Wednesday, July 28, 2010

Sejernih Fikrah

‘Wahai pemuda,seandainya kamu yakini fikrah ini dan kamu menjejaki langkah kami serta kamu bersama berada di atas jalan yang murni ini,kamu tinggalkanlah segala fikrah kamu kecuali fikrah Islam.
Kamu waqafkanlah segala tenaga dan usaha kamu untuk aqidah yang kamu yakini ini.Maka semua itu akan mendatangkan kebaikan kepada kamu dunia akhirat.Tetapi sekiranya kamu enggan,dan memilih untuk terumbang-ambing dan bersifat serba salah antara seruan Islam dan selainnya,maka ingatlah sesungguhnya tentera Allah akan meneruskan perjalanan tanpa mengira bilangan samada sedikit ataupun ramai'
~ Mustafa Masyur



F.I.K.R.A.H
Satu kalimah.Punya enam huruf.
Simple tetapi penuh dengan makna tersurat dan tersirat.
Para pencinta Islam,perindu sebuah Daulah Islamiah..akan berusaha untuk menyatukan fikrah di tengah-tengah zaman modenisasi ini.Dihimpit dengan fahaman-fahaman Sekularisme,Sosialisme,Hedonisme dan lain-lain lagi merupakan satu ancaman yang cukup besar buat mereka yang mengaku mencintai dan ingin memperjuangkan Islam.Hari ini,di antara seribu yang melaung-laungkan untuk ke arah itu,namun sebenarnya hanya ada satu.

Satu yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.
Satu yang membawa kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar.
Satu yang bermatlamatkan Daulah Islamiah sebenar.
Satu yang akan membawa umat ini kepada kesatuan dan bukannya perpecahan.

Bagi yang benar-benar cintakan Islam dan ingin berjuang untuknya,maka carilah!
Teruskan pencarian itu untuk memastikan di mana sepatutnya kita berdiri dan berjuang.Bagi yang sudah menjumpai pula,genggamlah erat fikrah itu dan pertahankan ia sebaiknya.
Bila kesatuan mula dicapai dan fikrah yang satu disepakati maka umat inilah yang akan menjadi saksi sabda Rasulullah saw..’Al Islamu Yu’laa walaa Yu’laa Alaih’…

Saturday, July 24, 2010

Kasih Sebuah Keluarga

Bila kita sebut sahaja perkataan ‘keluarga’ pastinya kita akan membayangkan sekumpulan insan yang tinggal di bawah satu bumbung.Mungkin jumlahnya ramai,mungkin juga hanya mempunyai bilangan yang sedikit.Namun,banyak atau sedikit penghuninya bukanlah faktor yang menentukan sesebuah keluarga itu akan aman dan selesa.Sebaliknya,hubungan HATI-HATI itulah yang akan menjamin kelangsungan untuk meneruskan hidup itu bersama-sama.

Pejam celik,tidak sedar masa itu berlalu pantas.Kesibukan yang dilalui membuatkan rindu ini berjaya dipujuk untuk reda seketika.Rindu,kasih,kasih,sayang dan cinta.Semua ku kirim untuk mereka yang jauh di sana.
Ayah,ibu dan adik-beradik.
Keluarga yang pertama sekali dan utama.Mungkin suatu hari nanti,keluarga ini akan bertemu dengan keluarga lain di atas sebuah ikatan yang disyariatkan.Lantas,sebuah keluarga itu akan bertambah besar dan ramai.Tautan-tautan kasih di antara menantu dan mentua,suami dan adik ipar,anak buah dan pakcik dan sebagainya akan terus bercambah dari hari ke hari.Indah.
Namun,keluarga itu masih jauh untuk aku temui.Barangkali.Itu agakkan ku.

Malam ini,hari ini dan saat ini..Aku berada di dalam dakapan sebuah lagi keluarga.Tahun 2010 menjadi tahun ketiga aku menjadi sebahagian daripada keluarga ini.Dan Alhamdulillah,baru tadi kami selesai menjayakan sambutan hari keluarga.

Walaupun di dalam keluarga kedua ini,ayah,ibu,adik-beradik sebenar tiada di sisi,namun di sini aku juga mempunyai ayah dan ibu.Abang,kakak dan adik-adik pula ramai.
'Banyak orang,banyak ragam'..begitulah yang disebut-sebut.
Tersenyum tanda gembira dan bersyukur kerana benarnya ada terselit pada pepatah itu.

Keluarga ini sangat besar memandangkan ahlinya yang ramai.
Namun sejujunya,aku senang dengan itu.
Kerana merekalah aku menangis.
Kerana merekalah aku tersenyum.
Kerana merekalah aku telah belajar banyak perkara.
Kerana mereka jugalah,aku menjadi dewasa hari demi hari.

Keluarga ini tidak akan indah dan kekal tanpa adanya IKATAN-IKATAN HATI sesama ahli keluarganya.
Apabila yang MUDA DIKASIHI,dan yang TUA DIHORMATI.. akan membuatkan hati-hati itu berbunga cinta dan ukhuwah.Tidak akan hapus ditelan masa dan zaman tidak akan renggang walau berjauhan.
Keluarga ini akan terus harmoni dengan adanya sikap saling BEKERJASAMA,BERTOLAK-ANSUR dan TOLONG-MENOLONG sesama sendiri tanpa mengharapkan sebarang imbalan dan penganugerahan.Kerana apa?
Kerana tatkala hati-hati itu sudah terikat sesama sendiri,maka memberi itu bukan lagi satu kesulitan dan kesusahan tetapi sebuah kegembiraan.
Sepertimana dalamnya cinta ini terhadap keluarga pertama,sebegitulah jua hendaknya cinta ini untuk keluarga keduaku ini.Aku ingin menjaga ia sebaiknya,sebagaimana ia telah menjagaku dengan baik.
Aku ingin berbakti kepadanya semampunya,persis sepertimana ia telah berbakti kepadaku.
Aku ingin agar keluarga ini sentiasa di rahmati Allah kerana apapun yang kami lakukan mudah-mudahan hanya kerana mengharapkan redha dan rahmatNya.

‘BADAN KEBAJIKAN PENUNTUT SABAH MESIR’.
Aku sangat MENYAYANGI keluarga ini.

~ Selamat HARI KELUARGA BKPSM,22-24 Julai 2010~

Sekitar Program Hari Keluarga BKPSM 2010







ALHAMDULILLAH..selesai..''Selaut MAHABBAH,seindah UKHUWAH''..

Tuesday, July 13, 2010

Indahnya Insan Bernama Wanita

‘Ketika Adam as bersendirian di dalam syurga,dia merasa amat sunyi dan merindui seorang teman.Sesungguhnya Allah swt itu Maha Mengetahui.Ketika Adam as sedang memikirkan keadaannya itu,dia tertidur.Ketika itulah Allah swt telah mewahyukan kepada Jibril as supaya mencabut salah satu tulang rusuk Adam as dan disalutkan dengan daging.Seperti orang yang sedang dibius,Adam as tidak merasa apa-apa ketika tulangnya dicabut oleh Jibril.Dengan kuasa Allah swt,terciptalah Hawa dari tulang tadi sebagai insan kedua yang menghuni syurga bersama-sama Adam as.’ (Petikan dari : Riwayat Bidadari Syurga,Munif Ahmad)

Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam..
Begitulah sirah yang diceritakan mengenai penciptaan Hawa dan golongan wanita yang penuh dengan seribu satu hikmah.Sesungguhnya,diciptakan wanita itu daripada tulang rusuk kaum lelaki.Bukan dari kaki untuk dijadikan alas kaki dan dipandang hina.Bukan juga dari kepala untuk dijunjung dan dipuja-puja.Tetapi dicipta golongan wanita itu daripada tulang rusuk kaum lelaki untuk dia dikasihi dan dilindungi.Juga untuk menjadi peneman setia bagi si suami,dan juga sebagai sayap kiri bagi seorang pejuang agama Allah.Ada juga yang mentafsirkan bahawa penciptaan Hawa daripada tulung rusuk Nabi Adam as hanyalah sekadar majazi(kiasan) iaitu menunjukkan sifat sebenar wanita itu.Golongan hawa itu perlu dididik dan dilentur dengan lemah lembut dan berhikmah,bukan dengan cara kekerasan atau paksaan,kerana pastilah tulang yang keras itu bisa rosak dan patah andai tidak sesuai dengan cara untuk membentuknya.


Andainyalah kita mengerti betapa seorang wanita itu penuh dengan keistimewaan dan ketinggian darjat yang telah diberikan oleh Allah swt.Sepertimana yang telah dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah saw ‘Sesungguhnya dunia itu hanyalah perhiasan semata,adapun sebaik-baik hiasan di dunia itu adalah wanita yang solehah’.Betapa indahnya pengkhabaran yang di bawa oleh Baginda.Namun,sedihnya pada hari ini kita dapat lihat,betapa wanita itu sudah hilang sifat malu yang menjadi maharnya.Di akhir zaman ini,pergaulan yang tidak terbatas antara lelaki dan perempuan sudah semakin berleluasa dan menjadi satu kebiasaan yang kita dapat lihat saban hari.Keluar berdua-duaan,berpimpin tangan,berlaga pipi dan bersekedudukan antara perempuan dan lelaki yang bukan mahram seolah-olah bukan lagi satu kesalahan dan dosa.Malah,wanita-wanita baik yang menjaga dirinya daripada perkara-perkara seumpama ini pula yang dikatakan mundur dan jumud! Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila wanita-wanita ini adalah mereka yang mempelajari ilmu agama,ilmu syariah! Mahu dikatakan jahil..tidak! Kerana ilmu itu sudah sampai kepadanya.Namun,begitulah natijahnya apabila ilmu yang dipelajari hanya setakat untuk dihafal atau ditelaah.Ilmu itu tidak difahami dan ditadabbur sebaiknya.

Kepala bertudung litup,tetapi tidak pernah faham pun tujuan sebenar Allah memerintahkan untuk memakai jilbab.Lantaran itu,memakai tudung hanya menjadi satu trend yang berubah dari masa ke masa.Tujuan utamanya yang bertujuan untuk menjaga maruah dan kehormatan wanita serta ciri utamanya iaitu untuk dilabuhkan ke dada itu sudah diketepikan.Asalkan kepala bertutup,dianggap sudah memadai.Di situlah silap kita.Kita tidak faham tuntutan yang telah Allah syariatkan kerana kita hanya sekadar mengikut-ikut.Lantas walaupun bertudung,dosa dan maksiat tetap dilakukan tanpa wujudnya sekelumit pun sifat malu dan bersalah.

Di dalam agama Islam,jelas membezakan di antara kedudukan seorang lelaki dan perempuan.Bukan diskriminasi tetapi masing-masing punya kelebihan yang bersesuaian dengan fitrah kejadiannya.Bagi kaum lelaki,sifat-sifat yang ada di dalam dirinya sememangnya khusus bagi mereka selaku ketua dalam keluarga dan pemimpin.Sesuailah bagi mereka dengan sifat-sifat seperti tegas,tidak beremosi,tenang dan berkeyakinan.Adapun perempuan itu sifat semulajadinya Allah telah tentukan sesuai dengan tugas dan peranannya.Sifat lemah-lembutnya menjadikannya seorang yang lebih pengasih berbanding lelaki,lantaran kelak di bahunyalah terletak tanggungjawab dalam mendidik dan mengasuh anak-anaknya.Sifatnya yang teliti dan mengambil berat pula adalah salah satu keistimewaan baginya untuk menguruskan urusan rumah tangganya dan urusan suaminya.

Golongan wanita juga diberi keistimewaan dari sudut kematangannya.Sepertimana yang telah dipelajari,sesungguhnya seorang perempuan itu akan mencapai umur akil baligh pada umur yang lebih awal berbanding seorang lelaki.Maka,ini akan menyebabkan seorang perempuan itu lebih cepat matang dan dewasa dari cara dia berfikir dan kelakuannya berbanding lelaki.Melihat kepada persekitaran hari ini yang mana maksiat dan zina yang berleluasa,sebenarnya wanita mempunyai satu peranan yang amat penting di dalam mengelakkan perkara ini daripada berlaku! Ini kerana,berlaku atau tidaknya zina itu sebahagian besarnya bergantung kepada si perempuan. Ada kuasa penentu di tangan perempuan itu! Jika dia bersikap tegas,maka dia akan selamat! Namun,seandainya dia menuruti sahaja,nescaya akan berlakulah perbuatan terkutuk itu.Maka tidak hairanlah mengapa Allah terlebih dahulu menyebut ism perempuan mendahului ism lelaki di dalam firmanNya :

[Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman] 24:2

Golongan lelaki itu lumrahnya akan lebih cenderung kepada golongan wanita.Tanpa iman dan taqwa yang membentengi diri,maka nafsu dan godaan syaitan akan mengatasi segalanya termasuk kewarasan akal fikirannya.Maka,dari situlah wujudnya sesetengah golongan lelaki yang hanya menginginkan keseronokan tanpa dibatasi dengan hukum halal haram.Lantaran itu,mulalah mereka akan memujuk rayu dan menyulamkan kata-kata indah demi mendapatkan apa yang diingini nafsu yang dirajai oleh syaitan ,kerana mereka tahu lumrah bagi seorang perempuan pula adalah sifatnya yang lembut hati.Wanaauzubikllahi min zaalik..

Di sinilah peranan seorang wanita yang solehah dalam mengawal diri dan kemahuannya sendiri.Kematangan fikiran dan iman yang teguh kepada Allah dan Rasulnya akan membantunya untuk menjauhi dan menghalangnya daripada segala maksiat yang ada disekelilingnya daripada terus berlaku.Sifatnya yang tegas perlu ada terutamanya apabila berhadapan dengan golongan lelaki ini demi mempertahankan dan menjaga maruah diri,keluarga dan agamaNYA.Maka,di situlah terletaknya kuasa dan kelebihan seorang wanita.

Wanita yang solehah tidak akan sewenang-wenangnya di bawa keluar ke hulu ke hilir.
Wanita yang solehah tidak akan sewenang-wenangnya di pandang,apatah lagi disentuh.
Wanita yang solehah itu,ada kekuatannya!
Ada keistimewaannya!
Ada kelebihannya!
Sesungguhnya kondisi masyarakat hari ini dan masa depan Islam pada hari esok,juga terletak di bahu segolongan insan yang bernama wanita.Sekiranya semua perempuan itu,bernama wanita solehah maka tidak akan berlakulah lagi maksiat keji seperti zina.Rentetan daripada itu tentulah kes-kes seperti buang bayi,pengguguran janin dan anak-anak luar nikah akan berjaya dibendung.

Begitulah indahnya ciptaan Allah yang bernama wanita.
Sifatnya yang lemah-lembut,pengasih,penyayang,sensitif,manja dan kebergantungannya kepada kaum lelaki bukanlah satu penghinaan dan cemuhan daripada Allah,bahkan disebalik semua itu ada kekuatan dan kelebihan pada dirinya yang tidak ada pada kaum lelaki.Maka,pelihara dan jagalah ia sebaik mungkin.Pertahankan ia sebaiknya berbekalkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya bagi seorang wanita yang solehah,dengan kecantikannya dia lebih elok daripada matahari,dengan akhlaknya dia lebih wangi dari haruman,dengan rendah hatinya dia lebih tinggi dari rembulan,dengan kelembutannya dia lebih halus dari rintik hujan.Maka,pertahankanlah keindahan ini,agar kau terus menjadi sayap kiri perjuangan Islami,penegak kalimah Allah di muka bumi..

Saturday, July 10, 2010

Peristiwa Israk Mikraj

::PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ


Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Israa: ayat 1).

Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran. Firman Allah Taala bermaksud: Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar. (Surah an-Najm: ayat 13-18)




Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.


:: SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ

Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi. Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.


:: PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.


:: KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ

Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:
*Baginda melihat orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.
*Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.
*Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.
*Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.
*Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.
*Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.
*Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
*Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.
*Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.


:: DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi. Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.


:: PERTIKAIAN KAFIR QURAISY

Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut. Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir.Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.


:: PENUTUP

Dari segala apa yang telah saya nyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.buluh.iluvislam.com. Wallahualam.
* Penulis merupakan salah seorang Panel Agama di iLuvislam.com. Artikel asal ini diambil daripada blognya di sini: Peristiwa Israk Mikraj

Tuesday, July 6, 2010

Hentikan Budaya Merokok

Sesak nafas,kepala menjadi pening dan terbatuk-batuk.Begitulah kondisi yang lazim dihadapi oleh masyarakat umum bilamana berada di samping seorang perokok.Hari ini,budaya merokok sudah semakin menjadi-jadi di dalam komuniti yang kita diami.Bukan setakat menjadi satu ketagihan bagi kaum lelaki,malah sesetengah golongan wanita juga telah mula menjadikan ia sebagai satu tabiat.Apa yang lebih merisaukan lagi,golongan anak muda seawal umur belasan tahun sudah mula menjadikan budaya merokok sebagai satu trend masa kini.


Persepsi seperti dengan merokok seseorang akan kelihatan segak,macho,matang,boleh mengurangkan selera makan dan mengurangkan berat badan membuatkan golongan perokok ini mengendahkan natijah daripada merokok ke atas diri mereka dan masyarakat sekeliling.Melihat dari sudut hukum Syara’ pula,sebahagian masih berpandangan bahawa hukum merokok adalah makruh.Lantas,tabiat ini terus diamalkan dalam meniti hari-hari yang silih berganti.Namun,sebenarnya para Ulama’ telah pun membahaskan masalah ini dengan panjang lebar dan akhirnya disepakati bahawa hukum merokok adalah haram.
Tempoh hari,saya berkesempatan menonton video ceramah ilmiah yang telah disampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al Makki Al Banjari.Di dalam ceramahnya,beliau telah membawakan beberapa dalil dari Al Quran yang membawa kepada pengharaman rokok.

:: DALIL-DALIL PENGHARAMAN ROKOK

1- Firman Allah yang bermaksud : (..Yang menyuruh mereka untuk mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk..) Al A’raf : 157

Kandungan di dalam sebatang rokok yang mempunyai 1001 bahan kimia yang membahayakan dan boleh membunuh manusia rasanya sudah cukup jelas untuk kita sesuaikan dengan kalam Allah tadi yang dimaksudkan dengan ‘ yang buruk’.Mengikut kajian,setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan membawa maut.Kesan buruk ini bukan sahaja akan memberikan kesannya kepada perokok malahan kepada orang di sekelilingnya.Jadi,masih bolehkah kita menganggap rokok sebagai sesuatu yang baik..??

2-Firman Allah yang berbunyi : (..Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan..) Al Baqarah : 195

Sepertimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab Fiqh,sebenarnya jiwa dan harta manusia adalah dua hal yang bukan milik manusia,sebaliknya ia adalah milik Allah secara mutlak.Lantas,kita sebagai hambaNya berperanan untuk menjaga dan menggunakan ia dengan baik dan di redhai Allah.Oleh sebab itu adalah wajib bagi kita menjaga anggota badan dan membelanjakan harta yang dipunyai pada jalan Allah.Oleh itu.duit yang digunakan untuk membeli rokok setiap hari,jelasnya tidak membawa manfaat sedikit pun dan ianya merupakan satu pembaziran yang amat besar.Bayangkan sahaja berapa ratus ribu wang yang dihabiskan oleh seorang perokok dalam setahun hanya untuk membeli rokok!

Seterusnya,Allah menyambung firmanNya dengan menegah manusia daripada menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan dan kehancuran.Kandungan kimia yang terlalu banyak dan merbahaya yang tersimpan di dalam sebatang rokok amat mengerikan! Bahan seperti Tar,Nikotin,Karbon Monoksida,bahan Radioaktif,bahan-bahan yang digunakan di dalam cat(acetone),pencuci lantai(ammonia),racun anai-anai(arsenic) dan bermacam lagi sudah terbukti membawa kesan yang amat buruk kepada anggota badan perokok terutamanya bahagian jantung,hati dan peparu.Jadi,bukankah itu yang dimaksudkan oleh Allah dengan kebinasaan dan kehancuran?

3-Allah berfirman lagi : (Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu) An Nisa : 29


Merokok adalah salah satu daripada cara membunuh diri! Itu hakikatnya.Walaupun ia mungkin akan terjadi dalam jangka masa yang panjang,namun di dalam Islam,membunuh diri samada secara lansung ataupun berperingkat tetap dinamakan dengan membunuh diri.Ini kerana racun rokok yang diperolehi hasil setiap sedutan rokok akan memasuki tubuh manusia dan haiwan dan akan membawa kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya.Iaitu bermula daripada mulut,tekak,saluran pernafasan,paru-paru,saluran penghadaman,saluran darah,jantung,organ pembiakan sehinggalah ke saluran kencing dan mengakibatkan penyakit-penyakit yang boleh membunuh.Maka,teringa kalam seorang Syeikh yang pernah mengatakan bahawa sememangnya tiada beza di antara orang yang membunuh dirinya dengan menikam dengan menggunakan pisau,pistol dan sebagainya berbanding orang yang melakukan sesuatu perkara yang mana dia tahu perbuatan itu akan membuatkan dirinya binasa atau terbunuh.Tiada bezanya,malah dita’rifkan juga sebagai membunuh diri.

Allah mengatakan lagi bahawasanya ia amat menyayangi hamba-hambaNya,lantas masakan kita tidak menyayangi diri kita sendiri?

Allah berfirman : (Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya) At Tiin : 4

Sesungguhnya sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah itu adalah manusia.Kerana berbanding makhlukNya yang lain kita telah diberikan anugerah terbesar iaitu akal.Dengan akal yang waraslah akan membantu sesorang manusia itu untuk membezakan mana yang baik dan buruk untuk dirinya.Bagi mereka yang bergelar pelajar pula,rasanya dalil-dalil tadi sudah cukup jelas untuk kita sepakati bahawa merokok itu diharamkan oleh Allah swt.Usahlah degil dan bersikap acuh tak acuh hanya kerana tiada wujud ayat di dalam Al Quran yang mengatakan tentang pengharaman rokok sepertimana diharamkan bangkai,darah,judi,daging khinzir,menilik nasib dan sebagainya.Kalau kita boleh menerima bahawa Dadah itu haram hukumnya biarpun tiada dalil yang jelas menyebut tentangnya,maka kenapa tidak kita menerima hal yang sama terhadap rokok..?

Di sini sukacita saya membawakan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti sebuah negeri.

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.

4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.
(Sumber Petikan : Harakah Daily)

Wallahu Subhanahu Wa Taala A'lam..
p/s : Sama-sama kita muhasabah diri..mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada mereka-mereka yang berazam untuk menghentikan tabiat merokok ini..lebih-lebih lagi mereka yang digelar 'Ustaz-ustaz'... ^_^

Friday, July 2, 2010

Sebelum Terlena

Entah bila masanya..
Mungkin hari ini..
Mungkin esok..
Mungkin lusa..
Semoga sebelum mata ini terlena..
Umur dan waktu ini dapat dimanfaatkan untuk Islam..
Dapat diabdikan demi sebuah perjuangan menuju redha Allah dan Rasulnya..


” Sebelum Terlena “
Artis :Hijjaz
Sebelum Mata Terlena
Di Buaian Malam Gelita
Tafakurku Di Pembaringan
Mengenangkan Nasib Diri
Yang Kerdil Lemah dan Bersalut Dosa
Mampukah ku Mengharungi Titian Sirat Nanti
Membawa Dosa Yang Menggunung Tinggi
Terkapai ku Mencari Limpahan Hidayahmu
Agar Terlerai Kesangsian Hati Ini
Sekadar Air Mata Tak Mampu Membasuhi Dosa Ini

Sebelum Mata Terlena
Dengarlah Rintihan Hati Ini
Tuhan Beratnya Dosaku
Tak Daya Ku pikul Sendiri
Hanyalah Rahmat dan Kasih Sayangmu
Yang Dapat Meringankan Hulurkan Maghfirahmu
Andainya Esok Bukan Milikku lagi
Dan Mata Pun ku Tak Pasti Akan Terbuka Lagi
Sebelum Berangkat Pergi Ke Daerah Sana
Lepaskan Beban Ini Yang Mencengkam Jiwa dan Ragaku

Selimuti Diriku
Dengan Sutra Kasih Sayangmu
Agar Lena Nanti
Kumimpikan Syurga Yang Indah Abadi
Pabila ku Terjaga
Dapat Lagi Kurasai
Betapa Harumnya
Wangian Syurga firdausi Oh Ilahi
Di Sepertiga Malam
Sujudku Menghambakan Diri
Akan Kuteruskan Pengabdianku Padamu~

Airmata & Cinta hanya untuk DIA

Airmata yang mengalir ini,biarlah menangis lantaran menginsafi segala dosa dan kesilapan yang terlanjur..
Airmata yang mengalir ini,biarlah menangis lantaran berusaha menagih cinta dariNya..
Airmata yang mengalir ini,biarlah menitis lantaran kegusaran apakah mungkin cinta ini diterima dan berbalas..
Airmata ini sering saja membasahi pipi seorang hamba yang amat lemah..
Airmata ini akan terus mengalir lantaran kesungguhan seorang hamba yang mengharapkan wujudnya kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang..

Cinta ini pula sudah buta..
Sudah hilang celiknya..
Seolah sudah tidak kenal sesiapa.Baik seperti mana pun dia,cinta itu mungkin sudah tiada..
Menjadi sayap kiri bagi seorang pejuang agama Allah..
Itu pernah terdetik satu masa dahulu..
Tapi saat ini semua itu telah hilang..
Entah ia akan bertandang semula atau tidak..Allah lebih Mengetahui..



Yang pasti..airmata dan cinta ini hanya untukNYA..
Ku serahkan hanya untuk DIA dan agamaNya..
Ya Allah..terimalah diri yang hina dan lemah ini..
Aku sangat memohon dengan rendah diri..
Ya Allah..bahagiakanlah mereka-mereka yang ada disekelilingku..
Temukanlah mereka dengan apa yang mereka cari..
Dan biarkan aku sendiri..
Sendirian berdua bersamaMU..