Thursday, June 24, 2010

Hasutan Si Penghasut


Satu soalan yang paling sukar untuk saya jawab,adalah apabila diajukan soalan yang berbunyi..
’Apa kelebihan yang ada pada kamu..?’
Mulalah mata terkebil-kebil..dahi pula berkerut memikirkan jawapan.
’Ermm..entah.Tak pasti pula.Tapi kekurangan saya,saya tahu!Banyak..!

Sejujurnya,itulah jawapan yang selalu diberi dengan penuh yakin.’Eee…betul tu Kak Lina,kalau saya pun kena tanya macam tu,saya pun tak tahu apa jawapannya.Tapi kelemahan saya,saya tahulah!’,jawab seorang adik Tibb serumah yang membuatkan aku tersenyum.Rupanya dia juga merasa yang sedemikian.Dia menyambung lagi..
'Tapi kan Kak,oklah tu berbanding orang yang hanya nampak kelebihan dirinya tetapi tidak pernah tahu apa kekurangan dan kelemahan pada dirinya’.
Aku mengangguk tanda setuju.

Bila sifat ini wujud,maka akan wujudlah sifat takabbur,riak,sombong,bangga dan lupa diri,lantaran dia tidak menyedari kekurangan dan kelemahan dirinya sendiri.Dia bijak,dia peramah,dia pandai memimpin,dialah harapan dan pada dirinya segala sifat yang baik.Maka,mungkin dari situlah bermulanya sifat ego yang tinggi dalam diri seorang manusia.Memang benar,sifat ego itu perlu ada dalam diri setiap orang,kerana dengan sifat inilah maruah dan harga dirinya akan terjaga.Sifat ini juga akan membuatkan seseorang itu lebih tegas dan tegar dengan apa-apa keputusan yang dirasakan lebih baik untuk dirinya.Namun,apabila sifat ini mula mengatasai segala sifat baik yang ada dalam dirinya,maka natijahnya akan membawa kesan yang amat buruk dan seterusnya akan menimbulkan sifat-sifat mazmumah yang lain.Sesungguhnya Allah telah menyebut tentang sifat sombong ini berkali-kali di dalam kitab suciNya..

(Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri) 31:18

(Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung) 17:37

Seorang yang memiliki sifat ego yang tinggi akan mencapai satu tahap di mana dia akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan segala impian dan kemahuannya tercapai.Selama ini,sejujurnya saya tidak pernah berjumpa dengan insan sebagaimana yang dimaksudkan,sehinggalah pada satu ketika saya dapat lihat betapa sifat ego itu sangat merbahaya dan bisa sahaja merubah personaliti dan akhlak seseorang muslim.Sifat ego ini biasanya akan menyebabkan si pelaku tidak boleh menerima nasihat dan teguran orang lain,sukar untuk bertolak-ansur,sukar untuk memberikan kerjasama,amat benci apabila di beri arahan dan sebagainya.Biasanya kita selalu dengar bagi seseorang yang ego juga,amat sukar baginya untuk melafazkan ucapan penghargaan seperti terima kasih dan meminta maaf kerana baginya apabila dia melafazkan perkataan-perkataan ini dia akan merasakan harga dirinya telah jatuh.Bukan sahaja sukar untuk meminta maaf,hatta memberi maaf sekalipun menjadi satu perkara yang amat besar sekali.Cuba kita fikirkan,bagaimanakah sifat ini boleh wujud dalam diri seorang muslim..?Lebih-lebih lagi jika mereka-mereka ini ialah orang yang berilmu dan berpengetahuan agama.Jelaslah semua ini kerana bisikan dan hasutan makhluk ciptaan Allah bernama Iblis dan Syaitan.


Mungkin kita terlupa atau terlepas pandang,betapa dengan sifat ego inilah yang membuatkan Sang Iblis enggan tunduk dan patuh pada suruhan Allah untuk sujud kepada Adam yang dicipta daripada tanah,berbanding dirinya yang dicipta daripada api.Sedangkan dia lupa bahawa Allah itu lebih mengetahui dan berkuasa akan setiap sesuatu.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir) 2:34

Lantaran itu,bersumpahlah sang Iblis dihadapan Allah..

(Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus)7:16

(Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)) 7:17

Ayat ini menyebutkan bahawa betapa tekadnya Sang Iblis akan datang dan menghasut umat manusia itu dari arah depan,belakang,kanan dan kiri.Tetapi kenapa tidak pula disebut dari arah bawah?Jelasnya ini merupakan satu lagi bukti bahawa sifat sombong dan egonya Sang Iblis yang enggan tunduk pada sesiapa pun.Hasutan-hasutan inilah yang selalunya menghasut dan membisikkan bisikan-bisikan jahat kepada kita.Dia akan membisik dan menghasut supaya kita tidak mengucapkan terima kasih terhadap segala jasa baik orang lain terhadap kita,dia akan menghasut kita untuk tidak meminta maaf atau memberi kemaafan lantaran kesilapan yang telah kita dilakukan,dia akan menghasut supaya kita tidak melakukan segala kebaikan dengan cara menangguh-nangguh dan ragu-ragu dan dia akan meyakinkan bahawa apa jua cara adalah dibolehkan bagi kita mencapai segala kemahuan dan cita-cita kita walaupun kita jelas mengetahui bahawa ianya adalah larangan keras daripada Allah swt.

Allah telah menjanjikan azab bagi mereka-mereka yang tergolong di dalam golongan ini di dalam kitab sucinya.Dan pastinya kita tidak ingin bertemu sedetik pun dan ditempatkan bersama-sama Firaun dan pembesar-pembesanya,hamba Allah yang bernama Qarun,golongan Bani Israil,dan Iblis laknatullah di hari Akhirat kelak disebabkan sifat mazmumah ini.

Selalunya kita akan kalah pada bisikan-bisikan jahat itu.Lantas kita akan tunduk pada hasutan-hasutan tadi hanya kerana kebimbangan dan kerisauan yang kita cipta sendiri terhadap penerimaan orang sekeliling terhadap diri kita.Sedangkan ketahuilah bahawa,orang di sekeliling itu tidak akan pernah memandang rendah ataupun hina andai kita hanya menjadi diri kita yang sebenar.Sama-samalah kita berdoa dan memohon,semoga Allah melindungi kita daripada sifat keji ini.Walaupun kita sedar kita hanyalah insan lemah,namun janganlah kita menjadikan ia alasan untuk menerima sahaja sifat ini,bahkan sebagai seorang muslim/ah yang imannya hanya kepada Allah dan RasulNya,maka sifat mujahadah itu amat kita perlukan untuk menjaga dan mengislah diri menjadi seorang yang disenangi oleh orang lain dan dikasihi pula oleh Allah swt.

** So,jangan pernah kalah!
Kasih,sayang dan rindu ini untuk kamu!Semoga ia akan kembali berbunga suatu hari nanti~

No comments:

Post a Comment