Tuesday, January 1, 2013

Bukan Sekadar Mengajar..

بسم الله الرحمن الرحيم 

Tahun baru.
Azam baru dan sebuah lagi episod perjalanan hidup yang penuh dengan pengalaman akan menanti setiap seorang dari kita.  Sejujurnya saya seperti belum bersedia untuk menghadapinya. Bukan kerana tidak cukup rehat ataupun cuti musim sekolah ini yang singkat, namun semangat saya seakan hilang seketika.

Ketika saya mula mengajar di sekolah itu awal tahun 2012, sahabat saya yang sama-sama belajar di Universiti Al-Azhar dahulu juga bertugas di sekolah yang sama. Walaupun kami hanyalah berstatus guru sandaran, dengan sejumlah gaji yang minimum, kami sememangnya gembira kerana dapat berbakti di sekolah tempat kami mencari ilmu satu ketika dahulu. Tambahan pula, sejak saya bergelar pelajar sehinggalah menjadi seorang tenaga pengajar, sekolah tersebut masih menghadapi masalah yang sama.

Kekurangan guru-guru agama dan Bahasa Arab.

Mungkin itu merupakan salah satu sebab saya bertahan di sini. Tahun ini, sahabat saya tadi sudah pun mendapat tawaran untuk menjadi guru JQAF dan akan mengajar di salah sebuah sekolah di daerah yang lain. Dalam masa yang sama, seorang lagi bekas senior saya di Mesir juga khabarnya telah menerima tawaran yang sama.

Ini bermakna dengan kekurangan yang masih belum mampu ditampung sebelum ini, ternyata akan semakin berkurang tahun ini. Secara tidak langsung, kemungkinan untuk saya ditaklifkan memegang empat atau lima madah pada tahun ini bukanlah satu perkara yang mustahil.

Saya menarik nafas panjang.

'Mampukah aku..?'

Saya sedar, saya bukanlah seorang pendidik yang berpengalaman seperti rakan sekerja yang lain. Saya tidak lain hanyalah seperti seorang budak hingusan yang masih terlalu banyak perlu dipelajari. Namun, saya mempunyai satu misi dan visi sebagai seorang individu yang diberi gelaran 'ustazah' di sekolah itu.

Golongan remaja dan pelajar sekolah hari ini adalah sangat berbeza sikap dan perangainya berbanding zaman-zaman kita dahulu. Ya, saya tahu. Dahulu, kita juga pernah dipanggil  'budak nakal' dan sebagainya tetapi anak-anak muda hari ini ternyata adalah sangat jauh berbeza. Saya tahu anda faham apa yang saya cuba sampaikan, bukan?

Oleh sebab itulah, anak-anak muda  ini memerlukan guru bukan sahaja di dalam kelas bahkan juga melangkaui ruang lingkup berkenaan. Saya secara peribadinya berpendapat seorang guru bukan sekadar perlu menjadi seorang pengajar, tetapi juga sebagai pendidik/murabbi.

Untuk menjadi seorang pengajar yang baik, memberikan penerangan yang jelas, mengenalpasti potensi setiap anak murid yang diajar serta memberi kerja rumah dan soalan latih tubi yang membantu supaya pelajar lebih faham adalah sudah mencukupi. Hasilnya, berkat tunjuk-ajar dan kesabaran kita dalam memberi mereka ilmu InsyaAllah, mereka sudah pasti akan mendapat keputusan yang cemerlang di dalam akademik mereka.

Walaupun begitu, adakah kita sebagai seorang pendidik gembira dan bahagia apabila pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya tadi, menjadi seorang remaja yang tidak bermoral dan rendah nilai akhlaknya? Di luar sekolah mereka mencuri, merokok, bergaul diantara lelaki dan perempuan dengan bebas bahkan perkara asas dalam agama seperti kewajipan bersolat dan soal menutup aurat pun belum mampu mereka praktikkan. Kita kerap kali 'mencuci telinga' mereka dengan mengulang-ulang perkara yang sama.

'Jaga solat! Jangan sengaja melewat-lewatkan solat!'
'Kenapa tudung kamu ni singkat? Kamu tahu kan peraturan bertudung sekolah kita?! Labuhkan!'
'Dayang..Cantiknya kaki.. Mana stokin?!'

Jika mereka melanggar peraturan, kita marah! Kita menjadi stress dengan tidak semena-mena!

'Budak-budak sekarang memang bebal! Tidak tahu mendengar nasihat!'

Tetapi sahabat-sahabat, pernahkah kita terfikir? Mereka bersikap sedemikian  mungkin juga disebabkan oleh kita. Memang benar, lambakan filem, fesyen dan pengaruh-pengaruh negatif yang semakin berleluasa di luar sana tidak mampu untuk kita kawal secara total. Namun, dengan kedudukan dan posisi yang kita punyai hari ini, sebenarnya kita diberikan peluang yang terbaik untuk mendekati mereka dan mendidik anak-anak muda ini.

Remaja yang seawal usia sebegini sebenarnya sedang mencari.
Ya! Mereka sebenarnya sedang mencari-cari ikon dan idola terdekat untuk mereka contohi. Teguran-teguran tadi memang betul. Tidak ada salahnya sedikit pun. Tetapi percayalah, bilamana golongan remaja ini sendiri melihat guru-guru, ustaz dan ustazah mereka tidak solat, memakai tudung pula hanya sekadar menutup kepala, kaki  didedahkan seperti ianya bukan anggota aurat yang perlu ditutup dan tabiat ketagihan merokok pula ditayangkan seolah-olah ianya bukan satu perbuatan yang ditegah oleh agama, lantas mereka akan membuat keputusan.

Tanpa kita menekan butang 'Start' pun, proses itu akan berlaku secara automatik.

Scan...Copy...Paste!

Saya tidak hanya ingin mengajar mereka tentang 'Islam' yang ada pada helaian-helaian kertas bernama buku, tetapi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memberitahu mereka bahawa 'Islam' itu adalah satu cara hidup seorang muslim yang merangkumi semua hal.


Oleh sebab itulah, sepertimana yang saya sebutkan awal-awal tadi, sebagai seorang pendidik kita perlu lebih dekat dan menjadi sahabat mereka. Melalui program tambahan seperti usrah, riadah dan rehlah bersama mereka saya yakin, kita mampu menyelami hati kecil golongan ini dan seterusnya memandu mereka ke jalan yang sebenar. Dengan sedikit pengorbanan, saya optimis warga pendidik hari ini bukan hanya mampu melahirkan segolongan pelajar sekolah yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang malah jauh lebih penting dari itu adalah melahirkan seorang pelajar muslim yang berakhlak mulia dan mampu menjadi kebanggaan agama Islam.

Entri ini bukanlah curhat saya yang ingin menunding jari kepada mana-mana individu.  Sepertimana saya katakan tadi, ini hanyalah pandangan picisan dari seorang insan kerdil seperti saya. Ya, mungkin ada sesetengah orang yang menyelar tindakan saya yang tidak rasional dengan enggan merebut gaji dan semua tawaran yang disediakan bagi guru-guru JQAF. Tetapi entahlah. Saya masih merasakan tugasan saya di sini belum pun bermula, apatah lagi untuk diselesaikan.

Saya hanyalah seorang insan biasa, serba kekurangan dan mempunyai kelemahan seperti insan lain. Namun apa yang saya tahu, saya sebenarnya menyulam sebuah harapan dan cita-cita yang besar untuk mereka di sini. Oleh kerana itu, saya memohon agar Allah swt memberi saya kekuatan dan jalan keluar bagi setiap dugaan serta tribulasi yang telah pun tersedia dan tertulis di Lauh Mahfuz-Nya.

Untuk semua rakan-rakan seperjuangan saya, tiada apa yang mampu dihadiahkan bersempena sesi persekolahan yang baharu ini, namun cukuplah kalam Nabi Muhammad saw ini menjadi sebuah janji indah yang akan menghadirkan rasa ikhlas dan sabar kita di dalam mendidik generasi pada masa akan datang.

Sabda Rasulullah saw mafhumnya :   ' Sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya, juga para penghuni langit dan bumi, sampaikan semut yang ada di liangnya, juga ikan di lautan, nescaya semua itu menyampaikan kerahmatan bagi orang-orang yang mengajarkan kebaikan kepada para manusia.'  (HR At-Tirmidzi)

Semoga Allah swt redha dengan amalan kita yang sedikit ini. Amin..

Selamat kembali ke sekolah!!



No comments:

Post a Comment