Monday, July 15, 2013

Mad'u Istimewa (5) : Perubahan Dirinya

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebaik sahaja Firdaus memberitahu saya tentang penyakit yang dihidapinya sebelum ini, saya menjadi lebih prihatin padanya. Saya cuba untuk bertanyakan keadaan kesihatannya dan yang paling penting saya tidak mahu dia hilang semangat dan mula berputus asa dengan rahmat Allah swt. Kerana saya tahu, walaupun bibirnya mengucapkan kata redha dan pasrah, namun rasa takut tetap ada di dalam hatinya.

Hari baru.

Saya bertemu lagi dengan pelajar-pelajar kolej saya dan tanpa pemberitahuan awal, saya telah merancang untuk menjalankan ujian bulanan pada hari ini. Disebabkan kesibukan yang menghimpit, saya hanya sempat memberitahu mereka melalui sms lebih kurang 3 jam sebelum kelas pada hari berkenaan.


Sesampainya di dalam kelas, pelajar-pelajar saya ini merungut.
Menurut mereka, mereka tidak sempat menghafal apa-apa kerana jarak masa yang saya berikan adalah tersangatlah singkat. Majoriti mereka meminta agar ujian pada hari itu ditunda. Saya tersenyum dan ketawa.
Ya..Saya akui, silap saya juga kerana lambat mengkhabarkan kepada mereka.
Walaupun tajuk rukun Iman, rukun Islam, ibadah dan tajuk-tajuk asas itu mungkin agak senang bagi saya, tapi ternyata tidak kepada mad'u-mad'u istimewa saya ini.

'Susahnya la bha tu,ustazah.....' Rintih mereka minta dikasihankan.

Cair juga hati ini melihat mereka. Saya mengukir senyum.
Tidak sampai hati pula. Saya mengalah, lantas menukarkan ujian hari itu kepada latihan biasa sahaja. Walaubagaimanapun, tujuan asal saya untuk melihat sejauh mana mereka telah faham tentang tajuk-tajuk yang telah kami bahaskan dan ingin melihat pelajar mana yang paling cemerlang tetap saya jadikan objektif utama kelas pada hari berkenaan.


Tetapi di dalam ramai-ramai mereka, saya pelik.  Ternyata Firdaus nampaknya sangat tenang. Tidak segundah mereka yang lain. Sedangkan, menurut pemerhatian saya dari mula kelas Pengajian Islam ini, Firdauslah antara pelajar yang agak lemah dalam menguasai subjek kami ini.


'Pelik...Nampak confident saja budak seorang ni. Ohh..mungkin dia juga seperti sahabat-sahabatnya yang lain. Oleh kerana saya lewat memberitahu mereka tentang ujian yang ingin dibuat, dia pun belum sempat menghafal apa-apa. So, dia akan redha dan cuba buat yang terbaik sahaja.' 
Jujur, itu tanggapan saya. 




Kertas soalan mula diagihkan.
Setelah selesai mereka menjawab, kami memeriksa kertas jawapan mereka pada waktu itu juga bersama-sama. Satu demi satu soalan kami urai dan bincangkan. Harapan saya, jika soalan yang sama akan keluar dalam final exam nanti, moga-moga mereka masih mengingati jawapannya. 


Selesai semua soalan dibincangkan, saya menjumlahkan markah mereka.
Subhaanallah...!! 
Alangkah terkejutnya saya apabila pelajar yang mendapat markah tertinggi dalam ujian tersebut adalah Firdaus! Ya,Firdaus! Pelajar pada awal-awal semester yang mengakui sendiri bahawa dirinya 'kosong' dan sangat jauh berbeza kefahaman Islamnya berbanding classmate yang lain. 
Ya Allah.. Saya benar-benar tidak percaya. 

'Bagaimana mungkin..? Firdaus itu..??' 

Saya kehairanan sendiri. Bermimpikah saya?? 
Ohh..tidak. Memang benar, Firdauslah yang dapat menjawab 25 dari 30 soalan tadi  dengan tepat! Saya terkejut benar, mungkin kerana saya sejak awal lagi telah mengandaikan beberapa orang pelajar lain yang mempunyai kelebihan dari sudut pengetahuan agama sebelum ini untuk mendapatkan markah tertinggi. Subhaanallah! 
Ternyata jangkaan saya benar-benar meleset.


Seperti mana yang saya sebut sebelum ini, memang benar. Bermula dari kelas pertama lagi Firdaus sudah menunjukkan minat, kesungguhan dan tekad untuk mendalami subjek Pengajian Islam. Tetapi selain daripada memberikannya nasihat, kata-kata taujihat dan dorongan, tidak pula saya tahu apa yang diusahakannya di luar dari kelas. 

Kegembiraan saya rasanya tidak mampu disorokkan.
'Alhamdulillah...Tahniah Firdaus. Pandainya Firdaus.. Terkejut ustzah', ucap saya kepadanya yang duduk berhadapan dengan saya sambil berseloroh.

Dia senyum. Tersipu-sipu.

'Ustazah..Sekarang, saya pergi masjid sudah.'

'?????!!!!'
Ya Allah... 
Ya Allah..
Sejujurnya hati saya sangat terkejut dan tersentuh mendengar pengakuannya itu.
Masakan tidak, Dengan apa yang telah diceritakan olehnya kepada saya sebelum ini, dan kekecewaan yang menyebabkan dia tidak pernah lagi menginjakkan kaki ke rumah Allah, tertanya kalamnya itu berjaya membuatkan mata saya digenangi air.

'Ohhhh...iya??? Subhaanallah... Firdaus pergi masjid mana selalu?' Tanya saya, sambil senyum yang agaknya sudah sampai ke telinga tanpa saya sedari.

'Ermm..Masjid di Bukit Padang,ustazah. Dan di situ jugalah saya telah berjumpa dan berkawan dengan seorang ustaz. Sejak mula jumpa ustazah, sebenarnya saya sudah tanam azam dan semua nota-nota yang ustazah bagi di kelas pun saya sudah baca. Sesetenggahnya ada juga yang telah dihafal. Kadang-kadang kalau ada yang saya kurang faham, ustaz tu lah tempat saya bertanya dan merujuk', jelas Firdaus.

'Ya Allah.. 
Alhamdulillah.. Alhamdulillah..' Pujian saya kepadaNya tidak putus-putus.
Kegembiraaan saya pada hari itu, ternyata membuatkan saya sangat terharu dan bersyukur kepada Allah swt yang telah menuntun setiap langkahnya, walaupun sedikit demi sedkit.

Malam itu, sekali lagi saya mengucapkan tahniah atas pencapaiannya siang tadi melalui pesanan ringkas SMS.
Saya katakan padanya, saya sangat berbangga dan gembira dengan perubahan dirinya, bukan sekadar dari segi penampilannya yang semakin baik tetapi juga dalam usahanya untuk mendalami agama Islam.

Beberapa minit kemudian, sms saya berbalas.
Dan kali ini, ternyata air mata saya sudah tidak mampu ditahan lagi lantas mengalir deras membasahi pipi.


'Alhamdulillah..  
Ustazah, saya suka firman Allah dalam Surah Az-Zummar ayat 53 yang berbunyi 
{Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.  Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya.  Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.}  Ayat ni lah yang mendorong dan menguatkan semangat saya untuk berubah dan berhijrah,ustazah. Saya bersyukur sangat sebab ditemukan dengan ustazah. Saya bersyukur sebab Allah kuatkan hati saya untuk datang kelas pertama Pengajian Islam semester ni (sebab kalau diikutkan hati, memang tiada niat pun mau datang). Saya bersyukur sangat sebab Allah swt bagi peluang lagi pada saya untuk berubah. Sekarang baru saya sedar, kebahagiaan dan ketenangan yang saya cari selama ni sebenarnya tiada pada arak, kelab malam, ganja dan semua-semua tu. Inilah yang saya perlu ustazah. Saya harap, ustazah tidak berhenti doakan saya supaya kuat hati dan terus di jalan ni,ya.'



Begitu sms balasan yang dikirim Firdaus.
Tatkala dia memulakan kalamnya dengan memetik ayat Al-Quran, dan setiap bait katanya yang sungguh ikhlas, benar-benar membuatkan hati saya menangis dan pipi saya kebasahan kerana hiba, gembira dan bersyukur atas apa yang sedang terjadi kepada Firdaus saat ini.  Siapa sangka, seorang anak muda Islam yang selama hidupnya ini sangat jauh daripada Allah swt dan jahil mengenai agamanya sendiri, boleh jadi sebegini suci pada hari ini. 

Maha Suci Allah yang Maha Pengasih..
Maha Suci Allah yang Maha Penyayang..
Maha Suci Allah yang Maha Pemberi Hidayah..

Selama ini Firdaus terlalu banyak berterima kasih sehingga memuji-muji saya atas semua yang terjadi. Katanya, saya ini dikirimkan oleh Allah swt di dalam hidupnya dan dalam beberapa bulan sahaja, inilah yang terjadi kepadanya. MaasyaAllah...
Saya tahu, dia hanya ingin meluahkan rasa gembira dan terima kasih kerana keberadaan saya di sisinya saat dia mula ingin berhijrah. Tetapi sering saya ingatkan kepadanya, bahawa setiap detik dan apa jua yang berlaku atas dirinya adalah ketentuan Allah swt secara mutlak.

Saya teringat firman Allah swt yang menyebut:
{ Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya.  Allah memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} Yunus:107


Kewujudan saya ini di dalam hidupnya, hanyalah sebagai perantara sebelum Allah swt memeluknya dengan rahmat dan kasih sayangNya yang sangat istimewa. Kalau pun bukan saya, saya yaki tentu Allah akan 'menghantar' insan lain untuk bersamanya. 

Saya tidak akan lupa detik itu.
Saya tidak ingin melupakan saat-saat istimewa itu.
Sehingga hari ini dan selamanya, saya akan terus mendoakan semoga Allah swt membimbing setiap langkahnya dalam menuju redha Allah swt. Semoga Allah swt kuatkan hatinya untuk terus bertahan dengan apa yang telah ia temui, dan menjauhkannya dari segala godaan dan tipu daya syaitan.

Aamin.. Ya Rabbal Aalamin..

Kesihatan Firdaus?
Ya, sehingga hari ini keputusan check-up nya belum ada jawapan.
Kami sama-sama menanti dan hanya mampu untuk mendoakan yang terbaik.
Semoga Allah swt mendengar dan memakbulkan doa kami..



2 comments:

  1. Subhanallah...
    Nak mengalirkan airmata...terharu dan gembira dengan berita ini...
    Teruskan mendidik dengan kasih sayang ustazah :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..
    Doakan dia dan kita semua supaya thabat pada jalan Allah ya :)

    ReplyDelete