Thursday, July 14, 2011

iEgypt : Tentang aku dan Mesir

Aku mengimbau kenangan. Teringat di waktu awal-awal menjadi penuntut di Universiti Al Azhar beberapa tahun lalu, disebabkan masih bergelar freshy, selalu benar dijadikan ‘mangsa buli’ oleh teman-teman sekuliah Misriyat. Kekangan untuk memahami dan bertutur bahasa ammi Mesir pada waktu itu membuatkan diri selalu mengalah bila diajak berdebat atau ‘bergaduh’ (eventhough sekarang ni pun, tidaklah sefasih mana).

Pernah satu ketika, sekumpulan mahasiswi Mesir yang agak ‘nakal’ menegur dan bertanyakan negara asal ku. Aku dengan bangganya memperkenalkan negara tempat kelahiranku. MALAYSIA.

Kemudian mereka bertanyakan kepada ku satu soalan.

‘Antara negara kamu dengan negara kami(Mesir) , mana satu yang lebih baik?’

Tanpa memandang rendah dengan negara mereka, aku menyebelahi Malaysia. Mereka kemudiannya tertawa dek kerana jawapan yang aku berikan. Bermonolog sendiri..

Aih..salahkah jawapan tu?

Aku melihat, dari segi pembangunan, kestabilan ekonomi, budaya dan kemajuan itulah jawapan yang terbaik waktu itu. Namun, tetap hairan..’Kenapa mereka tertawa mendengar jawapan ku tadi?’

Salah seorang gadis tadi menyambung persoalannya sambil tersenyum-senyum..

’Kalau begitu jawapan kamu, aku mahu bertanya lagi..Tapi diantara negara kami dan negara kamu..Mana satu diantara keduanya ada disebutkan di dalam Al Quran?’.

Kali ini gelak ketawa mereka lebih kuat. Menanglah agaknya tu..

Apa tidaknya..mendengarkan soalannya itu aku terdiam. Bukan kalah tetapi berfikir dan mengakui akan kebenaran kata-katanya.

Itulah negara Mesir!

Walaupun tidak membangun pesat seperti negara kita, tidak secantik dan seindah Malaysia namun satu kelebihan utamanya..Nama itu telah tercatit di dalam Kitab suci Allah swt. Ada kisah yang tercatat pada helaian sejarahnya. Dan tentunya ia punya kelebihan dan keistimewaan tersendiri!

‘Ihbituu misran fainna lakum maa saaltum’.. Ayat Quran ini pernah dihantar padaku lewat sms dari seorang Ustaz ketika tahun pertama aku menjejekkan kaki ke bumi barakah ini.

‘Pergilah ke satu kota, pasti kamu akan memperoleh apa yang kamu minta’ 2:61

Bangunan-bangunan tersusun seperti kotak. Berdebu berpasir tidak kira disudut mana pun. Tatkala sampai masanya, panas membahang. Jalan raya yang tidak sunyi dari bunyi hon dan kesesakan. Melihat si kaya terlalu kaya, sedang si miskin semakin melarat.

Secara zahirnya, seperti kalah habis berbanding negara-negara lain yang ada di dunia maju hari ini. Tetapi kita kalah pada ketamadunan dan sirah yang terlipat kemas di sebalik negara ini.

Ia negara yang mana rasul-rasulNya pernah diutuskan satu ketika dulu. ‘Bumi Anbiya’ ini menyimpan berakahnya buat mereka yang mencari. Punyai Universiti Al Azhar, sebuah institusi yang telah melahirkan ramai golongan ulama’ dan cendekiawan. Sebuah negara yang sangat kaya dengan majlis-majlis taalim dan talaqi seumpama mutiara berharga yang ditabur. Di bumi ini jugalah, langkah-langkah para wali,imam-imam dan orang soleh pernah ditinggalkan.

Dengan budaya mereka yang selalu mengalunkan bacaan ayat suci Al Quran, sangat menjaga solat, memuliakan tetamu dan sebagainya membuatkan bumi Kinanah ini sangat istimewa. Lantas aku idak menafikan malah sangat menyetujuinya! Ia sebuah negara yang sangat istimewa.

‘iEgypt’ merupakan satu assignment yang baru bermula. Hobi untuk mengambil gambar nampaknya semakin menjadi-jadi pula. Ingin sungguh untuk berkongsi dengan semua tentang Mesir dan menjadikannya salah satu memori indah buat diri seorang perantau ini.

‘iEgypt’..Semuanya hanya berkisar tentang aku dan Mesir..

Inilah Mesir!!

1 comment: