Sunday, July 14, 2013

Amanah Itu : NISA' KK

بسم الله الرحمن الرحيم

Pagi itu, saya berpagi-pagian dengan menerima satu lagi taklifan. 
Subhaanallah, bila disebut taklifan mahu tidak mahu, kalimah amanah akan turut serta bersamanya. 
Sejak hari itu, saya menjadi gundah. Ada sahaja yang terlintas di fikiran saya, berikutan lantikan yang datang dengan tiba-tiba. Tiada ribut, tiada angin. 'Duppppp..!!' 
Langsung ada di depan mata.

Diberi kepercayaan untuk menggalas tugas selaku Ketua NISA' bahagian Kota Kinabalu, sememangnya bukan sesuatu yang mudah.

'Saya??? Kenapa saya pula..??'

Ya, sebelum ini sememangnya saya kenal dan pernah mendengar mengenai salah sebuah NGO yang diterajui oleh golongan wanita ini di Malaysia. Namanya bagi saya memang tidak asing. Tetapi kenapa saya??

Dengan tugasan sebagai seorang guru sekolah menengah disebelah pagi, dan petangnya berkongsi pula ilmu yang sedikit ini dengan para pelajar kolej, sememangnya cukup untuk saya merasa lelah.  Penglibatan dengan persatuan luar pula sememangnya tidak dapat saya ketepikan. Hasil daripada pentarbiyahan dan kefahaman yang saya perolehi dulu sewaktu bergelar mahasiswi, penat macamana pun kita dengan tugasan harian, kerja-kerja amal untuk Islam sebegini mahu tidak mahu kita ada tanggungjawab untuk memikulnya.Tapi, itulah yang dirisaukan! Dengan PSS Putatan pun, selaku ahli biasa ada masanya saya 'terponteng' juga untuk bersama sahabat-sahabat lain di dalam program yang diadakan.


Inikan pula 'Ketua'??
Astaghfirullah al-azim..
Laa haula wala quwwata illa billah..
Saya beristighfar panjang. Cuba bertenang dan mencari jawapan.
Tolak tawaran? Ya, nampak seperti pilihan yang mudah bukan? Tetapi, dengan kefahaman yang sebutkan tadi jugalah menyebabkan saya tidak boleh  dengan mudah menolak mentah-mentah apabila telah diberi amanah.

Firman Allah s.w.t mafhumnya:
{Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah itu mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui } Surah Al Baqarah : 216





Kembali merenung ke dalam diri.
Mungkin ini semua cara Allah swt ingin menegur saya. Penat?  Ya!
Kita semua maklumi, dalam membuat kerja-kerja dakwah dan Islam sebegini, pastinya akan mengundang letih dan memerlukan pengorbanan masa dan tenaga. Namun, saya yakin Allah swt sedang mentarbiyah saya untuk berhadapan dengan masyarakat dan sedang menarik tangan saya untuk keluar dari 'zon selesa' saya itu. Sesibuk dan letih macamana pun, kita semua ada satu lagi kerja untuk dilaksanakan di luar sana. Walaupun tanpa gaji, tanpa imbuhan.. ia tetap menjadi salah satu tugas kita selagi hayat ini dikandung badan.


{Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung } Surah Ali-Imran : 104


Tambahan pula, sebenarnya saya dan sahabat lain memang pernah menanam niat untuk menubuhkan sebuah NGO bagi kami alumni-alumni pelajar Sabah di Mesir. Bagi saya, seaktif mana pun kita bergiat ketika di zaman kuliah dahulu, pasti tidak akan sama apabila kita telah balik semula ke tanah air. Apabila kita telah mula terjun ke alam pekerjaan, dan diuji dengan kesibukan yang menghimpit, di situlah kita akan benar-benar diuji sejauh mana semangat dan kesungguhan kita dahulu untuk meneruskan usaha dakwah ini.


Mungkin, inilah juga sebabnya Allah s.w.t mentakdirkan diri saya yang serba kekurangan ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang tersebut. Saya berharap, dengan amanah yang Allah s.w.t taklifkan ini, akan membuatkan saya lebih dekat denganNya. Lebih tabah, lebih cekal dan lebih faham bahawa untuk mendapatkan syurga Allah yang mahal, pastinya ada harga yang perlu dibayar.


Bukan hanya dengan duduk,goyang kaki!

{ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan balasan syurga untuk mereka..}  Surah At-Taubah:111

Saya rasa, saya sudah menemui jawapannya.
Walaupun masih ada rasa ragu-ragu dan ketidakyakinan dalam diri saya untuk menggalas tugas ini, saya yakin di luar sana sentiasa ada kader-kader dakwah yang jiwanya telah sebati dengan Islam dan dakwah.

Semoga Allah membantu saya dalam menjalankan amanah ini.. Aamin~
Mohon doa sahabat sahabiah semua ya? =')



No comments:

Post a Comment