Sunday, January 9, 2011

Pena Mahasiswa/wi

JANUARI ini genaplah sudah teratak Wardatul Asfar berusia 2 tahun. Semoga sepanjang tempoh itu, ada manfaat yang boleh diambil daripada beberapa entri (tidak seberapa) yang telah di tempatkan di laman sesawang ini. Jutaan terima kasih diucapkan kepada insan-insan yang mula-mula memberi semangat dan dorongan untuk menceburkan diri di dalam bidang penulisan dan menjadi seorang blogger. Sungguh, ada seribu satu pengalaman yang diperolehi daripada hobi ini. Untuk meraikan 'hari jadi Wardatul Asfar', laju saja jari ini ingin membicarakan tentang medan penulisan dan peranan mahasiswa/wi dalam entri kali ini.

Selama dua bulan berturut- turut, Biro Penerangan dan Penerbitan BKPSM sesi 2010/2011 telah berjaya mengeluarkan risalah Iqra' buat tatapan ahli-ahli BKPSM. Berjaya menamatkan ‘kegersangan’ yang telah lama dirasai semua. Oleh itu, rasanya tidak keterlaluan jika saya memberi ‘kredit’ buat Ketua Biro, Saudara Mohd Syahrul Nizam bin Ag.Lamat beserta ahli jawatankuasanya yang telah bertungkus lumus. Syabas! Dalam masa yang sama, ada beberapa laman blog adik-adik junior yang dikenalpasti baru-baru ini. Alhamdulillah, ada bakat yang boleh dicungkil dan digilap! Namun, dari apa yang dilihat menerusi hasil penulisan anak-anak Sabah, masih banyak yang perlu kita sama-sama pelajari dan baiki. Namun,untuk usaha awal itu..tahniah buat semua!

Jadikan pena mahasiswa/wi sebagai satu kuasa!

:: JADILAH SEORANG PENULIS!

Realitinya semua orang boleh menulis. Anda, saya, pelajar sekolah rendah dan menengah hatta, adik kecil kita juga mampu mengarang dan menghasilkan sebuah penulisan.Tetapi persoalannya berapa orang yang mampu menulis dengan baik??

Berapa orang dari kita yang mampu menghasilkan sebuah tulisan yang memberi impak dan kesan yang tersendiri kepada pembaca biarpun tanpa suara seperti seseorang yang menuturkan kalamnya secara lansung? Di situlah kekuatan medan penulisan!

Walau tanpa nada suara yang lantang dan garang, mesej yang ingin disampaikan akan mampu menggetarkan jiwa-jiwa dan memberi kefahaman kepada pembacanya jika kena pada cara dan teknik penulisan yang diguna pakai.

Walau tanpa wujudnya suara lembut yang didengarkan, dengan gaya bahasa dan luahan hasil tulisan tangannya bisa sahaja membuat pembaca mengalirkan air mata. Betapa kuatnya kuasa yang wujud di dalam medan penulisan yang mungkin tidak kita sedar!

Usah berbicara mengenai kitab-kitab yang telah ditulis dan dikarang puluhan tahun lalu. Lihat saja..Ternyata kitab-kitab karangan para ulama’ dan ilmuan hingga kini masih diguna pakai dan menjadi rujukan masyarakat hari ini. Kitab Muwatto', Al Umm, Ar Risalah, Al Hikam dan sebagainya ternyata amat memberi manfaat dan menjadi gudang-gudang ilmu bagi mereka yang dahagakan curahan ilmu. Bayangkan dunia hari ini, kita jalani tanpa wujudnya medan penulisan. Entah dari mana perlu kita merujuk dan mengetahui segala permasalahan dan hukum-hakam yang pernah disebut oleh para ulama terdahulu. Alhamdulillah.. Disebabkan medan penulisanlah rak-rak buku yang kita miliki hari ini, dipenuhi dengan kitab-kitab yang tanpa ragu menyumbangkan ilmu pengetahuan yang sangat luas.

Namun, hari ini kita dapat lihat kurangnya minat dan kecenderungan untuk menulis di kalangan belia terutamanya golongan mahasiswa/wi. Baru-baru ini seorang sahabat meluahkan keinginannya untuk menulis, tetapi telah lama dilupakan kerana kurangnya kemahiran yang dipunyai dalam medan penulisan,ujarnya dalam nada sedikit kesal.
Diri yakin, semua orang mampu menulis! Terutamanya bagi yang punya minat, hanya memerlukan masa untuk menggilap dan mengasah kebolehan tersebut. Hanya memerlukan satu langkah pertama untuk meneruskan langkah-langkah yang seterusnya!

Mahasiswa/wi perlu menceburi madan penulisan! Kerana sudah tentu, sebelum pena menari di atas lembaran kertas dan sebelum jari bergerak aktif di atas papan kekunci mahasiswa/si tadi perlu banyak membaca dan menelaah. Mahu tidak mahu, MEMBACA adalah salah satu kuncinya! Dengan cara itulah minda dan pemikiran golongan ini akan berkembang dan sentiasa aktif berfikir. Secara tidak lansung, juga dapat memerhati dan mengambil contoh teknik dan skil yang baik untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti dan berinformasi.

Menulis melalui pandangan dan kaca mata seorang mahasiswa/wi

Menulislah tentang apa sahaja!
Apa-apa yang menjadi kecenderungan dan minat setiap individu. Bergantung samada memilih cerpen, sajak, puisi, tazkirah, artikel ilmiah dan sebagainya. Menulislah melalui minda seorang mahasiswa/wi. Kupaslah suatu isu yang menjadi keprihatinan kamu melalui kaca mata seorang mahasiswa/wi! Bincangkan suatu topik yang menarik minat kamu selaku suara mahasiswa/wi yang ingin di dengar! Menulislah juga selaku seorang daie yang mana tanggungjawab itu tidak akan pernah putus. Sungguh, medan penulisan ini amat luas maka ambillah kesempatan dengan bijak dengan memanfaatkannya sebagai medan dakwah yang mampu memberi kesan. Semoga ada manfaat yang bisa disumbangkan kepada masyarakat umum di luar sana!

Seratus peratus sokongan ini diberikan kepada sahabat tadi, adik-adik dan semua rakan. Selamat datang dan semoga istiqamah di dalam medan ini!

** Ingin menjadi seorang penulis yang baik. Terlalu banyak yang ingin dipelajari, namun itu bukan satu alasan yang menjadi penghalang di tengah jalan.

No comments:

Post a Comment