Saturday, February 5, 2011

Diari Revolusi : Perjalanan Sebuah Pengalaman (4)

5 Februari 2011

Sudah hampir masuk dua minggu tunjuk perasaan diadakan oleh rakyat Mesir. Dan saban hari, jumlahnya semakin meningkat. Namun, suasana di luar rumah yang kelihatan agak tenang membuatkan kami berasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aman. Sejahtera seperti biasa.

Rasanya sudah entah berapa kali bibir ini menyebut 'Perlukah juga kita balik..?' Sungguh, rasa sayang pada bumi Mesir itu telah menebal dalam jiwa. Hati mengharap, semoga keadaan akan pulih seperti sediakala. Merindui bumi Mesir yang dulu..

Namun, hakikatnya mereka telah mengatakan dengan jelas. Tunjuk perasaan yang mereka lakukan ini tidak akan terhenti sehinggalah presiden Husni Mubarak rela melepaskan jawatannya. Hanya dengan cara itulah revolusi ini akan berakhir. Dan berapa lama tempoh yang diperlukan..?? Allah Maha Mangetahui.. Kerana itulah, walaupun keadaan kelihatan selamat, kerajaan memutuskan untuk rakyat Malaysia harus dibawa pulang. Bimbang kalau-kalau suasana menjadi bertambah buruk dan diluar jangkaan. Oleh itu, soalan tadi mati tanpa ada jawapan lisan. Hanya terpaksa patuh dan akur..

Saban malam mereka bersengkang mata. Mengorbankan waktu rehat dan tidur semata-mata bagi memastikan semua urusan untuk membawa balik anak-anak Sabah di Mesir ke tanah air berjalan dengan lancar. Merekalah orang-orang yang bertugas di bilik gerakan.

Sejak hari pertama, bukan sahaja masa tidur terganggu, malah waktu makan mereka juga tidak tentu masa berikutan kesibukan mereka. Ingin membantu, tetapi mungkin bukan di situ tempatnya. Memasak dan mencuci untuk mereka, diharap dapat membantu meringankan kesusahan mereka secara tidak lansung. Dan perasaan gembira itu wujud bila dapat membantu mereka walaupun mungkin cuma sekadar pertolongan kecil. Tatkala menyediakan makanan untuk mereka, terasa di zaman Rasulullah saw dan para sahabat pula. Bilamana kaum Adam dengan pedangnya berjihad, kaum Hawa pula membantu di belakang tabir, menyediakan apa yang patut untuk memudahkan dan menyenangkan mereka.

Antara mahasiswi kumpulan pertama balik ke tanah air

Alhamdulillah setelah bersusah payah dan bekerja keras, bilik gerakan membawa berita gembira yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak Sabah Mesir! Semuanya berkat usaha AJK bilik gerakan BKPSM dan pihak-pihak yang banyak membantu di tanah air, khususnya Kerajaan Negeri Sabah.

Rombongan pertama telah ditentukan bagi mendahului yang lainnya untuk kembali ke Tanah Air. Rombongan pertama ini akan didahului oleh pelajar-pelajar yang berada di Iskandariah dan seramai 15 orang dari Kaherah. Insyallah selepas ini yang lainnya akan turut menyusul mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Doakan semoga semuanya berjalan lancar dengan izinNya jua~

No comments:

Post a Comment