Monday, July 1, 2013

Mad'u Istimewa (4) : TakdirNya Menguji

بسم الله الرحمن الرحيم

Sepanjang kelas pengajian Islam berjalan, Firdaus tidak pernah tidak hadir. Pada hari itu, kelibatnya tidak kelihatan langsung. Telefon pintar berwarna hitam kuning itu ditenung lagi.
Pelik. Tiada pula mesej yang dikirimkannya untuk menyatakan sebab ketidakhadirannya.
Dahi saya berkerut. Ya, ada rasa risau yang timbul jauh di sudut hati saya.

'Semoga semuanya baik-baik sahaja..' Doa saya pendek.

Kali terakhir saya bertemu Firdaus, perubahan fizikal sudah mula kelihatan pada dirinya. Rambutnya sudah dipotong sedikit pendek. Ianya berikat, berwarna hitam dan sangat kemas berbanding hari pertama saya bertemu dengannya. Saya tidak menzahirkan kegembiraan saya pada ketika itu. Di dalam hati, senyuman saya berbunga. Kalau diikutkan hati, saya hendak memuji perubahannya dihadapan rakan-rakan yang lain. Tetapi risau pula saya jika dia berasa segan dan kekok. Mungkin disebabkan perubahan awal itulah, yang membuatkan saya semakin hari, semakin suka untuk bertemu dengannya dan membimbingnya.

Selang beberapa hari kemudian, kami bertemu.
Dua jam seterusnya bersama mereka, seperti biasa saya membawa tajuk dan silibus yang perlu dikongsikan. Seperti biasa, kami banyak berbincang dan mereka juga banyak bertanya mengenai perihal hukum dan pendapat saya mengenai sesuatu isu.

Selesai kelas pada hari itu, dengan takdir Allah saya bertembung dengan Firdaus ketika hendak turun ke aras bawah. Berkongsi di dalam lif yang sama, membuatkan saya berpeluang untuk bertanya khabarnya.

"Kenapa Firdaus tidak hadir minggu lalu?" Soal saya.

"Maaf ustazah. Saya.... Saya tidak sihat." Jawabnya seperti teragak-agak.

Saya mengangguk tanda faham. Walaupun seperti ada sesuatu yang dia sembunyikan, saya biarkan sahaja. Mungkin dia tidak selesa untuk menceritakannya.

"Sebenarnya ustazah saya baru keluar dari hospital.." Kalamnya memecahkan kesunyian.

"Oh...Firdaus sakit apa sebenarnya? Macam serius pula.." Dahi saya mula berkerut.

"Ermm...Di bahagian tengkuk saya ni ustazah, disyaki ada something yang tidak kena. Doktor sudah scan, cuma keputusannya belum keluar lagi. Kata doktor, kalau apa yang disyaki tadi betul-betul ada dan positif, saya akan dibedah ustazah......"



Saya tersentak seketika mendengar kata-katanya.

"Dan.. kalau betul saya perlu dibedah, berkemungkinan besar...saya.."

"Saya tidak akan boleh melihat lagi, ustazah..", ucapnya sambil menundukkan kepala.

'Ya Allah...Ya Allah.. Besarnya ujianNya buat mu, saudaraku..'
Bisik saya di dalam hati, tatkala mata mula berkaca.

Firdaus mengangkat muka. Dia mengukir senyum.

"Tapi, tidak apalah ustazah. Kan ustazah ada ajar hari tu tentang Qada' dan Qadar. Semua yang berlaku ni mesti ada hikmahnya kan ustazah?"

Senyumannya tambah membuatkan saya bersedih hati.

"Ya..Pasti! Mungkin kadang-kadang kita sebagai manusia tidak dapat mentafsirkan hikmah disetiap kejadian tadi, tapi pastinya Allah swt tidak akan menjadika  sesuatu itu dengan sia-sia. Pasti.." Saya membalas senyumnya.

Riak wajahnya berubah lagi. "Sebenarnya... saya takut ustazah.."

"Tapi it's ok... Mungkin inilah balasan Allah pada saya. Dulu, mata saya ni suka betul tengok benda-benda yang haram... Betul kan, ustazah?"

Saya akur dengan ketetapan Allah swt ke atasnya.
Selaku seorang pensyarah kepada Firdaus biarpun baru beberapa minggu kami berjumpa, saya dapat lihat ada azam dan kesungguhan pada dirinya untuk berubah. Hari demi hari, minggu demi minggu... Sedikit demi sedikit ada saja perubahan positif yang dia usahakan.
 Alhamdulillah..Thumma Alhamdulillah..

Mendengarkan beritanya tadi, membuatkan saya merasa betapa Allah swt itu sangat sayang kepada Firdaus. Tatkala dia sudah mula terlihat cahaya yang memberikanya harapan untuk berubah, Allah swt uji pula dia dengan hal sebegini. Saya tahu, selain dari doa tiada apa yang mampu saya buat untuk membantunya. Tetapi, setiap masa saya minta untuk Firdaus jangan sesekali berputus asa dari rahmat Allah dan jangan pula berburuk sangka kepada-Nya.

"Kalau boleh ustazah tanya... Macamana pula tiba-tiba ada komplikasi di bahagian tengkuk Firdaus? Maksud ustazah, kenapa tiba-tiba ya?"

Dia tersengih.


"Sebenarnya ustazah  masa saya belajar di Australia dulu tu, ada suatu hari selepas saya hadir ke sebuah persembahan konsert, saya balik ke rumah seorang diri. Saya ni ustazah, suka cuba jalan-jalan di tempat yang saya tidak pernah lalu pun.. hehehe"

"Hari tu, jalan punya jalan tiba-tiba sedar sahaja, saya rupanya telah memasuki lorong-lorong yang gelap. Saya tahu, jalan itu akan menuju ke apartment saya. Ya, saya rasa takut juga masa tu... Tapi saya teruskan sahaja perjalanan saya."

"Tanpa saya jangka, tiba-tiba sahaja saya dikerumuni oleh lebih kurang daalam 4 atau 5 orang lelaki berkulit putih. Mereka mengambil semua duit, telefon dan dompet saya ustazah. Saya kan seorang ja ustazah...Jadi saya pun tidaklah melawan. Saya mengalah, saya bagi semua yang saya ada asalkan saya selamat. Tiba-tiba.... saya terasa sakit yang amat sangat di bahagian belakang dan tengkuk saya. Itulah perkara terakhir yang saya ingat ustazah. Bangun-bangun saja, saya sudah berada di atas katil hospital."

"Owh....begitu. Sebelum ni, tiada rasa apa-apa kesan,kah?"

"Lepas keluar dari hospital tu, tiada juga saya rasa apa-apa yang mencurigakan ustazah. Cuma yang saya perasan, mata saya lah... Saya sebenarnya memang rabun ustazah. Tapi rendah saja degreenya. Dalam 100 lebih kurang. Semenjak dua menjak ni saya perasan, penglihatan saya semakin kabur. Bila buat check-up mata, rupa-rupanya ustazah bayangkan dalam masa 3 bulan saja, degree cermin mata saya naik sampai 700!!"

"Wahh.. Ustazah pun 500 ja Firdaus.. Hebat eh..", jawa saya sambil senyum dan tawa kami bersambut.

"Itulah tu ustazah. Jadi sekarang ni saya tengah tunggu result test temph hari. Ustazah doakan saya ya! Saya masih mahu belajar, datang kolej.. Doakan ok!" Pintanya sambil tersenyum.

"InsyaAllah...Ustazah tidak akan keberatan untuk mendoakan Firdaus. Tapi Firdaus sendiri kena kuat tau. Jangan berhenti berdoa ya."

"Ya, ustazah...."

Sepertimana dia.. saya juga turut merasai kegusaran dan keresahan menanti keputusan hasil check-upnya tempoh hari.


'Ya Allah.. bantulah dia. Selamatkanlah dia..'



No comments:

Post a Comment