Monday, March 14, 2011

Majlis pertemuan BKPSM dan PUM

Pada 10 Mac yang lalu, sebuah majlis ramah mesra dan dialog telah diadakan diantara BKPSM dan PUM (Persatuan Ulama Malaysia) cawangan negeri Sabah. Majlis tidak rasmi itu telah dihadiri oleh beberapa orang exco BKPSM beserta beberapa orang ahli dan Ustaz-ustaz yang merupakan AJK tertinggi PUM dan ajk-ajk syukbah dakwah MNS (Masjid Negeri Sabah).

Objektif utama pertemuan dua hala itu diadakan adalah untuk membina satu medan dan jaringan awal diantara dua buah persatuan tersebut dalam memperkasakan gerak kerja dakwah dan menyebarkan kefahaman Islam khususnya di negeri Sabah.

Menurut Al Fadhil Ust Muchlish Ali Kasim, selaku pengerusi PUM Sabah dan Pengerusi syukbah dakwah Masjid Negeri Sabah, masalah utama yang dihadapi oleh mereka ketika ini adalah kekurangan tenaga penggerak. Masalah ini menyebabkan banyak program yang dirancang dan dilaksanakan terpaksa mengorbankan aktivis dakwah yang sedia ada dengan terpaksa mengerah tenaga mereka yang ada sepenuhnya.

Namun, dalam masa yang sama memang timbul kesedaran bahawa ramai sahaja anak-anak muda lepasan Al Azhar saban tahun, walaubagaimanapun kebanyakannya hanya balik dan menyepikan diri. Hilang tanpa jejak. Sedangkan mahu atau tidak untuk diakui, golongan pelapis amat diperlukan ketika ini! Golongan muda harus turun ke medan dakwah!




Malam itu, mereka telah memberi seribu satu untaian kata dan semangat buat kami. Ustaz-ustaz telah memberi banyak nasihat, tunjuk ajar dan motivasi untuk kami menghadapi hari mendatang yang penuh cabaran. Sambil menyifatkan berpersatuan adalah satu tempoh dan medan yang terbaik untuk melatih dan melahirkan para daie masa depan, pihak PUM meminta agar exco BKPSM mengadakan program-program yang membawa manfaat,kesan dan jelas matlamatnya kepada semua ahli. Bukan berprogram hanya sekadar untuk suka-suka dan jauh sekali program yang tidak memberi kesan yang positif.

Lantas dari sana, para exco harus sedar! Kita mempunyai satu tanggungjawab yang sangat besar. Bukan sekadar memegang jawatan yang dianggap satu kemuliaan dan kemegahan sebaliknya tergalas beban di bahu untuk mengajak dan membawa sahabat sahabiah lain kepada sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat kepada agama dan negara! Beranilah melakukan perubahan!

Persiapkan diri dengan ilmu!

Bersedia untuk turun berkhidmat dan menjadi aktivis dakwah kelak!

Itu mesej utama yang dapat diambil pada malam itu. Kami mewakili ahli BKPSM yang lain pula telah mengutarakan beberapa harapan dan cadangan untuk diambil perhatian. Antaranya ialah supaya boleh diadakan satu program khas setiap tahun diantara BKPSM dan PUM sebelum proses penghantaran mahasiswa/wi baru ke Mesir dengan tujuan untuk memantapkan kefahaman dan mengenalpasti tugas dan peranan mereka apabila telah kembali ke tanah air suatu hari nanti.

Selain itu, kami juga berharap agar diberi kesempatan dan peluang untuk mahasiswa/wi yang balik bercuti di Malaysia setiap tahun untuk mengikuti program-program anjuran PUM,JHEAINS,JAKIM dan sebagainya. Kami kira ini sangat penting dan berguna bagi memberi kesedaran dan kefahaman awal tentang dakwah dan cara gerak kerjanya kepada semua mahasiswa/wi samada pelajar pengajian Islam mahupun perubatan.

Semoga pertemuan kali ini bukan yang pertama dan terakhir bagi BKPSM dan PUM. Sungguh, banyak manfaat dan kebaikan yang boleh diperolehi bagi kedua belah pihak dalam usaha memartabatkan Islam di bumi Sabah dan memantapkan lagi usaha dakwah bersama-sama. Mudah-mudahan, pertemuan yang singkat namun penuh bermakna ini mendapat redha dan hikmah yang besar dari Allah swt..

* Syukran kepada semua yang berusaha menjayakan pertemuan ini.

No comments:

Post a Comment