Wednesday, May 22, 2013

'Tuan, Saya Mohon Maaf..'

بسم الله الرحمن الرحيم
  

Saya tidak menyangka pada hari itu, satu peristiwa telah berlaku. Bukan peristiwa yang biasa-biasa tapi peristiwa yang ternyata memberi kesan yang sangat mendalam bagi saya dan sahabat-sahabat yang lain.
Melaluinya juga saya mempelajari banyak hal, yang mana saya yakin akan menjadi panduan dan tauladan untuk saya menghadapi hari-hari yang mendatang sebagai seorang insan biasa.


TIDAK SEMUA INSAN BERHATI MULIA

Kita hidup di dunia ini tidak lama. Boleh jadi esok, lusa ataupun minggu depan kita akan 'pulang' menemui Ilahi. Oleh kerana itu, kita sering berazam untuk menabur bakti dan jasa sehingga adakalanya kita perlu membuat pengorbanan kecil. Hari demi hari.. minggu demi minggu. Kita menjalankan tugas yang diamanahkan dengan hati gembira dan menganggap semuanya akan baik-baik sahaja.

Saya dan sahabat-sahabat lain adalah 'budak hingusan' yang masih bertatih di dalam dunia pekerjaan ini. Di suruh itu dan ini, walaupun kami tahu ianya bukanlah tugas yang sebenarnya diamanahkan untuk kami, kami patuh. Kami taati dengan sikap cuba berlapang dada. Namun, dewasa ini saya semakin sedar.Walaupun Allah swt menempatkan kita dikalangan manusia yang baik, tetapi satu hakikat yang kita perlu sedar adalah tidak semua insan berhati mulia.

Tidak semua.

 Insan yang mulia tidak akan mengambil kesempatan dan menindas insan lain..Kerana dia tahu, dia juga sedang berkerja di bawah 'Tuan' yang Maha Agung dan Berkuasa.


Di saat kita datang untuk membantu, mungkin kelak kitalah yang akan terhimpit di dalam situasi itu.
Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan ketidakupayaan orang lain, adalah sangat tidak wajar bagi saya!

Ya, kita mungkin bertuah kerana Allah swt telah melebihkan anda dari sudut pangkat, darjat dan juga kekayaan. Akan tetapi, janganlah pula ianya disalahguna. Dalam setiap tindakan kita, cubalah meletakkan diri kita di tempat orang lain yang tidak bernasib baik seperti anda. Pendek kata, cubalah untuk 'mempuyai perasaan' seperti kami juga.


PRINSIP PICISAN vs LEMBU YANG DICUCUK HIDUNG

Saya bukanlah insan yang hebat-hebat.
Saya hanya seorang gadis biasa yang sedang belajar daripada 'sekolah kehidupan' tentang erti kerjasama, tolak-ansur, patuh, prinsip dan juga membuat bantahan. Bila mana mereka mengatakan mereka memberi 'pilihan', sebenarnya ia bukannya pilihan! Yang ada hanyalah keputusan dan arahan!

Saya bukan robot, bukan juga alat mainan yang akan menari mengikut irama setelah kuncinya diputar-putar.



Saya juga seperti anda.
Saya masih ada ibu dan bapa untuk saya berbakti kepadanya.
Saya ada impian yang sedang diusahakan untuk saya merealisasikannya.
Saya juga seorang gadis yang punya perancangan masa depan untuk saya dan keluarga saya kelak.
Dan yang paling penting, saya punya suara!
Jika suara yang Allah ciptakan ini tidak kita terima fungsinya untuk bercakap dan didengar, maka mungkin adalah lebih baik kita berkerja bersama robot-robot sekalian. Yang hanya taat sepanjang masa tanpa bantahan.

Ya, mungkin prinsip dan pegangan saya picisan bagi mata orang lain, tapi amat besar bagi saya.

Oleh kerana itu, 'Tuan, saya mohon maaf.'


PEMIMPIN SEPERTI RASULULLAH SAW

Rasulullah saw adalah insan yang teragung di muka bumi ini. Kita maklumi bahawa baginda saw merupakan idola dan mentor terbaik dari setiap segi untuk kita contohi. Begitu jugalah halnya dari sudut kepimpinan dan pentadbiran.

Walaupun kita dilahirkan untuk menjadi seorang ketua, bukanlah bermakna kita hanya akan mengarah dan memberi arahan. Kita seorang, tetapi di bawah kita ada sekumpulan manusia lagi yang berkerja bersama kita. Ingatlah, kita semua mempunyai suara dan pendapat masing-masing yang boleh dikongsi. Bila timbul apa-apa permasalahan, bawalah berbincang dan bermesyuarat.

Keputusan yang diambil tanpa meminta pendapat dan bersifat 'kuku besi' bukannya akan dapat menyelesaikan masalah pun. Kalau pun mampu diselesaikan, ia hanya akan bersifat sementara. Dan akhirnya, jika kita berterusan bersikap demikian pastinya kredibiliti dan  syakhsiah anda sebagai seorang pemimpin akan mulai pudar dimata orang bawahan anda, sedikit demi sedikit.

Saya mempelajarinya hari ini.
Seandainya saya ditakdirkan untuk menjadi seorang ketua mahupun pemimpin suatu hari nanti, semoga saya akan sentiasa ingat bagaimana dan apakah perasaan orang-orang bawahan yang sangat tidak suka untuk diarah tanpa diberikan peluang sedikit pun untuk bercakap!


Saya tidak suka untuk menjadi seorang yang suka membantah.
Apatah lagi orang disekeliling pastinya akan menggelar kita dengan frasa 'tidak pandai berterima kasih' dan 'tidak mengenang budi'.

Bersyukurlah, anda tidak berada di tempat saya.

Selagi mana anda tahu anda memegang dan percaya dengan prinsip diri anda, yakinlah dengannya.
Dan tentu sekali, rezeki kita bukanlah terletak ditangan manusia, tetapi Allah swt-lah sebaik-baik pemberi rezeki.

Alhamdulillah..



- Catatan Kecil 180513 -

No comments:

Post a Comment