Friday, July 26, 2013

Mad'u Istimewa (6) : 'Kun Fayakun!!'

بسم الله الرحمن الرحيم

Sejak berita tentang penyakitnya dikhabarkan, memang benar saya sering berasa risau dan tertanya-tanya akan perkembangan kesihatannya. Namun,apalah daya saya. Saya hanya mampu berdoa untuknya dan semoga Allah mendengar rintihan saya. 

18 Jun 2013, hari Selasa.

Hari itu,merupakan ulangtahun kelahiran saya yang ke-25 tahun. Kebetulan, hari itu juga merupakan jadual saya untuk bersama pelajar-pelajar di kolej. Belum pun sempat kelas bermula, saya menerima hadiah istimewa dari mereka. Ada sepotong kek dan lukisan yang dihulurkan kepada saya. Terharunya..Sungguh! 
Tetapi sebenarnya bagi saya,kehadiran mereka dalam hidup saya juga adalah satu nikmat dan hadiah yang sangat berharga untuk saya. Mereka mungkin tidak menyedarinya, tetapi saya akui hal itu.

Firdaus? Ya,dia juga hadir ke kelas pada hari itu. 
Saya tahu,mungkin ketika itu keputusan medical check-upnya pun sudah diketahui. Saya mula mengagak-agak sendiri. Melihat susuk tubuhnya yang duduk di depan saya,dan hanya berdiam diri membuatkan saya lebih gusar. 

'Ah,sekejaplah.....Habis kelas nanti,saya akan bertanyakannya'. Bisik hati kecil saya.

Usai kelas pada hari itu,Firdaus sempat berkata kepada saya..
"Ustazah, saya ada hadiah untuk ustazah".

Saya hanya mengukir senyum.
Hadiah apalah agaknya yang dia maksudkan tadi. Petang itu kami tidak sempat berbual lama. Oleh kerana itu,  pada sebelah malamnya Firdaus menceritakan semuanya kepada saya melalui pesanan di dalam facebook. Kali ini, saya tidak ingin menaqalkan kata-katanya. Biarlah penceritaan asal yang diucapkannya sendiri, menjadi tatapan anda. Saya yakin, jika anda mengikuti perkembangan cerita entri ini sejak dari mula, pasti anda akan mengalirkan air mata tatkala menyoroti kisah hidup mad'u istmewa saya ini.


Firman Allah swt yang bermaksud :
{Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu ia hanya berkata kepadanya: Jadilah!" Maka terjadilah ia..} Yaasin : 82




" Salam. Alhamdulillah ustazah.. Saya pun masih cuba untuk percaya..tapi itulah yg terjadi. Saya sepatutnya buat surgery tu kelmarin tengah hari. Dengan perasaan putus harapan, saya tahu apa-apa boleh terjadi dengan saya lepas surgery tu. Saya kecewalah juga sebab saya rasa doa saya ni tidak kena layan pun oleh Allah. Sebab siapalah saya..bukan orang alim, sembahyang pun entah sah ka tidak. Saya pasrah jak la dengan apa-apa yang terjadi nanti."


"Sebelum saya masuk bilik operation tu, saya sempat cakap.. Kalau betul Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kenapa saya tidak pernah rasa pun disayang oleh DIA..? Saya marah sangat time tu ustazah. Saya sudah makan ubat tapi bengkak tu tidak turun-turun juga. Darah beku tu pun tidak hilang-hilang juga.
Adalah juga saya menangis sikit, sebab time tu malu mahu tunjuk dengan nurse. Saya menangis.
Lepas tu saya dibius dan terus saya tidak sedarkan diri. 

Sedar-sedar ja, saya sudah terlantar di atas katil. Dan... Saya masih berambut..??
Saya pelik la, sebab doktor tu cakap dia akan botakkan kepala saya untuk buat tu surgery.."



"Saya pelik lagi, tiada pula sakit apa-apa. Saya rasa macam sihat ja. Lepas saya sedar tu, ada nurse masuk bilik saya sebab saya guna private room kan.. Saya tanya dia, kenapa saya masih belum kena operation? Dia cakap dia pun tidak tahu. Katanya, sekejap lagi tunggu doktor explain. Kalau ikutkan saya, saya mahu surgery tu dibuat cepat. Saya tidak mahu tangguh lagi, sebab sakit makan ubat tu, Tuhan sajalah yang tahu.."

 


"Beberapa minit lepas tu. doktor pun masuk. Dia bawa result saya sebelum surgery tu dibuat buat, last minit punya check up. Sebab doktor tu rasa berat hati dan tidak sedap hati mahu buat tu operation dia cakap. Lepas saya dibius tu, doktor ada buat scanning lagi.
Hasil daripada minit-minit terakhir check up tu, doktor cakap dia pun sangat terkejut dengan result tadi. Darah beku tu betul-betul hilang 100%. Bengkak tu pun sudah mula turun. Dan Alhamdulillah juga mata saya ni lepas dua hari makin cerah pula. Semakin balik kepada normal dan beransur pulih. Saya masih belum dapat terima lagi! Kepala saya ni masih belum boleh percaya lagi,ustazah! Tapi saya masih juga makan ubat la, cuma saya sudah tidak perlu makan ubat yang menyakitkan kepala tu lagi." 



"Sekarang baru saya faham satu benda. Allah akan tahan dulu permintaan kita selagi belum sampai masanya. Dan mungkin kalau dia sembuhkan saya awal-awal dulu lagi., saya tidak akan rasa bantuan Allah tu memang sangat bermakna dan mungkin saya tidak akan ingat pun benda tu. Tapi Allah buat saya sampai hilang harapan, menangis, mengamuk barulah Allah tunjukkan kasih sayangNya tu. Benda tu buat saya sedar bahawa, diwaktu-waktu  tiada siapa dapat tolong kita, Allah tu sebenarnya sentiasa ada! Saya yakin sudah sekarang bahawa Allah tu Maha Mendengar dan tempat pergantungan manusia yang paling baik adalah Allah..!"




"Dan selamat hari lahir untuk ustazah..Alhamdulillah, saya masih boleh tengok ustazah saya ni lagi..haha..
Dan saya hadiahkan kejayaan saya ni untuk hari lahir ustazah. Sebab saya tahu ustazah banyak mendoakan saya,kan..? Saya yang mengalami  peristiwa ni sendiri pun ustazah, saya tidak tahu mahu percaya macam mana. Berbulan-bulan  saya berusaha ustazah. Akhirnya, benda tu hilang macam begitu ja..sekelip mata."


"InsyaAllah walaupun saya ni tidaklah baik macam ulama dan ustaz-ustaz tapi InsyaAllah saya akan berusaha untuk jadi manusia yang lebih baik. Dan saya mesti jaga nikmat yang Allah bagi ni sebaik mungkin.  Sebab Allah sudah warning saya. DIA boleh ambil balik bila-bila masa ja kalau Dia mahu. Inilah di antara benda yang terbesar pernah terjadi dalam hidup saya, ustazah. Selama ni saya selalu minta Allah  tunjukkan  kekuasaan Dia. Sekarang doa saya sudah terjawab dan Dia tunjukkan dengan saya lagi sendiri. Tiada alasan untuk saya tidak percaya lagi kan, ustazah..?" 


Begitulah cerita mad'u istimewa saya, Ahmad Firdaus. 

Subhaanallah.. walhamdulillah...wa laailaaha illallah.. Allahu Akbar!

Membaca setiap satu kata-katanya, membuatkan air mata saya mengalir deras. Betapa besarnya kuasa Allah swt dan kasihNya kepada pelajar saya ini! Saya benar-benar bersyukur  dan berterima kasih atas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah kepadanya. Menyoroti kisahnya ini,tidak lain mengingatkan saya kepada kalamullah yang bermaksud..


“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-An’am: 17)

Air mata saya mulai kering.
Bibir saya pula sudah mula menguntum senyum.
Apa lagi yang mampu untuk saya katakan?

Itulah kuasa 'Kun Fayakun!' 


4 comments:

  1. Subhanallah...
    Syukran perkongsian ini.

    Mendoakan yang terbaik untuk adik Firdaus.
    Adik Firdaus, Allah menyayangimu, Allah memilihmu..Subhanallah.
    Teruskan mendalami dan mempelajari Islam.
    Airmata dalam setiap ujian dan dugaan, akan terasa indah kerana disitu ada kasih sayangNya. Sama-sama kita, sentiasa bersangka baik padaNya.

    Adik Firdaus, di 'sini' hanya tempat persinggahan. Di 'sana' tempat kekal abadi. Jom, kita sama-sama terus berjuang untuk meraih cintaNya. Semoga diri kita layak untuk syurgaNya.

    Ingin berkongsi sesuatu yang akan menguatkan adik Firdaus ya :
    1) Solat
    2) Al-Quran (juga tafsir Al-Quran)
    3) Masjid (sentiasa mengunjungi tempat ini ya)

    Wallahu'alam.

    Teruskan menuju Dia.

    ~ Saudaramu dalam Islam

    ReplyDelete
  2. Subhaanallah..
    Terima kasih atas taujihat yang ditujukan buat firdaus. Saya akan sampaikan kepadanya biiznillah. mohon terus doakannya ya.

    ReplyDelete
  3. Mengikuti kisah Firdaus sejak awal.
    Saya sangat gembira buat Firdaus.
    Entri2 yang di tulis daripada admin membuatkan saya semakin ingin mengenali Firdaus secara peribadi.

    insya-Allah dia sentiasa dalam perlindungan dan beruntung sekali admin berpeluang mengenalinya secara dekat.

    -Aisyah-

    ReplyDelete
  4. Terima kasih banyak,Aisyah.
    Sejak kecil sehingga kini,saya membesar di dalam persekitaran yang agak islami. Bertemu dengannya merupakan satu pengalaman dan rahmat yg besar buat saya. Saya yakin maish ramai remaja seperti Firdaus diluar sana. Sama-sama kita usahakan yang terbaik dalam menggalas misi dakwah ini ya. :)

    ReplyDelete