Friday, March 30, 2012

Zikrayat Haramain 3

Hari terakhir kami di Madinah Al Munawwarah, kami akhiri dengan ziarah Wada' maqam Nabi saw. Doanya tulus. Semoga ini, bukanlah ziarah terakhir buat kami ke tanah suci dan semoga akan berpeluang lagi untuk menjejakkan kaki ke Kota Bercahaya ini. Allahumma Aamin...~

Kira-kira jam 3 petang, kami bersiap untuk meninggalkan hotel. Semua jemaah kelihatannya sudah memakai pakaian ihram, kerana dalam perjalanan kami ke Mekah nanti, kami akan singgah ke Masjid Bir Ali untuk bermiqat umrah. Setelah menempuh perjalanan yang agak jauh, akhirnya kami sampai ke Tanah Haram, Mekah kira-kira jam 10.30 malam. Berikutan timbulnya sedikit masalah penginapan, rancangan kami untuk terus menunaikan umrah terpaksa ditangguhkan buat seketika.

Usai menyelesaikan semua perkara, kami turun ke lobi hotel jam 11.30 malam. Walaupun keadaan badan yang agak letih kerana perjalanan jauh tadi, kami gagahi juga demi menyelesaikan ibadah umrah kami pada malam itu. Kami berjalan kaki kira-kira 15minit untuk menuju ke Masjidil Haram. Keadaanya memang sesak. Lautan manusia yang membanjiri jalan untuk ke masjid, tidak terhitung ramainya.

Subhaanallah, Allahu Akbar!

Kaabah..
Kiblat umat Islam seluruh dunia yang tidak pernah sunyi daripada menerima kunjungan tetamunya..

Tatkala terpandang Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram, tiba-tiba sahaja manik jernih itu mengalir. Sungguh, benarlah kata orang.. Tanah Haram ini adalah bumi air mata. Setiap masa, Allah swt hadirkan rasa penyesalan, kehambaan dan pengharapan kepada tetamuNya yang hadir.

Malam itu, kami menyelesaikan ibadah umrah dengan melaksanakan semua rukunya. Bermula dengan niat di Masjid Bir Ali tadi, diikuti dengan ibadah Tawaf, Saie dari bukit Safa ke Marwah dan akhir sekali bertahallul (bergunting), maka selesailah ibadah Umrah kami. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami menyelesaikan umrah wajib kami pada jam 3 pagi.

Hari-hari seterusnya, kami dibawa berziarah ke tempat-tempat bersejarah dan tempat-tempat miqat sekitarnya, untuk memberi peluang kepada jemaah sekiranya ingin membuat umrah sunat, nazar dan sebagainya. 

Selebihnya, let's this pictures talk!

Ayah dan ibu memakai pakaian ihram untuk kami menjalani ibadah umrah sebaik sahaja sampai di Mekah 

Beginilah suasana di luar Masjidil Haram setiap hari..setiap kali waktu solat..
Tidak pernah lengang, tidak pernah sunyi.. Subhanallah!

Berziarah ke Jabal Rahmah, di padang Arafah. Di sinilah tempatnya Nabi Adam as bertemu semula dengan Saidatina Hawa setelah lama terpisah. Oleh kerana 'sentimental value' yang ada padanya, ramai yang berdoa berkenaan jodoh di sini..Hurm~~

Di sinilah tempat Baginda saw dan sahabatnya, Saidina Abu Bakar As Siddiq bersembunyi ketika dikejar oleh kaum Quraisy dalam perjalanan ke Yathrib.. Jabal Thur~

Jabal Nur, tempat terletaknya Gua Hira'..
IQRA'~ Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi saw..

Mengunjungi ladang ternakan unta..Di sini, kami berkesempatan untuk meminum susu unta yang diperah oleh ammu-ammu di situ.. Fresh and... Sedap bhaa! ^_^

Perjalanan kali ini, memang istimewa.
Menjadi tetamuNya di tanah haram dan berziarah ke tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah tentunya pengalaman yang sangat berharga dan bermakna. Doa ku, semoga ini bukanlah kedatangan yang pertama dan terakhir kami di bumi barakah itu. Jika diizinkan Allah swt, semoga kami akan kembali lagi dan menerima jemputanNya. Allahumma Aamin..

Sedikit perkongsian buat semua sahabat mahupun sahabiah.. Kita terkadang, mengimpi-impikan untuk ke benua Eropah, Korea, Australia dan sebagainya, tetapi sudahkah kita menjejak bumi yang penuh barakah ini? Timbulkan niat, Insyallah dimudahkan..

Monday, March 26, 2012

Zikrayat Haramain 2


Hari kedua kami di Kota Bercahaya ini kalau mengikut tentatif program, kami akan dibawa berziarah ke tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah.

Masjid Quba' yang memutih..

Tempat pertama yang kami lawati adalah Masjid Quba. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah saw ketika berhijrah dari  Mekah dan sebelum baginda sampai di Madinah. Masjid ini adalah di antara masjid yang tersuci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.  Allah swt juga telah merakamkan  kisah masjid ini yang mana disebut sebagai masjid yang dibangunkan atas dasar taqwa. (Rujuk surah 9:108)

Sejurus selepas itu kami dibawa pula melawat Jabal Uhud. Bagaimana mungkin kita boleh melupakan sirah besar yang berlaku di tempat bersejarah ini?   ‘Barangsiapa yang tidak mempelajari sejarah, maka dia akan mengulanginya’. Sebuah pepatah yang terselit di buku teks tingkatan lima yang masih diingati sehingga hari ini.  Jabal Uhud, kisah salah satu peperangan yang disertai oleh baginda saw dan para sahabatnya yang mengajar kita erti ketaatan dan wala’ kepada pimpinan.  Walaupun sirah ini sudah lama berkubur bersama usianya, namun ianya  masih tetap membawa  mesej dan ibrahnya yang sangat penting  untuk dihadam umat Islam hari ini.

- Jabal Uhud -
Ada ibrah penting yang tersirat disebalik sirah peperangan Uhud

Di kawasan bukit inilah tentera Islam terlalai dan terlupa akan pesanan Nabi saw agar tidak turun meninggalkan posisi mereka sebagai pasukan pemanah. Tatkala perintah tersebut diingkari, lantas mengakibatkan pasukan umat Islam menjadi huru-hara dan kucar-kacir..


Di dalam kawasan yang sama terletak juga maqam penghulu para syuhada iaitu pakcik Nabi saw iaitulah Saidina Hamzah bersama puluhan syuhada yang lain. Mengingati semangat perjuangan dan keberanian mereka dalam menegakkan agama Allah swt, membuatkan kita insaf. Hari ini, sejauh manakah usaha kita untuk meneruskan perjuangan mereka itu..?

Kawasan maqam Saidina Hamzah dan syuhada Uhud yang dipagari..

Hari terakhir kami di Kota Madinah banyak dihabiskan untuk berulang-alik ke masjid Nabawi sahaja. Masa yang sedikit terluang pula kami manfaatkan dengan berjalan-jalan di kawasan membeli-belahnya yang hanya terletak berdekatan dengan hotel penginapan kami. Sedikit buah tangan ingin dibawakan kepada sahabat dan sanak saudara yang menanti kepulangan kami di tanah air.

Macam Mesir juga..Ada bermacam-macam jenis buah kurma dan tamar yang boleh didapati di sini.. Tapi yang dicari, tentulah Kurma Ajwa atau lebih dikenali sebagai Kurma Nabi..

Sebelum kami berangkat menuju ke Kota Mekah, kami berserta semua Jemaah lain siap sedia memakai pakaian ihram untuk mengerjakan umrah sejurus selepas sampai di sana nanti.

Sungguh..untuk mengerjakan ibadah umrah itu timbul perasaan gusar, risau dan teruja dalam satu masa yang sama. Kami sama-sama berdoa, semoga semuanya berjalan dengan baik tanpa ada halangan ataupun perkara yang menyulitkan..


TBC..~ ^_^

Friday, March 23, 2012

Zikrayat Haramain 1


 Setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah swt atas limpah kurniaNya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw yang diutuskan oleh Allah azza wajalla sebagai rahmat buat seluruh alam..

Alhamdulillah..Setelah 10 hari meninggalkan tanah air untuk memenuhi jemputan umrah di Haramain, hari ini dengan izin Allah kami selamat kembali ke rumah dalam keadaan sihat dan sejahtera. Sedikit perkongsian ingin dicoretkan di sini, tentu sekali buat kenangan kami sekeluarga dan umumnya buat sahabat handai dan sanak saudara yang telah mendoakan perjalanan kami.

Sangat gembira dapat berkunjung ke tanah suci bersama ayah dan ibu..^_^
Agak penat jugalah dalam fligt.. KK-HONG KONG-DUBAI-JEDDAH..
Elehh..macamlah x besa main terbang-terbang...Heee..


SUBHANALLAH.. ALLAHU AKBAR~

Tiada kata seindah bicara yang mampu dilafazkan untuk menggambarkan perasaan dan keterujaan hati tatkala sampai di kota suci itu. Perjalanan ibadah umrah kami dimulakan dengan program menziarahi kota Madinah Al Munawwarah selama tiga hari. Kami sampai di Madinah pada waktu petang. Usai sahaja mengambil kunci bilik hotel dan berehat seketika, kami bersiap-siap untuk menunaikan solat pertama kami di masjid itu. 

Mula terasa rindu...~

Ayah dan ibu nampak matching pula..Sweet~ ^_^

Subhanallah~ Inilah masjid itu!  Masjid Nabawi yang mana di sinilah terletaknya maqam Rasulullah saw dan Ar Raudhah. Seumpama mimpi, seakan tidak percaya bahawa kami sedang menujunya untuk menunaikan solat fardu maghrib di sana. Siapalah yang tidak teruja, lebih-lebih lagi bilamana Nabi saw sendiri telah mengkhabarkan tentang fadhilatnya dalam sabda baginda yang bermaksud : [ Barangsiapa yang solat di masjid ku ini, adalah lebih baik daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah]  Dan di dalam hadith lain ada yang menyebut [ Bersembahyang di masjidku ini adalah sama nilainya dengan sepuluh ribu sembahyang..]  Wallahu A’alam..

Oleh kerana pihak kerajaan Arab Saudi amat mementingkan keselamatan dan sangat menjaga kesucian tempat ini (Masjid Nabawi), maka setiap Jemaah yang ingin masuk untuk solat ataupun beriktikaf akan di periksa dengan teliti supaya para Jemaah tidak membawa barang-barang yang dilarang khususnya kamera dan telefon bimbit berkamera.  Tetapi, menurut ayah berbeza pula halnya di sebelah Jemaah lelaki. Usah dibilang berapa ramai yang menangkap gambar dan membawa telefon bimbit, tidak pula dilarang.‘ Mungkin tempat muslimat ja kot yang ada spot-check..’ agakku sambil tidak puas hati.
Adapun, bergambar di sekitar masjid dan di kawasan luarnya adalah dibenarkan dan tentu sekali dimanfaatkan oleh kebanyakan Jemaah, lebih-lebih lagi yang datang dari negara yang jauh seperti Malaysia dan Indonesia.

Maqam Kekasih yang selama ini dirindui..

Malam pertama kami di sana, kami telah dibawa untuk menziarah maqam Rasulullah saw bersama sahabatnya Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Umar al Khattab. Niatku untuk mengenakan jubah putih ketika menziarah baginda nanti aku bulatkan!  Walaupun ada sedikit masalah yang menduga, entah mengapa aku berdegil  ingin memakai jubah dengan warna kesukaan Baginda. 

Subhanallah..Subhanallah.. Tatkala menghampiri maqamnya, ada perasaan hina dan insaf menyelinap masuk ke dalam diri. Deras. Manik jernih itu jatuh tanpa dipaksa-paksa. ‘Aku datang ingin bertemu denganmu wahai Rasulullah. Sudikah kedatangan ini diterima..?’ Ayat itu berdesing-desing di telinga ku. Sungguh, di sebalik kesyukuran yang melangit dan kegembiraan hati bertemu dengan baginda, kesyahduan itu tidak mampu ku selindungi.

Sabda Nabi saw yang bermaksud : [ Antara rumahku dan mimbarku adalah termasuk diantara taman-taman syurga dan mimbarku berada di atas telagaku ] HR Abu Hurairah

Ar Raudhah.. Di sinilah tempatnya yang dikatakan Nabi saw sebagai salah satu dari taman-taman syurga di dunia. Jika berkesempatan, berdoalah nescaya dimakbulkan.  Pada malam itu, aku yakin. Seperti kebiasaannya ratusan orang malahan mungkin mencecah ribuan hadir untuk mencari peluang memasukinya dan solat serta berdoa di situ. Bagi Jemaah wanita, kawasan Ar Raudhah ini hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu. Mungkin kerana itu, apabila tiba sahaja waktunya, maka akan berbondang-bondonglah manusia berebut peluang tersebut.  Alhamdulillah, setelah lama bersabar dan menunggu akhirnya kami diizinkan untuk memasukinya tatkala  tengah malam. Sekali lagi. Esakan dan tangisan yang tidak mampu ditahan akhirnya terzahir bersama doa-doa yang dipohon. Khauf (perasaan takut) dan rajaa’ (pengharapan) itu datang beriringan. Allah.. Allah~~  

Rabbana taqabbal duaa’ana innaka antas samii’ul aa’lim, wa tub alaina ya Allah innaka antat tawwabur Rahim…

Kalau diikutkan hati, enggan sahaja kami beranjak dari sana. Semahunya hati ini duduk, bermuhasabah dan berdoa sebanyaknya di sana. Namun berikutan keadaan yang agak sesak dan dipenuhi jemaah lain yang menunggu giliran, kami terpaksa akur. Langkah diatur meninggalkan kawasan ini yang  kami masuki melalui pintu Uthman Al Affan, sedang tangisan tadi masih belum berhenti..

Malam itu aku tertidur selepas agak lama menangis. Bangun sahaja keesokkan paginya..  Ya Allah~ 
Comelnya mata…^_^


Akan disambung dalam entri seterusnya, Biiznillah..~

Saturday, March 10, 2012

Jemputan Teragung



Ketika saya masih merupakan ahli BKPSM sewaktu menuntut di bumi Mesir dahulu, ada beberapa kali juga kami dijemput untuk bersama-sama menjayakan majlis sambutan bersama Ketua Menteri Sabah, Dato' Musa Aman.  Saya masih ingat lagi, sebelum beliau dan rombongannya tiba ke Mesir persiapannya...Subhanallah! Semuanya harus dipastikan dalam keadaan baik, cantik dan sempurna! Rakan-rakan lain juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing mengenakan busana dan pakaian terbaik untuk menghadiri majlis tersebut.

Itu, jemputan yang kita terima daripada insan-insan yang mendapat jolokan VIP.
Perasaan bangga, gembira dan teruja tentu ada di dalam hati setiap daripada kami.
Tetapi hari ini.. Saya mendapat jemputan yang mana tarafnya seratus kali ganda lebih istimewa daripada VIP.
Dan tentu sahaja untuk menerima jemputan itu, diri ini merasa sangat kerdil dan berdebar. Sungguh, perancangan yang DIA tentukan ini, terlalu istimewa dan bermakna bagi saya bersama ayah dan ibu.

Disebalik kegusaran yang bercampur gembira itu, saya optimis. Semoga dengan perjalanan rohani ini merupakan muqaddimah yang terbaik sebelum saya melangkah masuk ke dunia baru yang bakal saya tempuhi.

Semoga Allah swt mempermudahkan perjalanan dan urusan kami untuk ke tanah suci itu.
Bertemu denganNya.. Menjejak rumahNya.. dan..
Bertemu KekasihNya yang selama ini dirindu..
Ya Allah.. Sampaikan kami ke sana ~ (T__T)


Jemputan Teragung..
12 Mac- 22 Mac 2012..~