Monday, November 28, 2011

Penghijrahan Satu Tuntutan

Peristiwa penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabatnya yang telah berlalu 1433 tahun yang lalu tentu sekali bukannya satu penghijrahan yang bersifat zahiri sahaja. Bahkan disebalik sejarah yang agung ini, sebenarnya konsep hijrah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah bersifat menyeluruh mencakupi setiap aspek dalam kehidupan umat Islam hari ini.

Memetik sabda Rasulullah saw yang bermaksud : [ Orang yang berhijrah adalah seorang yang berhijrah daripada sesuatu yang ditegah/dilarang oleh Allah swt] HR Bukhari dan Muslim

[Tidak ada lagi penghijrahan selepas Al Fath (pembukaan Kota Mekah) melainkan jihad dan niat] HR Bukhari dan Muslim

Penghijrahan Rasulullah saw dan para sahabat meniti sebuah perjalanan yang amat payah dan sukar. Lantas, wajarkah kita mahukan penghijrahan yang mudah dan selesa tanpa bersusah payah...?


Daripada dua kalam Rasulullah saw di atas jelaslah kepada kita bahawasanya, walaupun peristiwa hijrah telah lama berlalu, namun konsep hijrah tadi sebenarnya masih dituntut untuk kita amalkan dan aplikasikan di dalam kehidupan seharian kita. Hijrah menuntut untuk kita melakukan perubahan dan pengislahan dari satu keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang baik. Daripada yang baik kepada yang lebih baik!

Jika kita amati dengan teliti di setiap aspek kehidupan umat Islam hari ini, kita sememangnya memerlukan proses penghijrahan itu! Dari segi fizikal, sifat/keperibadian, persekitaran dan tentu sekali minda dan kefahaman! Untuk melakukan penghijrahan ini, tentu sekali ianya membutuhkan pengorbanan dan kesungguhan daripada setiap individu.

Lihatlah bagaimana Allah swt mengajar kepada kita bahawa setiap perjuangan, penghijrahan dan pengislahan itu secara fitrahnya memang sukar dan memerlukan kekuatan hati dan azam! Buktinya jelas bilamana Allah swt sendiri yang mengarahkan Rasulullah saw untuk bangkit, berhijrah dari Mekah ke Madinah. Kalaulah Allah swt berkehendak, tentu mudah sahaja bagi Allah swt untuk ‘menghijrahkan’ Nabi Muhammad saw dan umat Islam pada ketika itu dengan sekelip mata sepertimana yang telah dilakukan terhadap Nabi saw dalam peristiwa Israk Mikraj yang berlaku setahun sebelum peristiwa hijrah itu berlaku!


Penghijrahan hakiki pastinya membawa kita ke arah yang lebih baik sebagai seorang individu muslim!


Melalui ibrah ini dapatlah kita fahami bahawa penghijrahan itu memang sukar, memang payah! Tetapi yakinlah, setelah susah payah itu ditempuh maka akan terbukalah pintu dan satu kehidupan baru yang tentunya akan lebih baik, sejahtera dan penuh dengan kebahagiaan. Usahlah gentar dan lemah dengan kata-kata sinis mereka yang memandang enteng usaha kita yang mahu berubah. Andai keredhaan Allah swt yang kita cari walaupun dengan murkanya manusia, nescaya Allah swt tidak akan meninggalkan kita sendirian dalam mengharungi liku-liku disepanjang perjalanan itu.

Tanamlah ketaqwaan dan keimanan yang benar pada Allah, Rasul dan agamanya. Dari sana akan terbit pula semangat dan keazam untuk melakukan sebuah tadhiah (pengorbanan) yang sudah semestinya ditagih. Dengan yang sedemikian, akan terbentanglah peluang dan ruang untuk kita melakukan sebuah penghijrahan!

[Barangsiapa yang ingin berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan RasulNya] Muttafaqun Alaih

‘Tiada penghijrahan tanpa pengorbanan, tiada pengorbanan tanpa ketaqwaan dan keimanan yang teguh kepada Allah swt ‘.


- Panel forum Sambutan Maal Hijrah 1433H, Dewan Tun Datu Mustapha, Wisma Yayasan Sabah Kaherah.

Sunday, November 20, 2011

Singgahi Taman Syurga Itu!

‘Sebuah usrah yang berjaya boleh kita sifatkan bilamana kita dan ahli usrah yang lain sentiasa tertunggu-tunggu dan tidak sabar untuk kembali berkumpul pada pertemuan yang seterusnya’.

Bibir mengukir senyuman. Mungkin kerana, diri pernah merasai perasaan excited yang dimaksudkan tadi. Perlahan..aku mengangguk. Tetapi dalam masa yang sama, tidak dinafikan ada segelintir dari kita yang agak alergik bila mendengar perkataan 'usrah'.

Cabaran terbesar kita pada hari ini ialah untuk menghilangkan rasa gerun, takut dan mind set bahawa usrah itu sesuatu yang membosankan dan hanya merupakan satu tempat dimana mereka yang kurang baik atau ‘nakal’ akan dihujum! Sedangkan pada hakikatnya, usrah merupakan satu liqaq/ perjumpaan / majlis ilmu yang meraikan semua ahlinya. Inilah masa yang sesuai untuk kita sama-sama refresh kembali nikmat iman dan Islam kita, yang saban hari disibukkan dengan pelbagai pekerjaan dan tugasan.

Untuk itu, naqib dan naqibah memainkan peranan yang amat penting dalam membawa dan menarik minat ahli usrahnya untuk memesrai perjumpaan ilmiah ini!

Kalau kita sayang Islam, kita akan menyayangi Usrah!

Usrah bukan sekadar satu pertemuan biasa yang diisi dengan omong-omong kosong, gelak tawa dan umpat cerca yang jelas tiada faedahnya bagi seorang individu muslim. Akan tetapi usrahlah merupakan satu tempat istimewa yang disebut sebagai taman-taman syurga sepertimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw di dalam hadithnya yang bermaksud : [ Apabila kamu melalui taman-taman syurga, hendaklah kamu ikut menikmatinya. Lantas para sahabat bertanya kepada Nabi saw , ‘Apakah yang dimaksudkan dengan taman-taman syurga itu wahai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, ‘Iaitu perhimpunan-perhimpunan zikir(majlis ilmu) ] HR Tarmizi

Melalui usrah kita tidak akan lari daripada mengingati kalam-kalam, janji-janji baik dan buruk daripada Allah swt yang tentunya akan membawa kita kembali untuk mendekati Allah swt. Disamping itu kita akan menyelusuri sirah perjuangan Rasullah saw bersama para sahabatnya, membincangkan isu semasa dan sebagainya yang pasti, memberikan seribu satu ilmu dan input baru buat semua.

Usrah boleh kita ibaratkan seperti seorang petani yang sedang mencangkul. Pada zahirnya, kita boleh lihat dia sedang berusaha tanpa mengetahui bahawa dia sedang membina batas dan menanam sesuatu yang pastinya akan mendatangkan hasil kelak. Begitulah jua halnya dengan usrah. Mereka hanya melihat kita berkumpul, berbincang, berdiskusi pada zahirnya. Tetapi sebenarnya kita sedang membina semula Islam di dalam hati-hati kita! Kita sebenarnya sedang mencari sebuah cinta yang mana insan lain telah kehilangannya tanpa disedari.

Gemilangnya umat terdahulu dalam membawa syiar Islam!

Melihatkan umat hari ini yang semakin tenat sakitnya, kita tertanya-tanya.. Adakah masih ada peluang dan ruang untuk Islam kembali tertegak di muka bumi Allah swt ini? Di sinilah garis permulaannya! Tempat kita sama-sama saling mengingatkan, saling menguatkan, saling berkongsi semangat dan kefahaman bahawa Islam itulah yang tertinggi, dan tiada lain yang lebih tinggi selainnya!

Rebut peluang yang ada..singgahi taman syurga itu!

Sunday, November 13, 2011

Ada Apa Dengan Dunia Blog?


'Untuk apa juga Blog ni..??'

* Medium alternatif terbaik untuk misi dakwah hari ini.

* Ulas isu semasa yang berlaku hari ini tanda kamu seorang pemuda/di Islam yang sentiasa cakna dengan qadiyah dan masalah umat Islam!

* Luahan peribadi kamu yang diselitkan harapan dan kesungguhan .. mungkin sahaja boleh menjadi satu penyuntik semangat dan motivasi kepada orang lain. So, jangan takut untuk berkongsi~

* Ilmu yang ada,walaupun sedikit jangan kita simpan sendiri..Kan lebih baik kalau kita kongsi dan sebarkannya pada kaum keluarga dan sahabat-sahabat yang lain..? Rasulullah saw berpesan “Sampaikanlah dariku walaupun sepotong ayat”… Saidina Ali k.w pula berkata bahawasanya “ Ilmu itu tidaklah sepertimana harta.Harta semakin dibelanjakan semakin berkuranglah ia,sedangkan ilmu semakin kita kongsikan semakin banyak manfaatnya untuk orang lain dan juga diri kita sendiri”.

'Owh..Kalau macam tu mau mulakan macamana ya?'

* Banyakkan membaca, membaca dan membaca.

* Sentiasa peka dengan isu semasa dan hal-hal yang dirasa ada manfaatnya untuk diulas.

* Penulisan di dalam dunia blog bukan seperti karangan SPM yang mewajibkan untuk sekurang-kurangnya 360 patah perkataan untuk ditulis. Malah ianya sangat simple dan mudah! Cukup sekadar sebuah gambar dan sepotong ayat AlQuran/Hadith/kalam Ulama'/Quotes, sebaris ayat penyata mahupun ayat pertanyaan. Jika kena pada skillnya, point dan mesej yang ingin disampaikan akan difahami terus oleh pembaca.

* Pengalaman peribadi mahupun kisah hidup anda boleh saja menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi orang lain.

'Wahhh..Bolehlah,bolehlah tapi…'

* ‘Kekadang malas lah..’

* ‘Tugasan kuliah bertimbun, urusan persatuan,itu ini lagi…tiada masa pula..’

* ‘Fikiran berserabut..tiada idea’

Hurm..Kalau macam tu,it’s ok then.Tiada niat pun mau paksa,tapi sangat-sangat menggalakkan untuk kita menjadi penulis muda yang sentiasa berfikiran jauh,terbuka dan kreatif.Selama hari ini, kita terlalu banyak menerima ..Bila pula masanya untuk kita memberi..??

So,kalau ditanya ada apa dengan dunia blog? Saya hanya mampu menjawab, try it and you will know it!

Semenjak dua ni,kami banyak bercerita mengenai dunia penulisan dan blog. Minat itu terlihat,cuma mungkin mereka memerlukan masa.Dan WardatulAsfar SETIA menanti untuk menerima kunjungan followers baru tu~~~ (^-^) chaiyok!

Thursday, November 3, 2011

Festival Seksualiti Merdeka : Diam Bukan Satu Pilihan!

Saat ini , negara kita dihangatkan lagi dengan isu festival Seksualiti Merdeka yang dianjurkan oleh beberapa gabungan longgar NGO, artis dan aktivis. Festival ini menuntut agar golongan Lesbian,Gay, Bixsexual dan transgender diberi hak untuk mengamalkan cara hidup mereka di Malaysia.

Pada tahun ini, festival yang dijangkakan berlansung pada 9-13 November 2011 ini dengan slogan mereka ‘Queer Without Fear’ (ganjil tanpa rasa takut) secara jelasnya meletakkan motif penganjuran festival terbabit dengan tujuan mempromosi dan cuba mengenengahkannya sebagai satu kebebasan dan hak peribadi. Tindakan golongan ini yang semakin berani dan mencalar norma budaya semua agama tidak kira Islam, Buddha, Cina mahupun Kristian ternyata perlu dihalang demi kesejahteraan rakyat Malaysia umumnya.

Walaupun festival ini telah diadakan sejak tahun 2008, namun pada tahun ini kebangkitan dan suara pertubuhan Islam bukan kerajaan jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran dan kesensitivitian umat Islam terhadap hukum-hakam Syariat semakin menjadi tumpuan. Untuk itu, dalam isu ini kita selaku umat Islam harus berpendirian tegas dan diam bukanlah satu pilihan!

:: Homoseksual Dari Perspektif Syariat ::

Isn't perfect..?

(Maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah. Dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu) Al Maidah : 48


Kelakuan sumbang yang kita lihat pada hari ini bukanlah merupakan satu perkara baru. Al Quran secara jelasnya telah menceritakan kepada kita perihal Kaum Lut yang melakukan hubungan sejenis sesama mereka dan akhirnya Allah swt telah menghukum mereka dengan melenyapkan mereka terus dari muka bumi ini.

Allah bersabda yang mafhumnya : [Dan ingatlah ketika Lut berkata kepada kaumnya ‘Sesungguhnya kamu benar-benar telah melakukan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dikerjakan oleh umat-umat sebelum kamu’] Al Ankabut : 28

[Sesungguhnya kamu mendatangi kaum lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, sungguh kamu ini kaum yang melampaui batas ] Al A’raaf : 81

Lalu Nabi Lut as pun berdoa kepada Allah : ( Ya Tuhanku, tolonglah aku (dengan menimpakan azab) ke atas kaum yang membuat kerosakan itu ) Al Ankabut :30

Lantas.. (Maka tatkala datangnya azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (Kami terbalikkan) dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi) Huud : 82

Sirah Nabi Lut as dan kaumnya ini memperlihatkan kepada kita bahawa ketika mana Allah swt memperkenankan doa Nabinya, ini menunjukkan bahawa perhubungan sejenis (lelaki dengan lelaki mahupun sesama perempuan) adalah merupakan satu dosa besar di sisi Allah swt dan kita harus menjauhinya.

Rasulullah saw juga pernah bersabda : [Sesungguhnya perkara yang aku sangat takuti yang akan menimpa kaumku adalah perbuatan/kelakuan kaum Nabi Lut] HR Tirmidzi

Daripada Akmarah ibn Abbas berkata, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda : [Barangsiapa yang didapati melakukan perbuatan kaum Lut, maka bunuhlah dia(pembuat) dan rakannya (pihak yang satu lagi) ] HR Tirmidzi

Hadith riwayat Nasaie : [Sesungguhnya Allah swt melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut]

Pengharaman perbuatan sonsang (Gay, Lesbian dan sebagainya) yang telah thabit dengan dalil qat’ie ini turut dikuatkan lagi dengan ijma’ para ulama’ muktabar. Adapun begitu, hukuman bagi jenayah ini menurut undang-undag Islam (hudud) adalah berbeza berpandukan hujah dan dalil yang tertentu. Yang jelas, hukumnya tetap haram dan merupakan salah satu diantara perbuatan yang terkutuk.

Walaubagaimana pun, hukum ini bukanlah suatu gambaran bahawa Islam mengabaikan, menyisihkan dan menolak golongan ini secara total. Ini kerana, Islam merupakan sebuah agama yang menjaga dan menerima umatnya dengan adil dan saksama. Saya percaya, agama Islam dalam hal ini tidaklah sampai ke tahap meraikan mereka, sebaliknya lebih kepada pendekatan mendekati, menasihati dan mengajak golongan ini supaya kembali kepada fitrah manusia yang selayaknya.

Seandainya hari ini, kita memberi kebenaran..Esok pasti mereka menuntut perkahwinan sesama gay dan lesbian juga dibuat secara terbuka dan sah sepertimana yang telah diamalkan di New York, US dan negara lainnya.


Kesatuan dan kesepakatan parti politik bersama pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO)yang membantah dan mendesak agar festival ini tidak diteruskan, dilihat sebagai satu tindakan yang amat wajar dalam mengatasi isu ini. Tinggal sahaja, pihak berwajib/berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi menyelesaikan permasalahan umat manusia hari ini.

Dan kami, amat mengharapkan hal yang demikian demi masa depan negara Malaysia. Tentu sekali, diam bukan satu pilihan!


Rujukan : Kitab Fiqh Syafie Al Anwarul Bahiyyah, Tahun 4,Al Azhar, Kaherah.