Tuesday, December 28, 2010

Maas Salamah,Ustaz~

Lunak suaranya yang selalu menghiasi majlis Tafaqquh Fid Deen, BKPSM sudah tidak kedengaran lagi. Nasihat,teguran dan senda tawanya benar-benar membuatkan kami menganggapnya seperti ayah dan abang. Allah..berat sungguh hati ini merelakan pemergiannya. Dan yakin! Sahabat-sahabat lain juga berperasaan demikian.

Cintanya pada Islam dan dakwah membuatkan kami sayang padanya.
Dialah guru,dialah pendidik, dialah seorang daie.

Air mata itu mengalir laju tanpa dipinta. ‘Ada sesuatu yang hilang…’
Hati tertanya mengapa perasaan hiba dan sedih itu datang sedemikian rupa, sedangkan hubungan yang terbina seperti tiada apa pada pandangan kasar.

Berkata seorang naqib,’ Ikatan perjuangan itu lebih kuat daripada ikatan adik-beradik yang diikat dengan darah, hanya sesiapa yang berada di medan amal Islami yang dapat menyelami keadaan ini, betapa bahagianya berada dalam usrah dan perjuangan Islam! ‘

Hati mula memahami dari mana air mata itu tertumpah.

Ya Allah, sungguh! Kami memerlukannya.
Namun, jika ini yang terbaik untuknya dan kami semua..hati ini siap untuk berkorban.
Moga-moga ada rahmat dan hikmah besar di sebalik semua ini..



Ustaz Mohd Syauqi Arshad..
Hadirmu disenangi, pergimu ditangisi..
Jutaan terima kasih atas segala teguran dan tunjuk ajar yang mentarbiyah diri. Tiada kalam indah yang ingin dinukilkan selain doa kepadaNYA..semoga segala pengorbanan itu menjadi saham pahala yang berterusan buat dirimu. Harapan diri, mengharap doa agar survival perjuangan kami di sini agar terus thabat.
Dengan izinNYA,semoga bertemu lagi di Tanah Air kelak. Saat itu, diri membayangkan..
KITA sama-sama bergerak untuk ISLAM TERCINTA...

Monday, December 20, 2010

Jundullah!

MEREKALAH TENTERA AGAMA ALLAH!

Briged Al Qasaam yang merupakan sayap ketenteraan HAMAS seringkali diberikan pertolongan oleh Allah swt. Pemuda-pemuda yang terpilih sahaja yang layak menyertai pasukan ini. Antara syarat yang asas ialah mereka mesti mendapatkan kelulusan imam masjid tempat tinggal yang boleh membukti bahawa mereka adalah :

Pemuda yang berakhlak
Mesti menghafal 40 buah hadith
Berpuasa sunat Isnin dan Khamis
Menghafal Al Quran
Tidak merokok
Sentiasa melazimi solat berjemaah


Seorang aktivis dakwah yang pernah menjejakkan kaki ke Bumi Palestin itu pernah berkata.. 'Dalam hidup saya, belum pernah saya melihat pemuda-pemuda yang sangat mencintai Zikrullah. Pemuda Palestin sangat menititikberatkan persoalan persiapan akhirat '.

Subhanallah..! Merekalah pejuang agama Allah swt!

Tuesday, December 14, 2010

Cantiknya bunga itu!

Bismillahirahmanirahim..
Peristiwa yang berlaku lebih kurang empat tahun lalu ini ingin dikongsi bersama. Sekolah Menengah Toh Puan Hajah Rahmah menjadi latar tempat kejadian. Tahun itu, batch kami sudah pun bergelar super senior,form 6. (^-^)

Seperti mana biasa,setiap pagi sesampainya ke sekolah..salah satu tugas favorite diri..menyiram pokok bunga! Tidak senang rasanya duduk bila ternampak pokok-pokok bunga di luar kelas itu,kering tidak bersiram. Langkah dihayun mengambil air. Lantas satu persatu bunga disiram.Bunga yang kering tadi nampak cantik dan segar sekali bilamana manik-manik jernih berkilauan dari jauh. Diri tersenyum. Puas.

Tatkala itu..dia datang menyapa... ‘Assalammualaikum, Azlinah..’
Aku tersenyum menjawab salamnya..’Waalaikumussalam’.
‘Ermm.. lepas kau siram bunga kelas kamu, aku mau pinjam ar!’,pintanya untuk aku memberikan bekas penyiram bunga untuk dia pula menyiram pokok bunga kelas mereka yang berada betul-betul bersebelahan dengan kelas kami.

‘Ok!’,jawabku ringkas sahaja. Setahu aku,memang selalu benar ternampak dia menyiram bunga. Suatu ‘kerajinan’ yang agak luar biasa bagi seorang pelajar lelaki untuk menyiram pokok bunga.
Sedang aku khusyuk menyiram, rupa-rupanya dia memerhati. Dia datang tanpa dipanggil.

‘Azlinah…kau ndak rasa ajaib ka tengok bunga-bunga ni?’,katanya merujuk kepada bunga kertas berwarna merah jambu yang aku sedang siram.
‘Haa..?Kenapa?’,tanyaku mengagak jawapannya.
‘Cuba kau tengok….tanah ni,warna dia hitam kan?Tapi sekali yang tumbuh…warna hijau,warna pink,ajaib kan?!', Jawabnya jujur tanpa ada bunyi mengejek.

Aku terkebil-kebil. Buat seketika….aku hanya terdiam.Aku melihat bunga tadi. Tersenyum lagi.

‘Subhanallah..betul,betul!’ Aku benar-benar mengiyakan pertanyaanya .
‘Bunga pun bertasbih dan berzikir kepada Allah swt kan?Kita ni..??’ Soalannya mematikan perbualan kami. Masing-masing punya jawapan sendiri. Aku tersenyum lalu menghulurkan kepadanya bekas untuk menyiram bunga.

Sejujurnya, sedikit takjub dan rasa malu terhadap dia yang begitu bijak mengaitkannya dengan kekuasaan Allah swt. Dia lelaki, dan aku perempuan. Lazimnya,perempuan itu lebih cenderung kesukaan dan minatnya terhadap bunga. Dan itu aku! Namun,aku hanya melihat dengan mata kasar berbanding dia yang melihat dengan hati dan akal. Itulah dia seorang sahabat! Sentiasa mengajak diri untuk bermuhasabah, berfikir mengenai kebesaran Allah swt dan menegur segala salah silap kita dengan niat untuk mengislah diri kepada yang lebih baik. Beruntungnya mereka yang didampingi sahabat sebegini!

Sudah agak lama peristiwa itu berlalu. Namun, jelas masih segar di dalam ingatan ini. Ku lipat kemas ia berupa kenangan indah sewaktu bersekolah dahulu. Andai ku ungkit peristiwa ini kepadanya mungkin dia sudah terlupa. Tetapi bagi aku…sehingga hari ini aku dengan gembiranya suka untuk berkongsi cerita ini kepada teman-teman dan adik-adik yang lain.

Teringat firman Allah swt..[ Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah] Al Hajj:5


Hari ini,setiap kali diri menatap ros kuning yang menjadi kesukaanku, aku teringat peristiwa tadi.Betapa ia telah benar-benar memberi kesan dan membawaku untuk sama-sama bermuhasabah dan bertasbih memujiNYA..
Cantiknya bunga itu!..Subhanallah~

Sunday, December 12, 2010

Girl's Day Out(1)

Program riadah mahasiswi Sabah(WISA) tahun ini diberi nama 'Girl's Day Out' telah diadakan pada 10Disember 2010 yang lalu.
Berobjektifkan dua tujuan utama iaitu :
Riadah -> Cergas -> Cemerlang!
Ukhuwah -> Kasih sayang -> Kesatuan!
Moga-moga niat itu mendapat redhaNya dan tercapai..
Syukran jazilan buat semua AJK pelaksana dan semua mahasiswi yang sudi memberikan kerjasama. Jumpa lagi di 'Girl's Day Out' yang akan datang!~


Di suatu pagi yang amaaatt sejuk...~




'Sebagaimana eratnya pelukan itu, satukanlah juga hati-hati kami'..

Sungguh..
Senyuman mereka mengembirakan.
Senyuman itu turut membuat diri tersenyum.
Dan senyuman mereka mampu menghilangkan lelah ini...


Saturday, December 11, 2010

Forum Maal Hijrah BKPSM

6 Disember 2010- Bersempena dengan sambuatan Maal Hijrah 1432H,Biro Dakwah dan Tarbiyyah BKPSM telah mengadakan satu forum yang bertajuk 'HIJRAH is the muqaddimah of life' yang menampilkan 3 orang panel. Mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah terdahulu dan alunan selawat di awal program benar-benar menambah lagi kecintaan dan kerinduan kepada baginda saw.

Sekalung tahniah kepada BDAT atas penganjuran program yang bermanfaat!

Penyampaian yang cukup baik!


Kredit untuk sahabat bertiga!

Sepertimana diri ini terkesan pada malam itu,semoga sahabat-sahabat juga merasakan perkarayang sama. Selamat 'berhjrah' wahai sahabat! Rasulullah saw ikon terbaik!!

Thursday, December 9, 2010

Mencari Keaiban Diri

ILMU Tasawwuf merupakan salah satu bidang ilmu yang amat penting dan tinggi nilainya di dalam agama Islam. Ini kerana ianya bertujuan untuk membersih dan mensucikan hati agar ia dapat mengenal dan semakin dekat dengan PenciptaNya, Allah swt. Lantaran daripada itu, ahli-ahli Tasawwuf telah meninggalkan untuk kita banyak kitab-kitab dan hasil tulisan mereka yang membincangkan tentang kepentingan dan cara-cara untuk mensucikan hati.

Hari ini, kita dapat lihat betapa maksiat dan dosa-dosa dilakukan sewenang-wenangnya tanpa ada rasa malu sedikitpun. Peringatan-peringatan keras yang disebut oleh Allah Azza Wa Jalla nampaknya seperti tidak membawa apa-apa makna. Rasa takut dan taat yang sepatutnya ada di dalam siri seorang mukmin sudah tidak kelihatan lagi. Malah, apabila seseorang datang menyapa dan menegur tentang kesilapan yang telah dilakukan kita pantas merungut dan menarik muka. Menganggap mereka yang menegur itu hanya menjaga tepi kain, cemburu atau berfikiran tidak terbuka. Kita lebih cenderung menganggap kita sudah cukup dewasa dan tahu membezakan yang mana baik dan buruk. Kita merasakan diri sudah ‘sempurna’, mustahil untuknya membuat salah dan kesilapan. Kita terlupa bahawa sebagai manusia, kita penuh dengan kekurangan. Diri kita terpalit seribu satu keaiban. Berhentilah dari mencari-cari keaiban orang lain, kerana pada diri kita sendiri sudah banyak kecacatan yang perlu dibaiki dan diubah kepada yang lebih baik.

Oleh kerana itu, Imam al Ghazali telah menunjukkan jalan-jalan bagaimana untuk mencari kecelaan dan keaiban yang ada pada diri, iaitu dengan empat cara :


PERTAMA : Berguru dengan guru yang mursyid
Guru mursyid yang dimaksudkan di sini ialah guru yang dapat mendidik dan menunjuk ajar setiap kesalahan zahir mahupun batin yang kita lakukan. Guru seperti ini mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan mampu memberikan contoh teladan yang baik melalui akhlaknya yang terpuji.Dengan berdamping dengan guru yang mursyid ini, nescaya kita akan dapat mengenalpasti kekurangan yang ada pada diri tatkala melihat dan bergaul dengan mereka.

KEDUA : Bersahabat dengan sahabat yang soleh
Memilih sahabat merupakan salah satu perkara yang amat penting. Kerana sahabat merupakan diantara mereka-meraka yang paling banyak untuk kita meluangkan masa bersama. Bersahabatlah dengan sahabat yang soleh dan berakhlak mulia pula. Sahabat sejati ialah mereka yang akan menegur segala kesilapan kita dengan niat untuk kita memperbaikinya, bukannya hanya berdiam diri tatkala kita melakukan kesalahan dengan alasan untuk menjaga hati kita.

KETIGA : Mendengar kata musuh
Musuh sudah tentu akan mengintai-intai dan mengatakan segala yang buruk dan kelemahan yang ada pada diri kita. Adalah mustahil untuk mereka memuji-muji dan mengatakan kebaikan kita. Oleh itu seharusnya kita mengambil kesempatan ini untuk kita menyuluh semula ke dalam diri di atas semua kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan. Tetapi ini merupakan satu perbuatan yang amat payah untuk dilakukan, jika jiwa kita belum bersedia. Tidak mudah untuk kita menerima celaan dan kejian yang dilemparkan pada kita. Lantas kita memerlukan hati yang kuat untuk menghadapinya. Perlu diingat, usah melihat kepada siapa yang bercakap atau menasihati tetapi lihat dan dengarlah apa yang mereka perkatakan.

KEEMPAT : Bergaul dengan masyarakat
Di dalam masyarakat hari ini kita akan dapat melihat pelbagai ragam manusia samada yang baik mahupun buruk. Dengan pergaulan inilah kita seharusnya mengikuti apa yang baik dan menjauhi segala yang buruk. Hari ini dengan mudahnya kita dapat melihat kerosakan akhlak yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Lantas ambillah peluang ini untuk kembali merenung diri dan bermuhasabah sendiri..Adakah kita yakin tidak berkelakuan seperti mereka atau sebaliknya? Tanamkan tekad dan azam untuk kita mengislah kehidupan masyarakat hari ini, namun bermula dengan diri kita sendiri.

Mencari keaiban dan kekurangan diri di sini bukanlah bermaksud untuk menghina dan memandang rendah akan diri sendiri. Namun, bertujuan untuk kita sama-sama muhasabah dan mengoreksi diri seterusnya berubah kepada yang lebih baik.

Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam..

Sunday, December 5, 2010

Bersatu!

Bakal menyambut tahun baru Hijrah 1432..Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan..
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Disebalik kegembiraan dan kesyukuran untuk menyambut hari itu, terselit kegusaran.
Masih ada segelintir dari kita hari ini ‘membidaahkan’ sambutan Maal Hijrah yang sudah menjadi satu kebiasaan untuk diadakan. Hatta doa awal dan akhir tahun juga didebatkan! Samada ianya dibuat oleh Rasulullah saw,para sahabat baginda atau sekadar hasil tulisan para ulama’ muktabar.
Lantas, mulalah segolongan dari kita salah-menyalahkan,menunding jari dan lebih dasyat lagi segolongan masyarakat yang melazimi ibadah ini mendapat gelaran ‘sesat’!

Kalaupun tiada hadith sohih yang meriwayatkan tentang doa ini, salahkah jika kita mengamalkan doa-doa yang telah dibuat oleh para ulama’ terdahulu? Ternyata, jika diamati intipati doa awal dan akhir tahun ini tiada apa yang salah! Tidak menggugat aqidah,melanggar syariat mahupun mengandungi unsur-unsur maksiat. Lantas,perlukah kita mengatakan
Itu bidaah!’….’Kamu masuk neraka!’??
Sedangkan ternyata dengan sambutan dan doa sebegini tidak lain hanyalah untuk kita menghidupkan kembali dan mengamati sejarah terdahulu dan memohon segala yang baik-baik untuk kehidupan di dunia dan akhirat bersempena dengan tahun baru yang dianugerahkan Allah swt.

Usahlah fahaman ini disebar-sebarkan.
Bukankah sesuatu yang cukup baik bilamana kita semua berkumpul sambil sama-sama menadah tangan memohon doa kepadaNya?
Bukankah sesuatu yang cukup baik bilamana kita melihat masih ada diantara kita yang punya kesedaran dan keinsafan untuk menghidupkan dan meraikan hari yang penuh sejarah ini?

Diri cukup hairan bilamana ibadah seperti ditegah dan dilarang!
Lihatlah di luar sana!..Berapa ramai lagi umat Islam yang tidak tahu lansung apakah yang dimaksudkan dengan sambutan Maal Hijrah?
Apa sejarah dan cerita disebaliknya?
Penghijrahan Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda dari mana dan menuju ke mana?
Atas tujuan apa pula hijrah itu dilakukan??

TERLALU RAMAI.
Itu jawapan pasti yang mampu dilontarkan bilamana soalan-soalan sebegini diajukan kepada masyarakat ..lantas hanya mendapat gelengan kepala sebagai jawapan! ‘Tidak tahu!’

Pilih satu antara dua…
Pertama,kita melihat umat Islam akan datang menyambut hari kebesaran seperti ini dengan bacaan ayat suci Al Quran,selawat memuji-muji Nabi saw dan doa-doa yang dipohon hanya kepada Allah swt..ataupun..
Kedua, umat Islam yang jahil mengenai hari-hari penting dalam Islam, masyarakat yang jauh daripada masjid,surau dan tidak tahu membaca Al Quran?? Tepuk dada tanya iman.



Bersatulah! Sesungguhnya masih terlalu banyak tugasan yang perlu dikerjakan bagi ‘membangunkan’ umat Islam hari ini yang semakin lalai dan hanyut dengan keasyikan dunia. ‘KITA’ bukanlah seramai mereka yang memerlukan ilmu dan kefahaman agama di luar sana. Namun apabila kita sendiri yang berpecah-belah…bagaimana kelak tanggungjawab itu akan dilaksanakan?? Kita perlu bersatu! Kerana aku adalah kamu, dan kamu adalah aku!

Allah berfirman mafhumnya: ( Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai) 3:103

Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam… Selamat menyambut tahun baru kepada semua sahabat sahabiah.Moga tahun depan akan menjadikan kita hambaNya yang lebih taat dan bersyukur~

Ahlan 1432H

Bismillahi Rahmaanir Rahim..
:: Doa akhir tahun ini bolehlah dibaca selepas solat Asar sebelum memasuki tanggal 1Muharram.



:: Doa awal tahun ini pula dibaca selepas solat Maghrib,hari yang sama.

Setahun yang berlalu..entah sudah berapa banyak dosa yang telah dilakukan samada secara sengaja atau tidak. Amalan dan ibadah pula entah diterima di sisiNya atau sebaliknya..
Sama-sama berdoa.
Mudah-mudahan Allah swt memakbulkan doa kita dengan sifat RAHMAN dan RAHIMNya..

>> 'SELAMAT menyambut MAAL HIJRAH 1432!'

Thursday, December 2, 2010

Pelancaran Kempen Biah Solehah BKPSM


'' Bismillahirahmanirrahim..Segala pujian hanya kepada Allah swt dan selawat serta salam buat junjungan besar Muhammad saw.Alhamdulillah seharusnya kita bersyukur kerana hingga saat ini masih dikurniakan nikmat IMAN dan ISLAM yang tidak ternilai harganya. Hari ini kita dapat lihat betapa ramai umat manusia itu yang hanyut dan lalai dek seribu satu permainan dan tipu daya dunia. Cara hidup dan keterbiasaan menjalani hidup tanpa berpandukan Al Quran dan Sunnah menjadikan persekitaran hari ini menjadikan manusia semakin jauh dari Allah swt. Perbuatan salah yang dinamakan ‘maksiat’ sudah tidak mampu menggetarkan hati seorang hamba akibat kelaziman ia dilakukan. Amal soleh yang dinamakan ‘ibadah’ pula menjadi satu kepelikan kerana jarangnya ia dikerjakan.

Benarlah sabda Rasulullah saw yang bermaksud : { Islam mula tersebar dalam keadaan dagang(pelik), dan ia akan kembali pelik pula. Maka beruntunglah orang-orang yang pelik }

Mungkin sesetengah dari kita pernah merasakan perbezaan tikamana kita berada di bumi Mesir dan Malaysia,khususnya Sabah. Bila diamati, jelas ada dua persekitaran yang berlainan dapat kita alami. Di Mesir, kita terbiasa dengan persekitaran yang solehah. Budaya membaca AlQuran, menunaikan solat tepat pada waktunya bersama jemaah,amalan bersedekah, budaya menutup aurat,tolong menolong dan sebagainya sudah menjadi kebiasaan bagi penuntut di Bumi Mesir. Namun,agak malang tatkala kembali ke Tanah Air ada yang berubah! Amalan-amalan baik tadi tidak lagi dipraktikkan hanya kerana kita ‘dikuasai’ oleh persekitaran yang tidak solehah. Faktor penerimaan masyarakat, keluarga dan sahabat handai lebih banyak mempengaruhi cara hidup kita berbanding tarbiyah yang telah diterima di sini.

Firman Allah swt mengingatkan : {Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang maaruf,dan mencegah yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung} 3 : 104

Atas kesedaran itulah, Mahasiswi Sabah (WISA) akan mengadakan kempen Biah Solehah BKPSM pada bulan Disember nanti,dengan kerjasama BDAT dan BPP.
Objektif utama kami adalah untuk mengajak semua ahli Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) mewujudkan Biah Solehah khususnya di dalam bangunan WYSK dan AYSI yang mana pastinya memerlukan kerjasama dari semua mahasiswa dan mahasiswi. Di samping itu, harapan kami agar sesi pentarbiyahan yang kita perolehi di sini bukan sahaja diamalkan sewaktu menuntut di Mesir namun supaya amalan-amalan ini menjadi satu tabiat dan amalan seharian yang sudah tidak janggal lagi. Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dan manfaat menerusi kempen ini. Segala yang baik itu hanyalah dari ALLAH SWT dan yang lemah itu disandarkan pada diri yang serba kekurangan. Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam
- Ketua Wisa 2010/2011 "

******************************************************
Dalam usaha mewujudkan biah yang solehah, tidak dinafikan ada seribu satu cara dan amalan soleh yang boleh kita amalkan. Namun, dalam kempen ini ada 5 ciri utama yang ditekankan iaitu :
1) Eratkan tautan ukhuwah
2) Cakna solat berjemaah

3) Hindari ikhtilat
4) Memperkasa budaya ilmu dan thaqafah
5) Memahami kod etika aurat muslim/muslimah