Thursday, December 9, 2010

Mencari Keaiban Diri

ILMU Tasawwuf merupakan salah satu bidang ilmu yang amat penting dan tinggi nilainya di dalam agama Islam. Ini kerana ianya bertujuan untuk membersih dan mensucikan hati agar ia dapat mengenal dan semakin dekat dengan PenciptaNya, Allah swt. Lantaran daripada itu, ahli-ahli Tasawwuf telah meninggalkan untuk kita banyak kitab-kitab dan hasil tulisan mereka yang membincangkan tentang kepentingan dan cara-cara untuk mensucikan hati.

Hari ini, kita dapat lihat betapa maksiat dan dosa-dosa dilakukan sewenang-wenangnya tanpa ada rasa malu sedikitpun. Peringatan-peringatan keras yang disebut oleh Allah Azza Wa Jalla nampaknya seperti tidak membawa apa-apa makna. Rasa takut dan taat yang sepatutnya ada di dalam siri seorang mukmin sudah tidak kelihatan lagi. Malah, apabila seseorang datang menyapa dan menegur tentang kesilapan yang telah dilakukan kita pantas merungut dan menarik muka. Menganggap mereka yang menegur itu hanya menjaga tepi kain, cemburu atau berfikiran tidak terbuka. Kita lebih cenderung menganggap kita sudah cukup dewasa dan tahu membezakan yang mana baik dan buruk. Kita merasakan diri sudah ‘sempurna’, mustahil untuknya membuat salah dan kesilapan. Kita terlupa bahawa sebagai manusia, kita penuh dengan kekurangan. Diri kita terpalit seribu satu keaiban. Berhentilah dari mencari-cari keaiban orang lain, kerana pada diri kita sendiri sudah banyak kecacatan yang perlu dibaiki dan diubah kepada yang lebih baik.

Oleh kerana itu, Imam al Ghazali telah menunjukkan jalan-jalan bagaimana untuk mencari kecelaan dan keaiban yang ada pada diri, iaitu dengan empat cara :


PERTAMA : Berguru dengan guru yang mursyid
Guru mursyid yang dimaksudkan di sini ialah guru yang dapat mendidik dan menunjuk ajar setiap kesalahan zahir mahupun batin yang kita lakukan. Guru seperti ini mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan mampu memberikan contoh teladan yang baik melalui akhlaknya yang terpuji.Dengan berdamping dengan guru yang mursyid ini, nescaya kita akan dapat mengenalpasti kekurangan yang ada pada diri tatkala melihat dan bergaul dengan mereka.

KEDUA : Bersahabat dengan sahabat yang soleh
Memilih sahabat merupakan salah satu perkara yang amat penting. Kerana sahabat merupakan diantara mereka-meraka yang paling banyak untuk kita meluangkan masa bersama. Bersahabatlah dengan sahabat yang soleh dan berakhlak mulia pula. Sahabat sejati ialah mereka yang akan menegur segala kesilapan kita dengan niat untuk kita memperbaikinya, bukannya hanya berdiam diri tatkala kita melakukan kesalahan dengan alasan untuk menjaga hati kita.

KETIGA : Mendengar kata musuh
Musuh sudah tentu akan mengintai-intai dan mengatakan segala yang buruk dan kelemahan yang ada pada diri kita. Adalah mustahil untuk mereka memuji-muji dan mengatakan kebaikan kita. Oleh itu seharusnya kita mengambil kesempatan ini untuk kita menyuluh semula ke dalam diri di atas semua kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan. Tetapi ini merupakan satu perbuatan yang amat payah untuk dilakukan, jika jiwa kita belum bersedia. Tidak mudah untuk kita menerima celaan dan kejian yang dilemparkan pada kita. Lantas kita memerlukan hati yang kuat untuk menghadapinya. Perlu diingat, usah melihat kepada siapa yang bercakap atau menasihati tetapi lihat dan dengarlah apa yang mereka perkatakan.

KEEMPAT : Bergaul dengan masyarakat
Di dalam masyarakat hari ini kita akan dapat melihat pelbagai ragam manusia samada yang baik mahupun buruk. Dengan pergaulan inilah kita seharusnya mengikuti apa yang baik dan menjauhi segala yang buruk. Hari ini dengan mudahnya kita dapat melihat kerosakan akhlak yang berlaku di dalam masyarakat hari ini. Lantas ambillah peluang ini untuk kembali merenung diri dan bermuhasabah sendiri..Adakah kita yakin tidak berkelakuan seperti mereka atau sebaliknya? Tanamkan tekad dan azam untuk kita mengislah kehidupan masyarakat hari ini, namun bermula dengan diri kita sendiri.

Mencari keaiban dan kekurangan diri di sini bukanlah bermaksud untuk menghina dan memandang rendah akan diri sendiri. Namun, bertujuan untuk kita sama-sama muhasabah dan mengoreksi diri seterusnya berubah kepada yang lebih baik.

Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam..

No comments:

Post a Comment