Saturday, December 3, 2011

Khilaf : Sejauh Mana Ia Menjadi Suatu Rahmat ?

ISLAM bukanlah agama yang sempit dan mengongkong. Allah swt mengutuskan para Nabi dan RasulNya untuk membawa dan mengajarkan kepada umat manusia agamaNya yang haqq. Agama Islam yang kita anuti hari ini merupakan satu rahmat dari Allah swt melalui perutusan Nabi Muhammad saw buat semua makhluk. Allah berfirman dalam kitabnya yang bermaksud : (Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam ) Al Anbiya : 107

Dengan sebab itulah kita dapat lihat didalam masalah yang berhubungkait dengan Fiqh, kita mempunyai banyak cabang mazhab untuk dijadikan panduan dan ikutan. Empat mazhab utama yang menjadi ikutan umat Islam seluruh dunia hari ini ialah mazhab Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali. Itu dari sudut Feqah. Inilah yang dimaksudkan bilamana Rasulullah saw bersabda dalam hadithnya : [ Perselisihan ataupun khilaf dikalangan umatku, merupakan satu rahmat]

Dengan perbezaan pendapat para ulama’ Fiqh inilah yang menjadikan Islam lebih istimewa. Terbuka, tidak sempit dan mengongkong. Islam memberi kita kelonggaran dan pilihan untuk memilih mana-mana diantara satu mazhab tadi sebagai ikutan kerana walaupun pada zahirnya ia berbeza namun keempat-empat mazhab tadi diasaskan dengan ijtihad para Imam yang memberi hujah dan alasan tersendiri berlandaskan Al Quran,Hadith, Ijma’ dan Qias.

Adapun apa-apa permasalahan dan persoalan mengenai ketuhanan ataupun Tauhid, umat Islam hari ini terbahagi kepada beberapa kumpulan ataupun fahaman tertentu. Berbeza dengan permasalahan Fiqh, permasalahan Tauhid atau ketuhanan adalah satu perkara yang amat penting dan asas. Ianya merupakan perbincangan yang menyentuh tentang masalah usul (perkara pokok),aqidah, iman dan keyakinan. Lantas, sebarang fahaman yang bertentangan dengan acuan Al Quran dan Sunnah adalah tidak wajar dan seharusnya kita mengambil perhatian tentang bahayanya kepada aqidah umat Islam hari ini.

Golongan dan fahaman yang wujud pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru. Ianya telah lahir sejak zaman pemerintahan Khulafa’ Ar Rasyidin dan semakin berleluasa hingga ke hari ini. Di antara golongan dan fahaman yang sudah semestinya membawa satu natijah yang amat penting bagi umat Islam hari ini ialah Ahli Sunnah wal Jamaah(Sunni), Syiah, Mu’tazilah, Khawarij, Salafi ,jemaah tabligh dan sebagainya.

'Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu berpecah belah ' Al Baqarah : 103


Berbalik kepada tajuk artikel ini.. ‘Khilaf: Sejauh mana ia menjadi suatu rahmat?’ ingin membawa para pembaca menyedari betapa khilaf dan perbezaan pendapat ini bukan lagi menjadi satu rahmat, sebaliknya menjadi satu punca utama berpecahnya umat Islam hari ini!

Kerana mempunyai pendapat yang berbeza kita bermasam muka! Kerana pendapat kita tidak selari, hubungan silaturrahmi kita terputus! Kerana sebab yang sama jugalah kita saling menjatuhkan diantara satu sama lain!

Lantas, saya yakin kita semua cukup bijak untuk mengatakan bukanlah ini yang dimaksudkan oleh Baginda saw di dalam hadithnya tadi sebagai ‘rahmat’.

Hanya kerana mempunyai pandangan dan berpegang kepada fahaman yang berbeza, ditambah pula sikap manusia sendiri yang sangat taksub dan lebih cenderung untuk mengikut hawa nafsu, umat Islam hari ini saling berbunuhan sesama sendiri sedang musuh Islam di luar sana ketawa riang kerana usaha mereka untuk memecah belahkan umat ini menjadi semakin mudah!

Fenomena yang berlaku hari ini perlu kita ambil perhatian, mengkaji dan pelajari! Samada kita tahu atau tidak, sehingga hari ini puak Syiah dan Sunni tidak lekang daripada menghentam sesama sendiri. Di Iran,Iraq,Afghanistan dan negara-negara lainnya, dua puak ini saling bertelagah. Darah manusia ditumpahkan sewenang-wenangnya tanpa belas kasihan sedikit pun. Sedangkan kedua-duanya adalah sebahagian daripada umat Islam.

Lantas, kita sepatutnya berfikir..

Kekuatan umat Islam adalah KESATUAN


'Kenapa umat Islam saling berbunuhan sesama sendiri?'... 'Atas alasan apa mereka melakukan sedemikian?'... 'Fahaman apa yang mereka anuti sehingga membenarkan mereka melakukan dosa sebesar itu?'

Oleh sebab itu,adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk mengenali puak-puak ini.

Asal usul mereka. Pegangan mereka. Mana satu yang benar dan sebaliknya. Serta.. Di mana seharusnya kita berada?

Dalam artikel seterusnya kita akan cuba mengenali puak-puak ini yang mana saya lebih suka untuk memfokuskan pada golongan Syiah yang dikatakan semakin berleluasa di Malaysia. Memandang kepada bahayanya fahaman ini terhadap aqidah, juga kehidupan umat Islam, tindakan pihak berkuasa di negara kita yang tidak pernah mengiktiraf fahaman ini adalah dilihat sebagai satu langkah yang amat wajar. Lantas, menjadi satu tanggungjawab bersama untuk mengenali mereka sejak dari awal supaya kita dapat mengesan dan mengekang fahaman ini daripada terus menular.

Sesungguhnya kekuatan umat Islam pada hari ini terletak pada kesatuan kita. Seramai mana pun kita, andai semuanya beselisih dan tidak bersatu maka akan mudahlah musuh-musuh Islam meneruskan agenda mereka untuk melihat Islam lenyap di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment