Tuesday, July 5, 2011

Kekayaan Si Miskin

Sebaik sahaja keluar dari rumah Syeikh, kami bertiga bergerak pulang. Hari itu merupakan hari pertama ku, seorang teman dan seorang kakak senior keluar bertalaqqi Quran di Hayyu Sabi’.
Hampir beberapa jam juga kami duduk berteleku di hadapan Syeikh. Memperdengarkan bacaan Al Quran dan Syeikh akan memperbetulkan mana-mana bacaan yang ternyata masih banyak perlu dibaiki. Letih dan lenguh juga kerana duduk yang agak lama.

Azan Asar sudah lama berlalu. Dalam perjalanan keluar mencari teksi dengan keadaan yang agak bergegas, kami ternampak ammu (pakcik) yang setia menyorong ‘gerai bergeraknya’ dengan menjaja batoto (ubi manis) yang dibakar. Musim sejuk di Mesir, begitulah kebiasaannya. Akan ramailah rakyatnya yang mencari rezeki dengan berniaga walaupun secara kecil-kecilan. Perut yang tadinya tidak lapar, mula berkeroncong tatkala menghidu bau harum ubi manis yang dibakar tadi.

‘Ina mau makan ubi?’, tanya kakak .
‘Ermm..mana-mana ja kak. Ina ikut ja’, jawab ku ringkas.

Kami bertiga berhenti dan berdiri di depan ammu. Menunggunya untuk siap melayan seorang pelanggannya, seorang lelaki Mesir. Tatkala menunggu, kakak bertanya lagi. Mungkin kerana sebenarnya kami tidak juga berasa lapar seawalnya, tetapi hanya ingin saja-saja mengisi perut. Waktu maghrib pula semakin hampir. Lantas,kami membatalkan hasrat untuk membeli dan terus bergerak mencari teksi. Sebelum meninggalkan mereka, kami mengukir senyuman dan menganggukkan kepala. Kuasa body language yang difahami biarpun pada awalnya ada batas dan perbezaan bahasa yang ketara di antara manusia.

Kami menyusun langkah, meninggalkan ammu dan pemuda tadi. Selang beberapa langkah selepas itu, kami di sapa seorang pemuda Mesir dari belakang.

‘Ehh..macam lelaki tadi yang membeli batoto ammu..??’, monologku sendiri. Aku pasti sahabat dan kakak juga menyedari akan hal yang sama.

‘Maalisy lau samah, aizzah di?’, tegur pemuda tadi yang bertanya kalau-kalau kami ingin makan ubi yang dibelinya .

‘Laa..laa..syukran’, kami menoloknya sungguh-sungguh.


Sungguh, kami tidaklah kelaparan benar waktu itu. Lagi pula, kami lihat pemuda tadi lebih memerlukannya. Dari susuk tubuh dan keadaannya aku kira dia berkerja sebagai seorang buruh. Membina rumah-rumah atau bangunan yang ada di sekitar-sekitar kawasana sana. Mungkin. Pakaian dan mukanya pula penuh cat dan berdebu. Membuatkan perasaanku yang mulanya hanya mengagak-agak bertukar kepada yakin. 

‘Laa,laa.. Wallahi. Khuzz..!’, pemuda tadi bertegas dengan niatnya ingin memberikan kepada kami sambil dia meletakkan tangan ke dadanya.

Sudah menjadi satu kebiasaan atau adat bagi masyarakat Mesir menggunakan lafaz sumpah seperti Wallahi untuk mentaa’kidkan/ meyakinkan sesuatu perkara.Meletakkan telapak tangan di dada manifestasi bagi sebuah keikhlasan juga pengharapan yang tinggi dari sudut hati. Itu menurut tafsiran ku sendiri. Kami bertiga berasa serba salah. Kerana sepatutnya dialah yang selayaknya untuk menikmati ubi tadi. Tidak mampu untuk menolak, dia lantas memberikannya kepada kami. Dengan senyuman, dia melangkah pergi tanpa kami kita lihat ada ubi bakar yang di bawa untuk dirinya sendiri.

‘Ya Allah…baiknya hati dia. Kesian,mesti dia lapar tu kak’, ucapku yang berubah menjadi perasaan kasihan dan sangat serba salah.

Iyalah, banyangkan sahaja orang yang berkerja berat sepertinya, keluar seketika untuk membeli ubi bakar. Tentu sahaja untuk dia ingin mengalas perut sebelum meneruskan pekerjaannya. Tetapi ternyata, kemurahan hatinya sangat aku kagumi.

Semoga Allah meluaskan pintu rezeki buatnya dan keluarganya.
Di situlah dapat kita perhatikan,mengapa dengan cara memperbanyakkan sedekah juga merupakan salah satu cara untuk mengubat bagi hati. Ini kerana dengan bersedekah kita dapat menghilangkan rasa tamak, pentingkan diri dan bakhil dalam diri kita. Dalam masa yang sama kita dapat mendidik diri untuk menyemai sifat sentiasa bersyukur dan pemurah kepada orang lain. 

Allah swt telah menyebutkan di dalam Al Quran tentang fadhilat dan betapa besarnya pahala bagi mereka yang suka bersedekah dan menginfakkan sebahagian harta lillahi Taala.

[ Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir ada seratus biji pula. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui ] .2:261

Subhanallah..Pemurahnya Allah kepada hambaNya.


Bagi kita, mungkin adalah mudah untuk menghulur sedekah atau pemberian kepada yang memerlukan tatkala kita berada di dalam waktu yang agak senang dan berduit. Tetapi sejauh mana kita mempunyai kesungguhan dan kemurahan hati untuk mengorbankan sedikit rezeki yang kita ada kepada mereka-mereka yang lebih memerlukan ketika itu?

Sejauh mana kita ingin bersedekah, tatkala kita sendiri berada di dalam kesempitan tetapi dalam masa yang sama kita sedar ada orang yang lebih susah dari kita? 

Pernahkah kita cuba mendidik diri kita untuk tidak bersikap mementingkan diri sendiri ? Malah sebaliknya, kita berusaha pula untuk mencapai kedudukan Ithar di dalam sesebuah ikatan persaudaraan sesama manusia. Sanggupkah kita untuk mengorbankan kepentingan diri sendiri demi sahabat atau insan lain..?

Muhasabah bersama.
Selama ini, adakah kita lebih banyak memberi atau menerima? Cukupkah kesyukuran yang kita ingin kita capai hanya dengan lafaz-lafaz yang diucapkan bibir tanpa mempraktikkan? Bersyukurlah dengan nikmat dan rezeki yang Allah berikan dengan cara bersedekah. Di waktu senang mahupun susah, perbanyakkanlah sedekah. Moga-moga dengan itu hati itu boleh diubati sedikit demi sedikit.

Sudah dua tahun lebih peristiwa itu berlalu. Namun, tetap mengingatkan aku kepada pemuda tadi. Betapa pemurahnya hamba Allah itu. Di dalam kemiskinannya, dia mempunyai kekayaan jiwa dan akhlak yang mulia. Tatkala dia juga berada di dalam keadaan serba kekurangan, dia masih mampu menghulurkan sedekah. Dan kita..? Jangankan di waktu susah, di waktu senang dan berduit pun entah kita mampu untuk bersedekah ataupun tidak..

P/s: SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN SYAABAN..AYUH PERBANYAKKAN AMAL DI BULAN INI, BERSEDEKAH, PUASA SUNAT DSBG..

3 comments:

  1. org mesir, jgn dijudge dari luar appearance nya. nmpk saja selekeh, tp bila ditny ttg jihad, mrk tahu apa itu, bila dpandang akhlakny, mulia itu sikap mrk. dibanding dgn anak msia, pakaian saja gah tapi jiwany? kosong.

    -tunjukkan kami jln yg benar ya Allah sprtmana Kau tunjukkan pada RasulMu.

    ReplyDelete
  2. salam komen dari sya.
    terharu...
    smoga diri bermuhasabah...

    ReplyDelete
  3. Sesungguhnya disekeliling kita punya pengajaran dan ibrah...cuma perlu lebih peka dan hayati sebaiknya.Amin..semoga ditunjukkan jalan yang benar..=)

    ReplyDelete