Friday, May 24, 2013

Mad'u Istimewa (1) : Pertemuan Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم


Hari ini, walaupun saya bertugas sebagai seorang warga pendidik disalah sebuah sekolah agama di Kota Kinabalu, saya juga sebenarnya menyulam cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah. Namun begitu, saya merasakan, mungkin masih terlalu awal untuk saya menyusun langkah ke arah itu memandangkan tugasan di sekolah pun sudah cukup menyibukkan jadual harian saya.

Namun, perancangan Allah swt melangkaui perancangan manusia. Tawaran yang datang, bagi saya agak tiba-tiba dan tanpa diduga. Walaupun begitu, saya cuba untuk merebut peluang yang datang ini dengan sebaiknya. Sebagai seorang pensyarah, berhadapan pula dengan sekumpulan pelajar yang berstatus remaja, di sebuah kolej swasta, pastinya memberi saya sebuah lagi pengalaman yang amat bernilai.


Inilah lokasi kedua tempat saya bertugas. Institut Seni Sabah, sebuah kolej swasta yang terletak di KK Times Square betul-betul  ditengah bandar Kota Kinabalu. Kebanyakkan pelajar di sini adalah berbangsa Cina, tetapi ada juga segelintir pelajar Melayu dan merekalah yang menjadi pelajar saya bagi subjek Pengajian Islam.

Saya sedar, bertugas di kolej ini pastinya akan menemukan saya dengan sekumpulan remaja yang tidak pernah saya gauli sebelum ini. Yalah, masakan tidak. Sejak saya menuntut di sekolah menengah agama, saya sudah terbiasa dengan adab pergaulan yang agak terbatas diantara pelajar lelaki dan perempuan. Nakal-nakal macamana pun, kami tetap ada batas dan akhlak yang sentiasa perlu kami patuhi kerana ilmu agama itu ada. Tatkala meneruskan pengajian ke universiti pula, Allah swt 'menerbangkan' saya ke bumi Mesir, bumi para nabi dan juga bumi para ulamak. Pastinya berkat ilmu agama dan persekitaran yang islami di sana membuatkan saya berasa sangat selesa di dalam zon tersebut. Masing-masing boleh dikatakan ada ilmu agama. Makanya, masing-masing tahu menjaga diri dan usrah pula menjadi medium untuk kami saling ingat memperingati tentang tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan daie.


Hari pertama bertugas.
21 Mei 2013.

Saya tidak mampu membohongi diri.
Ada rasa gementar dan cuak yang membuatkan saya seakan mahu demam.
Hawa sejuk bilik kuliah yang berhawa dingin itu, semakin membuatkan saya kecut perut.

'Tok..tok..tok..'

Saya menoleh ke arah pintu.

Saya terkesima.
Dihadapan saya adalah seorang remaja lelaki berbaju hitam, mukanya pula agak chinese look. Rambutnya panjang hampir mencecah pinggang, berpintal-pintal, dan berwarna kekuningan. Dia tersenyum sambil menunjukkan jari ke arah sebuah beg dan laptop yang berada di atas meja saya.

"Owhh... Dia mahu ambil barang rupanya. Ingatkan pelajar Pengajian Islam." Saya bermonolog sendiri dan menghela nafas lega.

Tiba-tiba dia duduk dimeja yang sama dengan saya. Di sebelah kiri.
Dia mengukir senyum dan bertanya kalau-kalau dia berada di tempat yang betul.

'Kelas pengajian Islam ni,kan?', soalnya.

'Ya..' Saya menjawab pendek dan tersenyum padanya.

'Ustazah..Saya tidak tahu apa-apa ni,ustazah. Betul...Kosong.. Ustazah ajar saya,ya?'
Belum sempat pun kami bertaaruf, kalam itu yang terpacul keluar dari mulutnya.


Saya tersentuh.

Rupa-rupanya  remaja lelaki yang sedang duduk di hadapan saya ini adalah seorang remaja yang beragama Islam. Mungkin, kerana dia berbangsa Murut, mukanya seakan berbangsa Cina. Saya memohon maaf kepadanya, kalau-kalau soalan dan reaksi saya awal-awal tadi seolah tidak meraikan kehadirannya di dalam kelas saya. Jauh di sudut hati, saya sangat gembira bertemu dengannya. Dialah Ahmad Firdaus, seorang pelajar muslim yang mengambil jurusan muzik dan kelas vokal di kolej ini.

Tidak sampai 5 minit kemudian, masuk pula dua orang remaja perempuan. Seorang bertudung, dan seorang pula free-hair. Dua orang gadis ini ialah Putri Dania dan Afiqah, dan kedua-duanya merupakan pelajar di dalam bidang fashion designer.

Kelas pertama saya bersama mereka saya mulakan dengan sesi taaruf.
Saya mahu, mereka belajar dalam keadaan selesa dan tidak kekok terhadap saya. Saya mahu, antara saya dengan mereka, bukan hanya hubungan diantara seorang pensyarah dan pelajar yang terjalin, tetapi lebih kepada hubungan kakak dan adik.

Lebih kurang 10 minit kami bercerita mengenai peribadi masing-masing, saya sudah mula merasai keakraban diantara kami. Mungkin tidak sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya suasana tidak tegang. Firdaus dengan sikapnya yang suka bergurau ternyata membuatkan kami semua seakan sudah lama kenal. Diantara mereka bertiga, saya dapat perhatikan bahawa Firdaus merupakan pelajar yang paling kurang asas pengetahuannya di dalam ilmu berkenaan agama Islam. Afiqah dan Dania pula sekurang-kurangnya dapat juga menjawab satu dua soalan yang saya ajukan. Tetapi Firdaus, dia seperti seorang bayi. Dia hanya mampu mendengar, tetapi dia jugalah yang paling tekun menyalin nota.

'Ustazah, sebenarnya saya ni baru balik dari Australia. Saya belajar di sana dulu. Baru juga pulang ni. Saya lemah bab-bab agama ni ustazah..' Begitu pengakuan yang diluahnya sendiri.

Saya melemparkan senyuman kepadanya.

'Nda pa..Kita ada masa lagi. InsyaAllah kita semua akan belajar dan sama-sama berkongsi ilmu agama ni,ya!' Jawab saya kepadanya ringkas dan dalam masa yang sama ingin dia memahami makna yang tersurat dan tersirat daripada kata-kata yang terucap.

Hari itu, menjadi hari yang paling gembira buat saya.

Saya seolah-olah telah melangkah masuk kesebuah dunia baru. Dunia yang belum pernah saya terokai sebelum ini. Selama ini saya hanya bergaul dikalangan orang-orang yang baik dan berilmu. Duduk dan bercerita bersama remaja-remaja ini pula membuatkan saya rasa, Allah swt telah memberikan satu lagi amanah buat saya. Saya tidak ingin hanya mengajar mereka subjek ini, hanya untuk mereka lulus di dalam pengajian mereka. Tetapi saya berharap semoga saya dapat membantu mereka untuk lebih memahami dan mendalami agama Islam yang sempurna ini.

Saya tahu, saya hanya mampu berusaha setakat itu. Lebih daripada itu, saya berdoa sedikit demi sedikit mereka akan menjadi seorang remaja Islam yang lebih sempurna. Semoga Allah swt akan sentiasa melindungi dan memberikan hidayahNya kepada pelajar-pelajar saya ini, InsyaAllah..

Allahumma Aamin..


2 comments:

  1. Ahsanti... x ramai para ilmuan agama yg berpandangan positif mcm ustazah.. teruskan ustazah... moga suatu hari sabah bersinar2 dibawah payung islam... takbir!!

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, terima kasih atas doanya.
    Sama-sama bergerak di posisi masing-masing, semoga Islam bersinar cerah kelak!
    Allahu Akbar!

    ReplyDelete