Monday, September 27, 2010

Pertemuan Bermakna

Pagi itu sebuah temu janji telah dirancang. Dengan izinNya ia terlaksana.
‘Kalau sudah bertentang empat mata ni nanti..apa yang mahu dibincangkan ni..?
Gusar. Gemuruh.
Sedangkan sebelum itu, hati gembira benar menerima pelawaan beliau untuk singgah ke pejabatnya yang terletak di Wisma Muis. Sebelum ini, hanya mengenali beliau lewat laman blognya. Lantas, berhubung dan saling mengetahui perkembangan masing- masing juga melalui alam maya tersebut.

Lebih sinonim dengan gelaran 'Abu Nuha' atau nama sebenar beliau Ustaz Akmal, laman blog beliau sudah tidak asing lagi bagi blogger dan penuntut Sabah di Mesir. Pagi itu, selama 2 jam setengah kami menghabiskan masa bersamanya berbincang dan mendengar seribu satu nasihat dan pengalaman beliau di dalam medan dakwah untuk dijadikan sebagai panduan dan pengajaran. Sejujurnya.. kagumku pada beliau meninggi kerana biarpun beliau merupakan salah seorang bekas pelajar Al Azhar yang hanya mengambil jurusan Qiraat di bumi Mesir itu, namun keupayaannya dalam mendalami bidang syariah dan dakwah membuatkan ku menjadikannya sebagai role-model di dalam medan dakwah.

Sepanjang pertemuan kami, beliau tidak henti-henti membicarakan soal dakwah dan bertanyakan keadaan semasa penuntut-penuntut Sabah di Mesir. Ternyata beliau menyatakan betapa berbezanya keadaan sewaktu beliau masih menuntut di sana dan keadaan hari ini. Kebanjiran penuntut Sabah yang semakin ramai di Bumi Mesir itu menyebabkan keadaan yang semakin sukar untuk mengawal tindak-tanduk penuntut Sabah di Mesir. Mungkin disebabkan itulah juga beberapa masalah disiplin mula timbul sejak kebelakangan ini. Akan tetapi, beliau berpandangan bahawa sesungguhnya di situlah sebenarnya cabaran bagi kami selaku senior atau exco tertinggi BKPSM untuk sama-sama mengawal dan menyelesaikan masalah tersebut. Namun, suatu keadaan yang tidak pernah berubah sejak dahulu hingga sekarang yang mana patut diubah menurut beliau ialah 'semangat kekitaan dan kesabahan' anak-anak Sabah yang terlalu menebal di dalam diri. Sifat ini bukanlah sesuatu yang negatif tetapi seharusnya bagi penuntut-penuntut Sabah ini mula bergaul dan berkumpul bersama teman-teman senegara yang lain. Usah sempitkan perhubungan sosial kerana ianya tidak akan dapat memberi apa-apa manfaat. Sedangkan dengan bergaul bersama teman-teman dari negeri atau negara lain tentulah akan membuatkan seorang mahasiswa/wi itu berfikiran lebih terbuka dan meluaskan lagi kenalan yang ada. Menurut beliau, ini sangat penting kerana hubungan baik yang dibina semasa di Mesir akan menyebabkan kelansungan hubungan yang akrab dan memupuk semangat bekerjasama yang mantap tatkala kembali bertugas di Tanah Air kelak.

Beliau juga menekankan bahawa zaman sewaktu menuntut di Universiti inilah merupakan satu peluang yang terbaik bagi mahasiswa/wi berjinak-jinak dan menceburkan diri dengan persatuan dan dakwah. Kerana menurut beliau aktivis-aktivis dakwah yang giat pada hari ini Insyallah akan melahirkan aktivis dakwah yang aktif dan tidak mengenal erti ‘duduk diam’ setelah tamat belajar nanti. Sepertimana yang kita sedia maklum, aktivis dakwah di negeri Sabah tidaklah seramai berbanding di negeri-negeri lain. Sedangkan masyarakat Sabah samada yang Islam ataupun bukan Islam amat memerlukan tunjuk-ajar dan bimbingan para kader-kader dakwah. Tambahan beliau lagi, menjadi guru JQAF bukanlah suatu alasan bagi lepasan mahasiswa/wi melepaskan tanggungjawab berdakwah yang kian bertambah hari demi hari. Sebaliknya, bagi mahasiswa/wi ini, mereka perlulah bijak dan sedia berkorban bagi turut sama ‘terjun’ di dalam medan dakwah.

Dua nasihat terakhir Ustaz yang ingin dikongsi bersama ialah..
Jadikan penulisan ilmiah suatu hobi atau kebiasaan bagi mahasiswa/wi Sabah.Ini kerana melalui medan penulisan, secara tidak lansung akan membuatkan penulis membuat lebih banyak kajian,penyelidikan,mengkaji nas-nas Al Quran,Hadith dan sebagainya sebagai dalil dan hujjah bagi sesuatu perkara. Lantaran itu, minda dan padangan mahasiswa/wi tentunya akan lebih terbuka dan mampu menjawab dan memberikan respon yang tepat dan mantap bagi masyarakat di luar sana.
Ustaz juga menyeru agar apabila telah tamat pengajian kelak, mahasiswa/wi seboleh-bolehnya mendapatkan jawatan atau berkerja dengan sekolah-sekolah di bawah seliaan JHEAINS agar ilmu agama dan bahasa Arab yang diperolehi sewaktu menuntut di Bumi Mesir itu tidaklah sia-sia dan hanya ‘hilang ditelan masa’ begitu sahaja.

Sebenarnya terlalu banyak yang telah dinasihatkan oleh beliau, namun tidak semua mampu dicatat di sini. Hanya telinga ini yang merakam bait-bait nasihat dan kata-kata semangat yang dilontarkan olehnya.

‘DAKWAH’.. Itulah merupakan isu penting yang membawa kaki ini melangkah menemui beliau hari ini. Semangat menyampaikan dakwah dan berbakti/bekerja untuk ISLAM itu patut dicontohi oleh kita semua. Kalam beliau yang diambil dari Hadith Rasulullah saw ini amat berbekas di hati..

‘Islam ni akan menang juga suatu hari nanti sepertimana yang telah dijanjikan..persolannya sekarang..terserah bagi kita sahaja samada ingin menjadi sebahagian daripada mereka yang memperjuangkan ISLAM atau hanya sekadar menunggu dan melihat..’

ALLAHHU AKBAR!
Ingin ku berkongsi dan ‘meminta’ sekelumit semangat perjuangan dari beliau. Moga-moga sedikit sebanyak pertemuan hari ini akan memberi manfaat dan membuatkan kita sama-sama bermuhasabah dan menilai diri. Wallahu a’lam..

** Rasa sangat segan terhadap beliau hingga tidak berani untuk meminta izin menangkap foto beliau untuk disertakan di dalam entri ini. Namun, bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut dan membaca hasil tulisan beliau, blog 'Abu Nuha Corner' terdapat di sebelah kiri blog ini. Enjoy ur reading! 'Ustaz..syukran jazilan!' (^_^)

Sunday, September 26, 2010

Program Pertama Bersama PSS~ Nisa' Permata Hati


‘Haa..terima kasih juga buat kakak-kakak kamu yang dibelakang sana selaku pendakwah-pendakwah..’
Tersentak! Ucapan yang dilafazkan oleh Ustaz Amir pada malam itu tidak dapat ditangkap satu persatu dengan tepat namun lebih kurang begitu. Perkataan ‘pendakwah-pendakwah’ itu membuatkan hati kecil terusik.
Sejak program bermula,gelaran ‘kakak-kakak fasilitator’ lebih sinonim bagi ku.Namun bila disebut ‘pendakwah’ diri berasa sangat kecil. Tidak selayaknya gelaran itu disandarkan pada diri yang serba kekurangan dan mempunyai kelemahan. Insaf~




Bumi Bongawan itu buat pertama kalinya dijejak oleh kaki yang mencari seribu satu pengalaman yang mendewasakan diri.Alhamdulillah.. dengan kerjasama SMK Bongawan dan PSS (Persatuan Siswazah Sabah) satu program khas bagi pelajar-pelajar muslimat telah selesai dijalankan pada 24-25 September 2010 yang lalu. Program ‘Nisa’ Permata Hati’ menyentuh pelbagai isu dan masalah-masalah sosial yang semakin meningkat di dalam masyarakat hari ini. Berobjektifkan bagi mengawal kebejatan masalah sosial yang berlaku di kalangan pelajar perempuan, pelbagai topik telah disentuh sesuai dengan golongan sasaran program kali ini. Sepanjang LDK berjalan pelbagai topik dibincangkan bagi memberi kesedaran dan kefahaman sebenar tentang keperibadian seorang muslimah dan tanggungjawab yang dipikul bagi mengangkat dan mempertahankan kesucian agama Islam. Ceramah ‘Akhlak ku acuan Al Quran’ dan ‘Akhlak cerminan hati’ pula menekankan betapa seorang muslimah yang baik itu sangat perlu menjaga adab,akhlak dan tingkah laku bagi membawa imej Islam yang sebenar.

Slot ‘Mencari Hati Kuman’ pula merupakan salah satu slot muhasabah yang mampu memberi kesan yang mendalam bagi para peserta. Salah satu ayat yang ditekankan oleh saudara penceramah pada malam itu adalah..

'Seorang yang cemerlang itu tahu DARI MANA dia datang..seorang yang cemerlang itu tahu UNTUK APA dia dilahirkan..dan seorang yang cemerlang itu juga tahu KE MANA kelak ia akan dikembalikan’.

Tiga persoalan yang patut ada dan selalu kita mainkan difikiran kita! Tiga soalan yang panjang dan berbeza..namun ketiga-tiganya hanya berkongsi satu jawapan yang amat pendek.

‘ALLAH SWT!’

Itulah jawapan yang seharusnya kita tanam dalam-dalam di lubuk hati bagi memastikan kita ‘sedar diri’ dan tidak terleka dengan seribu satu dugaan dan godaan dunia hari ini. Air mata yang menitis pada malam itu membuatkan diri terasa seolah-olah kehadiran diri di sekolah itu sebagai salah seorang peserta dan bukannya fasilitator. Di situlah kelebihan yang diperolehi bila mana kita menyertai program-program sebegini. Sejujurnya bukan title ‘Fasilitator’ itu yang dikejar-kejar tetapi sebenarnya diri itu hadir sama ke sana tidak lain hanya ingin mentarbiyah diri dan membersihkan hati yang tidak lari daripada terkena palitan-palitan dosa dan maksiat.




Oleh itu, sepertimana hati dan diri ini merasa berjaya dididik dan diberi pengisian rohani bagi meneruskan hidup menjalani tiap detik berlalu yang penuh pencaroba ini..seikhlasnya hati ini juga berharap adik-adik muslimat SMK Bongawan juga mendapat seribu satu manfaat yang tidak lain bagi menjauhi dan melindungi mereka daripada anasir-anasir negatif hari ini. Semoga program seumpama ini akan lebih giat dijalankan di semua sekolah-sekolah di Sabah. Maka seharusnya para pelajar dan pihak sekolah memainkan peranan yang amat penting bagi menjamin program sebegini diteruskan demi untuk melahirkan muslimin muslimat yang akan memperjuangkan agama Islam kelak!

Wednesday, September 22, 2010

Pengembaraan Mencari CINTA

Berbicara soal cinta…
Biasanya diri hanya selalu berbicara sendiri. Belum pernah diungkapkan di dalam bentuk entri di alam maya sebegini. Ada orang kata..'Cinta itu bunga. Cinta itu pelangi. Namun cinta juga belati.' Puitis sungguh.. Selayaknya mereka yang berjiwa sastera mengatakan sedemikian.
Ungkapan ‘cinta itu buta’ pula ditafsirkan berbeza mengikut setiap insan bernama manusia. Bagi diri..cinta itu suatu pemberian Ilahi kepada hamba-hambaNya. Secara fitrahnya ia suci, ia bersih. Namun, sebenarnya manusia yang butalah yang mengotori dan mencemari kesucian cinta.Seorang sahabat meminta agar entri kali ini menyentuh tentang cinta.
CINTA..? Apa yang aku tahu mengenai cinta..?

Ternyata dirinya yang sedang di dalam masa ‘kecederaan’ memerlukan kata-kata semangat untuknya berdiri kembali dan sembuh seperti sediakala. Dan aku..? Memahami benar situasinya. Lantas tulisan ini ditujukan buat khas buatnya dan diri jua.


CINTA..SAYANG..
Naluri untuk menyayangi dan disayangi. Manusia mana yang bisa menafikan wujudnya perasaan tersebut? Budaya bercouple sudah menjadi satu trend dan kebiasaan pada hari ini. Bagi mereka yang bergelar ustaz/zah pula, perkataan ‘couple’ itu di’anti’ sungguh. Lantas timbul pula ungkapan ‘cinta islami’ yang mana menurut mereka lebih terjaga dan bebas daripada maksiat dan zina. Hakikatnya..? 2x5…5x2…= 10 ! (^-^)

Firman Allah swt berupa peringatan ini acapkali di dengar..

(Dan janganlah kamu mendekati zina, Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk) 17: 32

Tegahan Allah swt itu difahami kerana walaupun ringkas tetapi mesejnya jelas. Budaya bercouple merupakan salah satu jalan yang paling mudah untuk menjerumuskan pasangan tersebut ke lembah perzinaan. Zina mata,zina telinga,zina lidah..lebih-lebih lagi zina hati! Semuanya akan turut sama ditempuh oleh pasangan bercinta di antara lelaki dan perempuan samada yang disebut couple, cinta islami atau sebagainya.Sepatutnya golongan yang berlatarbelakangkan pengajian agama ini seharusnya lebih faham dan mengerti berbanding masyarakat lain di luar sana. Namun,apa yang kita lihat kadang-kala golongan ini pula yang gagal untuk menunjukkan contoh dan memberikan penjelasan yang sebenarnya mengenai hubungan diantara lelaki dan perempuan. Lantaran itu sewenang-wenangnyalah budaya bercouple ini semakin ‘dihalalkan’. Tidak kira siapa, syaitan itu akan sentiasa menghasut dan menjalankan tipu dayanya kepada manusia. Maka,walaupun mereka benar-benar tahu! Mereka benar-benar faham akan ayat Al Quran tadi..namun membenarkan jua ianya berlaku. Lantas yang haram dihalalkan. Yang ditegah pula dibolehkan.

Tatkala kita mencari-cari cinta insani..kita terlupa untuk menagih cinta dari Sang empunya cinta.
Tatkala kita mencari-cari insan yang sudi menyambut cinta,kita terlupa untuk menyambut cinta yang Maha Esa. Kita terlupa.. yang sejak mata ini celik melihat dunia, DIA telah mencurahkan selaut cinta,rahmat dan kasihNya hingga saat ini. Namun, tidak pernah pula kita menghargai dan menyambut cinta itu. Cinta yang sejati itu sudah ada di depan mata, tetapi cinta ‘plastik’ pula yang di kejar-kejarkan. Begitulah manusia. Lalai,terlupa dan leka dengan permainan dunia yang dikaburi dengan kebahagiaan yang sekadar kepuraan semata.

Railah cinta Rabbi sebelum kita cuba untuk merai cinta insani. Ubati hati yang dulunya penuh dengan kekotoran agar mudah untuk cintaNYA datang menyapa. Sesungguhnya bila cinta kepadaNya sudah memenuhi hati dan jiwa maka berbahagialah hati-hati yang dulunya tercari-cari cinta. Ubat hati tidak akan pernah kita temui di farmasi-farmasi mahupun klinik-klinik. Hatta hospital yang terbaik di dunia pun tidak akan mampu memberi ‘ubat hati’ kepada ‘pesakitnya’.


Ubat Hati..Ada lima perkara..
1) Baca Quran dan hayati maknanya.
2) Dirikan solat malam dengan bertahajjud
3) Berkumpul dan bergaul dengan orang-orang soleh
4) Banyakkan berpuasa
5) Memperbanyakkan Zikrullah

Sebenarnya, diri bukanlah yang selayaknya untuk membicarakan soal cinta. Kerna hati itu juga pernah dikotori debu-debu dosa lalu dan masih berusaha untuk membersihkannya. Duhai teman.. Sesungguhnya Allah itu sentiasa bersama kita. Tidak mengenal erti waktu susah mahupun senang. Allah sentiasa ada dan setia di sana. Tidak pernah sesekali meninggalkan kita walaupun kita yang acapkali 'meninggalkannya'..Maka, apa lagi yang kita cari? Sepatutnya ia sudah lebih daripada cukup.
Yakinlah akan janji Allah kepada hamba-hambanya..

( Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula) ) 24:26

Biarlah pengembaraan mencari cinta itu berjalan dengan sendirinya menurut kehendak dan ketentuanNya. Cinta kepada Allah dan RasuNya, cinta kepada agama Allah, cinta kepada ayah dan ibu,cinta kepada tanah air dan sahabat handai sudah cukup untuk membuatkan kita ‘sibuk’ mengurus dan berbahagia dengan cinta-cinta ini. Dan bonusnya..? Dalam masa yang sama,hati itu akan sentiasa terjaga dari melakukan dosa dan dikotori.

Pengembaraan itu akan berlaku pada setiap insan. Berhentilah dari mengejar dan serahkanlah urusan itu kepada Allah..Kerana sesungguhnya DIA lah yang Maha Mengetahui apa dan siapa yang terbaik untuk setiap hambaNya. Diri yakin..Pengembaraan mencari cinta ini sedang berjalan ‘dengan sendiri’..
Dan ia akan terus berjalan dengan izinNya..Kelak, pengembaraan mencari cinta ini akan terhenti jua dengan izinNya. Ia akan terhenti bilamana gegendang telinga ini menangkap suara si dia yang menyebut…’Aku terima nikahnya….'

Monday, September 20, 2010

Isu Palestin Bukan Bermusim!

Sejak puluhan tahun yang lampau bumi itu tidak pernah aman.
Bumi itu tidak pernah sunyi daripada bunyi bedilan-bedilan roket,bom dan tembakan yang memecahkan gegendang telinga manusia yang mendengar.
Bumi itu jugalah yang telah menyaksikan betapa ramainya pejuang-pejuang agama Allah itu mati syahid di jalanNya. Namun, darah yang tertumpah itu umpama air yang menyuburkan tanah yang kering tandus. Sehingga hari ini kita tetap menyaksikan betapa rakyat Palestin di sana tidak pernah menyerah kalah! Mereka tidak pernah tunduk pada kemahuan dan kekejaman penjajah yang terus-terusan berusaha untuk memiliki kota suci itu!



Berpuluh. Beratus. Beribu..
Biarpun saban hari ada sahaja penduduknya yang menjadi korban kekejaman rejim Zionist,namun pejuang-pejuang yang bermatlamatkan untuk membebaskan bumi Palestin daripada dinodai penjajah tidak pernah kehabisan! Tidak pernah sampai ke satu tahap di mana tidak ada sesiapa lagi yang mahu memperjuangkan hak mereka di bumi kelahiran mereka sendiri! Tidak pernah sampai satu masa dimana sudah tiada lagi mereka yang mahu berjuang menegakkan dan mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu!

Isu Negara Palestin bukan semata-mata isu sebuah negara yang menginginkan sebuah kemerdekaan untuk rakyatnya. Isu Palestin bukan sekadar isu yang diberitakan untuk kita lihat dan dengar setiap hari di kaca televisyen dan akhbar-akhbar tempatan mahupun luar negara. Sesungguhnya isu Palestin merupakan isu bagi seluruh umat Islam!
Isu Palestin merupakan satu isu yang mana seluruh umat Islam perlu ambil peduli! Isu Palestin bukan bermusim!

Walau jauh di Bumi Malaysia, kita selaku umat Islam dan saudara seaqidah mereka mempunyai satu tanggungjawab besar untuk membantu saudara kita di sana.Usaha pembebasan Baitul Maqdis merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh seluruh umat Islam walau di mana mereka berada. Hari ini, saat ini..apa yang termampu kita lakukan untuk membantu saudara seaqidah kita di sana?
Seorang ustazah pernah berpesan..’Sekarang..ada dua perkara sahaja yang termampu kita lakukan untuk membantu mereka'.

Pertama, berdoalah! Setiap waktu dan ketika doakanlah mereka agar mereka thabat dalam perjuangan yang menggetirkan itu. Doakanlah agar mereka sabar dan dikurniakan semangat juang dan jihad yang tidak pernah padam untuk melawan musuh-musuh Allah! Berdoalah agar mereka sentiasa di bawah lindungan Allah swt dan semoga suatu ketika nanti nusroh Allah itu pasti akan datang membantu mereka!


Kedua, kita seharusnya berusaha untuk sama-sama memboikot syarikat atau jenama-jenama barangan yang telah dikenalpasti telah menyalurkan keuntungan dan membiayai perbelanjaan yang diperlukan oleh rejim Zionist untuk menjalankan rancangan jahat mereka. Rasanya kita telah maaruf tentang beberapa jenama yang telah digalakkan untuk kita memboikotnya. Namun,sesetengah dari kita berfikiran agak pesimis..’Adakah berkesan jika kita turut sama memboikot walau setakat RM1..?’
Subhanallah
,Maha Suci Allah..Ketahuilah bahawa walau sedikit cuma usaha yang kita lakukan untuk membantu mereka..yakinlah ganjaran Allah itu hanya ada di sisiNYA..Yang penting kita berusaha untuk memboikot! Bijaklah mencari alternatif lain bagi menggantikan produk-produk tadi dan berdoalah semoga dengan sedikit pengorbanan yang kita lakukan tadi dapat membantu sedikit sebanyak untuk melumpuhkan ekonomi rejim Zionist.
‘Isu Palestin bukan isu bermusim!’ Itu yang perlu kita tanamkan di dalam diri,keluarga hatta kepada seluruh umat Islam mahupun bukan Islam. Selagi penjajah kejam itu tidak mengangkat kaki dan pergi daripada bumi Israk Mikraj, maka isu ini akan berterusan saban hari sehinggalah sampai ke satu hari kita dapat melihat panji-panji Islam berkibar megah di bumi itu!

** Posting kali ini diadaptasikan daripada sebuah buku terbitan PTS yang baru dibeli.Buku yang sangat bermanfaat.Insyallah beberapa entri akan dimasukkan lagi semata-mata untuk dikongsi bersama.Semoga ada manfaat yang boleh diperolehi bersama.
Wallahu Subhaanahu Wa taala A'lam..

Tuesday, September 14, 2010

Hargai Hijau

‘Jauh perjalanan..luas permandangan’..Pepatah yang sinonim untuk digambarkan setiap kali kami sekeluarga balik beraya ke kampung ayah.Awal pagi lagi, perjalanan dimulakan. Biasanya disebelah petang atau malam barulah akan sampai ke destinasi.
Perjalanan yang jauh dari Bandar Kota Kinabalu ke Lahad Datu biasanya memenatkan.Tapi kali ini ditemankan si comel Canon (C.C) yang baru dibeli,hobi yang sedia ada bertambah.Iaitu..
Menangkap foto dan permandangan indah ciptaan Allah swt. (^-^)

(Sesungguhnya Allah menumbuhkan butir tumbuh-tumbuhan dan biji buah-buahan. Dia mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. (Yang memiliki sifat-sifat) demikian ialah Allah, maka mengapa kamu masih berpaling?) 6:95


Sejauh mata memandang,mata ini menangkap kehijauan itu memenuhi permukaan alam.Menghiasi lantai bumi yang pastinya tandus tanpa adanya pepohon .Sedikit berbeza dengan bumi Mesir yang kuning keemasan,kehijauan itu aku rindui.Kehijauan itu menenangkan dan mengakui..betapa indahnya alam yang Allah swt ciptakan.Saban hari,mata ini celik sekaligus menghirup udara segar yang dianugerahkanNya tanpa sesen pun bayaran.Percuma.. Walhal,tanpa udara itu tentulah nafas ini terhenti di sini..saat ini.

Tumbuh-tumbuhan,pepohonan dan bunga-bungaan itulah yang membantu untuk kita terus bernafas pada hari ini.Alangkah bodohnya makluk bernama manusia itu yang memusnahkan kehijauan semata-mata untuk membangunkan bangunan-bangunan tinggi mencakar langit,yang menjadi lambang kemodenan tamadunan manusia hari ini.Pembangunan yang tidak terancang ini,sudah tentulah akan melempiaskan kesan buruknya kepada kehidupan manusia itu sendiri.Kejadian tanah runtuh,banjir kilat dan sebagainya sudah kerap benar kita alami.Memang benarlah,kerosakan itu sebenarnya dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri.

Pandanglah..lihatlah..perhatikanlah.
Memandang.. bukan sekadar memandang.Tetapi renungilah hikmah disebalik setiap kejadian Allah swt yang Maha Besar.’Kita ni, sekadar melihat..tapi kita tidak pernah betul-betul memerhati dan merenungi setiap ciptaan Allah swt..Sedangkan di setiap ciptaan Allah itu ada tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah swt..’ kataku kepada adik lelaki.Kata-kata nasihat itu sebenarnya ku tujukan buat diri sendiri..Peringatan buat diri yang terlupa dan terleka.

(Dan apakah mereka tidak memperhatikan bumi, berapakah banyaknya Kami tumbuhkan di bumi itu pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang baik?) 26:7



Semenjak dua ini..hijau sudah menjadi antara warna kegemaran..Kuning of courselah tetap di hati.So, sama-samalah kita hargai kehijauan.
Hijau itu cantik. Hijau itu menenangkan. Hijau itu membawa kegembiraan.
Peliharalah kehijauan agar tetap subur dan mekar mewarnai bumi Malaysia yang tercinta.. (^_^)

Wednesday, September 8, 2010

PadaMu Ku Bersujud


Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa kulihat
Selain hanya namaMu, ya Allah..

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah
Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
HambaMu yang selalu bertaubat..

Ampuniku ya Allah
Yang sering melupakanMu
Saat Kau limpahkan karuniaMu
Dalam sunyi aku bersujud

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku daris segala fitnah
Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
HambaMu yang selalu bertaubat..
Afgan~
PadaMu Ku Bersujud-OST Janji Kekasih

Akan Ku Jumpa


Ku mengatur langkahku
Berjalan tanpa bayang-bayangMu
Langit dan bumi setia, menemaniku
Matahari menyinar tak pernah berpihak padakuKu
Kepanasan tanpa perlindunganMu..

Hari berganti hari aku masih teguh menanti
Hadir diri Mu dalam hidupku ini
Rasa kecewa ada bila kaki penat berlari
Namun yakinku Kau kan kutemui
Ku takkan pernah cuba berhenti
Langkahku mencari Cinta
Yang ku tahu hanya tuk diriku
Kan ku terus cari sampai hujung dunia
Kerna ku tahu akanku jumpa diriMu
Dan ku kan terus menempuh mimpi-mimpiku selalu..

Ku lihat semua gembira
Bila mengenali erti Cinta
Senyuman ku beri hanya duka
Bila ingin teman tuk berbicara
Cinta jangan sembunyi
Mataku kabur mencari
Hadirlah dalam hidupku ini
Cinta jangan engkau pergi bila langkahku cuba untuk mengejar diriMu
Azfar~
Akan ku jumpa-OST Syurgamu Ramadhan

Tuesday, September 7, 2010

Memberi dan memohon maaf

Lafaz itu kita ungkapkan di bibir..
'Maaf zahir dan batin'..
Memohon kemaafan dari semua atas kesilapan kata atau perbuatan yang menyakitkan fizikal mereka mahupun hati-hati yang pernah terguris..

Hakikatnya..

Lafaz itu bukan terletak pada eratnya tangan yang berjabat..Tetapi kemaafan itu lahir daripada hati yang sudi untuk memaafkan insan lain yang pastinya tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan terhadap diri.Hati itulah yang berperanan untuk melupakan segala salah silap yang telah dilakukan terhadap diri walaupun satu ketika,hati itu jugalah yang pernah dilukai dan disakiti.


Hati yang bersih itu akan memaafkan..
Hati yang bersih itu akan melupakan..
Hati itu akan mengamankan di antara dua saudara yang bersengketa..
Hati itu akan mengikat semula tali persaudaraan..

Memberi kemaafan itu mungkin sukar bagi seseorang.
Bagi yang lain pula,memohon kemaafan itu pula yang sukar.
MEMBERI DAN MEMOHON..Dua perbuatan yang berbeza..
Namun,samada memberi atau memohon...Ambillah ibrah daripada Allah swt dan RasulNya.
Betapa Allah yang Maha Besar itu bersifat Ar Rahman,Ar Rahim dan Al Ghafur terhadap hamba-hambaNya yang dipenuhi dosa dan kesilapan..
Tetap..menerima permohonan ampun hamba-hambaNya..
Kekasih Allah..Rasulullah saw..betapa Baginda itu sebaik-baik manusia..
Tetap jua merendah diri,memohon maghfirah RabbNya..


Lantas...siapalah kita?
Siapalah kita yang enggan memaafkan insan lain..?
Siapalah kita yang enggan memohon maaf atas kesilapan yang telah terlanjur..?
Besar sungguhkah kedudukan kita..?
Aku masih tertanya mengenai itu...
Menanti sebuah jawapan yang tidak akan bertandang..


Walaupun tidak semua tangan-tangan itu mampu dijabat..
Sejujurnya dengan merendah diri memohon kemaafan dari semua..
Atas segala salah silap yang berbekas di hati yang ku yakini tidak disengajai..
Moga kalian berbahagia di hari lebaran yang mendatang...

~ Ku mohon maaf dan memaafkan jua..Selamat Hari Raya Aidilfitri

Sunday, September 5, 2010

Sharing Is Loving

'Kak..rindu mahu berprogram..'
Kata-kata seorang adik yang sama-sama menghabiskan cuti tahun ini di Tanah Air.
'Betul..betul..' Jawab ku mengiyakannya.

Sharing is Loving...So Sweet (^_^)
Sebenarnya..
Rindu itu ialah rindu untuk memberi..
Rindu untuk berkhidmat..
Rindu untuk berkongsi..

InsyaAllah..program PSS ba'da Eid tahun ini akan menjadi pertemuan pertama antara aku dan Persatuan Siswazah Sabah.

Wednesday, September 1, 2010

Dua Dunia

Petang semalam,buat pertama kalinya kaki ini menjejakkan kaki ke Bazar Ramadhan semenjak sampai ke Tanah Air beberapa hari yang lalu.Perasaan..?
Gembira dan excited itu sangat sedikit..yang banyak..perasaan yang sebaliknya!

Memang benar kata-kata seseorang,bahawa Bazar Ramadhan bukanlah satu tempat yang 'ok' untuk kerap didatangi.Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang mulia ini.Zahmah bak kata orang Mesir.Jikalau sesak itu setakat perempuan dengan perempuan mungkin,tidak menjadi masalah.Tetapi menjadi satu kelaziman,Bazar Ramadhan akan menjadi tempat bercampurnya pergaulan diantara lelaki dan perempuan di dalan keadaan sesak dan sempit.

Mula terasa janggal dan sangat tidak selesa..mungkin kerana di bumi Mesir sana kami telah dibiasakan untuk mengasingkan di antara lelaki dan perempuan di dalam keadaan atau majlis-majlis keraian.


So..jelas.Lebih terjaga.
Lebih selamat.
Lebih selesa.

Sedih apabila melihat keadaan di negeri tercinta yang telah ditinggalkan beberapa tahun.
'Parah'. Satu perkataan yang cukup untuk mengambarkan keadaan secara kasarnya tatkala melihat masyarakat Sabah.Usah dibahas soal pakaian.
Perempuan yang bertudung,rasanya hanya faham bahawa kepala sahaja yang perlu ditutup.Bukan tangan dan dada.Yang tanpa segan silu pula berpakaian tidak menutup aurat..?
Sedangkan dia seorang muslim.Aku sebagai perempuan saja..terasa sangat malu.

Apabila mata terpandang golongan lelaki pula..
Kanan,kiri,depan dan belakang...Kebanyakannya bersubang,memakai rantai,gelang dan sebagainya.Masalahnya bagi aku...sangat ramai.Majoriti mungkin.
Sehingga pernah terdetik di hati..'Tidak adakah ustaz-ustaz di Sabah ni..?'
Satu persoalan yang bukan bertujuan untuk menyalahkan,apatah lagi menunding jari.
Tetapi aku sebenarnya mencari.Tercari-cari...
Semenjak petang itu..rasanya keseronokan untuk ke Bazar sudah 'mati'.

Berbeza pula keadaannya pada malam itu.
Masjid Negeri Sabah didatangi untuk menunaikan solat sunat Terawih berjemaah.
Alangkah berbezanya perasaan itu!
Yang perempuan,manis bertelekung.
Yang lelaki pula,segak berkopiah.
Tenang..damai...itu yang dirasa.

2 dunia yang berbeza.
Pastinya orang-orang beriman itu merindukan satu biah yang padanya tertegak Syariat Allah swt dan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.
Biah itu perlu kita ubah.Itu satu azam yang pasti.
Maka,pastinya juga memerlukan sebuah pengorbanan yang besar..!

:: Baru 5 hari berlalu..Rindu ustaz/ustazah di Mesir..(^_^)