Monday, November 28, 2011

Penghijrahan Satu Tuntutan

Peristiwa penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabatnya yang telah berlalu 1433 tahun yang lalu tentu sekali bukannya satu penghijrahan yang bersifat zahiri sahaja. Bahkan disebalik sejarah yang agung ini, sebenarnya konsep hijrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah bersifat menyeluruh mencakupi setiap aspek dalam kehidupan umat Islam hari ini.

Memetik sabda Rasulullah saw yang bermaksud : [ Orang yang berhijrah adalah seorang yang berhijrah daripada sesuatu yang ditegah/dilarang oleh Allah swt] HR Bukhari dan Muslim

[Tidak ada lagi penghijrahan selepas Al Fath (pembukaan Kota Mekah) melainkan jihad dan niat] HR Bukhari dan Muslim

Penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat meniti sebuah perjalanan yang amat payah dan sukar. Lantas, wajarkah kita mahukan penghijrahan yang mudah dan selesa tanpa bersusah payah...?


Daripada dua kalam Rasulullah saw di atas jelaslah kepada kita bahawasanya, walaupun peristiwa hijrah telah lama berlalu, namun konsep hijrah tadi sebenarnya masih dituntut untuk kita amalkan dan aplikasikan di dalam kehidupan seharian kita. Hijrah menuntut untuk kita melakukan perubahan dan pengislahan dari satu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang baik. Daripada yang baik kepada yang lebih baik!

Jika kita amati dengan teliti di setiap aspek kehidupan umat Islam hari ini, kita sememangnya memerlukan proses penghijrahan itu! Dari segi fizikal, sifat/keperibadian, persekitaran dan tentu sekali minda dan kefahaman! Untuk melakukan penghijrahan ini, tentu sekali ianya membutuhkan pengorbanan dan kesungguhan daripada setiap individu.

Lihatlah bagaimana Allah swt mengajar kepada kita bahawa setiap perjuangan, penghijrahan dan pengislahan itu secara fitrahnya memang sukar dan memerlukan kekuatan hati dan azam! Buktinya jelas bilamana Allah swt sendiri yang mengarahkan Rasulullah saw untuk bangkit, berhijrah dari Mekah ke Madinah. Kalaulah Allah swt berkehendak, tentu mudah sahaja bagi Allah swt untuk ‘menghijrahkan’ Nabi Muhammad saw dan umat Islam pada ketika itu dengan sekelip mata sepertimana yang telah dilakukan terhadap Nabi saw dalam peristiwa Israk Mikraj yang berlaku setahun sebelum peristiwa hijrah itu berlaku!


Penghijrahan hakiki pastinya membawa kita ke arah yang lebih baik sebagai seorang individu muslim!


Melalui ibrah ini dapatlah kita fahami bahawa penghijrahan itu memang sukar, memang payah! Tetapi yakinlah, setelah susah payah itu ditempuh maka akan terbukalah pintu dan satu kehidupan baru yang tentunya akan lebih baik, sejahtera dan penuh dengan kebahagiaan. Usahlah gentar dan lemah dengan kata-kata sinis mereka yang memandang enteng usaha kita yang mahu berubah. Andai keredhaan Allah swt yang kita cari walaupun dengan murkanya manusia, nescaya Allah swt tidak akan meninggalkan kita sendirian dalam mengharungi liku-liku disepanjang perjalanan itu.

Tanamlah ketaqwaan dan keimanan yang benar pada Allah, Rasul dan agamanya. Dari sana akan terbit pula semangat dan keazam untuk melakukan sebuah tadhiah (pengorbanan) yang sudah semestinya ditagih. Dengan yang sedemikian, akan terbentanglah peluang dan ruang untuk kita melakukan sebuah penghijrahan!

[Barangsiapa yang ingin berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan RasulNya] Muttafaqun Alaih

‘Tiada penghijrahan tanpa pengorbanan, tiada pengorbanan tanpa ketaqwaan dan keimanan yang teguh kepada Allah swt ‘.


- Panel forum Sambutan Maal Hijrah 1433H, Dewan Tun Datu Mustapha, Wisma Yayasan Sabah Kaherah.

No comments:

Post a Comment