Friday, August 28, 2009

Sekadar Tamar


Siang hari di bulan Ramadhan..
Seharian menahan diri daripada makan dan minum,memujuk diri untuk bersabar.
Perut 'rancak' berkeroncong,tekak mengeluh kering...

Minda menerawang jauh..membayangkan juadah-juadah yang akan dijamah untuk berbuka puasa nanti.Ayam panggang,Nasi goreng,Mee Mamak,kuih-muih ,cendol,ABC…Perghh…Semuanya enak-enak belaka.Begitulah biasanya suasana Ramadhan kita di Malaysia.Cukup meriah dengan Bazar-bazar Ramadhan yang menjual pelbagai juadah kepada pelanggan untuk berbuka.Berbeza apabila berbuka di Masjid-masjid,sekadar sirap dan kurma.Cukup.Bagi yang kurang faham,mulalah berperangai seperti anak kecil.Merajuk.Tidak mahu makan.Apa yang dibayangkan tadi,mesti dihidang untuknya.

Nampak??Itulah di antara hikmah difardhukan kepada kita untuk berpuasa.Bukan sekadar menahan diri dari makan,minum,dan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa,sebaliknya Bulan Ramadhan juga merupakan madrasah untuk kita mendidik diri,mengawal nafsu dan menanam sifat sentiasa bersyukur.Salah satu waktu untuk kita melihat sejauh mana kita telah ‘ditarbiyyah’ atau tidak adalah waktu berbuka puasa.

Adalah sunat untuk kita berbuka dengan Tamar berbanding juadah lainnya,berdasarkan hadith daripada Anas Bin Malik ra yang berkata : [Sesungguhnya Nabi saw berbuka sebelum menunaikan solat dengan memakan Rutob,sekiranya baginda tidak mendapatinya Baginda akan berbuka dengan Tamar,dan jika tidak ,cukup dengan sekadar meminum air] Hadith Riwayat At Tarmidzi

Setiap perkara yang disukai dan sunnah Rasulullah saw itu sebenarnya terdapat banyak kelebihannya.Begitu juga halnya dengan kurma.Khasiat yang terdapat pada Kurma bukan sahaja diakui dalam Islam,malah pakar perubatan masa kini turut memperakui akan khasiat yang ada padanya.

Antara khasiat yang terdapat pada kurma :

1- Kurma memberikan tenaga serta merta menerusi kandungan gulanya sebanyak 50 hingga 57 peratus glukosa. Kandungan proteinnya pula lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus serat dan serat 2.0 hingga 4.0 peratus. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita dari makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala pada waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat. Tanpa tenaga serta-merta ini, akan menjadikan kita mengantuk.

2- Potasium diperlukan oleh tubuh badan untuk sistem saraf kerana kurma mengandungi sumber yang mujarab. Pengambilan potasium yang berlebihan tidak menyebabkan penimbunan toksid di dalam tubuh. Sebaliknya ia sangat baik untuk mengatasi masalah seperti sembelit, lemah otot, letih, yang mengalami tekanan, sengal-sengal badan dan juga untuk menguatkan ingatan.

3- Kurma yang dimakan tanpa membuang kulitnya boleh mencegah dari masalah barah usus besar kerana ia melawaskan.

4- Buah kurma juga mengandungi khasiat kepada kaum wanita yang sedang nifas iaitu ia memudahkan proses ketika hendak bersalin.

5- Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu boleh memakan buah kurma. Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam kurma adalah unsur yang berkhasiat yang dapat menambahkan air susu ibu.

6- Kurma juga berperanan dalam tumbesaran kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang. Ia juga tidak mengandungi kolesterol, lemak serta gula. Dan, ia elok untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Kesimpulannya,bukanlah menjadi kesalahan untuk kita berbuka dengan juadah-juadah yang disebut tadi.Tetapi pastikan tidak berlaku pembaziran,lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini.Dan sekiranya tidak,bersederhanalah!Cukuplah dengan sekadar tamar.Alhamdulillah~

1 comment:

  1. Salam. begitu banyak khasiat kurma yang mungkin tidak diketahui oleh umat Islam lantaran keterbatasan ilmu mengenainya. Yang hanya ada pada 'mindset' pengetahuan umat islam hari ini khususnya di Malaysia ttg kurma ia adalah makanan Nabi pada bulan Ramadhan shj.

    Makanan yg berkhasiat spt kurma hanya sebulan dalam setahun masuk rumah itupun pada bulan Ramadhan, 11 bulan yang lain buah kurma nie tak dipandang langsung.. Cuba renung2kan.. :)

    ReplyDelete