Saturday, February 5, 2011

Diari Revolusi : Perjalanan Sebuah Pengalaman (3)


2 Februari 2011

Pegawai BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) kini masing-masing sibuk mengumpulkan anak-anak negerinya. Menghimpunkan semua pelajar bukan sahaja yang berada di Kaherah tetapi juga dari muhafazah-muhafazah lain. Imarah Sabah ketika ini dipenuhi oleh ahli-ahli BKPSM dari muhafazah Zaqziq, Mansurah, Tonto dan Dumyat. Syaqah (rumah) yang mulanya mempunyai 10 orang ahli kini menampung lebih daripada 30 lebih orang dan terpaksa bersempit-sempit buat sementara waktu sebelum menerima arahan untuk balik ke Tanah Air.

Bekalan makanan di seluruh Mesir juga berkurang kerana rata-rata rakyatnya membeli secara borong untuk simpanan makanan sepanjang tempoh darurat ini. Lantaran itu, kebanyakan makanan asasi seperti roti, beras, tepung, minyak, telur dan sebagainya kehabisan di semua kedai-kedai dan harga barangan juga tiba-tiba melambung tinggi. Sepanjang tempoh inilah mee segera menjadi santapan untuk mengalas perut setiap hari. Alhamdulillah, masih ada sedikit bekalan beras, telur dan tuna yang boleh dikongsi bersama seisi rumah.

Solat tetap mereka kerjakan dalam suasana apa pun..

Bilik gerakan kecemasan amat memainkan peranan dalam keadaan gawat seperti ini. Jelas, setiap minit ada sahaja urusan yang terpaksa mereka lakukan. Setiap panggilan yang diterima boleh jadi membawa satu mesej yang di tunggu-tunggu oleh para pelajar di sini. ‘Balik MALAYSIA!’ Setelah berusaha keras, hari ini bilik kecemasan memberi arahan agar sebahagian mahasiswi bersiap sedia untuk di bawa ke Mator (lapangan terbang). Dikhabarkan bahawa hari ini mereka akan dibawa balik. Namun, dalam masa yang sama saya dan beberapa sahabiah yang lain kena mengalah untuk memberi keutamaan kepada adik-adik dahulu.

Lega... Tidak kisah.

Rasa senang hati bilamana mengetahui adik-adik lain dahulu dapat pulang ke Tanah Air, biarpun diri masih di sini. Bukan berlagak sebagai heroin tetapi ada suatu perasaan tanggungjawab yang perlu diselesaikan sebelum balik ke Malaysia.

Semua telah siap sedia. Hanya menunggu bas untuk ke Mator. Sejam.. dua jam.. tiga jam. Bas yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul. Akhirnya bilik gerakan memaklumkan bahawa tidak akan ada sebarang perjalanan akan di buat hari ini. Ada sedikit masalah yang terpaksa kami hadapi. Kasihan melihat adik-adik yang tadinya sangat gembira dan excited untuk balik dan berjumpa dengan keluarga tiba-tiba bertukar sedih dan muram. Mahu tidak mahu..terpaksa menghadapi sehari lagi di bumi Mesir walaupun ramai yang tidak senang..

Salah satu berita yang amat memberi kesan kepada kami semua adalah kenyataan bahawa kami terpaksa menangguhkan pangajian selama setahun, khusus buat Azhari/azhariah.

Hampa. Sedih. Kecewa.

Sungguh perasaan itu tidak dapat digambarkan. Selaku salah seorang mahasiswi Al Azhar tahun empat, hanya tinggal satu semester sahaja lagi untuk menamatkan pengajian. Betapa kami semua rasa 'down' saat itu. Namun, sejujurnya jauh di sudut hati, kami tidak pernah manyalahkan rakyat Mesir yang memulakan tunjuk perasaan hingga terjadinya peristiwa ini. Lansung tidak pernah.

Kerana selama kami menetap di sini, kami telah melihat betapa mereka sebenarnya ditindas dan dizalimi oleh pemimpin mereka sendiri. Sebenarnya, Mesir merupakan salah sebuah negara yang kaya dan berpotensi untuk lebih maju melihat kepada aset-aset dan kelebihan negara mereka. Namun, kami telah menyaksikan sebuah realiti kehidupan yang menghantui rakyat Mesir. Dengan taraf kemiskinan yang tinggi, sistem kasta yang masih wujud hari ini melihatkan betapa tidak adil sistem pemerintahan yang ada ketika ini. Yang kaya semakin kaya. Dan yang miskin semakin miskin.

SETAHUN.. Tentunya banyak yang akan berubah. Segala perancangan hilang sekelip mata. Namun, tetap redha. Kerna diri yakin, kita merancang sesuatu yang baik untuk kita..namun Allah juga Maha Perancang. Dan DIA lah sebaik-baik perancang dan mengetahui segala yang terbaik untuk hambaNya… Wallahu A'lam~

No comments:

Post a Comment