Tuesday, June 29, 2010

Generasi Tuhfatul Mar'ah

Setiap seorang dari kita mempunyai niat baik,perancangan atau idea yang bernas untuk kemaslahatan umat dan Islam itu sendiri.Namun,sedar atau tidak sebenarnya di situ jugalah syaitan sentiasa akan mengambil tempatnya untuk menghasut dan membisikkan seribu satu bisikan yang pastinya akan membuatkan perancangan-perancangan hebat tadi tertangguh ataupun terkubur begitu sahaja.Sedangkan sekiranya perancangan tadi dilaksanakan,sudah tentunya akan membawa banyak kebaikan untuk semua.

Di situlah perlunya kita bergerak,kita bekerja untuk Islam ini secara berjemaah.Secara berkumpulan. Tentu sekali bukan secara individu.
Rasa bersyukur sungguh bilamana idea yang ingin disumbangkan mendapat sokongan dan bantuan teman seperjuangan yang lain.Lantas sesuatu kerja yang besar dan mencabar pun akan terasa ringan dan dimudahkan.Satu kesilapan juga bilamana kita menyedari bahawa di situ ada kekurangan,kepincangan atau kecacatan,tetapi kita lebih memilih untuk berdiam diri,mengkritik pemimpin dan melarikan diri.Mengapa tidak,kita menyumbangkan idea bernas tadi kepada pihak atasan atau pimpinan agar ianya boleh dijalankan dan dilaksanakan bersama secara berkumpulan untuk kemaslahatan bersama.


Berkat buah fikiran,semangat dan kerjasama semua, satu program yang tidak dirancang telah dijalankan dengan izin Allah swt hasil kerjasama Mahasiswi Sabah (WiSa) dan Biro Dakwah dan Tarbiyyah (BDAT)BKPSM.Tuhfatul Mar’ah merupakan satu program berbentuk Ilmiah dan Tarbiyyah yang dikhususkan bagi semua mahasiswi Sabah di Mesir dengan memfokuskan pengisian bersumberkan Al Quran dan As Sunnah itu sendiri.Di samping itu,kesedaran untuk mengimarahkan surau,menghidupkan biah yang solehah dan melahirkan muslimah yang sejati dari luar dan dalam merupakan antara matlamat utama program ini diadakan.Tidak ketinggalan juga, menyedari hakikat bahawa mahasiswi juga mempunyai peranan dalam berdakwah di tanah air kelak,justeru itu program ini juga merupakan satu medan dan peluang bagi melatih para mahasiswi untuk berhadapan dengan orang ramai dan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi kepada masyarakat umum.

Memegang amanah selaku Yang Di Pertua II BKPSM merangkap Ketua Mahasiswi,melaksanakan program-program ini bukan sekadar untuk melengkapkan taqwim tahunan yang telah dirancang ataupun untuk memastikan kondisi ‘selamat’ di hari Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kelak,sebaliknya semua ini hanya kerana kesedaran bersama mengenai betapa pentingannya tarbiyyah,thaqofah dan ikatan ukhuwah kepada semua siswi Sabah khususnya.Sebelum program ini berjalan,ujiannya memang terasa sangat berat dan payah.Hampir-hampir saja syaitan tadi berjaya mempengaruhi.
Namun,terfikir sejenak.. kalau bukan sekarang,bila lagi..?
Bila lagi masanya yang sesuai untuk kita mengubah persekitaran hari ini kepada biah yang lebih solehah?Berapa lama lagi kita akan mengutarakan kalimah..’Nantilah..’?
’Kita kena mulakan juga!’
Tekad sudah bersarang..selebihnya diserahkan sepenuhnya kepada Allah swt.Mudah-mudahan usaha yang sedikit ini mendapat redha dan berkah dari Illahi.Semoga hati-hati ini juga tabah dan istiqamah untuk melaksanakannya secara konsisten.Ucapan jutaan terima kasih ini khusus bagi semua yang telah memberikan kerjasama,idea dan komitmen untuk kita sama-sama menjayakan program ini.Yakinlah bahawa kerja-kerja untuk Islam ini tidak akan terhasil hanya kerana usaha seseorang tetapi ianya akan berjaya berkat kerjasama dari semua. Moga-moga generasi Tuhfatul Mar'ah ini akan lahir dan menjadi kesinambungan perjuangan srikandi Islam satu masa kelak.Wallahu Subhanahu Wa Taala A'lam..
~Bekerja untuk Islam,ISLAM untuk semua..!~

No comments:

Post a Comment