Tuesday, June 15, 2010

Isu Semasa : Mahasiswa/wi Harus Peka!

Isu penggunaan kalimah Allah yang pernah hangat diperkatakan di Tanah Air beberapa bulan yang lalu,nampaknya telah reda.Rentetan daripada itu timbul pula isu pembuangan bayi yang semakin meningkat,isu pengelibatan UPCO di dalam Negara Malaysia,lesen judi yang dikeluarkan kepada syarikat BERJAYA,berita menyedihkan tentang kematian arwah adik Aminurrasyid,isu karikatur berupa penghinaan kepada Rasulullah saw,kejadian serangan Israel terhadap kapal yang membawa misi bantuan ke Palestin (Life Line 4 Gaza),isu penindasan dan kezaliman yang tiada henti ke atas penduduk Palestin dan Negara Islam lain dan bermacam-macam lagi merupakan sebuah realiti yang sedang berlaku di dalam dunia kita pada hari ini.

Malangnya,satu realiti juga bilamana tidak ramai daripada golongan Mahasiswa/wi yang mengambil tahu tentang isu-isu yang sedang berlaku saban hari.Hatta peristiwa yang penting dan sangat hampir sekalipun tidak pernah diambil kisah.Hal ini berlaku dikatakan lebih-lebih kepada Mahasiswa/wi yang belajar di luar Negara seperti Mesir,Jordan,Australia,United States dan sebagainya berikutan jarak jauh yang memisahkan antara dua buah Negara.

Mahasiswa dan mahasiswi hari ini bakal memegang tampuk kepimpinan Negara satu hari kelak.Maka,seharusnya golongan ini sangat peka terhadap isu-isu semasa yang berlaku untuk melatih diri bagi memberi pandangan dan komen yang bernas,membebaskan pemikiran yang lazimnya tertumpu hanya kepada kitab-kitab kuliah yang dipelajari dan yang paling penting ialah untuk menyedari apa sebenarnya yang sedang berlaku di Malaysia khususnya dan dunia amnya!Tambahan pula, pendapat dan ‘suara’ siswa/wi dalam isu yang membabitkan hukum-hakam Syara’ sudah tentulah berada di atas bahu mereka-mereka yang bergelar Pelajar Pengajian Islam.Dan yang jelas, berdiam diri dan mengiyakan sahaja bukanlah satu pilihan bagi mereka yang telah mempelajari bab hukum-hakam Agama.

Berdasarkan artikel mengenai budaya Hedonisme yang semakin meruncing di Negara kita pada bulan lepas,rasanya sudah cukup jelas menunjukkan betapa doktrin Barat ini telah berjaya!Lihat sahaja bagaimana Mahasiswz/wi yang sama,belajar di luar Negara tetapi amat arif dan sentiasa updated mengenai gosip artis-artis di Malaysia ataupun juara Akademi Fantasia terbaru dan reality show yang lain berbanding isu semasa yang diperkatakan tadi.Hiburan yang keterlaluan tadi menyebabkan siswa/wi hari ini telah dibutakan dan secara tidak lansung mengendahkan saja isu semasa yang jelasnya lebih penting daripada hiburan tadi.

Lihat saja berapa ramai siswa/zah yang melayari laman web akhbar ataupun sumber berita lain ketikamana melayari Internet berbanding mereka yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk berada di pelbagai laman web sosial seperti Facebook,Friendster,Hi5 dan sebagainya.Ataupun bandingkan saja mereka yang lebih suka duduk dan bermain On Line Game dalam tempoh masa yang panjang berbanding daripada mereka yang membaca dan mengkaji.

Mahasiswa/wi jelas perlu memahami dan menyedari betapa pentingnya untuk kita mengetahui isu semasa yang sedang galak berlaku di sekeliling kita.Ambillah masa untuk membaca tantang isu yang berlaku bukan sahaja daripada sumber lazim seperti surat khabar Berita Harian,Utusan Malaysia,Malaysia Kini,Cosmo dan sebagainya,tetapi cubalah juga untuk 'merajinkan' diri membaca artikel-artikel daripada blog-blog ilmiah ataupun tokoh tertentu yang ada pada hari ini.Percayalah,melalui pembacaan yang lebih meluas sudah tentu akan membantu golongan siswa/wi ini untuk lebih berfikiran terbuka dan tidak terkongkong.

Lantas golongan ini perlu bangkit! Mahasiswa/wi seharusnya cukup faham dan sedar akan peranan kita di dalam berhadapan dengan hal ehwal dunia pada hari ni.Bagi golongan pelajar yang menuntut di Tanah Air sememangnya tidak ada alasan lagi untuk tidak mengambil tahu akan isu-isu semasa yang berlaku.Namun bagi golongan pelajar yang menuntut di luar Negara pula,usahlah kejauhan itu menjadi alasan untuk kita mengatakan bahawa kita terlepas pandang dan tidak tahu lansung akan wujudnya sesuatu isu tersebut.

Gunakan kemudahan yang ada sebijaknya! ^_^

1 comment: