Monday, October 31, 2011

Rahsia Laut Dalam : Mukjizat Al Quran Terbukti!

Islam itu agama yang indah dan istimewa.
Pada hari ini, Islamlah satu-satunya agama samawi yang masih terjaga kebenaran dan kesuciannya. Dengan janji Allah swt yang menjamin bahawa kitab suciNya akan terpelihara daripada sebarang penukaran dan gangguan tangan-tangan musuhnya, sewajarnyalah ia menjadi satu mukjizat terbesar yang dikurniakan kepada Nabi kesayangan kita, Muhammad saw.

Kitab suci AlQuran, seumpama satu ensiklopedia terbaik pada masa ini! Menyoroti setiap ayat dan penceritaan yang ada padanya akan membuatkan kita cukup teruja dan taajub dengan keistimewaan yang ada padanya. Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada segolongan manusia yang ingkar pada kebenaran ini. Bukan sekadar tidak menerima, malah membuat tuduhan bahawa AlQuran tidak lain hanya sebuah kitab biasa yang ditulis oleh seorang manusia yang bernama Muhammad saw.

Namun, dengan kecanggihan ilmu sains dan teknologi yang telah dicapai oleh umat manusia pada hari ini ternyata merupakan satu kurniaan besar dari Allah swt buat hambaNya. Berapa banyak kisah yang telah singgah ditelinga kita, mengkhabarkan kisah bagaimana seorang yang beragama Yahudi, Kristian dan yang lainnya tertunduk patuh pada agama Allah swt ini lantaran mengakui kebenaran kalam Allah swt menerusi firmanNya.

Ayat yang ingin dikongsikan pada kali ini, merupakan satu daripada ratusan bukti lain yang terdapat di dalam AlQuran.

Bismillahirrahmaanirrahim..

Firman Allah swt yang bermaksud : (Atau seperti gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang diatasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan, gelap gelita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya, dan barangsiapa yang tidak diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah maka tidaklah dia mempunyai cahaya sedikit pun) An Nur:40

Di dalam ayat ini, Allah swt sebenarnya menerangkan mengenai perihal orang-orang Kafir dengan amalan-amalan mereka yang ternyata menjadi sia-sia kelak, dengan mendatangkan sebuah analogi. Tetapi, dalam masa yang sama Allah swt juga telah mengungkapkan satu rahsia yang mana benar-benar akan menggetarkan hati mereka yang beriman dengan kekuasaanNya.

Dengan penemuan-penemuan baru di zaman ini, kalam Allah swt tadi terbukti bilamana kajian membenarkan keadaan atau situasi di awal-awal ayat tadi bahawa keadaan lautan bumi kita sama seperti bumi yang berlapis-lapis hingga sampai ke dasarnya. Kedalaman laut ciptaan Allah swt ini sangat mengagumkan kita, kerana sampai ke satu lapisan tertentu, ianya akan menjadi sangat gelap!

Tetapi Allah meneruskan kalamNya dengan mengkhabarkan kekuasaan Allah swt yang mana, kita tidak akan mampu melihat dalam keadaan tadi melainkan Allah swt telah memberikan cahaya kepada sesiapa atau apa-apa yang dikehendakinya,tepat menerusi ayat yang berikutnya. Maka, secara tidak lansung ayat ini membawa makna, adanya makhluk-makhluk tertentu yang diberikan keistimewaan itu!

Para penyelam antarabangsa hari ini, telah menemui banyak spesis hidupan akuatik di dasar lautan dalam. Subhanallah! Benarlah kata-kata Allah swt.. Apa yang lebih ajaibnya lagi, kebanyakan hidupan ini mampu mengeluarkan cahaya tersendiri yang sangat menakjubkan kita!!

'Bioluminescence' ialah nama saintifik bagi organisma ataupun hidupan yang menghasilkan cahaya di laut dalam

Black Anglerfish @ Sea devil bukan sekadar satu watak rekaan dalam filem animasi 'Finding Nemo', tetapi ia benar-benar wujud dan hanya dijumpai di laut dalam


Kalaulah benar apa yang mereka dakwa bahawa Al Quran itu sebuah kitab yang ditulis oleh manusia biasa yang hidup puluhan tahun yang lampau, adalah mustahil baginya untuk melakukan perkara ini! Ini kerana Al Quran telah diturunkan semenjak 1400 lebih tahun yang lalu, sedangkan penemuan-penemuan ini hanya dijumpai pada abad ke-20. Tidak lain dan tidak bukan, tentulah DIA yang mencipta keajaiban ini yang menaqalkan fakta tersebut di dalam AlQuran.

Dan sungguh, Islam itu bukan agama rekaan manusia!

** Subhanallah..Allahuakbar.. ALLAHU RABBI..~

Friday, October 28, 2011

BKPSM: Antara Semalam & Hari Ini

Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM).
Ini persatuan kami. Rumah kami. Keluarga besar kami.
AKU. Daripada seorang pelajar sekolah menengah yang agak pasif, di sini sejak 4 tahun lalu telah dididik. Ia terlalu banyak mengajarku erti berpersatuan, berjemaah, kerjasama, toleransi dan antara yang terpenting, KEPIMPINAN.

SEMALAM..
Minggu pilihanraya BKPSM 2011..Program tahunan persatuan yang sangat penting untuk kita sama-sama memilih ahli yang bakal menerajui saff kepimpinan kelak

Dream Team yang memeriahkan suasana pilihanraya BKAN Sabah pada tahun ini mencecah sehingga 10-11 team yang menjadi impian

Hari pembuangan undi.
Satu undian,adalah suara salah seorang daripada ahli BKPSM.

Petugas SPR menerangkan cara membuat pengundian yang betul kepada salah seorang ahli berdaftar yang masih baru

MAT BKPSM kali ke 29..Kematangan usia persatuan ini menunjukkan kita mampu berdikari, sama hebat,sama cemerlang sama seperti persatuan-persatuan lain. Untuk itu, barisan kepimpinan yang dilantik perlulah mereka yang betul-betul kita percayai bagi menjalankan amanah dan tanggungjawab tadi!

HARI INI..
Jawatan dan taklifan itu telah diserahkan kembali..'Timbalan Yang Di Pertua II'
Sejujurnya, masih terlalu banyak kekurangan dan khilaf yang tidak pernah diniatkan selama tanggungjawab itu digalas. Semoga Allah swt mengampunkan dan melimpahkan rahmat kasih sayangnya bagi ku dan teman-teman seperjuangan yang lain.

HARI INI..
Saff kepimpinan BKPSM telah memulakan sesi barunya. Ada yang lama,begitu juga yang baru. Sedarlah kalian terpilih kerana mereka percaya dan meyakini bahawa kalian adalah mereka-mereka yang boleh diharapkan untuk menjaga dan membawa BKPSM menuju matlamatnya. Dalam apa-apa hal sekalipun, situasi apa sahaja yang menduga...jadikanlah Al Quran dan Sunnah sebagai 'penasihat' terbaik. Ucapan tahniah ini dikalungkan pada kalian, tetapi sedarlah ia juga membawa makna takziah kerana amanah bukan satu kemuliaan!

:: Keputusan Pilihanraya BKPSM 2011 ::
YDP : Lasafarudi Lahadi
TYDP I : Khairil Izhar Muhajeng
TYDP II : Kartika Haplan
SETIAUSAHA : Mohd.Syahruzzaman Abu Mos Onn
DEMMAS : Shahrizal Sabal

7 Jawatan Tanpa Pencalonan:
Mohd.Hafif Hanaffi
Pg.Faezul Fikri Ag.Omar
Mohd.Fikri Putung
Ajrul Mu'min Awang
Amiruddin Ibrahim
Mohd.Fakhrurizal Matdiris
Nur Wama bte Abd Wahid

Selamat menjalankan tugas dan amanah yang telah ditaklifkan.
Ketahuilah..kami hanya mengundi, tetapi Allah swt lah juga yang sebenarnya telah 'memilih' kalian untuk meneruskan perjuangan ini. Kepimpinan yang terbaik, bukan sahaja bersifat zahiri mahupun material, tetapi jadilah saff kepimpinan yang terbaik dimata Allah swt.

Selamat berkhidmat untuk BKPSM!
Selamat berkerja untuk ISLAM!

Wednesday, October 26, 2011

Kerana Cinta Ini

Malam itu, diri ini menyedari suatu perkara.
Diri ini baru menyedari bahawa aku sebenarnya telah gagal. Gagal memahamkan mereka erti sebuah perjuangan.. Erti sebuah pengorbanan dan tadhiyah.. Erti sebuah ithar..

Mengapa tiba-tiba kita inginkan kerehatan? Kesenangan? Kelapangan masa?
Bukankah itu hanya membuatkan kita semakin jauh dariNya..? Dan redhaNya..?Tidak teringinkah kita? Tidak terliurkah kita untuk menagih janji-janji Allah swt..

'Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu (agama) Allah, Allah akan membantu kamu (kelak) dan menetapkan pendirianmu' Muhammad :7

Kami ini, bukan pemula bukan juga pengakhirnya..Tetapi kami adalah sambungan daripada mata-mata perjuangan..Ya Allah kuatkanlah hati ku dan saudara-saudaraku~


Tentu sekali..
Sebuah perjuangan itu, amatlah payah. Amanah itu beratnya kita maklumi. Namun, pada siapa lagi harus kita harapkan? Pada siapa lagi harus kita berikan tanggungjawab ini? Di saat semua orang menolak, bayangkanlah nasib dan natijahnya kelak..

Hampa.. Kecewa.. Terkesima..
Aku tidak menyalahkan mereka, kerana aku tahu. Itu adalah kesilapan diriku.
Aku gagal memahamkan mereka bahawa berkhidmat dan berkerja untuk persatuan ini, merupakan satu amal jamaie yang merupakan satu wasilah dan tangga untuk mencapai matlamat agamaMu. Aku gagal memahamkan mereka!

Rasa kecewa itu memang ada, tidak mampu untuk dinafikan. Tetapi biarlah.. Biarlah luka itu akan sembuh sendiri. Untuk semua yang terjadi, semoga kita belajar dan mengambil pengajaran buat peringatan di masa hadapan. Saudaraku, perjuangan hari ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan yang menanti kita dihadapan sana. Persiapkanlah diri, persiapkanlah rohani!

Aku menangis..
Aku gementar..
Aku gundah..
Aku akan meninggalkan mereka juga kelak, untuk apa perlu aku tumpahkan manik jernih itu? Untuk apa aku korbankan masa lena ku? Untuk apa aku mengusutkan fikiran hanya untuk perkara remeh ini? Aku tahu, mungkin mereka hanya mentertawakan diriku..

Sedang aku..
Memahami kenapa ianya wujud..
Tangisan, kerisauan, kekecewaan, harapan itu..
Hanya kerana CINTA ini..~

Mereka bertanya..Yang mana satu pilihan hati ku?
Dream Team ini, impian kami bersama. Impian barisan AJKT BKPSM sesi 2010/2011 yang bakal melepaskan amanah pada hari Jumaat ini, Insyallah..

Kami meyakini mereka..Kami percaya mereka boleh memimpin persatuan ini ke arah yang lebih cemerlang! Semua yang tercalon adalah baik-baik belaka, tetapi pilihlah yang terbaik!

26 Okt 2011 : Sesi dialog dan pembentangan manifesto
27 Okt 2011 : Hari membuang undi
28 Okt 2011 : Mesyuarat Agung Tahunan BKPSM

WardatulAsfar mengucapkan..Selamat menjalankan tanggungjawab mengundi kepada seluruh ahli BKPSM yang berada di Ardul Kinanah dan yang berada di Malaysia. Setiap undian daripada anda adalah sangat berharga. Corakkan masa depan persatuan kita dengan bijak!

Monday, October 24, 2011

Pilihanraya : Cakna Tanggungjawab Anda!

Proses pilihanraya yang diadakan di peringkat universiti mahupun persatuan-persatuan luar negara adalah merupakan satu medan percubaan yang amat baik sebelum para pemuda/di merasai dan belajar sedikit sebanyak perkara tentang proses pilihanraya sesebuah negara. Amatlah malang bagi golongan intelek ini sekiranya mereka turut sama mempunyai mind-set yang sama seperti kebanyakan orang di luar sana bahawa cukuplah sekadar sesetengah daripada mereka yang keluar untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

Pilihanraya BKPSM 2011 : 27 Oktober 2011-' Mengundi tanggungjawab kita bersama! '

Masa depan sesebuah negara, maju mundur pembangunannya, untung rugi ekonominya , cemerlang atau jahil anak bangsanya semuanya terletak di bawah kebijaksanaan pemimpin yang kita pilih. Jadi, adakah wajar untuk kita mengabaikan tanggungjawab ini? Tentu sekali tidak!

Pilihlah barisan calon yang sesuai dan terbaik bagi menerajui tampuk kepimpinan kelak.

Pastikan calon kepimpinan itu mendapat mandat bukan kerana paras luaran yang kacak dan cantik, kemahsyuran seseorang individu yang menjadikannya popular serta tidak asing bagi ramai orang, dan bukan juga kerana kedudukannya yang berpangkat dan berharta menjadi faktor pemilihannya!

Choose the best leader!

Allah swt telah mengajarkan kepada kita beberapa ciri-ciri terbaik yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin. Dan sudah tentu, acuan yang Allah swt telah tetapkan inilah yang patut untuk kita jadikan alat ukur bagi mencari calon yang sesuai.

1-Berilmu

2-Memiliki akhlak dan syakhsiah yang balik

3-Pemuda/di acauan Al Quran dan As Sunnah

4-Berani menegakkan kebenaran

5-Bersifat keterbukaan (tasamuh)

6-Pemimpin yang menjadi motivator dan idol

7-Sentiasa bermuhasabah buat dirinya

Pemimpin yang baik dimata Allah dan hamba-hambaNya ialah tentu sekali mereka yang berpegang teguh pada Al Quran dan As Sunnah. Setiap langkah, gerak kerja, matlamat dan apa juga keputusan dan tindakannya adalah disandarkan kepada kitab Allah swt dan sunnah peninggalan Rasulullah saw. Semuanya kerana Islam dan syariatNya!

Firman Allah swt yang bermaksud : (Dan sesiapa yang mengikut aturan Allah dan RasulNya dan sentiasa mengawasinya dengan berhemat,maka mereka itulah orang yang berjaya dengan cemerlang) 24:25

Kita tidak memerlukan pemimpin yang inginkan nama, pujian,balasan dunia,jauh sekali untuk kepentingan diri sendiri bagi jawatan tersebut. Selepas berkerja, selepas memberi.. esok lusa diungkit-ungkit! Sedikit masa lagi akan dicanang-canang!

Di mana letaknya keikhlasan dalam berkerja? Maka, di sinilah kita akan dapat membezakan mereka yang berkerja hanya untuk Allah dan agamanya dan bukan kerana menginginkan balasan mahupun habuan dunia.

Memilih barisan kepimpinan bukanlah satu perkara remeh.

Ada satu kemaslahatan yang sangat besar untuk dijaga yang menjadi tanggungjawab kita. Dan untuk itu, segelintir daripada kita perlu berkorban. Amanah itu memang besar dan berat tetapi berkerjalah untuk agama ini. Berkerjalah untuk Allah swt!


* Selamat keluar mengundi buat semua ahli BKPSM. Buatlah keputusan yang bijak!

Thursday, October 13, 2011

Ketibaan Mereka

Hari yang dinanti-nanti akhirnya tiba juga.
Ibarat kegembiraan si ayah dan ibu untuk menerima cahaya mata dan ahli keluarga yang baru sedemikian jugalah halnya dengan kami.

Seawal jam 7 pagi , kami berangkat ke lapangan terbang Kaherah untuk menyambut ketibaan mahasiswa/wi baru Sabah, pagi tadi. Alhamdulillah, semuanya kelihatan baik-baik sahaja.
Walaupun jumlah mereka yang menjejakkan kaki ke bumi Kinanah pada tahun ini tidak semeriah tahun sebelumnya, namun kami menerima kehadiran keluarga baru ini dengan tangan terbuka dan gembira.

Antara AJK sambutan mahasiswa/wi Sabah baru sesi 2011/2012

Mahasiswa Sabah Mesir baru

Mahasiswi Sabah Mesir baru

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum!

Esok merupakan hari pertama mereka untuk sama-sama menjayakan program sambutan mahasiswa/wi baru Sabah (SMS) dibawah kelolaan biro akademik dan hal ehwal pelajar (BAHEP) Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir selama dua hari berturut-turut(14 dan 15 Oktober 2011).

Kemudian, insyaAllah pada hari ahad (16 Oktober 2011) ini pula mahasiswa/wi baru ini akan menduduki peperiksaan imtihan qabul sebelum mereka memulakan pengajian mereka di dalam fakulti masing-masing.

Didoakan semoga semuanya berjalan lancar dan mendapat naungan dan berkah dari Allah swt.

Wednesday, October 12, 2011

Cinta Buku

Seingat ku, buku cerita berilustrasi cantik itu merupakan hadiah hari jadi ketika aku baru berumur 8 tahun. Ibu yang memberikannya. Tersenyum suka si budak kecil! Kerna dia tahu, maknanya setiap hari akan ada yang akan bercerita kepadanya.

'Kisah 25 Rasul'.

Itulah hadiah berupa buku yang pertama sekali dalam hidup ku.
Ayah juga menjalankan peranannya. Sejak kecil lagi, ayah akan 'mewajibkan' kami adik-beradik untuk meluangkan masa setiap hujung minggu ke Perpustakaan Negeri Sabah. Mungkin, sejak itulah hobi dan kesukaan pada buku mula mencambahkan bibit-bibit cintanya.

Akan datang..
Tanamkan sikap suka membaca pada anak-anak sejak kecil lagi..

Dewasa ini, sering tercari-cari buku yang sangat jarang dijumpai.
Yang berbicara soal perjuangan..
Yang menyentuh soal gerakan dakwah..
Yang mengulas tentang fikrah islami..
Yang dikarang oleh tokoh yang disegani..

Mencari.. mencari.. mencari..
Akhirnya..menjumpainya di sini!

Impian Baiti Jannati : Maktabah mini! (^-^)

Ayah, ibu terima kasih kerana mendidik diri ini!


* Syukran pada ukhti Nur Wama Abd Wahid, kerana menemukan diri dengan 'cinta' yang satu ini..=)

Link

Thursday, October 6, 2011

Filem Islami : Sang Pencerah

Menonton filem ini membawa diri bermuhasabah lagi.
Sejauh mana usaha dan tekad diri untuk menjadi 'pencerah' umat hari ini..?


"Apakah kita rela melihat umat kita berserakan dan lari, menjauh dari agama ..hanya kerana kita salah memberikan pengertian?"

''Seorang pemimpin yang baik di mata Allah, tidak akan meninggalkan keluarganya..apatah lagi umatnya''

''Jika kita tidak mulai, negeri ini akan hancur!''


'Sang Pencerah' memulai kisah perjalanannya dengan menilik kelahiran seorang bayi lelaki bernama Muhammad Darwis di dalam sebuah keluarga Jawa yang memiliki latar belakang lingkungan beragama Islam yang sangat kuat. Dalam pertumbuhannya, Darwis sering merasa aneh dengan kebiasaan lingkungannya yang seringkali mencampuradukkan kegiatan agama dengan berbagai kegiatan yang berbau mistik.

Hal inilah yang kemudian menarik perhatian Darwis untuk mempelajari Islam lebih lanjut. Di usianya yang ke-15, Darwis, dengan izin orang tuanya, pergi ke Mekkah untuk menunaikan ibadah haji, sekaligus mempelajari Islam langsung di tempat kelahiran agama tersebut. Lima tahun berselang, Darwis dewasa kembali ke kampung halamannya di Yogyakarta. Sesuai dengan kebiasaan mereka yang baru kembali dari Mekah saat itu, Darwis merubah namanya menjadi Ahmad Dahlan.

Kondisi lingkungannya sendiri, yang saat itu berada di bawah bayang-bayang penjajahan Belanda, masih sama dengan ketika ia meninggalkan Yogyakarta. Banyak ajaran Islam yang dalam pelaksanaannya semakin melencong dari apa yang telah disuratkan dalam Al-Qur'an mahupun Al-Hadits. Tak tinggal diam, Ahmad Dahlan mulai secara perlahan menyedarkan masyarakat sekitar mengenai kesalahan yang telah mereka lakukan. Tentu saja, merubah sesuatu hal yang telah menjadi semacam adat di dalam sebuah kelompok bukanlah hal yang mudah untuk dilakukan.

Ahmad Dahlan sendiri sempat mendapatkan kecaman dari seorang kiyai penjaga tradisi, bahkan sering dituduh sebagai seorang kiyai yang sesat. Namun atas dukungan penuh isterinya, keluarga, dan beberapa orang murid setianya, Ahmad Dahlan terus berusaha menegakkan akidah, termasuk dengan bekerjasama dengan organisasi moden yang banyak dinilai merupakan kelompok kafir oleh lingkungannya.

KREDIT untuk filem ini!

Bencilah Dengan Hatimu!

'' Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu '' -Hadis Riwayat ath-Thabrani

Siapa kata berdakwah itu kerja yang mudah..? Benarlah kata mereka, 'Berdakwah terhadap kaum keluarga sendiri adalah diantara yang paling sukar'. Kerana sayangnya kita pada mereka, kerana rapatnya kita dengan mereka.

* Ini..hanya selepas NIKAH *

Kita tahu perbuatan itu salah! Pastinya kalian tahu!
Aku menangis. Aku kehairanan.
Ucapan 'tahniah' dan 'like' yang lahir atas nama mu itu, samalah seperti kau menyokong perbuatan yang diharamkan oleh Allah. Kita berani-berani menghalalkan yang haram..? Sekiranya iya, maka terimalah 'saham' mu juga di hari pengadilan Allah swt.

Kalaulah diri kita yang lemah ini tidak mampu membetulkan dengan tangan(kuasa) dan lidah(nasihat).. maka bencilah kemungkaran yang kau lihat itu dengan HATImu!

Pesan Baginda saw, sesungguhnya itulah serendah-rendah iman. Lantas, kalaulah perasaan benci dan sakit hati juga tiada tatkala kau melihat perbuatan dosa itu.. maka bertanyalah..

'' Dimana letaknya IMAN kita..? ''

Wednesday, October 5, 2011

Mesir & Sejarah 6 Oktober

Esok merupakan hari cuti umum bagi negara Mesir. 6 Oktober. Pastinya disebalik tarikh ini, ada sejarah dan peristiwa bermakna yang mungkin kita tidak tahu.

:: Pada tahun 1973, telah berlaku sebuah peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober di antara tentera Mesir dan Syria menentang rejim Israel. Sesungguhnya peristiwa itu, mempunyai implikasi yang sangat besar.

:: Perang ini juga dikenali sebagai perang Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur kerana jatuh pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap politik timur tengah seperti hari ini.

:: Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk merebut kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang enam hari pada tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.

:: 6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir turut memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir.

:: Pada 6 Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun perang Oktober, Presiden Mesir ketika itu, Anwar Sadat mati ditembak kerana tindakannya yang berdamai dengan Israel dan mengiktiraf entiti haram tersebut dianggap suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya.

Anwar Sadat (kanan) bersama kroninya Husni Mubarak (kiri) yang telah ditumbangkan ketika revolusi Mesir 25 Januari yang lalu

Natijah bagi sebuah pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya

Entri yang ringkas. Hidup MESIR!!