Sunday, October 24, 2010

Medan Perjuangan Sebenar

Pembunuhan kejam Datuk Susilawati dan 3 orang rakannya, kes remaja yang dirogol kemudian dibunuh tanpa belas kasihan, kes buang bayi yang semakin meningkat, masalah sosial yang sudah terlalu parah merupakan wajah sebenar realiti kehidupan hari ini. Perbuatan-perbuatan kejam ini sungguh membimbangkan, sehingga kalau boleh sebelah mata ini saja sudah tidak sanggup untuk melihat lagi. Namun, hakikatnya begitu! Ia benar-benar telah dan sedang berlaku. Gelagat artis dan selebriti yang menjadi tontonan masyarakat awam juga membuatkan aku menjadi sangat gusar. Video klip nyayian yang keterlaluan, dan menjolok mata,keberanian pelakon untuk berbogel di dalam babak-babak filem membuatkan aku tertanya. ‘Mengapa ini dibiarkan dan diberi kebenaran?! Kenapa perlu?!’

Inilah yang aku telah dengar,aku baca dan aku lihat. Manusia bagaikan sudah tidak bertuhan! Larangan keras Allah dan RasulNya sudah tidak dihirau lagi! Manusia hanya hidup untuk dunia, bukan lagi untuk Allah swt! Aku menyaksikan betapa rasa takut kepada Allah itu telah hilang hari demi hari.

‘ Selamat berjuang kak! Di sana tu dunia sebenar, kami di sini ni teda apa-apa juga.’
Begitu sms yang ku terima sebelum balik bercuti ke Sabah dua bulan lalu.
Dan..aku sedar, kata-katanya itu memang ada benarnya!

Dalam sebuah perjuangan sudah tentu memerlukan individu yang memperjuangkan.
Dalam ramai-ramai yang disebut pejuang itu pula, tentunya ada mereka yang tersungkur di dalam perjuangan. Begitulah hakikat sebuah perjuangan. Dugaan dan tribulasi akan melanda bila-bila masa untuk menguji siapa yang benar-benar ingin berjuang atau sekadar ‘mencuba-cuba’.
Ambillah pengajaran dari sirah Rasulullah saw di dalam perang Tabuk. Betapa dari situ kita dapat melihat, andai tiada kekuatan iman dan menghayati erti sebenar berjuang di jalan Allah swt, dengan mudah sahaja kita bisa tergolong di dalam golongan orang-orang yang gugur ataupun tersungkur.

Hasil perencanaan Allah, aku hidup di dua Negara. Punyai dua rumah. Bergaul pula dalam dua suasana yang berbeza. Bumi Mesir dan bumi Malaysia. Di sana aku diajar dan ditarbiyah. Walaupun adakalanya saat itu benar-benar memerlukan aku untuk bersabar dan menempuhi pelbagai ujian namun, aku bahagia. Aku gembira. Seolah-olah sudah bersedia untuk kembali ke tanah air dan meneruskan perjuangan di sini.
Namun, realitinya bukanlah semudah itu! Seorang askar yang telah direkrut bertahun lamanya juga belum tentu mempunyai keberanian dan berjaya menghadapi sebuah peperangan tanpa terluka dan berdarah. Begitulah halnya dengan perjuangan ini. Apabila melihat keadaan masyarakat hari ini yang semakin parah, diri seakan lemah longlai dan tidak berdaya. Mulalah terlintas di benak fikiran..’Kalau pun aku tiada, perjuangan ini akan tetap mereka teruskan.’

Benar. Perjuangan ini akan diteruskan kerana sesungguhnya ia tidak sesekali memerlukan kita, bahkan kitalah yang memerlukannya! Alangkah ruginya kita, bilamana kitalah yang tergolong di dalam golongan yang tercicir dan tersungkur itu! Nauu’zubillahi min zaalik..



Faktor pergaulan dengan keluarga, sahabat, keadaan sekeliling dan sifat ambil mudah terhadap gerak kerja dakwah dan Islam inilah yang boleh membuatkan kita tersungkur. Apa tidaknya..dari situ kita mula menjadi manja! Kita menjadi malas! Kita sudah pandai mencari-cari alasan! Alangkah lemahnya diri ini!

Menyedari hal itulah sebuah kitab karangan Fathi Yakan telah menyebutkan beberapa faktor yang penting untuk dijaga bagi memastikan kita terpelihara daripada menjadi golongan Al Mutasaaqit ini.

1) Mengadulah selalu pada Allah swt mengenai setiap perkara yang dihadapi dalam hidup.
2) Istiqamahlah dalam perjuangan yang suci ini semata-mata kerana Allah swt dan RasylNya.
3) Yakin dengan pergerakan Islam dan perjuangan.
4) Hindarkan diri daripada benda-benda dan hal-hal yang melalaikan.
5) Jaga dengan baik ukhuwah sesama rakan seperjuangan.

Sedar atau tidak, di bumi Malaysia inilah medan dakwah kita sebenarnya satu masa kelak! Lebih-lebih lagi Sabah! Negeri kelahiran bagi ratusan anak-anak Sabah yang jauh diperantauan sana. Bukan di Kota Kaherah ataupun bumi Mesir itu. Kerna tidak kira bila, kita akan kembali jua ke sini. Di sana, kita hanya ditarbiyah bagi menyediakan ‘bekal’ untuk dibawa balik ke sini kelak. Susah payah, ujian dan tangisan yang dialami di sana sebenarnya untuk membuatkan kita belajar lebih berdikari dan tabah bagi menghadapi realiti sebenar masyarakat kita di sini!



Tulisan ini bukanlah untuk menunding jari mahupun menyalahkan sesiapa. Namun, aku dapat lihat betapa berbezanya ‘kita’ semasa di sana dan di sini. Lantaran itu , semoga pengalaman kali ini mengajar kita mengenai sesuatu. Sedarlah juga bahawa ‘aku’ akan sentiasa ada di sini untuk ‘kamu’!
UHIBBUKI FILLAH ~

** Doakan semoga selamat sampai di Ardul Kinanah..dan semoga pentarbiyahan selepas ini akan meneguhkan lagi kaki-kaki mereka yang ingin bekerja dan berkhidmat untuk agama Allah swt.
Maas Salamah..

No comments:

Post a Comment