Sunday, May 16, 2010

Hedonisme Pembunuh Remaja Islam!


Malaysia..Palestin..
Dua Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam..
Lantas,kita diberi title negara Islam yang sememangnya lebih sesuai buat Bumi Palestin yang menjadi saksi peristiwa Isra Mikraj Baginda saw satu ketika dulu.
Dua negara yang berpegang pada dustur yang sama, Al Quran dan As Sunnah bagi mempertahankan dan menegakkan agama Haqq ini.


Namun,disebalik persamaan itu,dua negara ini sangat berbeza.
Usah dilihat daripada sudut keamanan.
Sedang mereka sudah berpuluh tahun tidak lena tidur sepanjang malam,kita pula ‘terlalu aman’ hingga ‘tertidur mati’.
Sedang mereka dengan susah payah mencari sesuap makanan,kita pula terlalu ‘senang’ hingga tanpa sedar kita sebenarnya yang telah menyebabkan saudara seislam di sana tertindas.
Sedang pemuda pemudi mereka tiada henti berjuang mempertahankan maruah diri,negara dan Islam,kita dapat lihat betapa ‘hancurnya’ pemuda pemudi kita pada hari ini.Pemuda pemudi yang diharapkan untuk menjadi pemimpin dan harapan negara satu hari kelak,secara sedar atau tidak sebenarnya telah dijajah oleh musuh-musuh Allah swt melalui perang saraf.Ya,mungkin mereka tidak akan menguasai kita melalui peperangan,lantas mereka akan ‘membunuh’ pemuda pemudi ini agar dengan sendirinya kita akan ‘menyerah diri’
.


Sepertimana firman Allah yang mengkhabarkan,bahawa mereka ini tidak sesekali akan berdiam diri selagi kita tidak tunduk pada agama mereka.Lantaran itu pelbagai taktik dan perancangan telah dibuat dan dijalankan tanpa kita sedari.

Allah berfirman,
(Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu) Al Baqarah : 120

:: HEDONISME & REMAJA

Hedonisme berasal daripada perkataan Greek yang membawa maksud keseronokan dan kemeriahan.
Budaya Hedonisme pula merupakan satu fahaman falsafah bahawa keseronokan merupakan matlamat utama dalam hidup.

Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, BUDAYA didefinisikan sebagai cara berfikir dan berkelakuan. Manakala HEDONISME pula ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Secara kontekstualnya pula, budaya hedonisme membawa maksud gaya hidup yang hanya mengejar keseronokan semata-mata. Budaya yang berasal dari negara Barat ini sebenarnya merupakan barah yang makin mengancam jiwa remaja masa kini, dan seterusnya merapuhkan adat berbudi bahasa yang merupakan pegangan hidup masyarakat Malaysia pada suatu masa dahulu.

Melalui media hiburan yang dibawa dari Barat, anak-anak muda kini telah didedahkan dengan adat pertuturan yang kasar, gaya pemakaian yang menjolok mata dan cara pergaulan yang bebas. Pada masa kini, kita boleh melihat album-album lagu Barat yang berlambak di pasaran tempatan. Perhatikan saja gaya pemakaian dan fesyen golongan penyanyi ini. Dengarkanlah pula jenis bahasa yang digunakan. Jelasnya budaya ini sangat bertentangan dengan budaya Timur yang sudah sebati dengan pemuda pemudi Malaysia dan lebih-lebih lagi ianya bertentangan dengan cara hidup Islam itu sendiri!

Tanpa kita sedar,kita sendiri yang telah memberi ‘kebenaran’ bagi budaya kuning ini masuk ke dalam negara kita. Budaya Hedonisme telah melahirkan generasi muda yang tidak mementingkan masa depan. Apa tidaknya, golongan remaja ini hanyalah hendak bersuka ria tanpa matlamat hidup yang tinggi. Pada pendapat mereka, mereka hanyalah hidup untuk bersuka ria dan berfoya-foya.Lantas budaya melepak,merempit,mencuri,membuli,vandalisme dan berhibur bagi mereka adalah satu keseronokan dan kepuasan yang harus dipenuhi!

Hari ini kita dapat lihat betapa kita telah disuntik dengan doktrin-doktrin Barat untuk memusnahkan umat Islam itu sendiri secara halus.Para remaja terlalu di’sibuk’kan oleh rancangan-rancangan hiburan semasa.Akademi Fantasia,Mentor,Gangstarz,Malaysian Idol,One In A Million,My Stars LG,konsert-konsert artis luar negara masuk secara bertubi-tubi!
Hiburan,hiburan dan hiburan!

Entah kita betul-betul tidak sedar akan bahayanya realiti itu pada hari ini atau kita juga telah ‘khayal’ hasil suntikan doktrin-doktrin tadi.Ia bertambah bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan.Semua ini sudah cukup menampakkan bahawa mesej yang ingin disampaikan ialah hiburan itu satu keseronokan!
Hiburan satu nikmat!
Hiburanlah yang kita perlukan!
Hiburanlah segalanya!

Sedangkan kita maklum,melalui rancangan-rancangan sebeginilah,sedikit demi sedikit ia akan mempengaruhi cara hidup masyarakat itu sendiri.Cara berpakaian,pergaulan yang tidak terbatas dan semakin kurangnya minat untuk belajar dan menguasai ilmu.Lantaran itu,hiburan yang tidak terkawal tadi sudah tentu akan merosakkan pemikiran anak muda dan lebih-lebih lagi rohaninya.

Hasilnya..
Dunia dan Akhirat akan terpisah jauh.
Dosa dan pahala menjadi tiada beza.
Halal dan haram tidak lagi manjadi peraturan hidup.


Gejala sosial yang semakin teruk pada hari ini merupakan natijah daripada budaya Hedonisme.Realiti ini dapat kita lihat bila mana para remaja dan anak-anak muda lebih suka berkumpul di tempat-tempat yang dipenuhi maksiat seperti pub,kelab malam,pusat karaoke,pusat hiburan dan sebagainya berbanding bersama keluarga di rumah,majlis-majlis ilmu dan tempat-tempat ibadah seumpamanya.Maka dari sinilah akan lahirnya seribu satu masalah sosial dan kemasyarakatan seperti minum arak,mereka menari terkinja-kinja dibawah pengaruh pil khayal,dan tentunya pergaulan yang membataskan antara lelaki dan perempuan sudah tidak wujud lagi!Rentetan daripada itu, akan semakin berleluasalah kes-kes rogol,zina,liwat,sumbang mahram dan pembuangan bayi.
Semuanya berpunca dari hiburan yang disalah tafsirkan dan tidak terkawal!

Pernah satu hari tatkala menonton salah satu filem Malaysia yang kami ‘export’ di Mesir ini,perasaan sedih,kecewa dan sangat menakutkan bilamana salah satu babak menunjukkan suasana di dalam sebuah pub di Malaysia.Ayat pertama yang terpacul keluar dari mulut..’Astaghfirullah..sedihnya tengok remaja Malaysia ni!!’.Kesedihan bertambah bilamana melihat mereka yang menjadi ‘boneka’ di dalam pub itu anak-anak Melayu yang Islam!!
Lantas kekecewaan bertukar menjadi kemarahan.
’Kenapalah perlu diwujudkan tempat-tempat maksiat ini?!
Tunggulah..satu hari nanti,kalau aku diberi amanah menjadi pemimpin negara,sarang-sarang maksiat inilah yang aku akan tutup pertama sekali!!’.
Emosi seorang gadis terhambur...

:: SEKULARISME & HEDONISME

Pada masa kini, Kemunculan fahaman Sekularisme yang secara jelas bersifat anti agama dan berasaskan budaya hawa nafsu telah banyak menghancurkan pemikiran umat Islam.

Menurut Muhammad Naquib al-Attas ,Sekularisme bermaksud pembebasan manusia dari segi agama dan metafizik.Ia juga dapat didefinisikaan sebagai satu ideologi atau ajaran yang membina seluruh pengarahan hidup manusia dalam setiap aspeknya selain dari ibadah keagamaan di atas asas kepentingan, keperluan, ukuran, dan nilaian duniawi semata-mata. Dalam erti kata lain ajaran ini menolak ukuran agama sebagai asas bermasyarakat dan bernegara disamping menjadikan pemenuhan tuntutan duniawi sebagai matlamat tertinggi dan sebenar manusia. Sekiranya diteliti Hedonisme sebenarnya merupakan salah satu cabang fahaman Sekularisme. Ajaran Sekularisme telah meletakkan lima prinsip utama sebagai neraca dalam alirannya dan salah satunya ialah Hedonisme iaitu mereka menggariskan apa-apa sahaja yang boleh memuaskan hawa nafsu manusia akan dianggap baik , manakala apa-apa sahaja yang boleh membawa penderitaan nafsu akan dianggap buruk.

:: WUJUDKAH JALAN PENYELESAIAN..??

Melihat realiti yang ada di depan mata pada hari ini,seumpama sudah tiada jalan lain untuk menghalangnya dari terus berleluasa.Seumpama kita sudah tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu menerima sahaja lantaran dunia moden yang tanpa sempadan ini.
TIDAK!Bukan itu penyelesaiannya.
Jalannya jelas!
Allah telah memberi kita panduan,cuma kita yang terlepas pandang!

Allah swt berfirman,
(Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu)
Al Baqarah : 208


Jumpa tak jawapannya..??
‘Masuklah ke dalam ISLAM secara
KESELURUHAN’!!
Keseluruhan.Bukan dengan cara kita mengasingkan satu aspek dari aspek yang lain.
Bukan dengan cara kita ambil mana yang kita mahu,kita tolak mana yang kita rasakan kita tidak perlu.
Siapa kata Islam menghalang dari berhibur?
Kita berhibur..berhibur mengikut cara Islam.Berhibur yang dibenarkan syarak dan tidak melalaikan.
Kita bergaul..bergaul mengikut cara Islam.Bergaul yang ada batas-batasnya antara lelaki dan perempuan,antara yang tua dan muda,antara individu dan masyarakat.
Pendek kata, semua apa yang kita lakukan,kita lakukan mengikut ajaran yang Islam sebenar bawa.
Kita bermuamalat,bersosial,berakhlak,memimpin..hatta perkara-perkara yang kita anggap kecil seperti makan,minum,beriadah,bangun,duduk,belajar..semua hal.Semuanya kita lakukan mengikut cara Islam.
Islam itu bersifat syumul.Biarpun ia telah dibawa oleh Baginda Rasulullah saw ribuan tahun yang lalu,namun percayalah hingga hari ini,ia tidak luput di telan zaman,tidak mamah di jamah usia.
Malah Islam lah satu-satunya jalan penyelesaian bagi semua masalah umat pada hari ini!
Yakinlah!
Islamlah jalan keluarnya!
Islamlah jalan yang kita cari-cari selama ini!

Oleh itu,pemuda pemudi harapan negara,harus bangkit!
Sedarlah bahawa kitalah pahlawan dan srikandi dalam
memperjuangkan Islam ini! Kitalah yang ditunggu-tunggu!
Kitalah yang akan membawa perubahan itu!
Sama-sama kita mengislah diri dan seterusnya menginfakkan diri pada jalan dakwah!
Sama-sama kita membawa kepada yang maaruf dan mencegah yang mungkar!

Hakikat sebuah perjuangan..
Di akhir zaman ini,memegang ISLAM ibarat mengenggam bara api..
Di genggam kita sakit,di lepas ia akan padam’…

Namun yakinlah..
‘Sesiapa yang membantu Agama Allah,nescaya Allah akan membantunya..
Cuma memerlukan sedikit pengorbanan dan kesabaran..
Menanti nusroh datang tanpa diundang..’

1 comment:

  1. remaja skrg ni disekat dari pendidikan agama. Generasi yg buta agama inni telah mengabdikan diri kpd hiburan..

    ReplyDelete