Monday, September 27, 2010

Pertemuan Bermakna

Pagi itu sebuah temu janji telah dirancang. Dengan izinNya ia terlaksana.
‘Kalau sudah bertentang empat mata ni nanti..apa yang mahu dibincangkan ni..?
Gusar. Gemuruh.
Sedangkan sebelum itu, hati gembira benar menerima pelawaan beliau untuk singgah ke pejabatnya yang terletak di Wisma Muis. Sebelum ini, hanya mengenali beliau lewat laman blognya. Lantas, berhubung dan saling mengetahui perkembangan masing- masing juga melalui alam maya tersebut.

Lebih sinonim dengan gelaran 'Abu Nuha' atau nama sebenar beliau Ustaz Akmal, laman blog beliau sudah tidak asing lagi bagi blogger dan penuntut Sabah di Mesir. Pagi itu, selama 2 jam setengah kami menghabiskan masa bersamanya berbincang dan mendengar seribu satu nasihat dan pengalaman beliau di dalam medan dakwah untuk dijadikan sebagai panduan dan pengajaran. Sejujurnya.. kagumku pada beliau meninggi kerana biarpun beliau merupakan salah seorang bekas pelajar Al Azhar yang hanya mengambil jurusan Qiraat di bumi Mesir itu, namun keupayaannya dalam mendalami bidang syariah dan dakwah membuatkan ku menjadikannya sebagai role-model di dalam medan dakwah.

Sepanjang pertemuan kami, beliau tidak henti-henti membicarakan soal dakwah dan bertanyakan keadaan semasa penuntut-penuntut Sabah di Mesir. Ternyata beliau menyatakan betapa berbezanya keadaan sewaktu beliau masih menuntut di sana dan keadaan hari ini. Kebanjiran penuntut Sabah yang semakin ramai di Bumi Mesir itu menyebabkan keadaan yang semakin sukar untuk mengawal tindak-tanduk penuntut Sabah di Mesir. Mungkin disebabkan itulah juga beberapa masalah disiplin mula timbul sejak kebelakangan ini. Akan tetapi, beliau berpandangan bahawa sesungguhnya di situlah sebenarnya cabaran bagi kami selaku senior atau exco tertinggi BKPSM untuk sama-sama mengawal dan menyelesaikan masalah tersebut. Namun, suatu keadaan yang tidak pernah berubah sejak dahulu hingga sekarang yang mana patut diubah menurut beliau ialah 'semangat kekitaan dan kesabahan' anak-anak Sabah yang terlalu menebal di dalam diri. Sifat ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi seharusnya bagi penuntut-penuntut Sabah ini mula bergaul dan berkumpul bersama teman-teman senegara yang lain. Usah sempitkan perhubungan sosial kerana ianya tidak akan dapat memberi apa-apa manfaat. Sedangkan dengan bergaul bersama teman-teman dari negeri atau negara lain tentulah akan membuatkan seorang mahasiswa/wi itu berfikiran lebih terbuka dan meluaskan lagi kenalan yang ada. Menurut beliau, ini sangat penting kerana hubungan baik yang dibina semasa di Mesir akan menyebabkan kelansungan hubungan yang akrab dan memupuk semangat bekerjasama yang mantap tatkala kembali bertugas di Tanah Air kelak.

Beliau juga menekankan bahawa zaman sewaktu menuntut di Universiti inilah merupakan satu peluang yang terbaik bagi mahasiswa/wi berjinak-jinak dan menceburkan diri dengan persatuan dan dakwah. Kerana menurut beliau aktivis-aktivis dakwah yang giat pada hari ini Insyallah akan melahirkan aktivis dakwah yang aktif dan tidak mengenal erti ‘duduk diam’ setelah tamat belajar nanti. Sepertimana yang kita sedia maklum, aktivis dakwah di negeri Sabah tidaklah seramai berbanding di negeri-negeri lain. Sedangkan masyarakat Sabah samada yang Islam ataupun bukan Islam amat memerlukan tunjuk-ajar dan bimbingan para kader-kader dakwah. Tambahan beliau lagi, menjadi guru JQAF bukanlah suatu alasan bagi lepasan mahasiswa/wi melepaskan tanggungjawab berdakwah yang kian bertambah hari demi hari. Sebaliknya, bagi mahasiswa/wi ini, mereka perlulah bijak dan sedia berkorban bagi turut sama ‘terjun’ di dalam medan dakwah.

Dua nasihat terakhir Ustaz yang ingin dikongsi bersama ialah..
Jadikan penulisan ilmiah suatu hobi atau kebiasaan bagi mahasiswa/wi Sabah.Ini kerana melalui medan penulisan, secara tidak lansung akan membuatkan penulis membuat lebih banyak kajian,penyelidikan,mengkaji nas-nas Al Quran,Hadith dan sebagainya sebagai dalil dan hujjah bagi sesuatu perkara. Lantaran itu, minda dan padangan mahasiswa/wi tentunya akan lebih terbuka dan mampu menjawab dan memberikan respon yang tepat dan mantap bagi masyarakat di luar sana.
Ustaz juga menyeru agar apabila telah tamat pengajian kelak, mahasiswa/wi seboleh-bolehnya mendapatkan jawatan atau berkerja dengan sekolah-sekolah di bawah seliaan JHEAINS agar ilmu agama dan bahasa Arab yang diperolehi sewaktu menuntut di Bumi Mesir itu tidaklah sia-sia dan hanya ‘hilang ditelan masa’ begitu sahaja.

Sebenarnya terlalu banyak yang telah dinasihatkan oleh beliau, namun tidak semua mampu dicatat di sini. Hanya telinga ini yang merakam bait-bait nasihat dan kata-kata semangat yang dilontarkan olehnya.

‘DAKWAH’.. Itulah merupakan isu penting yang membawa kaki ini melangkah menemui beliau hari ini. Semangat menyampaikan dakwah dan berbakti/bekerja untuk ISLAM itu patut dicontohi oleh kita semua. Kalam beliau yang diambil dari Hadith Rasulullah saw ini amat berbekas di hati..

‘Islam ni akan menang juga suatu hari nanti sepertimana yang telah dijanjikan..persolannya sekarang..terserah bagi kita sahaja samada ingin menjadi sebahagian daripada mereka yang memperjuangkan ISLAM atau hanya sekadar menunggu dan melihat..’

ALLAHHU AKBAR!
Ingin ku berkongsi dan ‘meminta’ sekelumit semangat perjuangan dari beliau. Moga-moga sedikit sebanyak pertemuan hari ini akan memberi manfaat dan membuatkan kita sama-sama bermuhasabah dan menilai diri. Wallahu a’lam..

** Rasa sangat segan terhadap beliau hingga tidak berani untuk meminta izin menangkap foto beliau untuk disertakan di dalam entri ini. Namun, bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut dan membaca hasil tulisan beliau, blog 'Abu Nuha Corner' terdapat di sebelah kiri blog ini. Enjoy ur reading! 'Ustaz..syukran jazilan!' (^_^)

2 comments:

  1. terima kasih berkunjung. semua kita ada tanggungjawab untuk menyebar risalah islam. kenapa x bagitau mau bergambar.:)nanti kita ulang baliklah.

    ReplyDelete
  2. Hehehe..Minta maaf..Ndak brani sebenarnya.
    Xpala..mungkin len kali..kita ulang balik kan ust? (^_^)

    ReplyDelete