Sunday, September 26, 2010

Program Pertama Bersama PSS~ Nisa' Permata Hati


‘Haa..terima kasih juga buat kakak-kakak kamu yang dibelakang sana selaku pendakwah-pendakwah..’
Tersentak! Ucapan yang dilafazkan oleh Ustaz Amir pada malam itu tidak dapat ditangkap satu persatu dengan tepat namun lebih kurang begitu. Perkataan ‘pendakwah-pendakwah’ itu membuatkan hati kecil terusik.
Sejak program bermula,gelaran ‘kakak-kakak fasilitator’ lebih sinonim bagi ku.Namun bila disebut ‘pendakwah’ diri berasa sangat kecil. Tidak selayaknya gelaran itu disandarkan pada diri yang serba kekurangan dan mempunyai kelemahan. Insaf~




Bumi Bongawan itu buat pertama kalinya dijejak oleh kaki yang mencari seribu satu pengalaman yang mendewasakan diri.Alhamdulillah.. dengan kerjasama SMK Bongawan dan PSS (Persatuan Siswazah Sabah) satu program khas bagi pelajar-pelajar muslimat telah selesai dijalankan pada 24-25 September 2010 yang lalu. Program ‘Nisa’ Permata Hati’ menyentuh pelbagai isu dan masalah-masalah sosial yang semakin meningkat di dalam masyarakat hari ini. Berobjektifkan bagi mengawal kebejatan masalah sosial yang berlaku di kalangan pelajar perempuan, pelbagai topik telah disentuh sesuai dengan golongan sasaran program kali ini. Sepanjang LDK berjalan pelbagai topik dibincangkan bagi memberi kesedaran dan kefahaman sebenar tentang keperibadian seorang muslimah dan tanggungjawab yang dipikul bagi mengangkat dan mempertahankan kesucian agama Islam. Ceramah ‘Akhlak ku acuan Al Quran’ dan ‘Akhlak cerminan hati’ pula menekankan betapa seorang muslimah yang baik itu sangat perlu menjaga adab,akhlak dan tingkah laku bagi membawa imej Islam yang sebenar.

Slot ‘Mencari Hati Kuman’ pula merupakan salah satu slot muhasabah yang mampu memberi kesan yang mendalam bagi para peserta. Salah satu ayat yang ditekankan oleh saudara penceramah pada malam itu adalah..

'Seorang yang cemerlang itu tahu DARI MANA dia datang..seorang yang cemerlang itu tahu UNTUK APA dia dilahirkan..dan seorang yang cemerlang itu juga tahu KE MANA kelak ia akan dikembalikan’.

Tiga persoalan yang patut ada dan selalu kita mainkan difikiran kita! Tiga soalan yang panjang dan berbeza..namun ketiga-tiganya hanya berkongsi satu jawapan yang amat pendek.

‘ALLAH SWT!’

Itulah jawapan yang seharusnya kita tanam dalam-dalam di lubuk hati bagi memastikan kita ‘sedar diri’ dan tidak terleka dengan seribu satu dugaan dan godaan dunia hari ini. Air mata yang menitis pada malam itu membuatkan diri terasa seolah-olah kehadiran diri di sekolah itu sebagai salah seorang peserta dan bukannya fasilitator. Di situlah kelebihan yang diperolehi bila mana kita menyertai program-program sebegini. Sejujurnya bukan title ‘Fasilitator’ itu yang dikejar-kejar tetapi sebenarnya diri itu hadir sama ke sana tidak lain hanya ingin mentarbiyah diri dan membersihkan hati yang tidak lari daripada terkena palitan-palitan dosa dan maksiat.




Oleh itu, sepertimana hati dan diri ini merasa berjaya dididik dan diberi pengisian rohani bagi meneruskan hidup menjalani tiap detik berlalu yang penuh pencaroba ini..seikhlasnya hati ini juga berharap adik-adik muslimat SMK Bongawan juga mendapat seribu satu manfaat yang tidak lain bagi menjauhi dan melindungi mereka daripada anasir-anasir negatif hari ini. Semoga program seumpama ini akan lebih giat dijalankan di semua sekolah-sekolah di Sabah. Maka seharusnya para pelajar dan pihak sekolah memainkan peranan yang amat penting bagi menjamin program sebegini diteruskan demi untuk melahirkan muslimin muslimat yang akan memperjuangkan agama Islam kelak!

2 comments: