Friday, October 19, 2012

Mengapa Mereka Tersenyum..?

Tengahari ini seperti kelazimannya saya sampai ke rumah agak awal. Biasanya, balik sahaja dari sekolah saya akan naik ke bilik, rehat.. Melepaskan lelah. Entah mengapa hari ini, jejak sahaja di rumah komputer riba dicapai. Laju saja jejari ini membuka laman YouTube dan mencari-cari tayangan video atau dokumentari mengenai revolusi di Syria.

Ada RINDU..

30 minit. Saya menangis teresak-esak bagai anak kecil yang ditinggal sendirian di rumah. Melihat kesengsaraan dan kezaliman yang masih berlanjutan di bumi itu benar-benar meruntun hati dan jiwa saya. Seberat-berat mata kita yang memandang, apatah lagi bahu dan jasad mereka yang menanggung. Saya selalu berdoa..

'Ya Allah..Kalau pun kami tidak dapat membantu mereka di sana, di hari perhitungan kelak biarlah titisan air mata ini menjadi saksi betapa sayang dan pedulinya kami dengan nasib saudara seaqidah di sana.'

Saya yakin, sahabat-sahabat yang mengikuti perkembangan revolusi yang sedang berlaku pernah melihat keadaan mangsa dan syuhada yang telah terkorban akibat kezaliman rakus manusia yang telah hilang sifat kemanusiaan dalam diri mereka itu! Sejujurnya, jika ada sahaja gambar mangsa yang terpampang di laman muka buku saya, cepat sahaja mata saya mengalihkan pandangan! Dengan keadaan mereka yang sangat menyayat hati, sungguh saya tidak sanggup untuk menatapnya dalam jangka waktu lebih dari 3 saat.

Sungguh pun demikian, kita juga berpeluang melihat wajah-wajah para syuhada yang sangat menyejukkan setiap hati yang memandang. Masakan tidak, senyuman mereka itu membuatkan kita menyangka seperti mereka itu masih lagi bernyawa dan  hidup bersama-sama kita.

Mengapa mereka tersenyum..?

Bukankah jasad mereka tercedera akibat das tembakan yang menyakitkan?
Bukankah darah merah mereka yang mengalir deras itu tentu sekali lebih memeritkan berbanding jari kita yang terhiris pisau?
Bukankah mereka patut bersedih dan dan gusar memikirkan ayah, ibu, isteri dan anak-anak mereka yang bakal ditinggalkan bersendirian?

Tetapi lihatlah..mereka masih tersenyum.


Tenangnya mereka..

As-Syahid Abdullah Al Aqrabawi adalah salah seorang syuhada Syria.
Isterinya bercerita ketika beliau sedang nazak dia berkata kepadanya, 'Bergembiralah! Allah mengurniakan kepada mu bidadari Syurga.' Lantas beliau tersenyum sehingga saat dia meninggal dunia.


 Senyumannya bagai 'menikmati' kesakitan dan keperitan yang ditanggung oleh jasadnya..


Di dalam Al Quran, Allah swt telah pun menyebutkan kelebihan-kelebihan yang akan diperolehi oleh hambaNya yang mati kerana jihad dan gugur di jalanNya. Di antara surah yang menyebutkan perihal mereka yang syahid ialah surah Muhammad dari ayat 4-6. Melalui ayat ini dan yang lainnya para ulama' tafsir telah menyenaraikan beberapa kelebihan yang dikurniakan kepada mereka.

Disebutkan bahawa, gugur sahaja titisan darah pertama para syuhada ke bumi, maka mereka akan melihat dan mendapat fadhilat berikut :

1) Diampunkan dosa-dosanya yang lalu sebaik sahaja ditikam.
2) Diperlihatkan kedudukan dan tempatnya di dalam Syurga.
3) Dapat menikmati air dari empat batang sungai yang terdapat di syurga iaitu sungai yang enak rasa airnya, sungai susu yang tidak akan berubah rasanya, sungai arak yang tidak memabukkan, dan sungai madu yang lazat.
4) Dipakaikan tengkolok dari permata yang lebih hebat dari seisi dunia.
5) Dikahwinkan dengan bidadari syurga yang tiada bandingan kecantikannya dengan wanita-wanita di dunia.
6) Diselamatkan dari azab kubur.
7) Diselamatkan daripada Goncangan Besar.
8) Disyafaatkan 70 orang dari kaum kerabatnya.


Andai ini merupakan salah satu sungai yang terindah di dunia, apatah lagi sungai di dalam Syurga sana..
Tak kan mampu kita membayangkannya!


Subhaanallah! 
Begitu rupanya ganjaran yang Allah swt sediakan kepada hamba-hambaNya yang sanggup mati demi menegakkan agamaNya! Ternyata keyakinan mereka terhadap janji Allah swt membuatkan mereka tabah dan terus mengimpikan syahid! Setiap hari, di dalam doa kalian titipkanlah juga doa buat mereka di sana. Walau sekejap cuma. Semoga Allah swt melindungi pejuang-pejuang Islam dan menghantar nusrohNya kepada mereka melalui jalan yang tidak disangka-sangka.

Dan ternyatalah.. Itu jawapan bagi senyuman yang terukir di wajah mereka..


Allahummansuril Islam wal Mu'minin..Amin~

1 comment: