Tuesday, July 13, 2010

Indahnya Insan Bernama Wanita

‘Ketika Adam as bersendirian di dalam syurga,dia merasa amat sunyi dan merindui seorang teman.Sesungguhnya Allah swt itu Maha Mengetahui.Ketika Adam as sedang memikirkan keadaannya itu,dia tertidur.Ketika itulah Allah swt telah mewahyukan kepada Jibril as supaya mencabut salah satu tulang rusuk Adam as dan disalutkan dengan daging.Seperti orang yang sedang dibius,Adam as tidak merasa apa-apa ketika tulangnya dicabut oleh Jibril.Dengan kuasa Allah swt,terciptalah Hawa dari tulang tadi sebagai insan kedua yang menghuni syurga bersama-sama Adam as.’ (Petikan dari : Riwayat Bidadari Syurga,Munif Ahmad)

Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam..
Begitulah sirah yang diceritakan mengenai penciptaan Hawa dan golongan wanita yang penuh dengan seribu satu hikmah.Sesungguhnya,diciptakan wanita itu daripada tulang rusuk kaum lelaki.Bukan dari kaki untuk dijadikan alas kaki dan dipandang hina.Bukan juga dari kepala untuk dijunjung dan dipuja-puja.Tetapi dicipta golongan wanita itu daripada tulang rusuk kaum lelaki untuk dia dikasihi dan dilindungi.Juga untuk menjadi peneman setia bagi si suami,dan juga sebagai sayap kiri bagi seorang pejuang agama Allah.Ada juga yang mentafsirkan bahawa penciptaan Hawa daripada tulung rusuk Nabi Adam as hanyalah sekadar majazi(kiasan) iaitu menunjukkan sifat sebenar wanita itu.Golongan hawa itu perlu dididik dan dilentur dengan lemah lembut dan berhikmah,bukan dengan cara kekerasan atau paksaan,kerana pastilah tulang yang keras itu bisa rosak dan patah andai tidak sesuai dengan cara untuk membentuknya.


Andainyalah kita mengerti betapa seorang wanita itu penuh dengan keistimewaan dan ketinggian darjat yang telah diberikan oleh Allah swt.Sepertimana yang telah dikhabarkan oleh Baginda Rasulullah saw ‘Sesungguhnya dunia itu hanyalah perhiasan semata,adapun sebaik-baik hiasan di dunia itu adalah wanita yang solehah’.Betapa indahnya pengkhabaran yang di bawa oleh Baginda.Namun,sedihnya pada hari ini kita dapat lihat,betapa wanita itu sudah hilang sifat malu yang menjadi maharnya.Di akhir zaman ini,pergaulan yang tidak terbatas antara lelaki dan perempuan sudah semakin berleluasa dan menjadi satu kebiasaan yang kita dapat lihat saban hari.Keluar berdua-duaan,berpimpin tangan,berlaga pipi dan bersekedudukan antara perempuan dan lelaki yang bukan mahram seolah-olah bukan lagi satu kesalahan dan dosa.Malah,wanita-wanita baik yang menjaga dirinya daripada perkara-perkara seumpama ini pula yang dikatakan mundur dan jumud! Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila wanita-wanita ini adalah mereka yang mempelajari ilmu agama,ilmu syariah! Mahu dikatakan jahil..tidak! Kerana ilmu itu sudah sampai kepadanya.Namun,begitulah natijahnya apabila ilmu yang dipelajari hanya setakat untuk dihafal atau ditelaah.Ilmu itu tidak difahami dan ditadabbur sebaiknya.

Kepala bertudung litup,tetapi tidak pernah faham pun tujuan sebenar Allah memerintahkan untuk memakai jilbab.Lantaran itu,memakai tudung hanya menjadi satu trend yang berubah dari masa ke masa.Tujuan utamanya yang bertujuan untuk menjaga maruah dan kehormatan wanita serta ciri utamanya iaitu untuk dilabuhkan ke dada itu sudah diketepikan.Asalkan kepala bertutup,dianggap sudah memadai.Di situlah silap kita.Kita tidak faham tuntutan yang telah Allah syariatkan kerana kita hanya sekadar mengikut-ikut.Lantas walaupun bertudung,dosa dan maksiat tetap dilakukan tanpa wujudnya sekelumit pun sifat malu dan bersalah.

Di dalam agama Islam,jelas membezakan di antara kedudukan seorang lelaki dan perempuan.Bukan diskriminasi tetapi masing-masing punya kelebihan yang bersesuaian dengan fitrah kejadiannya.Bagi kaum lelaki,sifat-sifat yang ada di dalam dirinya sememangnya khusus bagi mereka selaku ketua dalam keluarga dan pemimpin.Sesuailah bagi mereka dengan sifat-sifat seperti tegas,tidak beremosi,tenang dan berkeyakinan.Adapun perempuan itu sifat semulajadinya Allah telah tentukan sesuai dengan tugas dan peranannya.Sifat lemah-lembutnya menjadikannya seorang yang lebih pengasih berbanding lelaki,lantaran kelak di bahunyalah terletak tanggungjawab dalam mendidik dan mengasuh anak-anaknya.Sifatnya yang teliti dan mengambil berat pula adalah salah satu keistimewaan baginya untuk menguruskan urusan rumah tangganya dan urusan suaminya.

Golongan wanita juga diberi keistimewaan dari sudut kematangannya.Sepertimana yang telah dipelajari,sesungguhnya seorang perempuan itu akan mencapai umur akil baligh pada umur yang lebih awal berbanding seorang lelaki.Maka,ini akan menyebabkan seorang perempuan itu lebih cepat matang dan dewasa dari cara dia berfikir dan kelakuannya berbanding lelaki.Melihat kepada persekitaran hari ini yang mana maksiat dan zina yang berleluasa,sebenarnya wanita mempunyai satu peranan yang amat penting di dalam mengelakkan perkara ini daripada berlaku! Ini kerana,berlaku atau tidaknya zina itu sebahagian besarnya bergantung kepada si perempuan. Ada kuasa penentu di tangan perempuan itu! Jika dia bersikap tegas,maka dia akan selamat! Namun,seandainya dia menuruti sahaja,nescaya akan berlakulah perbuatan terkutuk itu.Maka tidak hairanlah mengapa Allah terlebih dahulu menyebut ism perempuan mendahului ism lelaki di dalam firmanNya :

[Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman] 24:2

Golongan lelaki itu lumrahnya akan lebih cenderung kepada golongan wanita.Tanpa iman dan taqwa yang membentengi diri,maka nafsu dan godaan syaitan akan mengatasi segalanya termasuk kewarasan akal fikirannya.Maka,dari situlah wujudnya sesetengah golongan lelaki yang hanya menginginkan keseronokan tanpa dibatasi dengan hukum halal haram.Lantaran itu,mulalah mereka akan memujuk rayu dan menyulamkan kata-kata indah demi mendapatkan apa yang diingini nafsu yang dirajai oleh syaitan ,kerana mereka tahu lumrah bagi seorang perempuan pula adalah sifatnya yang lembut hati.Wanaauzubikllahi min zaalik..

Di sinilah peranan seorang wanita yang solehah dalam mengawal diri dan kemahuannya sendiri.Kematangan fikiran dan iman yang teguh kepada Allah dan Rasulnya akan membantunya untuk menjauhi dan menghalangnya daripada segala maksiat yang ada disekelilingnya daripada terus berlaku.Sifatnya yang tegas perlu ada terutamanya apabila berhadapan dengan golongan lelaki ini demi mempertahankan dan menjaga maruah diri,keluarga dan agamaNYA.Maka,di situlah terletaknya kuasa dan kelebihan seorang wanita.

Wanita yang solehah tidak akan sewenang-wenangnya di bawa keluar ke hulu ke hilir.
Wanita yang solehah tidak akan sewenang-wenangnya di pandang,apatah lagi disentuh.
Wanita yang solehah itu,ada kekuatannya!
Ada keistimewaannya!
Ada kelebihannya!
Sesungguhnya kondisi masyarakat hari ini dan masa depan Islam pada hari esok,juga terletak di bahu segolongan insan yang bernama wanita.Sekiranya semua perempuan itu,bernama wanita solehah maka tidak akan berlakulah lagi maksiat keji seperti zina.Rentetan daripada itu tentulah kes-kes seperti buang bayi,pengguguran janin dan anak-anak luar nikah akan berjaya dibendung.

Begitulah indahnya ciptaan Allah yang bernama wanita.
Sifatnya yang lemah-lembut,pengasih,penyayang,sensitif,manja dan kebergantungannya kepada kaum lelaki bukanlah satu penghinaan dan cemuhan daripada Allah,bahkan disebalik semua itu ada kekuatan dan kelebihan pada dirinya yang tidak ada pada kaum lelaki.Maka,pelihara dan jagalah ia sebaik mungkin.Pertahankan ia sebaiknya berbekalkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya bagi seorang wanita yang solehah,dengan kecantikannya dia lebih elok daripada matahari,dengan akhlaknya dia lebih wangi dari haruman,dengan rendah hatinya dia lebih tinggi dari rembulan,dengan kelembutannya dia lebih halus dari rintik hujan.Maka,pertahankanlah keindahan ini,agar kau terus menjadi sayap kiri perjuangan Islami,penegak kalimah Allah di muka bumi..

No comments:

Post a Comment