Tuesday, December 14, 2010

Cantiknya bunga itu!

Bismillahirahmanirahim..
Peristiwa yang berlaku lebih kurang empat tahun lalu ini ingin dikongsi bersama. Sekolah Menengah Toh Puan Hajah Rahmah menjadi latar tempat kejadian. Tahun itu, batch kami sudah pun bergelar super senior,form 6. (^-^)

Seperti mana biasa,setiap pagi sesampainya ke sekolah..salah satu tugas favorite diri..menyiram pokok bunga! Tidak senang rasanya duduk bila ternampak pokok-pokok bunga di luar kelas itu,kering tidak bersiram. Langkah dihayun mengambil air. Lantas satu persatu bunga disiram.Bunga yang kering tadi nampak cantik dan segar sekali bilamana manik-manik jernih berkilauan dari jauh. Diri tersenyum. Puas.

Tatkala itu..dia datang menyapa... ‘Assalammualaikum, Azlinah..’
Aku tersenyum menjawab salamnya..’Waalaikumussalam’.
‘Ermm.. lepas kau siram bunga kelas kamu, aku mau pinjam ar!’,pintanya untuk aku memberikan bekas penyiram bunga untuk dia pula menyiram pokok bunga kelas mereka yang berada betul-betul bersebelahan dengan kelas kami.

‘Ok!’,jawabku ringkas sahaja. Setahu aku,memang selalu benar ternampak dia menyiram bunga. Suatu ‘kerajinan’ yang agak luar biasa bagi seorang pelajar lelaki untuk menyiram pokok bunga.
Sedang aku khusyuk menyiram, rupa-rupanya dia memerhati. Dia datang tanpa dipanggil.

‘Azlinah…kau ndak rasa ajaib ka tengok bunga-bunga ni?’,katanya merujuk kepada bunga kertas berwarna merah jambu yang aku sedang siram.
‘Haa..?Kenapa?’,tanyaku mengagak jawapannya.
‘Cuba kau tengok….tanah ni,warna dia hitam kan?Tapi sekali yang tumbuh…warna hijau,warna pink,ajaib kan?!', Jawabnya jujur tanpa ada bunyi mengejek.

Aku terkebil-kebil. Buat seketika….aku hanya terdiam.Aku melihat bunga tadi. Tersenyum lagi.

‘Subhanallah..betul,betul!’ Aku benar-benar mengiyakan pertanyaanya .
‘Bunga pun bertasbih dan berzikir kepada Allah swt kan?Kita ni..??’ Soalannya mematikan perbualan kami. Masing-masing punya jawapan sendiri. Aku tersenyum lalu menghulurkan kepadanya bekas untuk menyiram bunga.

Sejujurnya, sedikit takjub dan rasa malu terhadap dia yang begitu bijak mengaitkannya dengan kekuasaan Allah swt. Dia lelaki, dan aku perempuan. Lazimnya,perempuan itu lebih cenderung kesukaan dan minatnya terhadap bunga. Dan itu aku! Namun,aku hanya melihat dengan mata kasar berbanding dia yang melihat dengan hati dan akal. Itulah dia seorang sahabat! Sentiasa mengajak diri untuk bermuhasabah, berfikir mengenai kebesaran Allah swt dan menegur segala salah silap kita dengan niat untuk mengislah diri kepada yang lebih baik. Beruntungnya mereka yang didampingi sahabat sebegini!

Sudah agak lama peristiwa itu berlalu. Namun, jelas masih segar di dalam ingatan ini. Ku lipat kemas ia berupa kenangan indah sewaktu bersekolah dahulu. Andai ku ungkit peristiwa ini kepadanya mungkin dia sudah terlupa. Tetapi bagi aku…sehingga hari ini aku dengan gembiranya suka untuk berkongsi cerita ini kepada teman-teman dan adik-adik yang lain.

Teringat firman Allah swt..[ Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah] Al Hajj:5


Hari ini,setiap kali diri menatap ros kuning yang menjadi kesukaanku, aku teringat peristiwa tadi.Betapa ia telah benar-benar memberi kesan dan membawaku untuk sama-sama bermuhasabah dan bertasbih memujiNYA..
Cantiknya bunga itu!..Subhanallah~

No comments:

Post a Comment