu banyak nikmatNya di dunia ini.Tempoh yang agak panjang. Tempoh itu juga membuatkan monolog berlagu sendiri,adakah selama ini hidup itu untuk diri sendiri atau hidup itu untuk Allah dan Islam yang tercinta?


Umur,usia..Satu nikmat besar dan berharga dari Pencipta kepada hambaNya.Cumanya manusia itu yang terkadang lupa dan terleka dengan seribu satu macam permainan dan godaan dunia.Manusia itu yang terkadang lupa tujuan sebenar kewujudannya untuk berdiri di muka bumi Allah yang amat luas ini.
‘Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka menyembahKu’.
Moga-moga hamba yang lemah ini tidak lalai dari hadaf sebenar sebuah kehidupan,bertemankan nafas yang masih terus dihembus ke saat ini.



Alangkah besar nikmat usia yang diberi.Usia yang diberi tanda sebuah kesempatan dan peluang telah diberi oleh Allah samada untuk mengubah sesuatu yang buruk kepada yang baik,ataupun meneruskan segala yang baik untuk dikekalkan dan menghalakan ia ke jalan yang diredhaiNya pula.Usia..rahsia yang besar di sisi Allah.Entah bila diri akan diberi kesempatan untuk terus bernafas,dan menjalani hari-hari seterusnya di dunia yang fana.Mungkin malam ini,mungkin esok,mungkin lusa nikmat itu akan ditarik.Sedang diri ini sudah tentunya belum bersedia untuk menemuiNYA.Semoga dengan kesempatan usia yang diberikan ini,segala cita-cita dan impian untuk Islam itu akan dapat direalisasikan.Mungkin setapak demi setapak,selangkah demi selangkah..tidak mengapa.Semoga langkah ini sentiasa di bawah lindungan dan InayahNya.

Usia juga melambangkan kematangan.Mungkin..
’Dalam banyak-banyak ucapan kita,ucapan si Linalah yang paling matang dan skema!’,kata seorang teman tempoh hari.Entah kalamnya itu berupa usikan atau sindiran.Sedang sahabat-sahabat lain pula tertawa kecil mendengar celotehnya.Aku tersenyum.
Matang?Apa yang dimaksudkan dengan matang?
Matang bermaksud skema,kah?
Matang bermaksud serius 24 jam,kot?
Ataupun mungkin,matang itu membuatkan kita sangat jarang untuk melihatnya tersenyum lantaran kematangan usianya?
Menjungkit bahu.’Entah..,berkata sendiri.
Makna perkataan matang yang luas.Matang dari cara dia berfikir,cara dia melihat sesuatu,cara dia menuturkan kalam,cara dia menyelesaikan masalah,cara dia bergurau,cara dia berfikir dan yang paling penting cita-cita dan matlamat yang dia punya,membuatkan dia lebih serius dan matang dalam menghadapi hari-harinya yang berlalu.
Matang bagaimanapun dia,dia tetap seorang perempuan.Seorang gadis,seorang wanita.Menurutku,tidak pula kematangan itu menghalangnya dari menangis,tersenyum riang dan sifat manjanya juga mungkin tidak akan hilang.Kerana dia seorang gadis yang diciptakan Allah sebegitu sifatnya.Namun disebalik semua itu,dia matang di dalam urusan hariannya,urusan peribadinya dan urusan Agamannya.Kerana disebalik semua itu,ada ketegasan,semangat juang dan cinta yang tinggi pada Tuhannya.Matangkah aku?Sekali lagi bahu terjungkit.

Petang itu,seorang teman mengajakku untuk menemankan dia ke Hadiqah .Tengahari tadi tika terserempak dengannya kelihatannya seolah dia punya masalah.Lantas menurutku,mungkin dia ingin meluahkan sesuatu di Hadiqah nanti.’Owh,boleh ja..Insyallah..’jawabku.Langkah dihayun menuju Hadiqah Firdaus.
Petang yang damai.Menarik nafas panjang..Menanti-nanti untuk dia meluah masalahnya.Tiba-tiba.. Eee..Lina apa tu?’ dia sedikit menjerit.
Lantas berpaling melihat ke sebelah kanan kawasan lapang Hadiqah.
Terkejut.Terharu.Gembira..
Pandangan pertama yang ku lihat..10 orang sahabat sedang duduk bersama di atas tikar dengan kek. Sungguh,hati waktu itu menangis hiba.’Selamat hari jadi Lina..’Sebelum makan bersama,seorang sahabat membacakan doa..Air mata itu tertumpah lagi.Itulah hadiah teristimewa tahun ini.Berkumpul bersama,makan bersama dan ketawa bersama.Aku sangat menyayangi mereka.Sejujurnya..tika aku menangis,aku ketawa..mereka sentiasa disisi.Ya Allah..satukanlah hati-hati kami di bawah rahmat dan kasih sayangMu dan kekalkanlah persahabatan ini..


Hadiah berupa 2 ekor ikan yang comel menjadi teman mulai hari ini.Nemo dan Nimi pemberian istimewa dari 2 orang sahabat.Akan dijaga sebaiknya,InsyAllah..

'Ya Allah..berkatilah usia yang dikurniakan.Moga-moga bisa ku manfaatkan sepenuhnya demi AgamaMu.. '

Tuesday, June 15, 2010

Isu Semasa : Mahasiswa/wi Harus Peka!

Isu penggunaan kalimah Allah yang pernah hangat diperkatakan di Tanah Air beberapa bulan yang lalu,nampaknya telah reda.Rentetan daripada itu timbul pula isu pembuangan bayi yang semakin meningkat,isu pengelibatan UPCO di dalam Negara Malaysia,lesen judi yang dikeluarkan kepada syarikat BERJAYA,berita menyedihkan tentang kematian arwah adik Aminurrasyid,isu karikatur berupa penghinaan kepada Rasulullah saw,kejadian serangan Israel terhadap kapal yang membawa misi bantuan ke Palestin (Life Line 4 Gaza),isu penindasan dan kezaliman yang tiada henti ke atas penduduk Palestin dan Negara Islam lain dan bermacam-macam lagi merupakan sebuah realiti yang sedang berlaku di dalam dunia kita pada hari ini.

Malangnya,satu realiti juga bilamana tidak ramai daripada golongan Mahasiswa/wi yang mengambil tahu tentang isu-isu yang sedang berlaku saban hari.Hatta peristiwa yang penting dan sangat hampir sekalipun tidak pernah diambil kisah.Hal ini berlaku dikatakan lebih-lebih kepada Mahasiswa/wi yang belajar di luar Negara seperti Mesir,Jordan,Australia,United States dan sebagainya berikutan jarak jauh yang memisahkan antara dua buah Negara.

Mahasiswa dan mahasiswi hari ini bakal memegang tampuk kepimpinan Negara satu hari kelak.Maka,seharusnya golongan ini sangat peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku untuk melatih diri bagi memberi pandangan dan komen yang bernas,membebaskan pemikiran yang lazimnya tertumpu hanya kepada kitab-kitab kuliah yang dipelajari dan yang paling penting ialah untuk menyedari apa sebenarnya yang sedang berlaku di Malaysia khususnya dan dunia amnya!Tambahan pula, pendapat dan ‘suara’ siswa/wi dalam isu yang membabitkan hukum-hakam Syara’ sudah tentulah berada di atas bahu mereka-mereka yang bergelar Pelajar Pengajian Islam.Dan yang jelas, berdiam diri dan mengiyakan sahaja bukanlah satu pilihan bagi mereka yang telah mempelajari bab hukum-hakam Agama.

Berdasarkan artikel mengenai budaya Hedonisme yang semakin meruncing di Negara kita pada bulan lepas,rasanya sudah cukup jelas menunjukkan betapa doktrin Barat ini telah berjaya!Lihat sahaja bagaimana Mahasiswz/wi yang sama,belajar di luar Negara tetapi amat arif dan sentiasa updated mengenai gosip artis-artis di Malaysia ataupun juara Akademi Fantasia terbaru dan reality show yang lain berbanding isu semasa yang diperkatakan tadi.Hiburan yang keterlaluan tadi menyebabkan siswa/wi hari ini telah dibutakan dan secara tidak lansung mengendahkan saja isu semasa yang jelasnya lebih penting daripada hiburan tadi.

Lihat saja berapa ramai siswa/zah yang melayari laman web akhbar ataupun sumber berita lain ketikamana melayari Internet berbanding mereka yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk berada di pelbagai laman web sosial seperti Facebook,Friendster,Hi5 dan sebagainya.Ataupun bandingkan saja mereka yang lebih suka duduk dan bermain On Line Game dalam tempoh masa yang panjang berbanding daripada mereka yang membaca dan mengkaji.

Mahasiswa/wi jelas perlu memahami dan menyedari betapa pentingnya untuk kita mengetahui isu semasa yang sedang galak berlaku di sekeliling kita.Ambillah masa untuk membaca tantang isu yang berlaku bukan sahaja daripada sumber lazim seperti surat khabar Berita Harian,Utusan Malaysia,Malaysia Kini,Cosmo dan sebagainya,tetapi cubalah juga untuk 'merajinkan' diri membaca artikel-artikel daripada blog-blog ilmiah ataupun tokoh tertentu yang ada pada hari ini.Percayalah,melalui pembacaan yang lebih meluas sudah tentu akan membantu golongan siswa/wi ini untuk lebih berfikiran terbuka dan tidak terkongkong.

Lantas golongan ini perlu bangkit! Mahasiswa/wi seharusnya cukup faham dan sedar akan peranan kita di dalam berhadapan dengan hal ehwal dunia pada hari ni.Bagi golongan pelajar yang menuntut di Tanah Air sememangnya tidak ada alasan lagi untuk tidak mengambil tahu akan isu-isu semasa yang berlaku.Namun bagi golongan pelajar yang menuntut di luar Negara pula,usahlah kejauhan itu menjadi alasan untuk kita mengatakan bahawa kita terlepas pandang dan tidak tahu lansung akan wujudnya sesuatu isu tersebut.

Gunakan kemudahan yang ada sebijaknya! ^_^

Friday, June 11, 2010

Takdir Penentu

Syukur.. ALLAH masih sayang.
Tika terjatuh,DIA bangunkan.
Tika terlena,DIA sedarkan.
Tika terhanyut,DIA menyelamatkan.
Tika lemah,DIA menguatkan.

ALLAH..DIA sentiasa ada di situ..di sini..di mana-mana.Amat hampir pada hambanya..mengalahkan dekatnya urat nadi manusia itu sendiri.
Tiap detik..tiap waktu..tidak pernah jauh dari hamba-hambanya.
Bagi yang alpa dan lupa,Allah dilupa seketika.Berbuat apa sahaja,tiada berpada.
Bagi yang ingat..yang sedar..yang mengaku Allahlah segalanya,berawaslah juga!Usah terleka!

Sumpah sang syaitan yang bongkak di hadapan Allah,tidak sesekali ia akan berhenti dari menghasut dan mencipta tipu daya bagi makhluk bernama manusia.Makhluk bernama anak Adam.
Hati meyakini.Mulut mengakui.Anggota menjadi saksi sebuah perbuatan yang dipanggil ketaatan.
Lantas di situlah bercambahnya IMAN.
Sudah bercambah,lalu berbunga enam pula.
Percaya kepada ALLAH swt,Malaikat,Kitab-kitab Samawi,Para Rasul,Hari Kebangkitan dan terakhir sekali meyakini Qada’ dan QadarNYA.

:: SEBUAH KETENTUAN

Qada dan Qadar Allah swt..means sesuatu yang dirancang oleh Allah seterusnya akan dilaksanakan ke atas setiap hambaNya.Rezeki,jodoh,perjalanan kehidupan,kematian,perkara baik dan buruk..semuanya telah siap tertulis di sisiNya,tersimpan sunyi..
Private and Confidential!
'Berimankah kamu? '
'Yakin? '
Soalan itu tidak pernah wujud lagi.Tidak pernah ditanya pada empunya diri.
Qada’ dan Qadarnya berjalan seperti yang dirancangkanNya.Tersusun,mengikut tertibnya.
Ada masanya diri itu menerima disertai dengan redha,namun ada ketikanya ketentuanNya seolah tidak kena di hati.Sudah namanya manusia..Lantas manusia mana yang bisa hidup tanpa wujudnya seketul daging bernama hati?Tiada,pasti!
Hati itu pula,ada kerenahnya.
Keinginannya bermacam.
Kehendaknya pelbagai.
Impiannya saling berbeza.
Semakin dia dewasa,semakin bertambah keinginannya.


Yang diingin,hidup berharta..namun apa yang diberi,bukan papa,bukan kedana,bukan fakir.Namun diberi sekadar apa yang diperlu.Lantas mengeluh!
Yang diingin,punya kedudukan,punya nama..namun apa yang diberi ialah seorang insan yang biasa,tidak berapa dikenali.Low profile.Lantas,merungut!
Yang diingin,kejayaan yang membanggakan.Excellent!Mumtaz!..Namun,apa yang diberi tidak seperti yang dihajati.Sementara yang lain,diberi pula!Lantas menangis!
Yang diingin,teman pendamping yang baik,soleh solehah..Namun,yang diberi bertentangan pula sifatnya,mungkin juga hati kecil itu menjerit tidak berkenan.Lantas kecewa!

Kita mengeluh,kita merungut,kita menangis,kita merasa kecewa yang amat sangat!
Semua pernah merasainya.
Duduk termenung sendirian..Berbicara pada diri..Muhasabah.
Kenapa perlu mengeluh,merungut,menangis dan kecewa??
Katanya tadi..beriman??
Itukah yang digelar IMAN??

Benar!Mulut tidak pernah menutur kata berupa kecewa,berupa amarah!Sungguh,tidak pernah! Namun,bukankah segala keluh-kesah,rungutan,tangisan,dan kekecewaan itu menandakan seolah-olah kita sebenarnya tidak redha?
Kita tidak redha dengan ketentuanNya dan seolah-olah meragui keputusanNya.
Hanya kerana apa yang diinginkan tidak dapat diterjemahkan pula di dalam kehidupan.
Bertanya lagi..itukah IMAN yang sebenar-benar iman??

Menarik nafas panjang..
Beristighfar..
Kita terlupa ketikamana DIA berfirman..
Mafhumnya
(Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu,Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui) 216:2

‘Sedang kamu tidak mengetahui’.
Itulah hakikatnya!Kita tidak tahu apa-apa.
Baik buruk sesuatu perkara itu hanyalah Allah yang Maha Mengetahui.
Mungkin jika Allah berikan kita kekayaan harta,kedudukan,pangkat dan nama,kejayaan yang diimpikan,
Teman yang sempurna..kita akan lupa diri!Kita akan sombong dan bongkak!
Kita akan memandang rendah orang lain dan kita akan membangga-banggakan apa yang kita punya!
Mungkin juga kita akan semakin jauh dari Allah,lantaran keselesaan tadi.
Mungkin.Kemungkinan itu sememangnya ada!Usah nafikan!

Lantas,andai yang sebaliknya berlaku yakinlah!
Yakinlah semua itu ada hikmahnya.
Yakinlah Allah sebenarnya sedang mendidik diri dan mentarbiyyah jiwa!
Yakinlah,mungkin juga Allah bukan tidak memperkenankan doamu tetapi Allah sebenarnya menangguhkan ia kerana sesuatu yang lebih baik telah tersedia buat diri mu!
Yakinlah! Yakinlah duhai hati!
Tarbiyyah dari Allah itu berhikmah.Bukan semata.
Hati yang redha,adakala menitiskan jua air mata berharga.Lumrah seorang manusia.Fitrah.
Namun,air mata yang menitis bukanlah lantaran tidak puas hati,marah,dendam,menyalahkan takdir apatah lagi tidak redha.Bukan!
Tetapi kalaupun air mata itu tertumpah jua,biarlah kerana ianya lahir lantaran kesabaran dan mujahadah yang harus dihadapi oleh seorang muslim/ah yang beriman.Kerana sesungguhnya,itulah harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang hamba yang disayangi TuhanNya.Bermaharkan kekuatan iman dan kesabaran untuk melawan hawa nafsunya sendiri,dia perlu hadapi!

Berhati-hatilah menjaga HATI.
Kerana hati itu akan dibisikkan dengan bermacam bisikan.
‘Kalaulah boleh aku…’
‘Hisy,kenapalah jadi perkara ni..’
Begitu,begini dan seterusnya..Jangan biar syaitan itu berjaya menguasai hati.Berawaslah!

:: KEKUATAN DOA

Doa itu senjata bagi orang Muslim.
Bila disebut senjata,yang tergambar di benak fikiran kita adalah kuasa dan kekuatan!
Lantaran itu,gunakanlah senjata ini semahu mu.Berdoalah.Memohonlah.
Jangan sombong.Jangan bongkak.Jangan berputus asa.
Itulah senjata yang kita punya untuk mendapatkan apa yang dihajati,apa yang diingini,apa yang diimpi.
Bersihkan hati,betulkan nawaitu,mintalah kepadanya dengan penuh rasa rendah diri.
Jika perkara itu baik buat diri,maka dekatkanlah ia padaku.
Namun jika ia buruk buatku,buat hidupku,dan agama ku,maka palingkanlah ia dariku..
dan tenangkanlah pula hati ini..

(Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu) 65:3

*********************************************

** Kepulangan ke Tanah Air pada hujung bulan Julai ini terpaksa di tangguhkan berikutan sebab-sebab kerja,tanggungjawab dan amanah.Alhamdulillah..Kita merancang,Allah jua merancang.Dan sebaik-baik perancangan itu adalah perancangan Allah.Moga-moga terselit seribu satu hikmah sepanjang keberadaan di Bumi Mesir pada cuti musim panas kali ini.

Monday, June 7, 2010

Suburkan Medan Dakwah!

Seorang adik junior berkongsi ceritanya.
Ternyata dia sangat sedih mengenangkan seorang kenalannya yang berada di Sabah ketika ini.Mengikut ceritanya,kenalannya itu (seorang lelaki) pada mulanya seorang non-muslim tetapi telah menganut agama Islam ketika mereka telah menjalin perkenalan.
Menurutnya lagi,lelaki itu pernah menjejak Bumi Mesir dalam pengembaraanya sebagai seorang Muallaf yang mencari ilmu dengan mengikuti kelas-kelas Talaqi dan sebagainya tetapi bukan sebagai seorang penuntut Al Azhar.

Buat seketika mereka terputus hubungan.
Mungkin masing-masing sibuk agaknya.Itu agakkan ku.
Setelah mereka berhubung kembali baru-baru ini,alangkah terkejutnya adik tadi bila lelaki tersebut mengatakan bahawasanya dia telah murtad!
Dan kini dia merupakan seorang paderi di salah sebuah daerah di Sabah!

Non-Muslim…Islam…Murtad!
Apa reaksi kita?
Terkejut?Marah?Kecewa?Hampeh..??

:: DIA & MISINYA

‘Bagilah aku masa 20 tahun dari sekarang.
Aku akan buat Malaysia ni bukan lagi Negara Islam.Aku akan tarik satu-persatu orang Islam supaya murtad dari agama mereka.Aku sudah belajar Hadith,Tafsir,Quran..Aku tahu dimana kelemahan Islam..’

Begitulah kata-kata lelaki tadi yang pada mulanya seorang muallaf,saudara seaqidah kita.
Namun lihatlah,bagaimana dia boleh terpesong begitu jauh sekali daripada agama Allah yang Haqq ini.Siap dengan misi dan visi lagi!
Wanauuzubillahimin zaalik..

Timbul kegusaran di dalam hati.Risau.Susah hati..
Sedang musuh kita di Malaysia sana bertungkus-lumus untuk mengkafirkan kita..
Sedang mereka berusaha bersungguh-sungguh menyiapkan mubaligh-mubaligh mereka..
Sedang mereka sudah pun memulakan peperangan ini…
Dimana kita??
Dimana pemudi pemudi Islam yang diharapkan untuk membawa Islam kelak??
Adakah persiapan kita sudah mencukupi??
Bersediakah kita..??
Bersediakan kita untuk menginfakkan diri ini demi menegakkan agama Allah swt..??

Semangat diri untuk terjun ke medan dakwah di negeri tercinta kelak semakin ‘membuak’.
Namun tertanya berapa ramai yang sanggup?Berapa ramai?
Tidak berapa lama lagi mereka yang sedang berjuang di medan dakwah ini akan meninggalkan kita.Lantas,siapakah pengganti mereka?
Siapakah yang bakal meneruskan perjuangan yang nyata memerlukan pengorbanan besar ini?

:: ‘TAWARAN HEBAT!'

Terimalah tawaran hebat daripadaNYA..
Bilamana Allah bersabda yang maksudnya:

( Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?
(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,
Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.
Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman. ) (10-13 : 61)

‘Perniagaan’ hebat yang tiada tandingannya!Siapa yang mampu menafikan?
‘Perniagaan’ yang bisa menyelamatkan umat manusia daripada azab Allah yang pedih!
Sudah tentu tidak mungkin dijumpai di pasaraya-pasaraya terkemuka sekalipun.
Tetapi,kenapa tidak kita berlumba-lumba untuk mendapatkannya?

Modalnya cuma dua,berupa..
1)IMAN KEPADA ALLAH SWT
2)JIHAD DI JALAN ALLAH DENGAN HARTA DAN JIWA

Pulangan Untungnya pula telah dijanjikan Allah..
1)Dosa-dosa akan diampunkan
2)Dimasukkan ke syurga Allah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai
3)Tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn
4)Pertolongan daripada Allah swt
5)Kemenangan yang dekat waktunya.

Ayuh,kita beritakan pada semua akan ‘promosi hebat’ daripada Allah ini!
Biar semua merasai semangat yang membakar jiwa ini lantaran cinta kepada AgamaNYA!

:: AL-KAMAALU LILLAHI WAHDAH!

‘Aku ni bukan tidak mahu berdakwah,tapi diri aku sendiri ni pun masih teruk!Masih banyak yang aku tidak tahu.Nanti nantilah…’

Selalu benar mendengar bicara tadi.
Memang benar.Siapalah kita untuk berdakwah kepada orang lain,sedangkan dalam masa yang sama diri sendiri masih memerlukan bimbingan?
Sesungguhnya Al kamaalu lillahi wahdah!Kesempurnaan itu milik Allah cuma!
Diri ini masih banyak yang perlu dipelajari.Masih perlukan tarbiyyah!
Namun,di situlah pentingnya fungsi Jemaah!
Apabila bekerja untuk Islam,biarlah berkerja secara Jamaie(berkumpulan),bukan Fardie(Individu)!
Sesungguhnya kerja-kerja Dakwah ini memerlukan gerak kerja berkumpulan yang berorganisasi,tersusun dan teratur.Gerak kerja akan lancar InsyaAllah.

Dengan berdakwah secara Jamaie,lantas kau akan sedar,bahawa kau tidak keseorangan,malah ada ramai lagi yang seangkatan denganmu!
Apabila kau merasa lemah,mereka dan engkau akan saling menguatkan!
Bila kau tersilap,mereka akan membetulkan!
Bila kau ditentang,mereka akan sentiasa bersamamu meneruskan perjuangan ini!

Suburkanlah medan dakwah yang mulia ini!
Benar,ia tidak menjanjikan keindahan dan keseronokan..bahkan segala kesusahan dan pergorbanan akan di tagih.Namun peganglah janji Allah tadi.Sesungguhnya Allah itu sesekali tidak memungkiri janjiNYA.
Sama-sama memperbaiki diri,akhlak dan pelajari IlmuNya sebanyak mungkin.
Sama-sama kita persiapkan diri untuk turun ke medan Dakwah ini!
Kerna aku sering tertanya sendiri..
‘Kalau bukan kita..siapa lagi yang patut diharapkan..?
Maha Suci Allah..Allah telah menciptakan batu dengan sifatnya yang keras.Sedangkan air pula bersifat lembut bila ianya mengalir.Lantas,Allah melihatkan kepada kita..Betapa di antara batu yang keras dan air yang mengalir lembut itu mampu bekerjasama dalam mewujudkan sebuah keharmonian..keindahan..dan kecantikan!Lalu..kenapa tidak kita juga bekerjasama membangunkan Agama Allah yang tercinta ini?Perlukah masing-masing mementingkan diri lagi?Malu aku pada si batu dan air yang mengalir..~

Saturday, June 5, 2010

Cinta,Migraine & BKPSM!


:: Ukhuwah Membuahkan Cinta !

Kata orang apabila anda membuka sahaja buku,maka pengembaraan ilmu anda akan bermula!
Terkejut.Unexpected.Happy.
Menerima hadiah hari lahir yang pertama sekali.

Sangat suka buku!Tetapi tidak pernah pula menerimanya sebagai hadiah.Kecuali time kecil dulu,Ibulah yang menghadiahkan buku sebagai hadiah Birthday yang pertama sekali.


"Psikologi Cinta''
'Waahh..' Ekspresi pertama dan spontan!
'Untuk Ina?'..Terkebil-kebil,bercampur gembira.
Dibawa 'terbang' jauh dari Bumi Malaysia.
Syukran buat dia.
Insyallah kalau ada kesempatan,akan diulas buat perkongsian bersama...
Jazakillah~



:: MIGRAINE

Migraine ialah satu keadaan di mana sakit kepala terjadi
disebabkan oleh aliran darah dan perubahan kimia di otak.
Perubahan ini akan menyebabkan arteri yang membekalkan darah ke otak tersekat dan menimbulkan sakit kepala yang diikuti oleh rasa tidak selesa pada perut, loya dan pening. Ia juga kadangkala menimbulkan kesan kepada pandangan.

Migraine juga ialah sejenis penyakit keturunan. Wanita mempunyai kecenderungan mengidap migrain yg lebih tinggi berbanding lelaki.


*Time-time exam ni dia suka 'datang melawat'.Mengikut info yang dibaca,boleh jadi sebab tekanan,waktu tidur yang tidak teratur dan mungkin juga sebab cuaca!Kepanasan Bumi Mesir mula 'menggigit'.Jaga kesihatan buat semua teman-teman!




:: LOVE BKPSM!

Imarah Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir ketika ini sedang dalam proses pengislahan.Perabot-perabot lama di ganti baru.Bermula daripada katil,almari,meja makan,kabinet dapur,rak buku dan seterusnya.Ada banyak lagi!Coming Soon~

Satu lagi ujian dalam fatrah Imtihan kali ini.


Apapun,syukran buat Pegawai BKPSM kami,Ust Sabli bin Aliju yang berusaha keras dan banyak membantu anak-anak Sabah di perlembahan Nil ini..tidak lupa juga kepada Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK)!


Cinta,Migraine dan BKPSM..Semuanya sebahagian daripada 'Wardatul Asfar'...

Friday, June 4, 2010

Warna Hajarul Aswad

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
(Hajarul Aswad itu diturunkan dari Syurga.Warnanya lebih putih dari susu.Maka dosa anak Adam yang telah menjadikannya hitam) Riwayat Tarmidzi



Bahagian yang berwarna hitam ialah bahagian depan yang disentuh oleh manusia,tetapi bahagian dalamnya yang tertanam di Kaabah,warnanya tidak berubah.
Dapat dibuat pengajaran di sini bahawa,dosa-dosa manusia boleh menghitamkan batu yang putih bersih dari Syurga,apatah lagi pengaruh dan kesannya terhadap HATI manusia.
Kita wajib menghindarkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat yang menjadikan hati kita hitam oleh dosa-dosa yang dilakukan.

(Sumber rujukan:Buku Kelebihan dan Sejarah Makkah Al Mukarramah)

Wednesday, June 2, 2010

Bulan Ini


Alhamdulillah..
Allah masih lagi memberikan kesempatan untuk bernafas
dalam nikmat Iman dan Islam pada hari ini.

Nikmat terbesar dan terindah!
Segala pujian hanya bagiMU..

Melangkah ke dalam bulan 6,JUN.
Inilah bulan kelahiranku.
Insyallah dalam beberapa hari lagi,kalau dipanjangkan umur,akan genaplah umur ini mencecah 22 tahun.


:: ITU KAMU!

Bila terbaca akan hasil kajian Yang Berbahagia,Dato Dr.Mohd. Fadzilah Kamsah mengenai kaitan di antara bulan kelahiran dan sikap seseorang individu,hati ini tercuit lantas tersenyum.
‘Owh..itu aku rupanya..’^_^

Indahnya betapa Allah itu menciptakan kita berbeza.
Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya.Ada baik dan buruknya.
Namun dengan kelebihan itulah kita boleh berkongsi dan dengan kelemahan itu pula kita saling memerlukan untuk saling memenuhi dan melengkapi pula.
Yang penting,semoga segala sifat yang baik yang dianugerahkan pada kita,kita berusaha untuk mengekalkannya.Dan bagi sifat yang kurang baik pula,kita berusaha untuk menjauhinya dan mendidik diri supaya menjadi seorang insan yang lebih baik.

:: PERSONALITI MEREKA YANG LAHIR DALAM BULAN JUN

(Hanya hasil kajian..bukan ketetapan atau kemestian.Bagi Ina,ada yang memang betul-betul ‘INA’ dan ada juga yang kurang tepat) ^_^

* Berfikiran jauh & berwawasan.
* Mudah ditawan kerana sikap baik.
* Berperangai lemah lembut.
* Mudah berubah sikap, perangai, idea dan mood.
* Idea yang terlalu banyak di kepala.
* Bersikap sensitif.
* Mempunyai pemikiran yang aktif (sentiasa berfikir).
* Sukar melakukan sesuatu dengan segera.
* Bersikap suka menangguh-nangguh.
* Bersikap terlalu memilih & mahukan yang terbaik.
* Cepat marah & cepat sejuk.
* Suka bercakap & berdebat.
* Suka buat lawak & bergurau.
* Otaknya cerdas berangan-angan.
* Mudah berkawan & pandai berkawan.
* Orang yang sangat tertib.
* Pandai mempamerkan sikap.
* Mudah kecil hati.
* Mudah kena selsema.
* Suka berkemas.
* Cepat rasa bosan.
* Sikap terlalu memilih & cerewet
* Kurang mempamerkan perasaan
* Lambat untuk sembuh apabila terluka hati.
* Suka pada barang yang berjenama.
* Mudah menjadi eksekutif.
* Kedegilan yang tidak terkawal.
* Sesiapa yang memuji, dianggap musuh. Siapa yang menegur dianggap kawan.

Segan pula..(^-^)
Namun,serba-sedikit itulah dia insan yang bernama ‘Aku’.
Mungkin punya sedikit kelebihan,namun banyak kekurangan.Ucapan syukran seikhlasnya buat teman-teman yang menerima diri ini seadanya.Kalian adalah hadiah terbaik dari Allah buatku.

** Nampaknya…seperti tahun lalu,tahun ini ulang tahun kelahiran Ina juga akan berada di tengah-tengah ‘Perang Imtihan’.Maknanya,kalau ada kek pun,nampak macam kitab kuliah..Hehehe..^_^
Di kesempatan ini,Ina ingin mengucapkan SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN
juga buat teman-teman kelahiran JUN di perlembahan Nil ini iaitu Noreezan,Awang Afzainizam,Mohd Arif,Shahruzzaman, adik Ili,adik Iqbal dan semua yang tidak tersebut.Sanah helwa..!!

Kekejaman Zionist!~Solat Hajat dan Qunut Nazilah bagi Umat Islam

Sekali lagi!Tentera Yahudi itu,melakukan serangan!
Terus melakukan kekejaman!
Pagi 31Mei 2010 lalu,tentera Israel telah menyerang konvoi 7 buah kapal bantuan kemanusiaan yang membawa muatan 10,000 tan bantuan kemanusiaan serta 700 orang aktivis bantuan kemanusiaan dari seluruh dunia ke Gaza.

Serangan tersebut telah menyebabkan 16 orang syahid dan 12 orang rakyat Malaysia dipercayai berada di dalam konvoi tersebut. Alhamdulillah, semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pada waktu itu kini disahkan selamat.
Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail yang telah menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur.Beliau juga adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu .


Gambar: Kapal '8000' ketika ditawan lanun zionis setelah tragedi berdarah pada pagi
31/05/2010 di perairan antarabangsa, laut medittreanean.

Serangan tersebut membuktikan bahawa Zionis Israel wajib disisihkan oleh seluruh masyarakat dunia,khususnya Negara-negara Islam.Teruskanlah usaha memboikot barangan Israel dan semoga Allah memberikan InayahNya kepada seluruh umat Islam dan rakyat serta pejuang-pejuang di Palestin.

**************************************************

:: SOLAT HAJAT DAN QUNUT NAZILAH UNTUK SELURUH UMAT ISLAM!

Bacaan Qunut merujuk kepada doa yang dibaca di dalam solat pada tempat yang khusus sewaktu berdiri.

Qunut Nazilah pula merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut Mazhab Syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan.

Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak, diserang belalang dan sebagainya. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini.

Bacaan Qunut Nazilah di zaman Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam Qunut ini pernah dibacakan oleh Rasulullah ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai 60 orang penghafaz al-Quran selama sebulan berdasarkan hadis berikut:

Mafhumnya :( Sesungguhnya Nabi sallallahu`alaihiwasallam telah membaca doa qunut
pada waktu selain dari Subuh sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya,penghafaz-penghafaz al-Quran) -Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim-

:: Tatacara Bacaan Qunut Nazilah


1. Qunut ini boleh dibacakan pada tiap-tiap sembahyang fardhu jika kedatangan bala atau sebarang cubaan dari Allah SWT.

2. Qunut ini dibacakan pada waktu iktidal selepas ruku’ pada rakaat terakhir.

3. Lafaz doa qunut nazilah adalah seperti berikut:

Maksudnya “ Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolonganMu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dariMu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak
mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.


Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas,kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, Muliakanlah IslamYa Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah
segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

4. Sunat ditambah bacaan doa ini selepas bacaan qunut harian.

5. Disunatkan kepada Imam untuk membacanya secara kuat dan diAminkan oleh makmum dalam solat yang berjemaah.

6. Sebagai peringatan, qunut nazilah hanya dibacakan apabila manusia ditimpa sesuatu musibah. Maka, solat fardhu selain solat subuh tidak dibaca qunut melainkan jika berlaku sesuatu perkara buruk.

Wallahu Subhanahu Wa Taala A'lam~