Friday, January 7, 2011

Fadhilat Surah Al Kahfi

Alhamdulillah, bertemu lagi dengan penghulu segala hari.
Acapkali, kita sering mendengar orang disekeliling menggalakkan kita untuk membaca Surah Al Kahfi pada setiap hari Jumaat. Sampai ke satu tahap kita hanya mentaqlid( meniru ) perbuatan ini tanpa mengetahui asal usul ibadah tersebut, berikutan ajakan dan amalan yang menjadi kebiasaan mereka. Sebaiknya, beramallah dengan mengetahui ilmu mengenainya dan bukan sekadar 'mengikut-ikut'. Dikhuatiri apa yang diamal selama ini, tidak mendapat pahala di sisi Allah swt sebaliknya murkaNya yang menanti. Nauzubillahimin zaalik..


Berikut merupakan di antara hadith-hadith yang menyebut tentang fadhilat Surah Al Kahfi.

Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahayadaripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua jumaat"

Daripada Mandzur Ibnu Zaid, Ibnu Khalid Al Juhani dari Ibnu Al Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu'an: "Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan jika Al-dajjal muncul, maka terhindar dia daripadanya"

Jelaslah di sini,bahawa membaca surah Al Kahfi hari Jumaat memang ‘lumayan’ ganjarannya. Terpulang pada kita untuk mahu merebut peluang itu atau tidak.

:: Bacaan Surah Yasin malam Jumaat

Sepertimana kita ketahui, amalan dan adat membaca surah Yasin pada malam Jumaat sudah menjadi satu kebiasaan bagi umat Islam dan Melayu di negara kita. Sedangkan melalui hadith tadi, jelas disebutkan mengenai fadhilat membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat dan sebaliknya bukan Surah Yasin. Lantaran itu, timbullah suara-suara yang mengatakan membaca surah Yasin pada hari Jumaat ini adalah salah satu perbuatan bidaah dan harus dikekang.Ya, memang benar amalan ini disebut bidaah,kerana jelas Rasulullah saw mahupun sahabat tidak pernah mengamalkan sedemikian. Namun,bidaah ini bukanlah yang di maksudkan di dalam hadith Rasulullah saw yang menjanjikan ... [ Setiap bidaah adalah sesat, dan setiap yang sesat adalah api neraka( tempatnya) ] Ini kerana yang di maksudkan dengan 'bidaah’ di sini, ialah bidaah sai’ah. Iaitu setiap perkara baru yang diada-adakan yang berlawanan dengan syariat Allah swt yang buruk lagi sesat .


Maka, adat kebiasaan yang telah lama sebati dalam hidup kita ini tidaklah seharusnya dilarang serta merta. Kerana selagi mana suatu adat/ kebiasaan dalam sesebuah masyarakat itu tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka ianya dibolehkan. Walaubagaimanapun, oleh kerana di khuatiri dengan menggunakan dalil ‘adat/ kebiasaan’ boleh diamalkan secara mutlak, maka ulama-ulama Qawaid Fiqh telah menetapkan beberapa syarat yang membolehkan suatu adat/kebiasaan itu untuk diamalkan iaitu :

1) Adat itu sudah menjadi satu kebiasaan dan umum bagi khalayak ramai.
2) Adat tersebut memang telah wujud di kalangan manusia.
3) Adat tidak bertentangan dengan lafaz tasrih (syarat).
4) Adat tidak bertentangan dengan nas-nas syarie.
5) Adat itu benar-benar berlaku/dilazimi.

Oleh itu, jelas kita dapat lihat bahawa membaca Surah Yasin pada malam Jumaat telah mencakupi kelima-lima syarat di atas. Lantas, tidak perlulah dibidaahkan amalan ini kerana amalan membaca Al Quran merupakan satu ibadah yang amat dituntut di dalam agama. Walaubagaimanapun, adalah lebih baik jika malam Jumaat itu dihidupkan dengan membaca surah Al Kahfi bagi mengikuti sunnah Rasulullah saw. Namun, untuk mengubah amalan yang disebut ‘adat’ ini akan membawa sedikit kekeliruan bagi masyarakat awam yang kurang faham. Lantas, jika mampu untuk mengubah adat ini kepada yang lebih baik (sunnah) maka laksanakan. Tetapi andaikata masyarakat belum boleh menerima 'situasi baru’ ini, maka teruskanlah sahaja dengan senyuman dan tanpa kegusaran, kerana Insyallah pahala dan ganjarannya tetap ada di sisi Allah swt. Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam~

Rujukan :

Kitab Hadis 40- Imam Nawawi
Kitab Al Qawaid Al Fiqhiyah Al Asasiyah wa Furuiha (Tahun 4,Syariah Islamiah)

No comments:

Post a Comment