Sunday, June 2, 2013

Mad'u Istimewa (2) : " Saya Seorang Peminum.."

بسم الله الرحمن الرحيم

Diantara kesemua pelajar, perhatian saya lebih tertumpu kepada Firdaus. Sepertimana yang telah saya ceritakan di dalam entri yang lalu, dia ternyata sangat kurang ilmu tentang agama Islam, biarpun lahir sebagai seorang muslim. Saya sedar, apabila saya meminta mereka untuk memberi jawapan bagi soalan-soalan saya seperti mengenai rukun Islam,rukun iman dan kalimah syahadah, Firdaus hanya diam. Bukan malu, tetapi dia benar-benar tidak tahu.

Tetapi, satu hal yang membuatkan sangat kagum kepadanya ialah, diantara mereka semua, Firdauslah pelajar yang paling fokus, paling rajin menyalin nota di dalam kelas dan banyak bertanya. Yang lainnya pula, merasa cukup sekadar mendengar. Sambil mendengar, sambil 'berurusan' dengan Smart Phone masing-masing pula.

Mahu dimarah?

Tidak. Mereka bukan seperti pelajar-pelajar saya di sebelah pagi. 

Hanya mampu tersenyum.

Di dalam kelas pertama, saya menyentuh bab aqidah. Saya menerangkan, betapa aqidah merupakan perkara paling asas untuk kita semua pegang dan faham. Aqidah mantap, InsyaAllah sempurnalah ibadah dan akhlak. Sebelum kelas pada hari itu berakhir, saya membuka sesi soal jawab. Entah bagaimana, tiba-tiba bab arak menjadi tajuk perbualan kami. Dania yang membuka cerita.

Lalu saya menghuraikan serba sedikit mengenainya. Saya datangkan beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadith yang secara jelas menyebutkan tentang pengharaman arak. Mata saya tertumpu kepada Dania, kerana dia yang membuka persoalan tadi. Tapi, saya sedar ada reaksi pelik dari Firdaus. Dia seolah-olah terkejut bila saya katakan bahawa arak itu adalah haram dan merupakan ibu bagi segala maksiat sepertimana yang telah Rasulullah saw sebut di dalam hadithnya yang bermaksud : ''Arak adalah ibu segala maksiat dan ianya adalah maksiat paling mengaibkan." (Kitab Sunan Ibnu Majah jilid 3, kitab memabukkan, Bab 30, Hadis no. 3371)

"Ustazah..", Firdaus sepertinya ada soalan yang ingin ditanya.

"Ya..Kenapa Firdaus?"

"Ermm..Bukankah zina dosa yang paling besar?", pertanyaannya itu seperti ada terselit nada tidak puas hati.

"Ya,betul tu Firdaus. Zina pun diantara dosa-dosa yang besar juga. Tapi, sepertimana yang Rasulullah saw sebut dalam hadis tadi. jelas menunjukkan yang arak itu adalah ibu bagi segala maksiat. Rasa-rasanya kenapa?", soal saya ingin cuba mengujinya.

Dia mengerutkan dahi. Sahabat-sahabatnya yang lain juga membatu.

Lantas, saya membawakan kisah masyhur yang selalu kita dengar mengenai bahana arak. Kisah di mana seorang wanita yang menggoda seorang lelaki alim yang kuat beribadah agar memilih satu daripada tiga perkara untuk dilakukan. Iaitu berzina dengannya, membunuh anak kecil ataupun meminum arak.
Dipendekkan cerita, tatkala lelaki tersebut memilih untuk meminum arak, ternyata kesannya adalah sangat besar dan dahsyat berbanding dengan dua pilihan tadi. Dalam keadaannya yang telah mabuk, dia telah pun berzina dan membunuh anak kecil itu juga walaupun sejak dari awal tadi, tidak pernah terlintas pun difikirannya untuk berbuat demikian.

"Nampak..?", soal saya sambil tersenyum.

Firdaus mengangguk laju. Dia mengiakannya.

"Sebab itulah Islam mengharamkan arak bagi umat Islam. Kerana sesungguhnya Allah swt itu lebih tahu apa yang akan terjadi kepada manusia apabila sudah berada di dalam keadaan yang tidak waras. Kesannya bukan sahaja akan berbalik kepada si peminum, tetapi juga orang-orang disekelilingnya."

"Ustazah..", sekali lagi Firdaus memanggil. Tapi kali ini dia tertunduk, tidak memandang saya pun.

"Ya...?"

"Tapi saya.. tapi saya, sejak kecil lagi sudah meminum arak,ustazah. Entah berapa banyak,saya sendiri tidak tahu..".  Ada nada risau dan kesal terpacul dari mulutnya.

Sejujurnya saat itu saya tersentak.
Saya berfikir, mungkin kerana faktor keluarga, ataupun faktor persekitaran semasa dia menuntut di Australia yang menjadi puncanya.
Namun, saya berusaha untuk menyembunyikan perasaan tadi melalui riak wajah saya.

Saya senyum kepadanya.

Saya tidak ingin ada rasa putus asa di dalam dirinya. Lantas saya membawakan kalam Rasulullah saw yang menyebutkan tentang 3 golongan yang digugurkan dosanya oleh Allah swt iaitu orang yang gila sehingga dia berakal, seorang yang mumaiz sehingga dia baligh dan seorang yang jahil sehingga dia berilmu.

"Allah swt tu Maha Pengasih. Mungkin dahulu, Firdaus tidak tahu,kan? Tetapi hari ini, Alhamdulillah Allah swt telah memberikan satu ilmu baru kepada Firdaus. Jadi selepas ini, Firdaus kena amalkanlah ilmu yang Allah telah beri, ya!"

Firdaus mengangguk.

"Ustazah tahu, mungkin untuk mengubah satu tabiat yang sudah lama sebati di dalam hidup kita, tentunya bukan perkara yang mudah,kan? Tetapi berazamlah. Minta bantuan Allah dengan jalan sabar dan solat . Mudah-mudahan Allah beri Firdaus kekuatan untuk menjauhi arak selepas ini." Tambah saya, sebelum mematikan perbualan.

Senyumannya seolah-olah menampakkan yang dia terlihat cahaya bagi sebuah harapan.

Allah swt berfirman mafhumnya, 
" Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Furqaan :70)

Saya yakin dengan sifat Ar-Rahmah dan Al-Ghaffar Allah swt. Saya berdoa semoga Allah sentiasa membimbing langkahnya, kerana saya pasti Firdaus ada niat dan keazaman untuk berubah menjadi seorang muslim yang lebih baik, walaupun dia tidak pernah menyatakannya.

Saya harap, dia juga punya keyakinan yang sama..




No comments:

Post a Comment