Thursday, January 27, 2011

Bentuk Ciptaan Rasulullah saw

Di saat-saat yang genting itu, Baginda masih menyebut kalimah itu..
'Ummati..ummati..ummati..'
Betapa risaunya Baginda dan itulah bukti rasa sayangnya pada makhluk yang bernama umat Muhammad saw.

Dan kita hari ini? Betapa kita telah melupakannya. Kita telah melupakan segala tunjuk ajar dan mengabaikan suruhan dan sunnahNya.
Kita kata kita sayang..
Kita kata kita juga cinta padaNya..
Namun, sebenarnya kita belum kenal baginda. Lantas kerana itulah kita belum dapat mengambil banyak iktibar dan contoh yang terbaik yang telah ditinggalkannya.

'Tak kenal, maka tak cinta'.. Ada benarnya pepatah ini!
Kerana sendainya kita benar-benar mengenali baginda, sudah tentu akan ramai pemuda pemudi dan umatnya hari ini yang persis Rasulullah saw dari segi perwatakan dan akhlaknya. Semoga dengan adanya label baru 'Ar Rasul Qudwatuna' akan menjadikan kita lebih mengenali kekasih Allah swt ini dan mencontohi baginda. Amin..~

:: BENTUK CIPTAAN RASULULLAH SAW

Mengenai sifat Rasulullah saw, Ali bin Talib kw berkata :

' Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu pendek. Beliau bertubuh sedang di antara kaumnya. Rambutnya tidak keriting bergulung dan tidak pula lurus kaku, melainkan ikal bergelombang. Badannya tidak gemuk, wajahnya tidak bulat, namun bentuk wajahnya membujur telur. Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Tulang sendinya gagah dan kuat, bahunya bidang. Badannya bersih daripada bulu dan rambut, namun beliau memiliki bulu lebat yang memanjang dari dada sampai ke pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal. Bila beliau berjalan, beliau berjalan dengan tegap ( kakinya diangkat dengan kekuatan) seakan-akan beliau turun ke tempat yang rendah. Bila beliau berpaling, maka beliau akan berpaling dengan kedua bahunya(1) secara bersamaan. Di antara kedua bahunya terdapat khatamun-nubuwah(2) iaitu tanda kenabian bagi para Nabi. Beliau adalah manusia yang hatinya paling pemurah (paling lapang)(3) . Orang yang ucapannya paling jujur. Manusia yang perangainya (tabiatnya) paling lembut dan paling ramah dalam pergaulan. Barangsiapa yang melihatnya walau pertama kali (atau secara tiba-tiba) pastilah akan menaruh hormat dan segan padanya. Lalu barangsiapa yang bergaul dengannya, kemudian mengenali beliau tentulah ia kan mencintainya(4). Orang yang menceritakan sifatnya pastilah akan berkata
" Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya , orang yang setanding beliau saw'. (5)


(1) Maksudnya, seluruh badannya ikut berpaling.
(2) Mengenai khatamun nubuwah, akan dijelaskan pada babnya sendiri.
(3) Maka, baginda tidak pernah berkeluh kesah atas kenakalan dan penyiksaan kaumnya.
(4) Maksudnya, orang yang bertemu dengan beliau sebelum bergaul dan sebelum mengenali beliau, maka akan terbuktilah keindahan akhlak baginda saw, sehingga ia akan sangat mencintai Rasululah saw.
(5) Sunan Tirmidzi 3638.

Wednesday, January 19, 2011

Jatuh Cinta Lagi!

Saban hari Allah menguji.

Sayangnya Allah pada hambaNya.

Cuma terkadang kita yang terlupa ujian itu mentarbiyyah diri yang lemah.

Pengakuan diri mungkin cukup jujur. ‘Aku beriman pada Allah swt dan RasulNya’. Namun, jujur atau tidak UJIAN lah yang memainkan peranannya untuk menentukan.


Ikhlaskah aku?

Bila ku katakan semua yang dilakukan Lillahi Taala!

Ikhlaskah aku?

Tatkala ku berazam ingin menegakkan agamaNya yang mulia?


Ujian Allah itu mentarbiyah jiwa. Mungkin juga cuba mengejutkan diri yang terlena.

Muhasabah. Koreksi diri sedalamnya.

Terimbas salah satu dialog di dalam filem AAC..‘Allah sedang berbicara denganmu!’

‘Allah sedang berbicara denganmu tentang SABAR..IKHLAS’

Mengangguk! Tanda setuju benar.


‘Barulah terasa manisnya berjuang’, kata ustaz.

Yakin, semuanya berhikmah! Entah kenapa kalam Rasulullah saw ini sering terngiang-ngiang di gegendang telinga sejak akhir-akhir ini. Membawa diri hanyut..cuba memahami dan menghayati sebaiknya. Kenapa sering kali kita lebih memilih redha manusia berbanding redhaNYA? Bagaimana dengan redha Allah?

Tidakkah itu jauh lebih berharga?

Ku biarkan kalam Rasulullah saw ini berbicara..

“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan murkanya Allah, maka Allah akan menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Maksud Hadith]


Semakin ditekan, semakin berjuang!

Semakin kuat ujian, semakin faham erti sebuah perjuangan!

Mungkin diri boleh mengkiaskannya dengan pasangan yang bercinta. Semakin di halang percintaan mereka, semakin membuak rasa cinta dan sayang. Cuba-cubalah ada yang menghalang.

..‘Langkah mayatku dahulu.’

..‘Lautan api pun sanggup ku renangi.’

..‘Di mulut naga pun bisa ku rebut.’

Fuhh..dahsyat bukan? Begitulah kekuatan cinta.



Diri ini..semakin hari semakin jatuh cinta pada dakwah.

Buat kesekian kalinya, diri merasa hati itu jatuh cinta lagi.

Mungkin, begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain.Namun, bercintalah dengan kefahaman yang sebenar. Kerana diri melihat, hari ini benar.. Kita cinta dengan dakwah namun kita tidak kenal pun dengannya.


Kita ingin menyambung perjuangan dakwah Rasulullah saw dan para sahabat!

Kita ingin menjadi salah satu mata rantai perjuangan dakwah itu!

Namun, kita tidak tahu pun bahawa ada MISI dan VISI disebalik usaha ini.


InsyaAllah, entri-entri selepas ini akan mengulas dan meringkaskan sebuah kitab Syeikh Muhammad Abduh yang bertajuk Apa Erti Komitmen Aktivis Dakwah. Sedang cuba dan masih mengajar diri untuk menyelusuri satu demi satu perjalanan dan peringkat dakwah yang penuh dengan dugaan dan cabaran . Semoga ada manfaat yang diperolehi bagi followers teratak WardatulAsfar kerana seandainya tidak, maka percuma saja ianya wujud! Doakan semoga kesibukan diri tidak membantutkan niat ini.

Jazaakumullahu khairan kathira~

Thursday, January 13, 2011

Berbuat baiklah!

Fatrah Imtihan.. Study Week = STRESS

Lazimnya begitulah keadaan mahasiswa/wi yang berusaha keras untuk mendapatkan pencapaian terbaik di dalam apa jua bidang yang diceburi. Stress hanya akan buat diri tertekan dan tidak mampu untuk fokus kepada apa yang dipelajarinya . Ada sahaja yang tidak kena. Bangun, berjalan, tidur, menonton.. macam-macam yang dilakukan. Lucu melihat gelagat setiap orang. Berbeza mengikut personaliti dan karekter masing-masing.

Terbukti!!
Perempuan yang mengalami tekanan ataupun sedang stress, salah satu caranya untuk menghilangkan perasaan tersebut ialah dengan..ke dapur!! (^-^) Benarlah kata orang..
Stress sikit, siap kek.
Stress sikit, datang kuih muih. Macam magik!
Bahagianya mereka-mereka yang dijamu~
Mungkin kita terlepas pandang. Kita hanya melihat tujuannya membuat dan memasak itu ini, sekadar untuk menghilangkan stressnya. Tetapi, sedarkah kita?
Dengan memberi makan kepada orang lain, dia memperolehi pahala.
Dengan menggembirakan sahabat lain, dia mendapat satu pahala kebaikan.
Betapa dengan susah payahnya dia berusaha menyiapkan sesuatu, dia juga beroleh pahala sedekah.

Syukran buat adik kakak untuk sushi yang sedap dan comel macam tuannya juga! =)

Firman Allah swt yang bermaksud :

(Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri) 4:36

(dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik) 2:195

Kita gembira, bilamana teman sekeliling menyenangi kita.
Apatah lagi perasaan bilamana kita di sukai Allah swt??
Berbuat baiklah! Gembirakan hati mereka, senangkan perasaan mereka!

Wednesday, January 12, 2011

Baginya..


Yang di cari..Walau bukan putera raja, biarlah putera agama..
Yang diimpi.. Biar tak punya rupa, asal sedap dipandang mata..
Yang dinilai.. Bukan sempurna sifat jasmani, asal sihat rohani sempurna hati..
Yang diharap..Bukan jihad pada semangat, asal perjuangannya ada matlamat..
Yang datang..Tak perlu rijal yang gemilang, kerna ana srikandi dengan silam yang kelam..
Yang dinanti... Bukan lamaran dengan permata, cukuplah akad dan janji setia..
Dan yang akan terjadi..
Andai tak sama kehendak hati..
Ana redha ketetapan Illahi..
Itulah ketentuan sejak azali..

Sunday, January 9, 2011

Pena Mahasiswa/wi

JANUARI ini genaplah sudah teratak Wardatul Asfar berusia 2 tahun. Semoga sepanjang tempoh itu, ada manfaat yang boleh diambil daripada beberapa entri (tidak seberapa) yang telah di tempatkan di laman sesawang ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada insan-insan yang mula-mula memberi semangat dan dorongan untuk menceburkan diri di dalam bidang penulisan dan menjadi seorang blogger. Sungguh, ada seribu satu pengalaman yang diperolehi daripada hobi ini. Untuk meraikan 'hari jadi Wardatul Asfar', laju saja jari ini ingin membicarakan tentang medan penulisan dan peranan mahasiswa/wi dalam entri kali ini.

Selama dua bulan berturut- turut, Biro Penerangan dan Penerbitan BKPSM sesi 2010/2011 telah berjaya mengeluarkan risalah Iqra' buat tatapan ahli-ahli BKPSM. Berjaya menamatkan ‘kegersangan’ yang telah lama dirasai semua. Oleh itu, rasanya tidak keterlaluan jika saya memberi ‘kredit’ buat Ketua Biro, Saudara Mohd Syahrul Nizam bin Ag.Lamat beserta ahli jawatankuasanya yang telah bertungkus lumus. Syabas! Dalam masa yang sama, ada beberapa laman blog adik-adik junior yang dikenalpasti baru-baru ini. Alhamdulillah, ada bakat yang boleh dicungkil dan digilap! Namun, dari apa yang dilihat menerusi hasil penulisan anak-anak Sabah, masih banyak yang perlu kita sama-sama pelajari dan baiki. Namun,untuk usaha awal itu..tahniah buat semua!

Jadikan pena mahasiswa/wi sebagai satu kuasa!

:: JADILAH SEORANG PENULIS!

Realitinya semua orang boleh menulis. Anda, saya, pelajar sekolah rendah dan menengah hatta, adik kecil kita juga mampu mengarang dan menghasilkan sebuah penulisan.Tetapi persoalannya berapa orang yang mampu menulis dengan baik??

Berapa orang dari kita yang mampu menghasilkan sebuah tulisan yang memberi impak dan kesan yang tersendiri kepada pembaca biarpun tanpa suara seperti seseorang yang menuturkan kalamnya secara lansung? Di situlah kekuatan medan penulisan!

Walau tanpa nada suara yang lantang dan garang, mesej yang ingin disampaikan akan mampu menggetarkan jiwa-jiwa dan memberi kefahaman kepada pembacanya jika kena pada cara dan teknik penulisan yang diguna pakai.

Walau tanpa wujudnya suara lembut yang didengarkan, dengan gaya bahasa dan luahan hasil tulisan tangannya bisa sahaja membuat pembaca mengalirkan air mata. Betapa kuatnya kuasa yang wujud di dalam medan penulisan yang mungkin tidak kita sedar!

Usah berbicara mengenai kitab-kitab yang telah ditulis dan dikarang puluhan tahun lalu. Lihat saja..Ternyata kitab-kitab karangan para ulama’ dan ilmuan hingga kini masih diguna pakai dan menjadi rujukan masyarakat hari ini. Kitab Muwatto', Al Umm, Ar Risalah, Al Hikam dan sebagainya ternyata amat memberi manfaat dan menjadi gudang-gudang ilmu bagi mereka yang dahagakan curahan ilmu. Bayangkan dunia hari ini, kita jalani tanpa wujudnya medan penulisan. Entah dari mana perlu kita merujuk dan mengetahui segala permasalahan dan hukum-hakam yang pernah disebut oleh para ulama terdahulu. Alhamdulillah.. Disebabkan medan penulisanlah rak-rak buku yang kita miliki hari ini, dipenuhi dengan kitab-kitab yang tanpa ragu menyumbangkan ilmu pengetahuan yang sangat luas.

Namun, hari ini kita dapat lihat kurangnya minat dan kecenderungan untuk menulis di kalangan belia terutamanya golongan mahasiswa/wi. Baru-baru ini seorang sahabat meluahkan keinginannya untuk menulis, tetapi telah lama dilupakan kerana kurangnya kemahiran yang dipunyai dalam medan penulisan,ujarnya dalam nada sedikit kesal.
Diri yakin, semua orang mampu menulis! Terutamanya bagi yang punya minat, hanya memerlukan masa untuk menggilap dan mengasah kebolehan tersebut. Hanya memerlukan satu langkah pertama untuk meneruskan langkah-langkah yang seterusnya!

Mahasiswa/wi perlu menceburi madan penulisan! Kerana sudah tentu, sebelum pena menari di atas lembaran kertas dan sebelum jari bergerak aktif di atas papan kekunci mahasiswa/si tadi perlu banyak membaca dan menelaah. Mahu tidak mahu, MEMBACA adalah salah satu kuncinya! Dengan cara itulah minda dan pemikiran golongan ini akan berkembang dan sentiasa aktif berfikir. Secara tidak lansung, juga dapat memerhati dan mengambil contoh teknik dan skil yang baik untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti dan berinformasi.

Menulis melalui pandangan dan kaca mata seorang mahasiswa/wi

Menulislah tentang apa sahaja!
Apa-apa yang menjadi kecenderungan dan minat setiap individu. Bergantung samada memilih cerpen, sajak, puisi, tazkirah, artikel ilmiah dan sebagainya. Menulislah melalui minda seorang mahasiswa/wi. Kupaslah suatu isu yang menjadi keprihatinan kamu melalui kaca mata seorang mahasiswa/wi! Bincangkan suatu topik yang menarik minat kamu selaku suara mahasiswa/wi yang ingin di dengar! Menulislah juga selaku seorang daie yang mana tanggungjawab itu tidak akan pernah putus. Sungguh, medan penulisan ini amat luas maka ambillah kesempatan dengan bijak dengan memanfaatkannya sebagai medan dakwah yang mampu memberi kesan. Semoga ada manfaat yang bisa disumbangkan kepada masyarakat umum di luar sana!

Seratus peratus sokongan ini diberikan kepada sahabat tadi, adik-adik dan semua rakan. Selamat datang dan semoga istiqamah di dalam medan ini!

** Ingin menjadi seorang penulis yang baik. Terlalu banyak yang ingin dipelajari, namun itu bukan satu alasan yang menjadi penghalang di tengah jalan.

Sementara Tetapi Indah

Gambar ini di ambil awal bulan Disember yang lalu. Menemankan sahabat-sahabat baru yang merupakan mahasiswi Universitiku satu ketika dahulu, Universiti Malaya berjalan-jalan sekitar Kota Seribu Menara. Hari ini, mereka kembali ke Tanah Air setelah lebih kurang sebulan menyertai kursus bahasa Arab di Universiti Kaherah. Semoga selamat sampai hendakNya..

Berlatar belakangkan Masjid Saidina Hussin, Mesir

Jalinan ukhuwah yang terjalin hanya sebentar cuma. Namun, walaupun masa yang singkat itu pembatas kita, moga kenangan dan hubungan yang terjalin menuju mardhatillah. Masing-masing punya cita-cita dan harapan. Walau berbeza, namun matlamat kita sama. Kembalikan semuanya kepada Allah swt dan demi menegakkan agamaNya..Selamat berjuang, ukhti!!

Friday, January 7, 2011

Fadhilat Surah Al Kahfi

Alhamdulillah, bertemu lagi dengan penghulu segala hari.
Acapkali, kita sering mendengar orang disekeliling menggalakkan kita untuk membaca Surah Al Kahfi pada setiap hari Jumaat. Sampai ke satu tahap kita hanya mentaqlid( meniru ) perbuatan ini tanpa mengetahui asal usul ibadah tersebut, berikutan ajakan dan amalan yang menjadi kebiasaan mereka. Sebaiknya, beramallah dengan mengetahui ilmu mengenainya dan bukan sekadar 'mengikut-ikut'. Dikhuatiri apa yang diamal selama ini, tidak mendapat pahala di sisi Allah swt sebaliknya murkaNya yang menanti. Nauzubillahimin zaalik..


Berikut merupakan di antara hadith-hadith yang menyebut tentang fadhilat Surah Al Kahfi.

Daripada Umar berkata: Nabi SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahayadaripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua jumaat"

Daripada Mandzur Ibnu Zaid, Ibnu Khalid Al Juhani dari Ibnu Al Hussein dari bapanya daripada Ali Marfu'an: "Sesiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat maka dia dihindari daripada segala fitnah selama lapan hari, dan jika Al-dajjal muncul, maka terhindar dia daripadanya"

Jelaslah di sini,bahawa membaca surah Al Kahfi hari Jumaat memang ‘lumayan’ ganjarannya. Terpulang pada kita untuk mahu merebut peluang itu atau tidak.

:: Bacaan Surah Yasin malam Jumaat

Sepertimana kita ketahui, amalan dan adat membaca surah Yasin pada malam Jumaat sudah menjadi satu kebiasaan bagi umat Islam dan Melayu di negara kita. Sedangkan melalui hadith tadi, jelas disebutkan mengenai fadhilat membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat dan sebaliknya bukan Surah Yasin. Lantaran itu, timbullah suara-suara yang mengatakan membaca surah Yasin pada hari Jumaat ini adalah salah satu perbuatan bidaah dan harus dikekang.Ya, memang benar amalan ini disebut bidaah,kerana jelas Rasulullah saw mahupun sahabat tidak pernah mengamalkan sedemikian. Namun,bidaah ini bukanlah yang di maksudkan di dalam hadith Rasulullah saw yang menjanjikan ... [ Setiap bidaah adalah sesat, dan setiap yang sesat adalah api neraka( tempatnya) ] Ini kerana yang di maksudkan dengan 'bidaah’ di sini, ialah bidaah sai’ah. Iaitu setiap perkara baru yang diada-adakan yang berlawanan dengan syariat Allah swt yang buruk lagi sesat .


Maka, adat kebiasaan yang telah lama sebati dalam hidup kita ini tidaklah seharusnya dilarang serta merta. Kerana selagi mana suatu adat/ kebiasaan dalam sesebuah masyarakat itu tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka ianya dibolehkan. Walaubagaimanapun, oleh kerana di khuatiri dengan menggunakan dalil ‘adat/ kebiasaan’ boleh diamalkan secara mutlak, maka ulama-ulama Qawaid Fiqh telah menetapkan beberapa syarat yang membolehkan suatu adat/kebiasaan itu untuk diamalkan iaitu :

1) Adat itu sudah menjadi satu kebiasaan dan umum bagi khalayak ramai.
2) Adat tersebut memang telah wujud di kalangan manusia.
3) Adat tidak bertentangan dengan lafaz tasrih (syarat).
4) Adat tidak bertentangan dengan nas-nas syarie.
5) Adat itu benar-benar berlaku/dilazimi.

Oleh itu, jelas kita dapat lihat bahawa membaca Surah Yasin pada malam Jumaat telah mencakupi kelima-lima syarat di atas. Lantas, tidak perlulah dibidaahkan amalan ini kerana amalan membaca Al Quran merupakan satu ibadah yang amat dituntut di dalam agama. Walaubagaimanapun, adalah lebih baik jika malam Jumaat itu dihidupkan dengan membaca surah Al Kahfi bagi mengikuti sunnah Rasulullah saw. Namun, untuk mengubah amalan yang disebut ‘adat’ ini akan membawa sedikit kekeliruan bagi masyarakat awam yang kurang faham. Lantas, jika mampu untuk mengubah adat ini kepada yang lebih baik (sunnah) maka laksanakan. Tetapi andaikata masyarakat belum boleh menerima 'situasi baru’ ini, maka teruskanlah sahaja dengan senyuman dan tanpa kegusaran, kerana Insyallah pahala dan ganjarannya tetap ada di sisi Allah swt. Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam~

Rujukan :

Kitab Hadis 40- Imam Nawawi
Kitab Al Qawaid Al Fiqhiyah Al Asasiyah wa Furuiha (Tahun 4,Syariah Islamiah)

Wednesday, January 5, 2011

Motivasi daripada Al Quran

Petang tadi, bumi Kaherah dibasahi rintik-rintik hujan. Bagi yang 'menetap' di sini, amat maklum adalah jarang untuk melihat dan mengalami cuaca yang mendung di bumi Anbiya yang lebih terkenal dengan musim panasnya yang membahang.

Hujan...
Datangnya di musim sejuk..maknanya..
Akan bertambah sejuklah lagi bumi Mesir ini. Dan pastinya, ujian untuk 'mengharungi'
study week juga pasti akan lebih mencabar jiwa dan raga! (^_^)



:: Allah memotivasikan melalui Al Quran!

Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama!

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3] Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04.Prihatin sesama kita

"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7] Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda. Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

06.Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana? Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

Tengok? Baby pun yakin! Go for success!!

07.Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]

Subhanallah...Hebatnya mukjizat Allah swt. Tips untuk jadi pelajar cemerlang pun ada disebutkan di dalam Al Quran...kalau kita cari. =)
Kita dapat lihat ada dua perkara penting yang ditekankan iaitu..
Jaga hubungan dengan Allah swt dan jaga hubungan sesama kita.

Selamat berjuang semua!

Saturday, January 1, 2011

BittaufiQ wannajaH!

Kullu Aatin Qareeb..
Selamat menempuh ujian buat semua sahabat sahabiah yang menuntut di Bumi Mesir.
Doakan kejayaan bersama..


:: JADUAL IMTIHAN FASA 1, KULIAH SYARIAH ISLAMIAH TAHUN 4
UNIV. AL AZHAR, KAHERAH ::
9/1/2011 - Qawaid Fiqhiyah
12/1/2011 -English
16/1/2011 - Tafsir Ayat Ahkam
19/1/2011 - Quah Bahas Qawaid Fiqhiyah
23/1/2011 - Adab/Balaghah
* Jam 1-4 petang ( Mesir ), 7-10 malam (Malaysia)..
Mohon doa dan restu semua (^^,)

2011


2011...Melangkah ke tahun baru sekali lagi..
Angka bertambah..semestinya bukan sekadar nombor
Usia akan semakin meningkat, ujian dan pengalaman akan menanti di hadapan
Hanya dengan iman dan taqwa akan berjaya membawa diri mengharungi realiti
Peristiwa semalam semakin kabur, semakin kuat hati untuk melupakan apa yang telah terjadi
Lupakan yang lalu, bersedia untuk menerima yang akan mendatang
Ya Rabbi..Pimpin tanganku menyelusuri hari-hari mendatang..