Sunday, October 24, 2010

Medan Perjuangan Sebenar

Pembunuhan kejam Datuk Susilawati dan 3 orang rakannya, kes remaja yang dirogol kemudian dibunuh tanpa belas kasihan, kes buang bayi yang semakin meningkat, masalah sosial yang sudah terlalu parah merupakan wajah sebenar realiti kehidupan hari ini. Perbuatan-perbuatan kejam ini sungguh membimbangkan, sehingga kalau boleh sebelah mata ini saja sudah tidak sanggup untuk melihat lagi. Namun, hakikatnya begitu! Ia benar-benar telah dan sedang berlaku. Gelagat artis dan selebriti yang menjadi tontonan masyarakat awam juga membuatkan aku menjadi sangat gusar. Video klip nyayian yang keterlaluan, dan menjolok mata,keberanian pelakon untuk berbogel di dalam babak-babak filem membuatkan aku tertanya. ‘Mengapa ini dibiarkan dan diberi kebenaran?! Kenapa perlu?!’

Inilah yang aku telah dengar,aku baca dan aku lihat. Manusia bagaikan sudah tidak bertuhan! Larangan keras Allah dan RasulNya sudah tidak dihirau lagi! Manusia hanya hidup untuk dunia, bukan lagi untuk Allah swt! Aku menyaksikan betapa rasa takut kepada Allah itu telah hilang hari demi hari.

‘ Selamat berjuang kak! Di sana tu dunia sebenar, kami di sini ni teda apa-apa juga.’
Begitu sms yang ku terima sebelum balik bercuti ke Sabah dua bulan lalu.
Dan..aku sedar, kata-katanya itu memang ada benarnya!

Dalam sebuah perjuangan sudah tentu memerlukan individu yang memperjuangkan.
Dalam ramai-ramai yang disebut pejuang itu pula, tentunya ada mereka yang tersungkur di dalam perjuangan. Begitulah hakikat sebuah perjuangan. Dugaan dan tribulasi akan melanda bila-bila masa untuk menguji siapa yang benar-benar ingin berjuang atau sekadar ‘mencuba-cuba’.
Ambillah pengajaran dari sirah Rasulullah saw di dalam perang Tabuk. Betapa dari situ kita dapat melihat, andai tiada kekuatan iman dan menghayati erti sebenar berjuang di jalan Allah swt, dengan mudah sahaja kita bisa tergolong di dalam golongan orang-orang yang gugur ataupun tersungkur.

Hasil perencanaan Allah, aku hidup di dua Negara. Punyai dua rumah. Bergaul pula dalam dua suasana yang berbeza. Bumi Mesir dan bumi Malaysia. Di sana aku diajar dan ditarbiyah. Walaupun adakalanya saat itu benar-benar memerlukan aku untuk bersabar dan menempuhi pelbagai ujian namun, aku bahagia. Aku gembira. Seolah-olah sudah bersedia untuk kembali ke tanah air dan meneruskan perjuangan di sini.
Namun, realitinya bukanlah semudah itu! Seorang askar yang telah direkrut bertahun lamanya juga belum tentu mempunyai keberanian dan berjaya menghadapi sebuah peperangan tanpa terluka dan berdarah. Begitulah halnya dengan perjuangan ini. Apabila melihat keadaan masyarakat hari ini yang semakin parah, diri seakan lemah longlai dan tidak berdaya. Mulalah terlintas di benak fikiran..’Kalau pun aku tiada, perjuangan ini akan tetap mereka teruskan.’

Benar. Perjuangan ini akan diteruskan kerana sesungguhnya ia tidak sesekali memerlukan kita, bahkan kitalah yang memerlukannya! Alangkah ruginya kita, bilamana kitalah yang tergolong di dalam golongan yang tercicir dan tersungkur itu! Nauu’zubillahi min zaalik..



Faktor pergaulan dengan keluarga, sahabat, keadaan sekeliling dan sifat ambil mudah terhadap gerak kerja dakwah dan Islam inilah yang boleh membuatkan kita tersungkur. Apa tidaknya..dari situ kita mula menjadi manja! Kita menjadi malas! Kita sudah pandai mencari-cari alasan! Alangkah lemahnya diri ini!

Menyedari hal itulah sebuah kitab karangan Fathi Yakan telah menyebutkan beberapa faktor yang penting untuk dijaga bagi memastikan kita terpelihara daripada menjadi golongan Al Mutasaaqit ini.

1) Mengadulah selalu pada Allah swt mengenai setiap perkara yang dihadapi dalam hidup.
2) Istiqamahlah dalam perjuangan yang suci ini semata-mata kerana Allah swt dan RasylNya.
3) Yakin dengan pergerakan Islam dan perjuangan.
4) Hindarkan diri daripada benda-benda dan hal-hal yang melalaikan.
5) Jaga dengan baik ukhuwah sesama rakan seperjuangan.

Sedar atau tidak, di bumi Malaysia inilah medan dakwah kita sebenarnya satu masa kelak! Lebih-lebih lagi Sabah! Negeri kelahiran bagi ratusan anak-anak Sabah yang jauh diperantauan sana. Bukan di Kota Kaherah ataupun bumi Mesir itu. Kerna tidak kira bila, kita akan kembali jua ke sini. Di sana, kita hanya ditarbiyah bagi menyediakan ‘bekal’ untuk dibawa balik ke sini kelak. Susah payah, ujian dan tangisan yang dialami di sana sebenarnya untuk membuatkan kita belajar lebih berdikari dan tabah bagi menghadapi realiti sebenar masyarakat kita di sini!



Tulisan ini bukanlah untuk menunding jari mahupun menyalahkan sesiapa. Namun, aku dapat lihat betapa berbezanya ‘kita’ semasa di sana dan di sini. Lantaran itu , semoga pengalaman kali ini mengajar kita mengenai sesuatu. Sedarlah juga bahawa ‘aku’ akan sentiasa ada di sini untuk ‘kamu’!
UHIBBUKI FILLAH ~

** Doakan semoga selamat sampai di Ardul Kinanah..dan semoga pentarbiyahan selepas ini akan meneguhkan lagi kaki-kaki mereka yang ingin bekerja dan berkhidmat untuk agama Allah swt.
Maas Salamah..

Thursday, October 21, 2010

Biografi Tokoh Dakwah - Syeikh Syahid Hasan Al Banna




Antara buku yang sebaiknya dimiliki oleh pencinta Islam dan aktivis dakwah!
Menghayati rentetan perjalanan hidup beliau sejak kecil hinggalah tertubuhnya IM.
Kefahaman, semangat juang dan keberanian.
Beliaulah salah seorang tokoh dakwah yang perlu di contohi!

TAJUK BUKU : Al Syahid Hasan Al Banna, Pengasas Ikhwan Muslimin.
PENULIS : Zulkifli Mohamad Al Bakri , Mohd Faisal Fadzil
TERBITAN : DBP
HARGA : RM35

‘ Saya ialah pengembara yang mencari kebenaran, manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan, seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka ,tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni, seseorang yang memahami rahsia hidup.. ’Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah swt Tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya’. Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.Inilah saya..dan siapa pula anda? ’ ~ Syeikh Syahid Hasan Al Banna

* Saya tidak menjumpai kitab ini di kedai-kedai buku lain. Saya hanya menjumpainya di kedai buku Dewan Bahasa Pustaka,Likas. Sahabat sahabiah boleh ‘melihat-lihat’ di sana. Syukran~

Monday, October 18, 2010

Aishah AAC murtad??

Memegang watak sebagai Aisyah di dalam filem Ayat-ayat Cinta, ternyata berjaya menarik hati bukan sahaja lelaki tetapi juga wanita. Perwatakannya selaku seorang wanita muslimah yang berjilbab ternyata bisa menjadi ikon buat muslimat hari ini. Itu FILEM.

Realiti hari ini, negara Indonesia yang mempunyai paling ramai umat Islam juga tidak lari daripada menghadapi kes-kes murtad. Nauuzubillahi min zaalik.. Beberapa orang selebriti yang menjadi ikon dan public figure negara itu dikatakan telah meninggalkan agama Islam telah mengejutkan ramai orang. 'Keluar Islam ikut agama suami'. Begitulah menurut akhbar yang melaporkan.


Betapa besarnya 'pengaruh' seorang suami ke atas seorang muslimah.Betapa 'bahayanya' cinta terhadap insan, yang boleh merubah cinta kepada yang Esa andai tiada iman kukuh yang tertanam di jiwa..

Ya Allah..Peganglah hati-hati kami ini agar terhindar dari segala yang mengundang kemurkaan MU ya Allah. Temukanlah hati-hati mereka yang mencintaimu di dalam ikatan yang suci menuju redha MU..Amin..

Fesyen bertudung hari ini..?

Sejak keberadaan ku di Bumi Malaysia kali ini, ketika itu baru mengetahui dan dapat melihat.
'Owhhh..begini rupanya fesyen bertudung sekarang ya?'

Walaupun pada ketika itu belum sedar dan perasan bahawa ada miripnya dengan cara pemakaian biarawati (sisters) Kristian, namun entah mengapa memang tidak kena di hati! Kenapa perlu menampakkan bentuk leher?? Pelik.. 'Ermm..mungkin untuk memberitahu orang sekeliling yang dia punyai leher yang jinjang.' Tidak kurang juga mereka yang memakai tudung dengan sanggulan rambut yang tinggi seumpama bonggol unta. Entah di mana 'cantiknya'.

Mungkin Hadith Rasulullah saw ini seharusnya kita baca,amati dan amalkan sebaiknya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَاYang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah ra beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw telah bersabda :

[Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini]

* Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim,Imam Ahmad,Imam Malik dan selain mereka.Hadith ini adalah hadith sahih.

'Sekurang-kurangnya kami pakai tudung juga,kan?'
Ya, memang benar. Tetapi tidakkah warning daripada Rasulullah saw itu menggerunkan hati-hati kita mengaku umatnya?

Hari ini, begitulah realitinya. Kita hidup,kita beramal, kita berpakaian bukan mengikut Syariat Islam tetapi mengikut fesyen semasa yang dikatakan up to date. Tidakkah kita terfikir, ini merupakan salah satu perancangan musuh yang ingin menjauhkan umat Islam daripada mengamalkan ajaran Islam yang sebenar? Makin hari, muslimah yang bertudung litup dengan sempurna pula dikatakan 'ketinggalan zaman' dan dipandang pelik. Ayuh muslimah! Tunjukkan yang kita gembira kelihatan 'pelik' bagi pandangan mereka tapi bukan pada pandangan Allah swt dan RasulNya. Kita gembira kerana mencari redhanya Allah bukannya redha manusia yang ternyata menjauhkan kita dari rahmat kasih sayangnya.

Akhirnya..


Mungkin ramai yang terkejut.
Sebelum ini, tiada keinginan lansung untuk menyertai laman sosial tersebut. Sebab apa ya..??
Tiada masa.
Tidak berminat.
Malas untuk ‘menyibukkan diri’.
Bukan tidak ramai sahabat-sahabat yang telah mempromosi dan memujuk.Tetap..tidak berjaya. Namun, kali ini Ustaz sudah beberapa kali memujuk untuk membuka akaun FB.Ermm.. Akhirnya...
’Ikut ja lah..ketulahan plak nanti..hehehe’
Menurut Ustaz , kalau bijak menggunakannya boleh saja menjadi salah satu medan dakwah yang lebih cepat mendapat ‘liputan’. Walaubagaimanapun, medan penulisan di dalam blog ini tentu sekali menjadi keutamaan. Moga-moga ada kebaikan dan faedah yang dapat dimanfaatkan melalui laman sosial FaceBook Wardatul Asfar.

*********************

Sedar tidak sedar, akhirnya..minggu ini merupakan minggu terakhir keberadaanku di bumi Sabah ini. Alhamdulillah, semua ‘plan’ yang dirancang telah berjalan dengan izinNya. Hujung minggu yang terakhir ini, ada beberapa orang individu yang ingin ditemui sebelum ‘terbang’ ke sana. Panjang pendek umur ini terletak di tanganNya. Semoga bukan menjadi pertemuan terakhir.

Thursday, October 14, 2010

Adab-adab Menuntut Ilmu - Imam Ghazali r.a

Semester baru pengajian sesi 2010/2011 telah bermula. Rindunya untuk hadir ke kuliah dan menatap kitab-kitab baru yang dipenuhi seribu satu ilmu Nya itu. Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali dalam karya agongnya “Ihya Ulum al-Din” telah mengenalpasti 10 adab yang boleh dijadikan asas etika kepada para pelajar dalam proses pembelajaran. Moga-moga boleh diamalkan oleh kita bagi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu.



Pertama : Elakkan diri daripada elemen-elemen yang boleh memudharatkan akhlak yang terpuji, kerana ilmu adalah cahaya dan mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya.

Kedua : Jangan terikat dengan hal ehwal keduniaan secara berlebihan, kerana ia membuka ruang untuk melalaikan fikiran daripada memfokuskan perhatian sepenuhnya terhadap ilmu pelajaran.

Ketiga : Para pelajar tidak boleh bersikap sombong dan takbur terhadap guru.

Keempat : Pelajar yang tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri daripada mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat dalam kalangan manusia sama ada melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Ia bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan pemikiran dan pemahaman terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajari.

Kelima : Seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sesuatu ilmu yang dipelajarinya perlulah dikuasai dengan baik sebelum mengambil keputusan untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain.


Keenam : Para pelajar tidak memaksa dirinya untuk menguasai semua bidang ilmu secara sekaligus. Kuasailah ilmu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkam kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang.

Ketujuh : Pelajar tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami cabang ilmu yang sebelumnya.

Kelapan : Seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif serta falsafah sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari.

Kesembilan : Para pelajar perlu ikhlas dalam menuntut ilmu.

Kesepuluh : Setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan.


Perjalanan mencari ilmu bagi seorang manusia tidak akan menemui titik noktahnya hinggalah tiba waktu untuk dia berpisah dan meninggalkan dunia. Ternyata, perjalanan yang panjang ini bukanlah mudah. Maka berusahalah dan mintalah pertolongan dari Allah swt agar sentiasa diberi kekuatan menghadapi hari-hari yg mendatang. ChAiYok!!

Monday, October 11, 2010

Sukses buat Kita!

Selamat melangkah ke semester baru bagi semua sahabat sahabiah yang menuntut di Bumi Mesir. Tahun baru. Suasana baru. Berbekalkan semangat dan azam baru !
Tidak kira kaki itu melangkah ke tahun berapa.
Doakan kejayaan bersama.

‘Engkaulah apa kau fikirkan..Terkandung dalam pemikiran!’


Di situ ada salah satu kunci untuk mengapai SUKSES!
Tetapkan di minda bahawa semua yang ingin dikecapi bukanlah
sesuatu yang mustahil! Minda yang positif mampu mengubah daripada sesuatu yang sukar nampak mudah dan yang berat nampak ringan! Seandainya dari mula lagi, minda 'degil' mengatakan susah maka ia akan menjadi susah ! Itulah kuasa minda kita ! All the best untuk semua ahli BKPSM!


* Akan menyusul kalian dengan 'terbang' ke sana.Insyallah..

Saturday, October 9, 2010

Pesanan Untuk Umat Islam di Malaysia - HAMAS

‘ Semenjak hari pertama penubuhannya, HAMAS menjadikan jihad sebagai jalan utama bagi memerdekakan bumi Palestin. HAMAS juga menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya.HAMAS juga memberikan nyawa ahli-ahli mereka bagi tujuan itu dan berjanji pada rakyat Palestin dan juga kepada umat Islam supaya terus komited dengan perjuangan kami. HAMAS juga berjanji hendak memerdekakan Masjid Al Aqsa walaupun terpaksa berjuang dengan kuku dan gigi sahaja. Itulah janji kami.’

Buat umat Islam di Malaysia, kalian adalah saudara kami yang paling hampir di Malaysia. Hati-hati kita sudah diikat dengan fikrah dan akidah yang sama. Kita dihimpunkan dalam ikatan kerohanian yang jitu. Kita ditakdirkan bersama dalam perjuangan dengan manhaj atau tujuan yanag sama. Kami adalah wakil saudara di Palestin. Kemenangan kami adalah kemenangan saudara. Pemerintahan kami adalah pemerintahan saudara. Kerajaan HAMAS adalah kerajaan umat Islam dan hadiah buat perjuangan pencinta Islam di seluruh dunia. Tidakkah saudara sedar perkara ini?Jika saudara tidak sedarkan perkara ini, siapa lagi yang akan menyedarinya?’

Wahai umat Islam di Malaysia! Kami mengharapkan anda mengepalai kempen menyelamatkan kerajaan HAMAS di bumi Malaysia ini.Kami hanya mempunyai 2 pilihan. Pertamanya, tunduk kepada tekanan US dan EU lantas mengiktiraf Israel bagi menghilangkan kesengsaraan rakyat. Pilihan yang kedua adalah teruskan berjuang dan tidak sekali-kali tunduk pada tekanan. Kami memilih pilihan kedua. Kami akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir.Kami tidak sekali-kali mengiktiraf penjajah dan tunduk pada tekanan.’

Umat Islam di Malaysia sekalian, kami akan terus berjuang. Kami akan tersu tetap dalam perjuangan sehingga setiap daripada kami akan gugur syahid. Kami akan terus memastikan prinsip Islam terus dijulang. Namun, kami memerlukan sokongan dan bantuan kalian. Jika kami gugur syahid manakala saudara skalaina terus diam membisu dan hanya menyaksikan sahaja,nantikan hari pembalasan. Kami akan tuntut daripda Allah atas kelembapan saudara semua. Kami tidak akan redha pada kelesuan dan kebisuan kalian. Kami tidak akan memafkannya.’

Umat Islam di Malaysia, kami mengharapkan saudara bersikap proaktif. Kami hanya mengharapkan saudara dapat menyumbang USD1 (bersamaan RM3.60) setahun bagi menanggung kesengsaraan rakyat Palestin. Kami juga mengharapkan saudara melobi kerajaan saudara yang menjadi Pengerusi OIC supaya melakukan sesuatu.Kami juga berharap agar saudara melakukan kempen kesedaran dan libatkan masyarakat Malaysia, termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan Islam supaya turut membantu rakyat Palestin.’

‘Akhir sekali, kami mengharapkan saudara tidak melupakan kami dalam doa-doa saudara sekalian. Berdoalah supaya kami tetap dalam perjuangan kami dan dikurniakan mati syahid. Berdoalah juga supaya kita dapat bersama-sama bersolat di dalam Masjid Al Aqsa suatu hari nanti. Pada masa itu, bendera Islam akan berkibar dan syariat Allah akan berdaulat sekali lagi di atas muka bumi ini.’

Allahu Akbar!

Saudaramu,

Khalil Ismail al Hayya

Ketua WHIP HAMAS di Majlis Legislatif Palestin

14 Mei 2006

** So, paling penting yang kita leh buat sekarang?? Ada 2! First,sebarkan dan berkempen bagi menyedaran umat Islam mengenai isu Palestin seterusnya beri bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Second, berusaha untuk menyumbang dengan salah satu caranya boikot barangan keluaran Israel dan sekutunya. Wahai sahabat, kalau nda dapat boikot semua..jangan ndak boikot semua pula! Semoga usaha yang sedikit ini ada ganjaran dan barakahnya bagi saudara kita di sana.. Amin ya Rabb~

Thursday, October 7, 2010

Kenapa..??

Hati menjerit-jerit! Menderita..Sedih! Mulanya ingin didiamkan sahaja. Memendam perasaan.
Namun..sukar sekali.
Ketika itu, ibulah tempat meluah dan berkongsi perasaan itu. Ku kira selesai..
Namun rupanya tidak!! Hal itu benar-benar menganggu fikiran ku!
Aku menangis kerananya!! Benci sungguh perasaan itu!!

**********
Pagi itu siaran MHI ke udara seperti biasanya. Cuma bezanya hari itu mereka akan menemubual seorang artis nasyid,Maher Zain yang bakal membuat sebuah konsert amal di Tanah Air tidak lama lagi. Itu yang membuatku menunggu. Sebelum ke udara,kebiasaannya MHI akan menyiarkan videoklip nyanyian di tengah-tengah setiap slot. Aku sedia maklum..

‘What you waiting for?’
Telinga ini buat pertama kalinya mendengar lagu itu.
Aku terkedu. Hanya helaan nafas yang panjang terkeluar..Istighfar..Berkali-kali.
Memang. Aku tidak mengenal sama sekali peyanyi itu. Namun aku pasti benar. Lelaki itu artis barat dan perempuan itu seorang melayu! Islam agamanya!


' Dimana letaknya IMAN kita..??'

Kenapa boleh sampai ke tahap itu?? Aku menangis dan tertanya.
Kenapa agama yang dianuti digadai begitu sahaja?? Seandainya dia rakyat Malaysia yang beragama Kristian,Cina atau sebagainya aku mungkin tidak akan terkesan sebegini rupa.Tetapi..dia saudara seagamaku!
ISLAM…Owhh..Agama itu terlalu mulia untuk dicemarkan. Kenapa??
Kenapa pakaian itu sedemikian rupa?? Aku yang perempuan saja, sungguh malu melihatnya.
Tubuh itu ‘diratah’ begitu sahaja!! Kenapa? Dimanakah maruah dan harga diri itu diletak di zaman yang serba moden ini?
Hanya sekadar untuk mengejar populariti??
Hanya ingin supaya diri itu diterima dan setara dengan artis Barat??

Ya Allah..Ya Tuhanku..Air mata ini terus menerus bercucuran laju..
‘Hal dia,dialah..urusan dia dengan Allah’.
Jawapan itu cuba menenangkanku. Tetapi tidak. Manik jernih terus mengalir kerna insan kerdil ini mula memahami dan melihat betapa umat Islam di akhir zaman ini sudah terlalu jauh dari Allah swt. Jauh..
Penyakit cintakan dunia itu semakin membarah.
Masalah dan perihal umat Islam.
Di mana kedudukan dan peranan AKU..???

Tuesday, October 5, 2010

Luv SOLUSI!



Ketepikan semua majalah hiburan !
Cukup-cukuplah 'melayan' bahan bacaan berupa gosip, fitnah dan bual kosong yang diselitkan sekali 'permandangan' yang 'menyakitkan mata'. Kerna akhirnya..pembaca tadi sendiri yang akan semakin 'kosong'.

Buka minda..Tarbiyah diri..Kutip Ilmu yang bermanfaat !
SOLUSI .. Mengupas isu-isu semasa dan merungkaikan seribu satu persoalan agama bagi menjadi sebuah solusi untuk mengatasi penyakit umat di akhir zaman ini.

Berilmu - Beriman - Beramal
Mulakan dengan Iqra'!



Monday, October 4, 2010

Kenali HAMAS

Ambil masa untuk membaca buku yang sangat bermanfaat ini.
Kenali HAMAS. Merekalah pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis.
Membaca dan menyoroti setiap langkah dan susah-payah mereka demi memperjuangkan hak rakyat Palestin dan ISLAM mampu menyuntik semangat bagi mereka yang bergelar duat dan aktivis dakwah.

Tajuk buku : HAMAS
Pejuang Kota Suci Baitulmuqaddis
Penulis : Maszlee Malik
Penerbit : PTS Millennia Sdn.Bhd

‘Semenjak rakyat Palestin memilih mereka pada pilihan raya 2006 yang lalu, HAMAS membuktikan bahawa merekalah pelindung rakyat Palestin. Jika sebelum menjadi kerajaan, mereka membuktikan yang kebajikan rakyat menjadi agenda utama , selepas menjadi kerajaan terbukti mereka hidup untuk rakyat. Selepas kerajaan pimpinan HAMAS dinafikan daripada cukai sempadan yang sepatutnya menjadi milik mereka berdasarkan perjanjian damai Oslo 1993, mereka tidak membiarkan rakyat menderita. Pelbagai inisiatif untuk meminta umat Islam seluruh dunia supaya tampil membantu. Setiap sen yang dihulurkan sampai kepada rakyat dan tiada sekeping syiling pun yang mereka gunakan bagi kepentingan sendiri seperti korupsi dan pecah amanah golongan Fatah yang menjadi kerajaan sebelum itu tiada di dalam kamus perjuangan HAMAS.’

‘Selama berbulan-bulan rakyat Gaza dihukum supaya menderita. Pada setiap detik jugalah para pemimpin HAMAS bersama dengan rakyat. Mereka berlapar bersama rakyat. Mereka bergelap kerana elektrik dicatu oleh rejim Zionist seperti rakyat yang lain. Rumah-rumah mereka dibedil seperti rumah-rumah rakyat Palestin yang lain. Anak-anak mereka juga terkorban seperti rakyat Palestin yang lain. Mereka tidak meninggalkan rakyat kesusahan untuk bermewah-mewah seperti para pemimpin Fatah yang tinggal di dalam istana-istana mereka sewaktu rakyat sedang menderita. Rakyat menilai ini semua. Rakyat dapat membezakan di antara siapa yang ikhlas dan siapa yang menjadi tali barut Zionist.’

Ayuh menilai dan bermuhasabah. Di antara perjuangan kita dan mereka..