Friday, August 2, 2013

Mad'u Istimewa (7) : Langkah Demi Langkah..

بسم الله الرحمن الرحيم

Sedar tidak sedar, sudah masuk bulan ketiga saya bertugas di Institut Seni Sabah ini. 
Maksudnya, hanya tinggal beberapa kali sahajalah lagi saya akan bersua muka dengan pelajar-pelajar saya yang amat dikasihi itu.  Langkah saya ke kelas semakin lama semakin longlai. Tidak sanggup rasanya untuk saya bayangkan saat-saat terakhir kami akan bersama kelak.

Sayu.

Bulan terakhir ini, Allah masih menghimpunkan kami di dalam taman-taman syurgaNya. Dan lebih istimewanya lagi, kami berpeluang untuk sama-sama melalui bulan Ramadhan yang mulia pada tahun ini. Di dalam kelas-kelas terakhir ini, saya lebih banyak mengulangkaji tajuk-tajuk yang pernah kami pelajari beberapa bulan yang lalu sebelum mereka menghadapi peperiksaan akhir pada bulan Ogos nanti. Sepanjang tempoh semester ini, diantara tajuk yang telah kami kupas dan syarahkan adalah berkenaan Islam sebagai agama yang syumul, tajuk-tajuk yang menyentuh tentang syariat, ketamadunan, kekeluargaan, kemasyarakatan, gejala keruntuhan moral, salah faham terhadap agama Islam dan sebagainya.


Selain daripada Firdaus, seorang pelajar perempuan saya juga telah mula menampakkan perubahan-perubahan positif di dalam dirinya. Secara zahirnya, Afiqah mungkin kelihatan seperti remaja lain di luar sana. Walaupun dia nampaknya lebih selesa untuk free-hair, tapi saya tahu benar bahawa dia adalah seorang remaja perempuan yang sangat baik, sopan dan pandai menjaga dirin. Ya, keinginan terbesar saya terhadapnya tentu sekali untuk melihat dia mengenakan tudung, tapi saya sedar saya hanya mampu membimbing setakat mana yang termampu. Selebihnya, semua bergantung pada keinginan dirinya sendiri dan tentu sekali dengan izin Allah swt.


Walaupun begitu, di dalam tempoh ini saya sangat kagum dengan keinginannya untuk belajar mengaji secara bertalaqi dengan saya. Dia pernah menyatakan bahawa dia kesal kerana tidak pernah belajar sebelum ini, tapi acapkali jugalah saya memujuknya dengan berkata bahawa proses pembelajaran kita sebagai seorang manusia ini sebenarnya tidak pernah ada titik noktahnya, sehinggalah nadi ini berhenti berdenyut. Selagi ada hayat, selagi ada peluang kita boleh belajar apa yang kita mahu belajar.



Alhamdulillah, walaupun jadual hujung minggu saya agak padat, tapi tidak sampai pula hati saya untuk menghampakan niat baiknya. Dengan izin Allah, sudah beberapa kali kami bertemu di Masjid Negeri Sabah untuk mengadakan kelas mengaji. Afiqah sangat cepat belajar. Cuma adakalanya, bila dia terlupa untuk membezakan huruf-huruf hijaiyyah itu, kelakuannya akan membuatkan kami saling tertawa. Afiqah juga menghadapi sedikit kesukaran untuk menyebut sesetengah huruf-huruf hijaiyyah. Maklum sajalah, huruf-huruf ini tentu sekali tidak seperti huruf-huruf rumi, kerana setiap satu darinya perlu disebut dan keluar dari makhraj yang betul.


Satu demi satu, langkah demi langkah.
Saya benar-benar kagum dengan kesungguhannya!


Ketika saya mengajarkan Afiqah mengaji, saya cuba menyelitkan beberapa hadith Rasulullah saw yang banyak menyebut tentang fadhilat yang akan diperlolehi oleh mukmin yang sedang bersusah-payah untuk belajar. Saya risau, kalau-kalau kesukaran yang dihadapinya pada awal-awal ini, akan membuatkannya patah semangat lalu membatalkan niat untuk terus belajar.


Saya teringat kalam Rasulullah saw yang bermaksud: 
“ Orang yang mahir dengan al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi berbakti. Dan orang yang membacanya dalam keadaan sulit (susah) dan merangkak-rangkak maka baginya dua pahala (kebajikan)”    Riwayat Muslim 

Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang menerangkan tentang kelebihan seorang muslim yang membaca Al-Quran. 
 " Abu Musa r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,
“Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis. Perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca al-Quran adalah seumpama buah ‘peria pahit’, buah itu tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafiq yang membaca al-Quran adalah seperti bunga ‘raihanah’, berbau harum, tetapi berasa pahit.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah)



Oh,ya! 
Sepanjang kami belajar mengaji, Afiqah datang ke masjid dengan bertudung litup. Sangat cantik dan manis. Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga sendiri. Kenapa agaknya dia masih belum terfikir untuk memakainya? Kenapa agaknya masih ada segolongan gadis di luar sana yang masih menganggap bertudung itu tidak ubah seperti satu penindasan terhadap kaum wanita hanya kerana rambut yang cantik itu tidak boleh ditayangkan di khalayak umum?

Jikalau fesyenlah yang menjadi alasannya, setahu saya sekarang ini sudah berlambak-lambak dan berjenis-jenis tudung terjual di pasaran. Pilih sahaja corak, warna dan fesyen yang bagaimana, pendek kata kemudahan itu sudah ada. Tetapi saya akur, dalam soal-soal begini kita sebagai daie hanya mampu mendorong, menasihati dan memberikan kalam taujihat kepada para mad'u dengan harapan ia boleh menyentuh hatinya sedikit. Tetapi hakikatnya begitulah.. Sehabis mana pun kita memujuknya, kalau yang empunya diri masih berpegang dengan pandangan dan prinsipnya, tentulah ia akan kekal sedemikian rupa.

Ya Allah..
Afiqah sememangnya seorang gadis yang sangat baik. Sangat-sangat baik. 
Saya selalu berdoa semoga Allah membantu saya dengan membuka pintu hatinya untuk membuat penghijrahan  sepertimana yang dilalui oleh Firdaus. Saya mahu dia sedar, hari ini dia masih berada di dalam keadaan yang 'selamat' tetapi esok lusa tiada siapa mampu menjamin. Dengan pengaruh rakan-rakan sebaya, persekitarannya yang agak sosial dan sebagainya, saya khuatir dia akan terjerumus ke lembah yang menggerunkan itu bersama teman-temannya yang lain.


Namun, janji Allah swt sesekali tidak pernah berdusta dan tidak benar.
Seorang muslimah yang sentiasa menjaga auratnya, pastilah akan sentiasa terjaga dari pandangan dan perbuatan-perbuatan jahat orang di sekeliling. Firman Allah swt yang bermaksud :


 " Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab:59)


Diantara kesemua pelajar perempuan saya, saya paling rapat dengan Afiqah.
Saya sudah menyayanginya sama seperti saya sayangkan adik kandung saya sendiri. Saya berdoa dan tidak akan berhenti berharap, agar satu hari nanti saya akan dapat melihatnya bertudung litup dan comel seperti biasa. 
 Aamin.. =)

No comments:

Post a Comment