Saturday, August 3, 2013

Mad'u Istimewa (8) : Mujahadah Seorang Remaja Islam

بسم الله الرحمن الرحيم


Pada sebelah pagi di sekolah agama, saya sangat suka bercerita kepada pelajar-pelajar saya mengenai kisah Firdaus. Tingkatan satu dan dua mungkin tidak, tetapi kepada pelajar tingkatan tiga,iya! Kerana bagi saya usia mereka yang semakin meningkat dewasa, sangat perlu didedahkan dengan realiti sebenar dunia di luar sana.


Saya mengkhabarkan kepada mereka kisah pertemuan saya dengan Firdaus sejak hari pertama dan  rentetan apa yang berlaku kepadanya hari ini. Tujuan saya, bukan untuk membuka aibnya. Tidak sama sekali! 
Tetapi harapan saya semoga perkongsian cerita itu akan membawa suatu kesedaran kepada mereka betapa pentingnya untuk mereka menghargai nikmat yang telah wujud disekeliling mereka hari ini.


Setiap kali saya bercerita, saya perasan ada beberapa orang pelajar puteri saya yang turut mengalirkan air mata. Saya kira, pasti mereka juga turut merasai dan mendalami perasaan saya saat itu. Keterujaan mereka sangat dizahirkan, sehingga sampai ke satu tahap, bila saya masuk saja ke kelas mereka untuk mengajar matapelajaran Tauhid, saya menerima pertanyaan pertama mereka..


"Ustazah,ustazah.... Apa khabar Firdaus?", jerit kecil pelajar puteri yang duduk di bahagian belakang kelas.

Secara spontan saya tersenyum. 

"Sampainya hati kamu. Khabar ustazah kamu tidak tanya pula ya. Tiba-tiba Firdaus...", jawab saya seakan merajuk.

"Ehh... Tidak,tidak,tidak.... Ustazah apa khabar,ustazah? Ustazah sihat?", tanya mereka.

"Hermmm..Ikhlas,kah tu?", saja saya mengusik mereka. 


Saya pernah bertanya dan meminta izin kepada Firdaus kalau-kalau boleh saya kongsikan ceritanya ini lewat tulisan-tulisan saya. Katanya, dia juga tidak kisah dan memberi keizinan itu kepada saya. Katanya, dia harap sesiapa yang membaca kisahnya nanti, mungkin boleh mengambil sedikit sebanyak pengajaran melalui kisah perjalanan hidupnya sebagai seorang remaja Islam.


Hari ini, saya dapat lihat betapa Firdaus benar-benar sedang bermujahadah dalam perjalanan hijrahnya. Tatkala dia sudah punyai azam,niat dan tekad untuk berubah pastinya ia bukannya sesuatu yang mudah untuk dia berubah sekelip mata. Firdaus turut memberitahu saya bahawa, rakan-rakan merupakan ujian yang sangat besar bagi dirinya. Melihatkan sikap dan penampilannya yang serba sedikit berubah, katanya sudah ada segelintir rakannya yang mula menjauhkan diri. Tetapi, dia cuba untuk gagahi dan menghadapinya dengan penuh kesabaran. 


Ramadhan tahun ini merupakan tahun pertama Firdaus menjalani ibadah puasa. Saya berharap benar agar dia dapat berpuasa penuh bersempena dengan tahun pertamanya ini.  Alhamdulillah, hari demi hari Firdaus dapat berpuasa dan mengharungi hari-harinya dengan penuh kesabaran dan menjalani tarbiyah buat dirinya sendiri. Kemudian, seingat saya masuk hari ke 12 atau 13 saya ada menerima mesejnya di dalam akaun facebook saya.


"Ustazah...kalau puasa kan..kita merungut-rungut lapar.kurang pahala,kah..? 
Huhuhu...Saya belum biasa lagi puasa ni, ustazah. Sebab tulah selalu betul saya stress. Kalau jam 4, jam 5 lapar sudah saya tu. Mula la merungut-rungut..huhu..." 


Kasihan pula saya mendengar kesulitan yang dihadapinya. Tetapi semua itu tidak boleh dilayan! 
Nanti, makin menjadi-jadi pula manjanya!  Lantas saya memujuknya untuk terus bersabar dan hayati apa hikmah sebenar kita diperintahkan untuk berpuasa. Saya harap dan saya tahu dia faham. 


"Jadi puasa Firdaus sudah bocor lah ni..??"  Tanya saya ingin tahu kalau-kalau dia sudah terponteng puasanya.



"Bocor belum lagi la...Tapi hampir-hampir  tu pernaah.... Sikiiiiit lagi saya minum jus. Time tu haus betul ni...Hahaha.. Apa saya buat..?  Saya tidur.."

Kali ni saya bertul-betul tertawa mendengar ceritanya.
Tingkahnya tidak ubah seperti anak kecil. Sehingga hari ini, malam ke 26 Ramadhan setahu saya baru sehari Firdaus terponteng puasanya. Itu pun kerana pada malamnya, dia tidak terbangun untuk bersahur. Katanya dia sudah cuba untuk meneruskan ibadah puasa pada siang hari itu, tetapi mungkin keadaan tidak mengizinkan.

"Ustazah, nanti saya qada' ya ustazah?" 

'Rasa bersalah la tu...', bisik hati saya sambil tersenyum padanya.


Saya benar-benar kagum pada kesungguhan Firdaus untuk berpuasa di bulan Ramadhan ini.
Apa tidaknya, menjelang peperiksaan akhir yang akan menjelang tidak lama lagi, selain kelas-kelas subjek lain, Firdaus juga terpaksa menjalani latihan vokalnya saban hari. Setiap hari perlu menyanyi, setiap hari dia perlu melontarkan vokal dengan betul. Tidak hairanlah dia selalu merasa haus dan keletihan.


Selain itu, Firdaus juga menghadapi ujian dan dugaan untuk menjalani ibadah puasanya tatkala bersama rakan-rakannya. Menurutnya, selesai sahaja kelas mahupun practise di kolej, mereka ramai-ramai akan ke cafe dan kebanyakan rakan seislamnya, dengan selamba akan makan dan minum di khalayak ramai pada siang hari.
Fidaus pula yang menjadi kekok!

Adakalanya, perubahan Firdaus membuatkan mereka sudah tidak berasa selesa dengan keberadaannya. Firdaus terpaksa berbohong bahawa dia juga tidak berpuasa seperti mereka. Tetapi kononya, dia tiada selera untuk makan di bawah. Oleh itu, Firdaus terpaksa membeli makanan dan membungkusnya untuk meyakinkan rakan-rakannya bahawa dia tetap rakan mereka yang dahulu.


"Saya bawa makanan tu pergi atas ustazah dan saya akan bagi pada kawan-kawan lain (bukan muslim) yang belum lunch". 


Subhaanallah.... Mulia sungguh hati pelajar saya ini.
Dan saya terpaksa akui besar sungguh ujian Allah swt pada Firdaus,kan?
Saya cukup berbangga dengan usaha dan semangatnya untuk terus istiqamah. Semoga dia terus dikuatkan hati dan azam untuk meneruskan perjalanan hijrahnya untuk menjadi seorang muslim yang baik.

Allahumma Aamin!


No comments:

Post a Comment