Wednesday, May 1, 2013

Kerja Oh Kerja..!

1 Mei.

Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun kedua saya meraikan hari pekerja yang saban tahun oleh seluruh penduduk bumi. Kalau dulu, ketika di sekolah rendah, kita teringin benar untuk melangkah ke sekolah menengah. Bila sudah duduk di sekolah menengah pula, kita mula menyulam cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Zaman bergelar mahasiswa pula bagi saya merupakan satu pengalaman yang sangat manis dan penuh dengan 1001 pengalaman. Di situlah kita mengenal erti susah-payah, pengorbanan, kerja-keras dan migrain!! ^_^  Disebabkan kesemua 'azab' inilah, kita mula beralih pula kepada fasa hidup kita yang seterusnya.

'Seronoknyalah, berkerja kan!' 


Dunia pekerjaan tidaklah seindah yang kita bayangkan. Kalau dahulu kita mengungkapkan kata-kata tadi, mungkin ia hanya kerana kita terlalu letih menghadap buku...buku dan buku sejak 12-18 tahun yang lalu. Kita rasa penat, kita rasa bosan. Lantas kita menganggap, dunia perkerjaan adalah sebuah dunia yang lebih aman dan menenangkan.

Untuk apa kita berkerja?

Ya, Alhamdulillah.. Sebagai orang Islam, kita amat beruntung sekali!
Kerjalah apa pun. Peganglah jawatan setinggi mana, hatta kerja yang mungkin dipandang enteng oleh sebahagian orang sekalipun, percayalah asalkan niat dan cara kita benar ianya akan dikira sebagai suatu ibadah. Dengan meyakini hal itu, penat macam mana pun kita, lelah bagaimana pun yang kita rasa, kita tahu.. Allah swt akan menyediakan ganjaran terbaik buat hamba-Nya.

Bagi saya, zaman pekerjaan bukanlah semudah yang kita sangkakan. Ia tidak mudah, tetapi jangan pula di susah-susahkan. Dalam masa yang sama, ia juga adalah sesuatu yang berat, maka jangan pula ia dimudah-mudahkan.

Apapun profesyen yang kita akan pilih kelak, terpulang!
Polis, peguam, hakim, guru, jurutera, doktor, juruterbang, saintis dan sebagainya semuanya sama. Bagi saya, apa yang paling penting untuk kita bawa ke alam baru ini ialah ILMU, IMAN dan AMAL.

Jika kita memilih untuk menjadi seorang polis, amanahlah dengan tanggungjawab dan tugas kita untuk menjaga.
Jika peguam syariah menjadi pilihan kita, sepatutnya kitalah yang paling teguh memegang dan menjaga syariat Allah swt.
Jika kita seorang pendidik, sewajarnyalah kita menjadi segolongan umat yang benar-benar memahami dan mengamalkan ilmu Allah yang Maha Luas.

Apalah ertinya andai kita memegang jawatan-jawatan yang tinggi, tetapi tiada keberkatan di dalamnya?
Duit yang banyak, terasa tidak pernah cukup!
Bukan membahagiakan, bahkan semakin runsing dan buntu pula dibuatnya!

Saya secara peribadi pernah mengenali beberapa orang insan yang amat saya kagumi.
Mereka mungkin tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi. Kerja pula, hanyalah sekadar yang mungkin digelar sebahagian orang dengan kalimah  'cikai-cikai' sahaja. Tidak standard, low-class dan tidak pernah duduk di pejabat berhawa dingin pun.

Tetapi, berkat keikhlasan, kesungguhan, susah-payah dan keringat itulah yang akan memberi pulangan yang sabaiknya dari Allah swt. Mungkin kita tidak akan menjadi kaya, tetapi Allah swt akan menggantikannya dengan mengurniakan anak-anak yang soleh solehah, kesihatan yang baik, keluarga yang harmoni dan umur panjang yang penuh dengan keberkatan.

Ya! Kita hanya manusia biasa yang hidup menumpang di bumi Allah ini.
Masing-masing dari kita ada perancangan masa depan, impian dan target yang perlu dicapai.
Simpanan untuk masa hadapan, perancangan untuk mendirikan rumah tangga, membeli kereta, rumah dan bermacam-macam lagi.  

'Duit bukanlah segala-galanya'.
Benar, kalam ini memang tepat. Tapi kita sudah tentu tidak dapat menafikan bahawa segala perancangan yang disebut tadi, semuanya memerlukan wang dan sejumlah nilai yang agak besar.

'Berkerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya.. Dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok'.

 Seorang isteri yang duduk di rumah 24 jam pun, dikira sebagai pekerja.
Malah mungkin, merekalah golongan yang paling banyak menerima pahala ibadah berbanding kita yang masuk keluar pejabat saban hari. ^_^



Jelas.bukan?
Dalam berkerja selitkan ibadah. Dalam ibadah disitulah juga kerja yang dipertanggungjawabkan untuk kita.

Oleh kerana itu berkerjalah!
Berusahalah untuk mencari rezeki Allah yang Maha Pemurah dan Maha Luas. Walaupun mungkin gaji yang kita perolehi tidaklah sebanyak orang lain, bersyukurlah. Yakinlah dengan nilai keberkatannya lebih penting untuk kita raih berbanding jumlahnya.

Dengan wang yang tidak seberapa itu, cukuplah sekadar kita mampu membelanjakannya dengan sebaik yang mungkin. Ada sebahagiannya untuk keluarga kita, sebahagian pula untuk rakan-rakan, sejumlah wang untuk diinfaqkan dan akhirnya untuk kegunaan kita sendiri.

Sikit, tetapi cukup!

Itu namanya berkat!

Semoga selama kita bergelar pekerja ini, setiap sen yang kita terima sebagai upah dan gaji atas usaha kita, mudah-mudahan ada berkat yang yan tidak ternilai harganya buat insan bernama hamba Allah swt. Amin.

Selamat Hari Pekerja!

No comments:

Post a Comment