Friday, June 8, 2012

Belajar Al Quran

Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kerajinannya semakin hari bacaan Al Qurannya semakin baik.
Anisah. Dia adik perempuan saya, anak yang bongsu  daripada lima orang adik-beradik. Setiap malam selepas solat Maghrib, andai saya dan dia berkelapangan saya akan mengajarnya mengaji. Sekurangnya-kurangnya dua kali dalam seminggu, saya tetapkan.

Semalam saya mengajar pula adik yang lelaki, abang kepada Anisah. Saya menjadi agak risau.
Ya, saya tidak nafikan dia boleh membaca Al Quran tetapi sejujurnya bacaan adiknya yang kecil jauh lebih baik darinya.

Saya bertanya,'Di sana (asrama Politeknik) ada mengaji juga ka..?'
'Ada la juga..kadang-kadang',dia menjawab sambil tersengeh-sengeh.
'Sibuk bha..kelas mula pagi, kadang sampai petang..jadi malam penat sudah',tambahnya lagi.
'Mana boleh tiada masa. Sebenarnya masa tu cukup ja, tapi kita sendiri yang malas..',jawabku agak kesal.

Didikan sejak kecil adalah sangat penting..

Saya berani katakan. Kita semua mampu dan boleh membaca Al Quran dengan baik dan lancar.
Namun, sepertimana kerja-kerja harian lain, belajar Al Quran juga memerlukan pengorbanan masa serta kesungguhan. Tidak ada bezanya dengan ilmu lain yang hendak kita pelajari.

Sibuk..? Luangkanlah setidak-tidaknya jarak masa diantara solat Maghrib dan Isyak untuk mengulang-ulang bacaan Al Quran kita. Kalau terlalu sibuk, cubalah luangkan masa itu sahaja. Percayalah, proses mengulang-gulang sangat penting dalam proses kita hendak mempelajari Al Quran.

'In fact..Practise makes perfect, isn't?'

Hari ini kita menyedari, ada dikalangan ibu bapa yang amat menekankan kecemerlangan di dalam bidang akademik kepada anak-anak. Tuisyen kalau tidak dihadiri, siaplah si anak mendengar leteran si ibu dan ayah! Tetapi kelas Al Quran..? Seolah ianya tidak lagi penting untuk kehidupan di zaman ini. Ketahuilah, Al Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw yang telah diwahyukan oleh Allah swt. Alangkah ruginya kita jika tidak tergolong di dalam golongan yang telah disebutkan oleh Nabi saw ini..


'Sebaik-baik manusia dikalangan kamu adalah mereka yang belajar AlQuran dan 
mengajarkannya'  HR Bukhari

Malu mahu belajar..?
Wahai saudara saudariku,  ketahuilah sesungguhnya Allah swt sangat pemurah  kepada hambanya. Apa tidaknya, Nabi-Nya Muhammad saw ada menyatakan bahawa..
Pahala bagi mereka yang baru mahu belajar Al Quran (tergagap-gagap) adalah lebih berbanding mereka yang lancar membaca ayat-ayatNya. Ini kerana mereka akan mendapat dua pahala iaitu kerana kesungguhan mereka untuk belajar dan pahala kerana mereka membaca Al Quran.

Sejujurnya, saya bukanlah seorang Hafizah.
Tetapi Alhamdulillah, berkat didikan guru Al Quran saya dahulu, hari ini saya boleh membaca ayat-ayatNya yang termaktub di dalam Al Quran. Dan ya! Sehingga hari ini saya ingin terus belajar Al Quran untuk memperbaiki mutu bacaan saya.

Namun, apabila saya melihat dan menyedari bahawa ramai saudari muslimat di luar sana yang mempunyai keinginan yang kuat untuk belajar Al Quran, saya merasa terpanggil untuk membantu. Ada satu rasa tanggungjawab yang besar tergalas di bahu ini. Cuma mungkin, saya belum menemui caranya untuk membantu mereka. Harapan saya, seandainya niat itu baik dan ikhlas, semoga Allah menunjukkan jalanNya untuk saya dan mereka.


'Allahummarhamna Bil Quran..Allahummarhamna Bil Quran'..


No comments:

Post a Comment