Friday, March 23, 2012

Zikrayat Haramain 1


 Setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah swt atas limpah kurniaNya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw yang diutuskan oleh Allah azza wajalla sebagai rahmat buat seluruh alam..

Alhamdulillah..Setelah 10 hari meninggalkan tanah air untuk memenuhi jemputan umrah di Haramain, hari ini dengan izin Allah kami selamat kembali ke rumah dalam keadaan sihat dan sejahtera. Sedikit perkongsian ingin dicoretkan di sini, tentu sekali buat kenangan kami sekeluarga dan umumnya buat sahabat handai dan sanak saudara yang telah mendoakan perjalanan kami.

Sangat gembira dapat berkunjung ke tanah suci bersama ayah dan ibu..^_^
Agak penat jugalah dalam fligt.. KK-HONG KONG-DUBAI-JEDDAH..
Elehh..macamlah x besa main terbang-terbang...Heee..


SUBHANALLAH.. ALLAHU AKBAR~

Tiada kata seindah bicara yang mampu dilafazkan untuk menggambarkan perasaan dan keterujaan hati tatkala sampai di kota suci itu. Perjalanan ibadah umrah kami dimulakan dengan program menziarahi kota Madinah Al Munawwarah selama tiga hari. Kami sampai di Madinah pada waktu petang. Usai sahaja mengambil kunci bilik hotel dan berehat seketika, kami bersiap-siap untuk menunaikan solat pertama kami di masjid itu. 

Mula terasa rindu...~

Ayah dan ibu nampak matching pula..Sweet~ ^_^

Subhanallah~ Inilah masjid itu!  Masjid Nabawi yang mana di sinilah terletaknya maqam Rasulullah saw dan Ar Raudhah. Seumpama mimpi, seakan tidak percaya bahawa kami sedang menujunya untuk menunaikan solat fardu maghrib di sana. Siapalah yang tidak teruja, lebih-lebih lagi bilamana Nabi saw sendiri telah mengkhabarkan tentang fadhilatnya dalam sabda baginda yang bermaksud : [ Barangsiapa yang solat di masjid ku ini, adalah lebih baik daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah]  Dan di dalam hadith lain ada yang menyebut [ Bersembahyang di masjidku ini adalah sama nilainya dengan sepuluh ribu sembahyang..]  Wallahu A’alam..

Oleh kerana pihak kerajaan Arab Saudi amat mementingkan keselamatan dan sangat menjaga kesucian tempat ini (Masjid Nabawi), maka setiap Jemaah yang ingin masuk untuk solat ataupun beriktikaf akan di periksa dengan teliti supaya para Jemaah tidak membawa barang-barang yang dilarang khususnya kamera dan telefon bimbit berkamera.  Tetapi, menurut ayah berbeza pula halnya di sebelah Jemaah lelaki. Usah dibilang berapa ramai yang menangkap gambar dan membawa telefon bimbit, tidak pula dilarang.‘ Mungkin tempat muslimat ja kot yang ada spot-check..’ agakku sambil tidak puas hati.
Adapun, bergambar di sekitar masjid dan di kawasan luarnya adalah dibenarkan dan tentu sekali dimanfaatkan oleh kebanyakan Jemaah, lebih-lebih lagi yang datang dari negara yang jauh seperti Malaysia dan Indonesia.

Maqam Kekasih yang selama ini dirindui..

Malam pertama kami di sana, kami telah dibawa untuk menziarah maqam Rasulullah saw bersama sahabatnya Saidina Abu Bakar As Siddiq dan Umar al Khattab. Niatku untuk mengenakan jubah putih ketika menziarah baginda nanti aku bulatkan!  Walaupun ada sedikit masalah yang menduga, entah mengapa aku berdegil  ingin memakai jubah dengan warna kesukaan Baginda. 

Subhanallah..Subhanallah.. Tatkala menghampiri maqamnya, ada perasaan hina dan insaf menyelinap masuk ke dalam diri. Deras. Manik jernih itu jatuh tanpa dipaksa-paksa. ‘Aku datang ingin bertemu denganmu wahai Rasulullah. Sudikah kedatangan ini diterima..?’ Ayat itu berdesing-desing di telinga ku. Sungguh, di sebalik kesyukuran yang melangit dan kegembiraan hati bertemu dengan baginda, kesyahduan itu tidak mampu ku selindungi.

Sabda Nabi saw yang bermaksud : [ Antara rumahku dan mimbarku adalah termasuk diantara taman-taman syurga dan mimbarku berada di atas telagaku ] HR Abu Hurairah

Ar Raudhah.. Di sinilah tempatnya yang dikatakan Nabi saw sebagai salah satu dari taman-taman syurga di dunia. Jika berkesempatan, berdoalah nescaya dimakbulkan.  Pada malam itu, aku yakin. Seperti kebiasaannya ratusan orang malahan mungkin mencecah ribuan hadir untuk mencari peluang memasukinya dan solat serta berdoa di situ. Bagi Jemaah wanita, kawasan Ar Raudhah ini hanya dibuka pada waktu-waktu tertentu. Mungkin kerana itu, apabila tiba sahaja waktunya, maka akan berbondang-bondonglah manusia berebut peluang tersebut.  Alhamdulillah, setelah lama bersabar dan menunggu akhirnya kami diizinkan untuk memasukinya tatkala  tengah malam. Sekali lagi. Esakan dan tangisan yang tidak mampu ditahan akhirnya terzahir bersama doa-doa yang dipohon. Khauf (perasaan takut) dan rajaa’ (pengharapan) itu datang beriringan. Allah.. Allah~~  

Rabbana taqabbal duaa’ana innaka antas samii’ul aa’lim, wa tub alaina ya Allah innaka antat tawwabur Rahim…

Kalau diikutkan hati, enggan sahaja kami beranjak dari sana. Semahunya hati ini duduk, bermuhasabah dan berdoa sebanyaknya di sana. Namun berikutan keadaan yang agak sesak dan dipenuhi jemaah lain yang menunggu giliran, kami terpaksa akur. Langkah diatur meninggalkan kawasan ini yang  kami masuki melalui pintu Uthman Al Affan, sedang tangisan tadi masih belum berhenti..

Malam itu aku tertidur selepas agak lama menangis. Bangun sahaja keesokkan paginya..  Ya Allah~ 
Comelnya mata…^_^


Akan disambung dalam entri seterusnya, Biiznillah..~

1 comment:

  1. Alhamdulillah, seronoknya ^_^ , ya ALLAH, jemputlah diri ini sebagai tetamu ke rumah MU

    ReplyDelete