Friday, June 21, 2013

Mad'u Istimewa (3) : Semoga Kita Bukan 'Mereka'!

بسم  الله الرحمن الرحيم


"Ustazah.. Lelaki yang selalu di masjid, tukang azan tu kita panggil apa  sudah tu..?"  
Firdaus menyoal selepas selesai saya menerangkan tajuk yang kami pelajari pada hari itu. Dia lupa agaknya. Saya tersenyum melihatnya.


"Ohh.. Kita panggil Bilal. Kenapa Firdaus?" Saya bertanya kerana jelas seperti ada yang ingin diceritakannya.


"Ooo..a,ah! Bilal..
Hari tu kan ustazah, saya ada nampak satu banner bah di luar masjid Sandakan. Ada ceramah mau kena buat. Time tu, saya tergerak hati untuk pergi. So, saya sanggup cancelkan semua plan saya hari itu, begitu juga dengan masa untuk saya buat latihan muzik saya.Time saya masuk, majoriti orang di sana berjubah dan berkain sarung. Bila saya sampai ja di tengah masjid Bilal tu mula tengok saya dari atas ke bawah dengan pandangan hairan. Lepas tu kan ustazah, dia datang dan menegur saya...Dia cakap..."


"Boy, saya rasa kamu sudah salah tempat ni..!", tegur si Bilal.


"Ustazah tahu, masa tu saya rasa hampa dan kecewa betul. Di situ juga, saya menangis. Saya berfikir sendiri teruk betulkah sudah saya ni? Saya memang tiada harapankah lagi untuk jadi seorang muslim yang baik? Sejak dari hari tu sampailah sekarang, saya tidak pernah lagi masuk masjid,ustazah!" 


Begitu cerita Firdaus pada kami semua. Ada nada geram, marah dan kesal pada suaranya.


Biar bagaimana pun rupa seorang muslim yang melangkah masuk ke rumah Allah, seharusnya kita meyantuninya dengan kata-kata yang manis dan berhikmah. Walaupun mungkin penampilannya tidak sesempurna mana, bukankah sesuatu yang lebih membahagiakan melihatnya bertandang ke masjid berbanding rumah-rumah ibadah agama lain..??

 
"Kadang-kadang bila saya pergi kedai buku pun, saya pernah cuba cari buku-buku agama. 
Sebab saya memang mahu baca dan belajar. Tapi, serta merta saya matikan niat saya bila terdengar pekerja-pekerja kedai buku di situ sempat berbisik sesama mereka dan mentertawakan saya. Saya tahu, penampilan saya ni tidaklah macam ustaz-ustaz. Tapi saya ada niat mau belajar agama ustazah..." Firdaus mematikan perbualan.

"Mereka pun orang Islam kan ustazah. Yang lelaki berkopiah, yang perempuan bertudung.. Tapi kenapa seolah-olah mereka tidak terima saya yang mahu belajar ni? Teruk sangatkah saya? Kenapa diorang begitu ustazah....???" 

Lidah saya kelu. Kata-kata saya pula termati seketika.

"Ermm..Kalau boleh ustazah tanya, time tu, Firdaus begini,kah?"  Soal saya sambil tersenyum  merujuk kepada gaya dan pemakaiannya yang sangat ranggi dan 'canggih'. 

"Ndalaa ustazah. Time tu saya masih budak baik lagi. Rambut saya pun masih hitam dan pendek. Tapi iyalah, saya tidak pakai macam diorang. Saya just pakai t-shirt sama jeans ja...Boleh bah kan ustazah?"

"Oooo iyaa?? A,ah boleh ja pun. Tapi..sedih pula ustazah reaksi pakcik bilal tu begitu.. Ustazah minta maaf ya.." Spontan kalam maaf itu terpacul keluar dari mulut saya.


Saya cuba memujuk hatinya. Seperti seorang anak kecil yang tidak mendapat gula-gula yang dipintanya, pasti ada rasa sedih dan ingin dipujuk. 

"Firdaus tahu, itu tandanya Allah sayang dengan Firdaus tau!  Allah sebenarnya mahu tengok samada Firdaus betul-betul mahu belajar dan berubah kah tidak. Allah swt tu bagi kita ujian, dugaan bukan sebab Allah tidak sayangkan kita, tapi ujian tu datang sebenarnya untuk tambah menguatkan iman kita lagi. Firdaus mesti yakin, dan jangan putus asa ya! Selagi manusia ni hidup, selagi itulah ada peluang untuk kita bertaubat dan berubah untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik."

Dia mengangguk dan cuba mengukir senyum.

Saya dapat merasai perasaan kesal dan kecewa yang dialaminya. Masakan tidak? Di saat dia mula berharap dan menanam niat, semua yang ada disekelilingnya pula seakan menghalang dan memandang hina akan semua yang telah dia usahakan tadi. 


Aduhai, hancur luluh hati saya bila teringat soalan yang diajukan oleh Firdaus tadi!

"Kenapa mereka begitu,ustazah?"


Saya sejujurnya rasa bersalah, malu dan kesal atas reaksi mereka-mereka tadi yang saya lihat sebagai satu tindakan yang sangat tidak patut dilakukan pada sesiapa sahaja, apatah lagi kepada saudara seakidah kita yang sedang berusaha untuk berhijrah. 


Ya, walaupun  mungkin secara luarannya dia tidak berpakaian dan beridentiti sempurna sebagai seorang muslim, tapi dia sedang balajar! 
Dia sedang berusaha untuk mengenali agamanya. 
Dia juga sedang cuba untuk mendekati TuhanNya. 
Lantas, kita siapa untuk memperlekeh dan memperkecilkan usaha mereka? 


Kita siapa..???


Mungkin begitulah 'rupa' kita pada pandangan Allah swt. Hanya seperti bayang hitam tanpa wajah dan kecerahan kulit yang menjadi titik perbezaan. Kerana bagi Allah, hanya nilai iman dan taqwalah yang menjadi penentu kedudukan hamba di sisi Tuhannya yang Maha Sempurna.



Allah swt berfirman di dalam kitabnya yang bermaksud : 
       "Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.." Al Hujurat: 13


Hari ini, saya mendengar cerita tadi melalui mulut pelajar saya.
Jelas, peristiwa ini memberikan pengajaran dan membawa saya kembali untuk bermuhasabah sendiri.
Selaku insan yang mengakui diri sebagai aktivis dakwah,pernahkah kita terfikir..

Mungkinkah kita juga pernah menjadi seperti Pak Bilal dan pekerja-pekerja di kedai buku tadi?
Mungkinkah kita pernah memandang rendah seseorang yang baru hendak mengenali Islam?
Mungkinkah kita pernah merasa seperti kita sahajalah yang baik, dan bukannya orang seperti mereka?
Dan yang paling mengusik hati saya...
Mungkinkah kita pernah menjadi asbab, seseorang itu menjadi lebih jauh dari Allah swt?

Astaghfirullah al-azim.. 

Demi Allah swt.. 
Demi agama Islam ..
Demi saudara-saudara kita yang lain di luar sana..
Semoga kita bukan 'mereka'!


Ya! 
Sekali lagi, saya dapat lihat keinginan, azam dan niat remaja lelaki yang bernama Firdaus ini untuk berubah dan berhijrah. Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa. 'Ya Allah, kuatkanlah hatinya dan pimpinlah dia ke jalanMu..' Aamin~



1 comment: